Thursday, December 31, 2009

2010


Macam mana boleh ada orang nak cari tempat tinggal zaquan adha tersesat di blog ni? Kenapa nak cari tempat tinggal zaquan adha? Aku syak mesti perempuan ni. Kalau lelaki yang cari macam ada yang tak kena dengan mamat tuh.



Selamat tahun baru 2010...Tak payah la asyik nak berazam saban tahun.



P/S - Nasib baik tempat praktikal gua dapat cuti lebih sikit... :p

Saturday, December 26, 2009

Every Shot Has A Story


Sebelum memulakan entri ini, aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada encik Fredd kerana telah menghabiskan wang sebanyak 90 sen untuk setem dan mengorbankan sekeping CD-R untuk mengirim cerita Bodysong kepada aku.

Bodysong mungkin satu filem asing bagi kita di Malaysia. Aku pun hanya tahu daripada blog encik Fredd. Filem yang hampir bercorak dokumentari tetapi bukanlah dokumentari sebenarnya berdurasi selama 1 jam 18 minit. Jika kamu minat Radiohead tentu kamu kenal siapa Jonny Greenwood yang mana beliau adalah komposer lagu bagi filem ini.

Bodysong mengisahkan perjalanan dan kitaran hidup manusia. Ia dimulakan dengan permulaan kehidupan manusia, di tengah-tengahnya kisah manusia dan alam dan pengakhiran dengan kematian. Apa yang menarik, filem ini tiada sebarang dialog atau naratif cerita. Hanya paparan gambar dan video yang disulami dengan musik sentuhan anggota Radiohead yang begitu psychedelic. Kepada sesetengah orang, mungkin sesetengah visual agak mengganggu dan memualkan bagi mereka yang tak tahan. Dan bagi aku, mungkin ada sesetengah gambaran yang dipaparkan tidak begitu aku fahami namun setiap gambar ada ceritanya sendiri. Nilaikan sendiri dari kamu habiskan masa menonton hiburan kosong Sehati Berdansa atau Jangan Lupa Lirik dan lain-lain itu.

Dan, mungkin ini adalah entri aku yang terakhir untuk tahun ini. Dan mungkin juga untuk selama beberapa bulan kerana aku akan kembali sibuk dengan menjalani latihan industri atau bahasa kampungnya, praktikal. Aku cuma berharap dapat mencuri masa terluang untuk aku bercerita di sini. Sekian.

Wednesday, December 23, 2009

Survival Alam




Manusia sentiasa mahu terus hidup. Manusia akan terus berbuat apa saja demi meneruskan kelangsungan bangsa mereka. Dan demi meneruskan survival mereka. Itulah serba sedikit intipati dalam filem terbaru James Cameron, Avatar.

The Director

Tidak sukar mengenali pengarah bernama James Cameron ini. Filemnya sentiasa membuatkan kamu ternanti-nanti dan lain daripada yang lain. Mula mengenali Cameron ketika Terminator. Oh bukan. Aku mula menonton Terminator 2 dan mula ingin tahu lebih mengenai sang pengarah bernama James Cameron. Ketika itulah aku mula mencari dan menonton Terminator. Ternyata ideanya lain dari pengarah yang ada ketika itu. Beliau sentiasa mencari pembaharuan dalam pengarahannya. Aku sehinggakan selepas beberapa tahun menonton Aliens barulah tahu, beliau adalah pengarahnya. Terdetik ketika itu, patutlah menarik cerita ni. Sejak dari itu, aku mula meminati dan menonton kebanyakan filemnya. Selepas Titanic, sehingga sekarang aku fikir yang Cameron sudah bersara dari arena perfileman.



Namun segalanya berubah tahun ini apabila aku dapat tahu yang James Cameron mengarah filem Avatar. Avatar? Filem adaptasi dari animasi Avatar The Last Airbender kah?Aku memang tidak minat kartun tu. Tapi Avatar yang aku baru tonton itu bukanlah seperti kartun di tv itu. Avatar ialah sesuatu yang berkait dengan kepercayaan Hindu iaitu 'incarnation' atau penjelmaan. Aku tidak mahu ulas panjang tentang ini kerana aku pun bukan tahu sangat. Kamu boleh search sendiri di internet apa itu maksud avatar.




