Showing posts with label Jurnal. Show all posts
Showing posts with label Jurnal. Show all posts

Sunday, March 01, 2015

Dua 'K' di Vietnam

Kalau engkorang dan rakan makcik korang kepingin berkunjung ke Vietnam, jangan lupa mencuba dua benda 'K' ini :

1. Kopi
2. Kain (bagi kaum wanita jela)

Kopi dia entah kenapa memang takkan jumpa di Malaysia. Walhal aku bukanlah penggemar minuman berkafein ini pun. Tetapi, kopi Vietnam ni memang lain. Isi dia kaw gila. Cara dihidangkan juga spesel iaitu dihidangkan sekali bersama penapis. Kita akan tunggu air kopi jatuh daripada serbuk kopi yang ditapis tersebut. Untuk penuhkan cawan tu, mungkin ambil masa dalam 2-3 minit. Namun, ia berbaloi. Ada juga kalanya mereka hidangkan yang dah hampir siap ditapis dan boleh terus alihkan penapis lalu minum. 


 Penapis di atas, cawan di bawah


Alihkan penapis dan minumlah dengan bismillah..

Saturday, December 13, 2014

Ke Borneo Ke Kita?

 

Agak lama juga aku menyimpan hasrat untuk menjejakkan kaki ke tanah Borneo di seberang Laut China Selatan. Apabila aku dapat tahu bahawa syarikat mempunyai projek di sana, aku memasang impian untuk menjejakkan kaki ke sana suatu hari nanti.

Dan, alhamdulillah, minggu sudah aku memperolehi peluang untuk ke sana bagi penyerahan loji rawatan air di sana yang di dalam fasa terakhir penyiapan. Bos meminta aku pergi pun mungkin kerana tiada senior yang ada di dalam department aku. Apapun, syukur atas peluang yang diberikan.

Aku dan rakanku bersama bos berlepas dari KLIA2 dan mendarat di Sibu, Sarawak dengan perjalanan yang mengambil masa dua jam. Daripada Sibu, kami ke Saratok dengan menaiki jip yang dipandu oleh pekerja tapak loji Saratok. Perjalanan agak melompat-lompat kerana permukaan jalan yang berombak-ombak walaupun jalannya cantik. Dan di kiri dan kanan ketika itu, hanyalah hutan rimba dan kampung-kampung kecil yang berselang-selang. Tidak banyak kenderaan dan jika ada kenderaan melalui situ pun, kebanyakkannya menggunakan jip 4 x 4 atau 4 wheel drive.

Trip ini mengambil masa dua hari sebenarnya. Hari pertama lebih kepada mesyuarat koordinasi dan perbincangan terakhir sebelum keesokannya, Pengarah JKR Sarawak sendiri turun padang bagi majlis penyerahan sebahagian loji tersebut. Melihat persekitaran dan bercampur gaul dengan penduduk Sarawak, membuatkan aku terfikir bahawa negeri ini penuh kaya dengan hasil bumi yang melimpah ruah namun, apabila terjadinya sifat tamak haloba dan kronisme di dalam kalangan pemimpin yang mentadbir, satu kerugian kepada negara dan penduduk Sarawak itu sendiri.


Hari kedua berjalan lancar dan majlis penyerahan berjalan sempurna. Flight yang sepatutnya berlepas malam, telah diawalkan atas permintaan bos sendiri dan kami hanya bersetuju memandangkan banyak masa terluang yang bos perlu singkatkan. Tidak banyak dapat aku beli di sini sebagai cenderahati namun, aku dapat membeli kuih tradisional Sarawak iaitu cincin lawas dan kuih mukah tebaloi. Cincin lawas macam kuih rempeyek berperisa di dalamnya manakala, mukah tu macam kuih sagu. Insyaallah, jika ada kesempatan masa, akan aku menulis lebih lagi mengenai Sarawak walaupun perjalanan aku ke sini cuma dua hari.


Sunday, March 23, 2014

Jurnal Kembara 14 - Pulau Perhentan


Awal Mac lepas, aku dan rakan pejabat telah berkelana nun jauh ke Pantai Timur tanah air. Percutian dirancang yang boleh dikatakan agak tiba-tiba ini adalah satu percutian yang agak lama aku impikan dek kerana aku sendiri kurang bercuti dan sudah lama tidak merehatkan diri. Jadi, apabila rakan pejabatku menawarkan percutian ini, ternyata ia adalah peluang keemasan yang tidak patut aku lepaskan.

