Friday, December 30, 2011

Menendang Kapitalis

Pada suatu Khamis yang tenang, aku memarkir kenderaan di depan sebuah kedai makan. Kelihatan anak-anak gadis sedang ralit bermain Blackberry dan menggunakan smart phone yang canggih-canggih untuk BBM dan melayari internet. Zaman aku mana ada semua ni. Yang ada hanyalah gasing, layang-layang, batu seremban atau paling tekno masa tu pun adalah mainan 'brick game'.

Seterusnya, aku melangkah masuk ke dalam sebuah bank yang menggunakan nama Islam. Tanpa membuang masa, aku menekan butang nombor giliran. Mak guard di tepi mesin tu langsung aku tak hiraukan. Dengan tidak menunggu nombor giliran, aku terus menuju kaunter nombor 4. Seraya itu, aku mengeluarkan RM8150.68 dari sampul yang aku selitkan di dalam kocek seluar lalu menghempaskannya di atas kaunter tersebut.

Akak jaga kaunter tu kelihatan kaget dan terpaku.

"Kak, ni saya nak setelkan terus hutang PTPTN saya nih..."

Akak tu masih lagi diam. Menanti kata-kata dari aku mungkin.

"Ni baru hutang diploma kak. Tunggu nanti saya setelkan hutang degree pulak. Tunggu...tunggu.."

Akak tu mula bersuara namun apa yang keluar di mulutnya hanyalah "Errr.....ok". Dia pun mengambil semua duit yang aku letakkan di atas kaunter tersebut.

Dengan perasaan bangga, aku menendang kaunter tersebut dan sekali lagi akak tu terkejut. Aku pun mulai beredar dari situ tanpa rasa bersalah. Bangga aku.


Friday, December 23, 2011

Mengupas Rokok Dan Kopiah



Walaupun video di atas sudah agak lama beredar di Youtube namun baru kini saya berpeluang mengulasnya. Di Youtube, tidak ada tarikh luput untuk video-videonya kan?

Tujuan saya ingin membuat ulasan tentang video Matluthfi ini adalah kerana bukan saya mahu mempromosikan beliau. Sebaliknya, saya kagum dengan kreativiti pemuda ini dalam mengolah cerita yang boleh disifatkan antara video terbaik beliau dalam banyak-banyak video yang dikeluarkannya.





Babak pertama dimulakan dengan Matluthfi yang ditonjolkan sebagai kaki hisap rokok yang baru pulang ke rumahnya. Penonton diajak berfikir dalam babak ini di mana Matluthfi membuat panggilan kepada seseorang yang dipanggil 'cikgu'. Dalam panggilan ini, kita tertanya-tanya siapakah Syafiq yang dimaksudkan di mana Syafiq suka tengok binatang dalam salah satu dialog. Selepas itu, bermula debat antara Matluthfi dan rakannya mengenai down syndrome dan haramnya rokok. 

 
Di sini, kita akan mendapati bahawa Matluthfi suka mempersendakan rakannya yang berpegang kepada perintah pengharaman rokok dan bahawa bermain gitar/ukulele itu haram. Bagi babak seterusnya, Lutfi sekali lagi ditampilkan sebagai seorang yang liat nak bangun Subuh. Ini memberi klu kepada penonton bagaiman prinsip dan falsafah hidupnya yang kurang dekat pada Tuhan. 





Babak perbualan seterusnya di dalam kereta menyerlahkan sisi Luthfi yang menyatakan dirinya bersifat optimis kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Bagi rakan beliau pula, dia berpegang kepada pandangan ustaz yang mana mempunyai pandangan yang lebih tegas, maka itulah yang benar. Penonton pun mula dapat mengagak karakter yang dibawa dua orang ini. Ada sesetengahnya mungkin tidak akan berpihak kepada Matluthfi. 





Dalam babak selanjutnya, penonton sekali lagi disogokkan pertanyaan siapakah Syafiq yang dimaksudkan Luthfi dalam perbualan telefon beliau dengan 'cikgu'. Untuk bahagian seterusnya, kita tentu dapat meneka bahawa yang mematahkan filter rokok Matluthfi itu sudah tentulah rakannya. Antara dialog yang menarik bagi babak seterusnya adalah "Jangan Tuhan tak minat nak sambung nyawa kau tu sudah...". Pasti ada di antara kita yang pernah mempunyai rakan atau kita sendiri yang pernah mengucapkan sebahagian dialog dalam babak di sini.





Babak seterusnya adalah perbualan dua orang ini di mana Matluthfi kelihatan tertekan dengan digambarkan ia menghabiskan banyak rokok, pil dan air berkarbonat. Di dalam perbualan ini dapat disimpulkan yang Matluthfi mungkin kehilangan adiknya, Syafiq. Dialog berbunyi " Tu pun Tuhan teringin nak ambik dia daripada aku.." menerangkan bahawa mungkin adiknya terlibat dengan kemalangan kerana malam sebelumnya, Syafiq tidak balik lagi semasa beliau menelefon cikgunya. 