The Plot

Avatar dalam filem ini adalah klon makhluk diberi nama Na'vi yang berkoloni dan mendiami planet Pandora. Para saintis pada tahun 2154, mencipta klon genetik gabungan DNA manusia dan spesis planet itu agar manusia dapat berasimilasi dengan kaum Na'vi melalui teknologi Avatar. Aku tidak mahu ulas sangat pasal ini tapi aku agak mungkin plot sebegini sudah agak klise di mana manusia ingin merebut mineral berharga kepunyaan makhluk lain demi meneruskan keupayaan Bumi memberi tempat tinggal untuk manusia. Mineral yang berharga itu, unobtanium, terdapat di perut Pandora atau lebih tepat lagi di bawah pokok besar kediaman puak Na'vi. Walau nampak tema imperialisme ini begitu klise, kita tidak akan rasa keklisean itu kerana Cameron mengolahnya dengan begitu baik sekali apatah lagi dibantu dengan kecanggihan teknologi animasi disajikan beliau dan teamnya. Dan cara mereka masuk ke dunia Avatar juga seakan sama seperti The Matrix tapi itu tidak harus menjadi isu.



Gambaran di planet Pandora memang tidak pernah tergambar dalam fikiran manusia dan tempat seperti ini adalah impian setiap manusia untuk menjejakkan kaki mereka. Makhluk seperti viperwolf adaptasi dari serigala dan anjing, pa'li sejenis binatang seperti kuda dan pelbagai lagi haiwan lain yang ada juga antaranya seperti haiwan prasejarah. Tumbuhan di situ pula amat berwarna-warni dan pada waktu malamnya mengeluarkan cahaya. Pokok tempat dewa mereka pula seperti kita melihat pokok besar di Kuala Lumpur yang digantungkan dengan lampu-lampu berwarna-warni. Sesungguhnya tidak ada ciptaan yang dapat melawan keindahan ciptaan Tuhan cuma apabila manusia diberikan otak, itulah antara keajaiban dan kebesaranNya dengan hasil kreativiti yang dikurniakan.




Apa yang menarik tentang Avatar adalah mata anda tidak terasa jemu memandang imej-imej ajaib dan menakjubkan sepanjang 2 jam 40 minit. Sehingga kini, aku juga tidak mampu menyingkirkan imej-imej ini dari kotak ingatan. Mengeluarkan RM10 untuk menonton sebuah filem yang memberi dimensi baru dalam industri ini amatlah berbaloi. James Cameron juga telah meletakkan satu kayu ukur yang tinggi bagi kategori filem bergenre sains-fiksyen ini. Maka pengarah yang datang dengan filem selepasnya, perlulah berusaha lebih keras lagi. Teknologi baru animasi yang telah diusahakan oleh beliau nampak begitu realistik sehingga kadang-kadang kita tidak sedar apa yang kita tonton di layar lebar itu hanyalah imej janaan komputer.



The End

Pada akhirnya, setelah selesai menonton, jangan pulang dengan otak kosong. Bercerita canggih itu ini tanpa memahami erti yang disampaikan adalah malapetaka. Penuhkan akal dengan memahami mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh Avatar. Sanggupkah kita memenuhi nafsu dan keinginan kita dengan membunuh orang lain, membunuh binatang-binatang yang sama-sama mendiami galaksi ini dan paling penting, sanggup menebang pokok dan memusnahkan tumbuhan menghijau demi keinginan yang tak pasti? Kita mahu memilih menjadi golongan mana? Golongan rakus Sky People terdiri dari manusia sendiri yang datang untuk mengaut khazanah Pandora atau golongan Na'vi yang bermati-matian mempertahankan khazanah yang mereka ada supaya tidak dicemari tangan-tangan kotor manusia?

Apa yang cuba dihantar melalui Avatar adalah kita telah banyak merosakkan Bumi dengan menindas kaum lain yang mendiaminya. Kita mudah memusnahkan tumbuhan demi selera tamak itu tanpa kita sedari mereka juga hanyalah makhlukNya yang ada perasaan cuma tiada akal dan kekuatan untuk melawan kudrat manusia yang sewenang-wenangnya menceroboh dan memusnah. Kemudian bergelak ketawa apabila melihat hutan-hutan ditebang sehingga menjadi padang jarak padang tekukur. Lantas mereka juga terlupa apa yang mereka tebang itu adalah sumber 'nyawa' mereka juga. Kemudian berpekik menjerit bumi semakin panas lalu terus gagal berbuat apa-apa menghalang kepanasan global.