Satu faktor lagi yang membuatkan aku ingin menyertai percutian yang direncanakan mereka adalah kerana aku sendiri masih belum sampai dan menjejakkan kaki ke Pulau Perhentian yang terletak di dalam daerah Kuala Besut, Terengganu. Ya, Pulau Perhentian. Setelah sekian lama dipendamkan hajat ini sejak kecil, akhirnya tanggal 8 Mac 2014 menjadi tarikh bersejarah bagi aku dapat ke sana.

Ok, mari pendekkan cerita. Pada Jumaat tersebut, kami semua berkumpul di Hentian Putra untuk menaiki bas ekspres ke Kuala Besut. Dengan tambang berjumlah RM45 satu hala, kami menaiki bas Sani Ekspres dan bertolak dari hentian tersebut tepat jam 10.05 malam. Dapat duduk di 'single seat' membuatkan aku rasa selesa dan kebanyakkan masa di dalam bas aku habiskan dengan tidur. Ada beberapa kali bas berhenti dan yang aku ingat aku turun daripada bas adalah di Kuala Lipis. Ketika itu, jam 2.30 pagi dan kami dijangka sampai ke Kuala Besut pukul 6.00 pagi. Adakah bas ini mampu sampai ke sana dalam lebih kurang 3 jam setengah lagi dengan jarak perjalanan hampir 300km? Aku fikir tak boleh.


Bas pun berlepas dari Kuala Lipis selepas berhenti lebih kurang setengah jam dan apa yang kami dapat selepas itu adalah bas dipandu dengan begitu laju. Menaiki bas dua tingkat dan duduk di tingkat atas membuatkan aku rasa terhuyung-hayang yang amat sangat. Kali terakhir aku naik bas dua tingkat ni adalah semasa aku belajar di Pulau Pinang menaiki bas Durian Burung.

Setelah menempuh perjalanan yang mencabar, kami betul-betul sampai ke Kuala Besut pada pukul 6 pagi! Fuh, alhamdulillah saja mampu aku ucapkan. Jadi, kami pun mengambil sarapan pagi di T-Kafe berhampiran tempat Jeti Kuala Besut. Kami menunggu sehingga jam 10 pagi dek kerana bot yang diambil hanya berlepas pada pukul 11 pagi. Kami bertolak dari jeti pada lebih kurang pukul 11 lebih dan menaiki bot bersama beberapa pelancong luar. Bot yang kecil dan penuh orang itu tidak terlepas daripada hentaman ombak yang bertalu-talu menyebabkan aku sakit pinggang. Pening tu tak berapa sebab aku dah makan pil mabuk laut.



Perjalanan kami ke chalet di Perhentian Kecil mengambil masa lebih kurang satu jam setengah dan pemandangan di pulau ini sangat indah. Aku dapat lihat airnya yang biru dan mampu menembusi dasar laut sambil melihat ikan-ikan kecil berenang. Ada yang berkumpulan, ada yang solo dan penuh warna-warni. Tanpa membuang masa lagi, kami pun mendaftarkan diri di chalet bernama Senja Bay Resort. Kami dikenakan bayaran RM500 akibat seorang rakan kami menarik diri kerana beliau menghidap demam denggi pada saat akhir. Namun, pihak resort memberi diskaun sebanyak RM50 pada kami. Aku rasa okay jugalah memandangkan bayaran tersebut meliputi aktiviti snorkeling, pakej makan pagi, tengahari dan petang. Oh ya, di jeti Kuala Besut tadi, engkorang akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi melawat Taman Laut Malaysia di mana caj ini dikatakan untuk kos pemuliharaan hidupan laut.









Ok, setelah mendaftar, kami pun dapat sebuah bilik yang agak besar dan sempurna. Mempunyai 4 katil single dan 1 katil queen. Bilik air dua dan bilik mandi dua. Agak besar bukan? Apa lagi aktiviti selepas itu? Pastinya berehat dan tidur setelah penat berada di dalam bas dua tingkat yang terhuyung-hayang sebelumnya. Malam itu, setelah selesai makan di resort, kami pun berjalan kaki ke Long Beach yang terletak di bahagian sebelah pulau ini. Dari Long Beach, kami dapat melihat Perhentian Besar yang tidak kurang meriah dengan lampu sana sininya juga.



Apa yang mengecewakan aku, di Long Beach ini terdapat 'disko' kecil atau 'disko mini' yang dibangunkan oleh orang tempatan. Mereka menyediakan arak dan hiburan dengan mendirikan khemah sambil membuka muzik trance dan disko bagi pengunjung yang datang. Bukan jauh pun disko ini daripada pantai. Sekali air bah, semuanya tenggelam. Jadi, eloklah engkorang yang datang ke pulau ini supaya bersedia dengan segala kemungkinan dan jangan lupa diri bila tiba di sini. Kalau boleh, tarbiahlah penganjur disko mini ini supaya bertaubat dan berhenti buat perkara sia-sia ini kerana terdapat juga remaja Melayu yang mabuk menyertai joget disko ini.