Kesimpulannya, Avatar amatlah berbaloi untuk ditonton kepada mereka yang bukan saja mahu menghargai teknologi tapi pada masa yang sama turut sama mengajak kita berfikir dan bertindak demi menyelamatkan dan meneruskan kelansungan alam yang kita diami bersama ini...


Friday, December 18, 2009

Tag N Go

Setelah diminta oleh Liyana, saya pun menjawab tag ini dengan berat hati(hehe). Sungguh panjang lebar tag ini selebar perut rakan saya.

1. Bekas kekasih saya:

Anak cina.

2. Saya sedang mendengar:
Bunyi kipas...dan sedikit bunyi dari tv depan.

3. Mungkin saya patut:
Kembali ke pangkal jalan.

4. Saya suka:
Memegang 'mouse'.

5. Sahabat-sahabat baik saya:
Semuanya tidak tinggal serumah dengan saya.

6. Saya tak faham:
Soalan ini...

7. Saya kehilangan:
Tangan senilukis saya...

8. Ramai yg berkata:
Malaysia menang emas.

9. Makna nama saya:
Utama.

10. Cinta itu adalah:
Sebuah filem Kabir Bhatia.

11. Di satu tempat seseorang sedang:
Makan nasi menggunakan tiub.

12. Saya akan cuba:
Menanam padi di KL.

13. Ayat SELAMANYA membawa maksud:
Abby Abadi.

14. Telefon bimbit saya:
Ada kat situ.

15. Bila saya terjaga dari tidur:
Saya lipat tilam.

16. Saya paling meluat bila:
Manchester menang.

17. Pesta/parti adalah:
Tempat syaitan berkumpul.

18. Haiwan paling comel yg pernah saya jumpa:
Semut dalam nasi lemak pagi saya.

19. Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah:
Masa bayi.Semua disuapkan....

20. Hari ini:
Saya usha Kia Forte kat showroom.

21. Malam ini saya akan:
Habiskan sisa burger pagi tadi.

22. Esok pula saya akan:
Tengok bola.

23. Saya betul2 inginkan:
Manchester turun divisyen...

24. Ketika anda lihat wajah anda di cermin pagi tadi:
Wajah sape nak kena lempang nih?

25. Pusat membeli belah atau arked permainan:
Kedai arked di Parit.

26. Makanan barat atau jepun:
Thai..

27. Bilik yang terang atau gelap:
Bergantung pada keadaan. Kalau nak sikat rambut mestilah terang.Kalau nak tidur,gelaplah.

28. Makanan segera adalah:
Pemecah sel neuron dalam otak.

29. Ayat terakhir yang anda kata pada seseorang:
Cerita apa kat tv ni?

30. Siapa yang anda mahu tag:
Nak tag menteri yang ada blog boleh?

Sekian...



Macam Biasa


Tahniah kepada skuad bolasepak yang menang emas selepas 20 tahun.

Tahniah kepada pemain dan barisan kejurulatihan yang berhempas pulas membawa pulang pingat emas. Namun yang menjadi persoalan, adakah kerana pasukan-pasukan seperti Indonesia, Singapura dan Myanmar tidak membariskan skuad hebat, kita mampu menang? Atau adakah pasukan-pasukan handalan ini termasuk Thailand sedang di ambang kejatuhan? Lantas ini memberi peluang kepada pasukan kerdil untuk mara jauh sebagaimana ditunjukkan Laos dan kita (ya, kita pasukan kerdil di Asia Tenggara ini). Persoalan ini mungkin akan terjawab dalam masa beberapa tahun lagi. Tidak mustahil bolasepak di rantau ini sedang berevolusi dengan hanya masa menjadi penentu.

Dan, seperti yang sudah terbit di entri sebelum ini, skrip 'mereka' seperti biasa tumpang sekaki.

P/S - Mendengar lagu Negaraku dimainkan selepas menang semalam adalah satu perasaan yang sungguh seronok.

Wednesday, December 16, 2009

Berita Pagi Jumaat

Andaikata semalam Malaysia menang emas Sukan Sea acara bolasepak.

Maka berduyun-duyunlah individu mahu memberi komen memuji semangat juang pasukan negara, mengucap tahniah dan bertekad memberi ganjaran itu ini. Lebih-lebih lagi pak menteri. Semuanya hanya kerana mencari publisiti dan ruang untuk tampil kononnya beliau terlibat sama dalam kejayaan pasukan negara. Hatta kemudiannya, dihebohkan dalam media ketika acara penganuerahan ganjaran kepada pasukan bolasepak bahawa beliaulah yang patut diangkat sebagai juara rakyat kerana tampil memberi anugerah dan ganjaran.

Maka, bersorak sorailah orang-orang dalam Persatuan Bola mengumumkan kejayaan sistem mereka dalam melahirkan skuad yang ada. Mengumumkan kejayaan liga mereka. Kejayaan mereka memilih jurulatih. Kejayaan mereka mengeluarkan duit untuk berlatih di luar negara. Semuanya mahu tumpang bangga dan bersorak sama. Pendek kata, apa saja yang berkaitan dengan bolasepak semuanya mahu nama mereka diangkat sebagai juara bahawa merekalah yang telah mencetak gemilang kilauan emas. Sultan Bola pun turut sama mengutus tahniah dan bergelek sakan.

"Lihatlah kejayaan pasukan negara. Semuanya atas hasil sistem liga kami." kata orang kuat Persatuan Bola.

Media-media mula menghambur pujian. Walhal sebelum ini mereka tidak meletak harapan. Walhal sebelum ini mereka tidak rasa sekelumit pun yakin pasukan negara mampu ke peringkat akhir lantas di'buat bodoh'kan saja perlawanan pasukan kebangsaan tanpa siaran langsung. Maka sekarang ini, mereka mahu mencetak besar-besar kejayaan pasukan bola di muka hadapan akhbar mereka.


Andaikata semalam Malaysia hanya mampu memenangi pingat perak Sukan Sea dalam bolasepak.


Bersenyap sunyilah pak menteri dan individu-individu berkepentingan tentang hal ini. Semuanya tidak mahu mengulas jika diminta. Jika adapun, hanya mampu mengakui 'skuad negara sudah melakukan yang terbaik dan harap berusaha lagi' yang keluar dari mulut mereka. Bercerita pasal ganjaran. "Saya hanya janjikan ganjaran jika dapat emas".

Orang-orang Persatuan Bola juga membisu seribu bahasa. Jika diminta ulas pun,

"Kita sudah mara ke final,itu sudah cukup bagus".
"Mereka masih muda dan kurang pengalaman berbanding Vietnam". Walhal semuanya bawah 23.

Masing-masing juga takkan mengakui kegagalan. Terutamanya sistem liga yang dirombak mengikut liuk lentuk pasukan Pahang.

Media juga tidak menjadikan ia sebagai berita utama mereka.


P/S - Bagi aku, emas atau perak esok, Persatuan Bola tetap perlu dirombak dan Presiden boleh jalan!

Tuesday, December 15, 2009

Kenapa Kita Kena Tengok Bola Kat Mamak?


Seperti yang kamu semua dah tahu, hujung minggu yang baru berlalu ni adalah suatu nikmat kepada peminat bolasepak bergelar Gooner atau dipanggil fans Arsenal. Apa taknya, ketika semua pasukan-pasukan carta atas (kecuali Villa sebab dia lawan MU) semuanya berkubur, hanya Arsenal saja yang menang malam minggu tersebut.

Man City draw. Spurs kalah. Chelsea draw. ManU kalah. Liverpool semestinya kalah.

Jadi, setelah kali terakhir Baptista membawa Arsenal menang di Anfield, kali ni giliran Arshavin pula setelah musim lepas beliau hanya memberi amaran.

Kesimpulannya, kenapa kita kena tengok bola kat mamak?

Mungkin restoran Melayu takde roti canai malam-malam. Tak bestlah kalau tak pekena roti sekeping dua. Agaknya la kot...

Saturday, December 12, 2009

Mayat Hidup

Sebelum tidur - Depan PC

Lepas bangun pagi - Depan PC

Time makan - Depan PC

Baca paper - Depan PC

Tengok movie - Depan PC


Mana masa berkualiti kau??



Notakaki - Citer The Tournament best siot....