Esoknya Sabtu, kami memulakan aktiviti kami yang ditunggu-tunggu dan wajib dilakukan bila tiba di sini iaitu snorkelling atau dalam bahasa kebangsaannya, menyelam sambil memakai penyedut air. Di sini, ada 5 point yang harus kami jelajahi. Point pertama adalah shark point. Misi kami mencari jerung kecil. Kawan aku jumpa katanya tapi aku tak pula jumpa. Banyak ikan kecil dan terumbu karang yang kadangkala menakutkan di sini. Ikan kecil ni macam tak takut manusia dan mereka selamba berenang hadapan aku. Aku pula terpaksa mengelak mereka. Di point ini juga, aku masih sedang membiasakan diri dengan alat snorkeling kerana beberapa kali juga aku tertelan air laut kerana alat tersebut tidak di'setting' betul-betul sebelum terjun.



Point kedua dipanggil Fish Point. Di sini juga banyak ikan-ikan kecil yang berenang selamba. Aku tidak dapat lama di sini kerana dengan mata yang agak rabun, aku tidak boleh jauh daripada bot yang menunggu di lingkaran sempadan. Nanti susah pula nak cari kerana banyak betul bot-bot lain yang turut sama membawa pengunjung. Namun, dapatlah tengok beberapa ikan kecil yang kadang-kadang menggigit aku. Kami terus kepada point ketiga iaitu Turtle Point. Di sini lebih menarik kerana khabarnya ada penyu di sini. Sekitar 15 minit pertama, aku gagal menjumpai penyu. Rakan aku pun sama. Takde katanya. Kami pun pulang ke bot kami.

 

Sesampai di bot, brader beach boy atas bot tanya, "Ada jumpa penyu tak?". Aku jawab takde. Brader tu pun jawab, " Eh, macamana boleh tak jumpa? Saya pelik bila orang snorkeling kat tempat ni kata diorang tak jumpa penyu!". Brader tu macam tak puas hati lalu mencapai alat snorkeling beliau dan siap-siap nak terjun ke dalam laut. Kami pun ikut sama brader tu disebabkan dia kata mesti akan jumpa juga penyu. Brader tu pusing-pusing kejap dalam laut dan dia panggil kami.

"Woi, ni ha penyu, cuba menyelam tengok bawah!"

Ya, memang ada penyu yang duduk diam di dasar laut. Kadang-kadang bergerak sedikit. Lebih kurang 3 meter dalam air tu dari permukaan air. Ada juga pelancong yang membawa kamera sendiri pergi menyelam dekat dengan penyu tersebut sambil ambil gambar. Akhirnya, dapat juga aku melihat sendiri penyu berenang di dalam laut dan ini adalah satu perkara yang amat menggembirakan dan momen berharga. Namun, rakan aku satu lagi, katanya dapat memegang belakang penyu tersebut kerana ia dikatakan timbul sekali sekala di permukaan air. Ah, tak guna betul!


Aktiviti snorkeling aku ditangguh sementara bagi memberi laluan kepada kami untuk mengambil makanan tengahari. Dengan kesejukan air laut dicampur dengan kepanasan suhu, memang betul berseleralah makan. Alhamdulillah. Dan kami pun menyambung semula aktiviti snorkeling setelah selesai melakukan solat jamak dengan pergi ke point keempat iaitu Lighthouse. Di sinilah point yang terbaik sekali bagi aku kerana di sini, kita tidak dapat melihat dasar laut langsung. Tetapi, terdapat banyak terumbu karang yang besar-besar dan kesemuanya cantik-cantik belaka. Ikan pula semuanya berwarna-warni dan berbagai-bagai saiz. Jika bernasib baik, kita akan berjumpa dengan ikan pari kecil. Biasanya, mat saleh yang akan jumpa kerana mereka menyelam tanpa jaket keselamatan dan bebas melakukan aktiviti menjelajah. Aku sebagai orang Melayu haruslah berasa malu kerana tidak pandai menyelam dan berenang pun hanya sekadar tahu sahaja.



Kami pun menghampiri point terakhir iaitu Romantic Beach. Di sini, selain pasir pantai yang putih, airnya juga jernih dan kita boleh melihat ikan-ikan kecil berenang. Dan air yang jernih tidak semestinya akan terjamin bersihnya jika ada pengunjung yang mengambil kesempatan membuang air di dalam laut. Jadi, elakkan perkara sedemikian. Aktiviti snorkeling akhirnya tamat dan kami dihantar pulang ke resort kami. Sebenarnya, point-point snorkeling aku bagitau tadi, tidaklah jauh antara satu sama lain tetapi dapat dilihat habitat penghuninya berbeza-beza setiap satu. Inilah keajaiban alam ciptaan Allah yang antara kita sebenarnya tahu tetapi masih tidak mahu mengakui kehebatan dan kebesaran-Nya.



Petang itu, kami minum petang dengan menikmati waffle bersama ais-krim beserta air 100 plus. Kesedapan hidangan tersebut ternyata amat berbaloi dengan harganya. Terima kasih kepada rakan aku yang membayar untuk hidangan kami tersebut. Kepenatan ber'snorkeling' dilepaskan dengan menikmati tidur yang secukupnya. Malam itu, kami menikmati hidangan BBQ yang disediakan pihak resort melalui pakej yang telah kami bayar. Bagi aku, ia tidak berapa sedap dan menarik. Portion yang diberi amat kecil dan ada rakanku mengadu ikan barracuda yang dipilih sebenarnya dua ketul tetapi bila dihidangkan menjadi satu ketul. Malas nak bising lebih, kami diamkan sahaja. Selesai makan, kami melepak di tepi pantai melepaskan penat dengan mendengar desiran ombak malam dan membiarkan bayu laut menampar muka. Masing-masing tak lepas tangan daripada telefon bimbit bagi menyemak berita mengenai kehilangan MH370.


Keesokkannya, hari Isnin 11 Mac 2014, kami pun berkemas untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Bot daripada jeti pulau tersebut berlepas sekitar jam 12 tengahari. Dan kami sampai di jeti Kuala Besut lebih kurang sejam selepas itu. Pastinya tidak lengkap percutian jika tiada ole-ole dan buah tangan untuk keluarga tersayang di rumah. Aku beli beberapa key-chain, magnet peti sejuk dan sehelai t-shirt kenangan. Kami mengambil keputusan untuk makan tengahari di restoran yang sama kami makan ketika mula sampai iaitu di T-Kafe. Selesai makan, kami pun mencari teksi untuk ke Lapangan Terbang Kota Bharu. Tambang yang dikenakan kepada kami adalah sebanyak berapa entah aku pun tak ingat. Yang aku ingat seorang dalam RM8.50 rasanya. Jadi, engkorang darablah dengan 4 orang. Kalau nak dapat teksi berhawa dingin, tambahlah lagi RM10.




Dalam teksi, ramai yang tertidur dek kerana keletihan semestinya. Kami sampai di airport lebih kurang pukul 2 petang. Disebabkan pesawat hanya berlepas jam 5 petang, kami ambil masa untuk solat dan makan lebih kurang di KFC. Dipendekkan cerita, alhamdulillah kami selamat tiba di LCCT lebih kurang jam 6 petang. Aku dan tiga rakanku mengambil bas dari LCCT ke Salak Tinggi (tambang RM8) untuk menaiki KLIA Ekspres dari situ menuju ke Terminal Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan. Sampai situ, rakanku ajak makan Subway terlebih dahulu dan tanpa melengahkan masa engkorang, kami pun solat Maghrib di situ. 

Alhamdulillah, masing-masing selamat tiba di rumah masing-masing lebih kurang jam 9 malam. Bagi aku, aktiviti yang menarik di Perhentian pastinya aktiviti snorkeling kerana itu sahaja aktiviti yang betul-betul kami buat. Haha. Ada juga aktiviti lain yang boleh dibuat di sini seperti berkayak, menaiki bot ke Pulau Redang dan pulau-pulau lain. Dan jika musimnya kena, boleh mencandat sotong juga di sini. Jadi, boleh aku simpulkan kembara kali ini walaupun tidaklah berapa padat dengan aktiviti, ia sangat menyeronokkan kerana dapat merasai pengalaman baharu dan ini kali pertama aku ke sini. Insyallah, jika ada kesempatan, aku akan kembali ke Perhentian.

Sunday, November 24, 2013

Jurnal Kembara 13 (Part 2) - Melawat Stadium Bolasepak Piala Dunia Korea


Pos ini adalah kesinambungan daripada kembara aku ke bumi Korea tempohari. Bila kita bercakap mengenai bolasepak Korea, ramai di antara kita pasti mengingati sejarah Piala Dunia 2002 yang dianjurkan secara bersama oleh Jepun dan Korea Selatan. Semua orang akan bercakap mengenai kehebatan Korea Selatan layak ke peringkat separuh akhir sebelum tumpas ke tangan Jerman. Maka, berduyun budak sekolah aku masa tu membicarakan tentang kehebatan Korea walhal sebelum ni tak pernah sembang pasal bola pun.