Tuesday, December 08, 2009

Malapetaka Bola



1. Malapetaka Pertama - Kekalahan kepada Vietnam dan reaksi.

Kekalahan kepada Vietnam seperti sudah aku dan juga mungkin kamu jangkakan. Namun, apa yang menjadi malapetakanya adalah reaksi pemain atau skuad Malaysia keseluruhannya. Melalui pembacaan di akhbar-akhbar perdana negara, reaksi yang ditunjukkan pemain terhadap keputusan pengadil adalah memalukan sehinggakan The Star melabelkan reaksi mereka sebagai 'disgraceful behaviour'. Dan melalui gambar-gambar yang disertakan dalam akhbar-akhbar tersebut, para pemain menunjukkan reaksi amarah mereka angkara keputusan tidak adil daripada pengadil Korea dalam perlawanan tersebut. Terutamanya Zaquan Adha yang diperintah keluar padang kelihatan cuba membaling botol minuman kepada pengadil tersebut. Samada kena atau tidak botol itu, aku kurang periksa.

Apa yang menjadi malapetaka di sini adalah reaksi mereka terhadap keputusan pengadil. Marilah kita cuba membandingkan sikap profesional kita dengan sikap pemain luar negara. Biarpun emosi mencengkam jiwa mereka, sesekali mereka tidak bertindakbalas sebagaimana pemain negara lakukan. Keputusan pengadil walau tidak seadil manapun, mereka tidak boleh memegang pengadil seakan mahu bertumbuk. Apabila diperintah keluar padang, turutilah saja. Dan selepas tamatnya perlawanan, maka segalanya juga tamat. Tidak sepatutnya insiden memegang, melontar dan mencaci pengadil berlangsung. Ya, Drogba juga pernah memaki pengadil ketika habisnya separuh akhir Champions League musim lepas tetapi masih lagi dalam suasana terkawal dan secara profesionalnya dia meminta maaf selepas insiden tersebut. Menunjukkan emosi itu bagus tapi bukannya selepas tamat 90 minit perlawanan. Separuh masa pertama result 3-1. Selepas tamat game, result juga 3-1. Alangkah baiknya jika emosi diletakkan di tempat yang sepatutnya sepanjang 90 minit itu. Pemain Malaysia ternyata lemah mental dek kerana penalti sebijik, fokus mereka hilang sehingga melepaskan baki 2 gol itu. Ini diakui sendiri Rajagobal. Cuma bahagian lemah mental itu bukan ayat darinya.

2. Malapetaka Kedua - Reaksi Khairy

Reaksi daripada pemain tersebut memanglah salah dan tidak boleh diterima. Tetapi bolehkah seseorang yang berjawatan dalam FAM ketika ini mengeluarkan kenyataan akan mengkaji bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas Zaquan Adha walhal mereka masih di dalam persaingan Sukan SEA? Apa relevannya kenyataan ini dikeluarkan ketika ini di mana para pemain masih ada 2 lagi baki perlawanan?Apa impaknya ke atas Zaquan Adha dan rakan-rakan lain? Jika kamu biasa dengan mainan psikologi bolasepak Inggeris atau mana-mana bolasepak luar negara, kamu akan faham impak kenyataan ini terhadap moral pemain dan pasukan.

Mereka masih berjuang. Mereka perlukan sokongan. Walau sokongan mungkin bukan dari peminat tetapi persatuan haruslah supportive. Tidak kena masa langsung kenyataan dari Timbalan Presiden FAM. Kenyataannya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk menjaga air muka FAM dan sebagai reaksi balas kenyataan dari menteri sukan. Kesannya ke atas pasukan? Tak payah susah dia nak fikir. Air muka lagi penting. Bertindak ke atas pemain yang membuat onar itu lagi penting. Untuk bercerita mengenai peri pentingnya kaitan tindak tanduk persatuan dengan pasukan dan pemain biarlah contoh kes Henry tempoh hari dijadikan contoh. Ada kita dengar sebarang komen dari French Football Federation(FFF) mengenai hand ball Henry? Ada kita dengar mereka akan bertindak ke atas Henry? Sampai sekarang, tiada langsung khabar tersebut kita dengar. Jika persatuan sendiri menekan pemain, apa rasionalnya mereka ingin terus menyarung jersi negara. Yang rugi persatuan dan bolasepak itu sendiri. Sepatutnya, persatuan tak perlu memberi komen apa-apa mengenai pemain apatah lagi ketika mereka masih dalam perjuangan. Kalau korang jadi player, lepas tu dengar korang akan kena denda dengan persatuan lepas ni, apa korang rasa?Fikirkan...