"Eh, ni wakil Asia ni! Kita kena sokong!"

"Bangga aku sebab wakil Asia kalahkan Itali dan Sepanyol!"

Aku yang minat dengan Itali dan Sepanyol ni pun dah mula angin satu badan. Apa yang nak dibanggakan pun sekalipun Korea tu wakil Asia? Apa yang faedah bolasepak Malaysia dapat? Ginseng Korea turun harga ke? Sudahlah kemenangan Korea itu diperoleh dengan cara menipu yakni dengan bantuan pengadil ketika bertemu Itali. Jadi, kepada budak-budak sekolah yang sembang bola sebab ikut trend ni tolonglah fikir masa depan. Jangan nampakkan kebodohan semata-mata ikut trend. Jadilah diri sendiri.




Pintu masuk muzium bolasepak Seoul


 Pintu masuk stadium


 Ok, itu intro la sedikit. Kehkehkeh.

Masa ke Korea dulu, aku sempat dibawah oleh kawan Korea berkunjung ke dua stadium bolasepak Piala Dunia iaitu di Seoul dan Suwon. Stadium di Seoul ni adalah milik pasukan Seoul FC. Namun, difahamkan pasukan ini bukanlah pasukan yang hebat di dalam Korea. Kiranya macam pasukan Kuala Lumpur lah. Walaupun terletak di ibu negara, namun prestasinya biasa sahaja.


 


 Merdeka Cup tahun 1970 di Tanah Melayu





Apa yang menarik bagi setiap stadium Piala Dunia di Korea adalah mereka mempunyai muzium mereka sendiri. Ini yang patut kita terapkan di Malaysia. Membudayakan sukan. Mana perginya muzium bolasepak milik kita? Bukankah kita punyai sejarah yang warna-warni? Kenapa semua disimpan dalam arkib? Siapa nak tengok?






 


Ok, terus ke kembara aku. Aku tidak tahu berapa won tiket masuk dia sebab orang Korea tu yang bayarkan. Apapun, semua sejarah bolasepak Korea banyak terdapat di sini dan aku terasa sangat beremosi bila melihat kehebatan Korea yang masa itu adalah saing-saing Malaysia je. Sekarang? Kita ke tong sampah, mereka pula memacu ke langit.






















Memang cantik stadium ni. Tak perlu besar-besar macam Bukit Jalil janji penuh je seat setiap kali bolasepak. Tak silap aku, stadium inilah dijadikan perlawanan Korea lawan Sepanyol di Piala Dunia 2002. Sebelum balik, aku pun belilah sedikit cenderahati berupa tuala muka di kedai berdekatan.


-----

Kemudian, pada 9 Julai 2013, aku ke Stadium Suwon milik pasukan Suwon Bluewings. Stadium ini kecil sedikit daripada Seoul. Namun, cukup untuk memenuhi syarat menganjurkan Piala Dunia. Di sinilah, Park Ji Sung memulakan karier awalnya. Ya, bagaimana aku tahu? Sebab itulah pentingnya kita mempunyai muzium bolasepak di setiap stadium kita. Malangnya, di Malaysia, ia menjadi hak milik majlis daerah.


















Serba sedikit bahagian luaran stadium Suwon World Cup.



















Alhamdulillah dapat peluang menjejakkan kaki ke dua stadium bersejarah ini. Perkara yang perlu kita kagumi dengan orang Korea ini adalah bagaimana mereka begitu bersungguh-sungguh dalam setiap perkara tanpa perlu memasukkan elemen politik dalam sukan. Aku juga kagum dengan semangat mereka ketika Piala Dunia 2002 lepas.

Walaupun aku bukan peminat setia pasukan ini, namun aku bangga dengan kemajuan yang mereka kecapi setelah mereka bangkit daripada sebuah negara yang tidak punya apa-apa, kini muncul antara pesaing bolasepak luar. Begitu juga dengan teknologi. Kita patut contohi semangat dan kepandaian mereka ini. Langkah pertama adalah dengan mewujudkan muzium bolasepak kita. Mana pergi orang sejarah, orang arkib dan paling penting, orang FAM dan sang politikus?

P/S - Fakta : Thailand adalah pengeluar jersi bolasepak Korea Selatan 2002 lalu.




 
Google Analytics Alternative