3. Malapetaka ketiga - Pahang terus bermain Liga Super.



Terima kasih kepada Presiden FAM yang tidak segan silu dan berusaha keras membantu pasukan Pahang selama yang boleh. Pahang diketahui ramai sudah lama tidak layak beraksi di liga peringkat tinggi iaitu Liga Super. Seingat aku, dalam 3 musim lepas, FAM jenuh merombak itu ini demi memastikan Pahang kekal dalam Liga Super. Tahun 2010 juga begitu. Sepatutnya Pahang berada di Liga Perdana. Tetapi, dengan kuasa keramat yang ada pada Presiden FAM, Harimau Muda dibubarkan dan sebagai galang gantinya, tentulah pasukan Pahang kesayangan baginda. Alasannya, Pahang berada di senarai teratas antara pasukan-pasukan Liga Perdana.

Aku bukanlah anti Pahang atau bencikan pasukan Pahang. Yang nak disampaikan di sini, sampai bila sikap kroni nak diterapkan dalam struktur bolasepak negara kita? Macam-macam dah dilakukan demi memastikan Pahang masih dalam Liga Super. Tapi, apakah ada peningkatan atau pengajaran yang diambil skuad Pahang setelah sekian lama baginda membantu pasukan mereka? Mereka masih finished antara pasukan tercorot dalam liga setiap musim. Takde pembaharuan. Takde peningkatan. Tapi yang lebih penting, sampai bila kronisme dalam bolasepak yang dipimpin FAM harus berlaku?




Kredit gambar kepada Kosmo Online.

Friday, December 04, 2009

Kera Dapat Bunga

Kata orang, bila kera dapat bunga perangainya jadi pelik. Maklumlah tak pernah dapat bunga. Bila dapat jadik lain macam. Kadang-kadang over. Kadang-kadang gedik. Kadang-kadang lu orang rasa nak terajang je kera ni. Semalam, aku jumpa gambar kera kat tepi padang bola.




Arsene Wenger hairan macamana kera ni boleh masuk kawasan dia.



Kera yang tensen cuba memprovok Wenger dengan gaya 'kera menyampah'.



Kera ini melambai ke arah Wenger yang jelas kurang sabar dengan tindakan kera yang macam kera ini.

P/S - Memang dasar kera dapat bunga. Ada kuasa jadi gila pulak. Alahai...

Thursday, December 03, 2009

Bezanya Pengalaman

Budak-budak zaman sekarang terutamanya yang baru naik sekolah menengah asyik gila Facebook je skarang. Pendek kata, 24 jam tercongok depan PC je layan internet. Kalau dulu, budak-budak kumpul duit beli basikal ke, beli layang-layang, gasing dan ah banyak lagilah. Sekarang ni, budak-budak punya duit belanja kumpul hari-hari buat beli komputer. Bukannya diorang nak teroka dunia kat luar yang lagi luas tu. Memanglah yang dunia maya ni luas tanpa sempadan tapi apa pengalaman yang kita boleh dapat kalau asyik memandang kotak segi empat skrin monitor ni je tanpa membabitkan sentuhan fizikal.

Zaman aku dulu, budak-budak mana kenal sangat internet ni. Semua dok main gasing bila tiba musim gasing. Bila tiba musim layang-layang, semua pakat beli layang-layang. Walaupun layang-layang plastik yang ada gambar Spiderman, Superman dan lain-lain kat atas dia. Janji boleh terbang jalan je. Kalau kat sekolah pun ada main galah panjang, konda-kondi, teng-teng, batu serembang atau tutup botol.

Sekarang ni dah lain. Sejak tiba era Playstation, budak-budak semua stok lepak rumah. Nak ajak main bola pun payah. Pastu datang lagi era internet, lagilah ramai pakar IT lahir kat Malaysia ni. Tu yang lahir pakar 3gp kat celah semak, bawah tangga dan macam-macam lagi la. Ni akibat bila takde experience dengan real life kat luar. Melahirkan generasi rosak akidah. Sekarang ni pun futsal je budak-budak layan. Nak main bola kat padang pun susah dah. Aku pun sebenarnya sama gak. Asyik layan futsal je sekarang ni. Tapi aku dah pernah experience dah main bola padang. Dah tua-tua ni layan futsal jela. Haha. Ape barang layan futsal nih?

Kalau nak lahirkan generasi yang matang dan berani, kita kena balik tanya orang tua kita.
 
Google Analytics Alternative