Peranan rakan Matluthfi menjadi besar apabila bercerita tentang hidup Nabi yang tidak ada apa-apa jika nak dibandingkan dengan Matluthfi. Dan dialog terakhir yang menusuk ke dalam kalbu penonton adalah "Selagi kau tak bergantung kepada yang tak mati". Ini adalah salah satu saranan rakannya supaya kembali kepada jalan Allah dan bergantung harap kepadaNya. Tidak guna jika bersikap positif jika tidak bergantung kepada Allah. 





Dalam babak terakhir, Matluthfi seakan-akan berada di airport atau di tempat pengangkutan awam seolah menguatkan dakwaan bahawa memang sesuatu telah terjadi kepada adiknya. Ketika ini juga dapat dilihat bahawa adiknya, Syafiq adalah down syndrome. Sebelum itu, dapat dilihat Matluthfi memegang kotak rokok ketika mahu bertolak dan penonton akan menyangka bahawa beliau memasukkan kotak rokok tersebut dalam kocek bajunya. 





Namun, penonton ditunjukkan bahawa itu bukanlah kotak rokok sebaliknya adalah sebuah Al-Quran kecil. Dan, dalam gerakan kamera yang tidak dinampakkan wajah orang yang bermain ukulele itu, bagi saya, itu adalah rakan Matluthfi yang mungkin sudah mengubah kepercayaannya. Begitu juga dengan Matluthfi. Bagi saya, penonton diajak berfikir supaya jika kita percaya kepada sesuatu benda tanpa asas yang kukuh, kita akan tenggelam dengan hujah lawan. Dan pastinya kita tidak akan nampak keikhlasan dalam sesuatu yang kita pegang dan perjuangkan kerana semuanya adalah kosong. Itu senario kawan Matluthfi (maaf, tak tahu nama).







Bagi kes Matluthfi pula, orang seperti ni bagus jika kita pakai dalam aspek kehidupan seperti pekerjaan atau pembelajaran. Dia akan mencari jawapan kepada setiap persoalan di sekelilingnya. Sayangnya, hidupnya bukanlah memberikan hatinya kepada Tuhan. Dia bersangka baik dengan Tuhan tetapi tetap kosong pada akhirnya malah, tiada apa yang mampu menyuburkan jiwanya kerana tidak ada iman di dalamnya. Oleh itu, kepercayaan tanpa rasional adalah buta. Rasional tanpa kepercayaan adalah kontang. Seimbangkan kedua-duanya, Insyallah akan hiduplah 'perigi' itu. 


Tahniah Matluthfi dan teamnya di atas kreativiti hebat mereka di samping sebagai satu dakwah dan sinikal kepada mereka yang pernah merasakannya.

Thursday, December 08, 2011

Memori Champions League



Tiada berita lain yang lebih menggembirakan saya daripada mendengar berita terkeluarnya Man United daripada saingan Champions League pagi tadi. Arsenal pula meneruskan rekod cemerlang sejak menyertai Champions League pada musim 1998 iaitu tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan. Cuma musim untuk menjulang piala bertelinga besar itu saja masih belum tiba.

Menonton Champions League menjadi kegemaran saya saban tahun. Kegemaran itu makin menjadi-jadi apabila saya melangkah masuk ke universiti. Tambahan pula waktu itu, rangkaian Media Prima menyiarkan perlawanan secara langsung di saluran TV3, NTV7 dan 8TV. Jadi, lelah selepas mengulangkaji diubati dengan menonton perlawanan bolasepak yang menarik di kaca tv.

Memang terasa keseronokannya apabila kita bangun pukul 3 pagi dan mengerjakan tahajud sekejap, kemudian menonton bola. Jika duduk di kolej, aku lebih senang menonton dari komputer yang dicucuk dengan tv card. Kemudian, sama-sama menjerit bila gol sehinggakan esoknya tu final exam pun tak terasa sangat. Antara memori yang masih segar di ingatan aku pastinya kenangan menonton di kedai mamak sewaktu belajar di Pulau Pinang dahulu.

Tahun 2008, Arsenal menentang Liverpool. Perlawanan tersebut begitu dramatik sehingga ke wisel penamat. Setelah kedudukan terikat 1-1, Liverpool tampak seakan melayakkan diri ke peringkat seterusnya tetapi larian menakjubkan dari Walcott dari kawasan Arsenal memberi harapan buat Arsenal. Adebayor mudah membuat 'tap-in' dari larian cantik Walcott yang mana telah menggamamkan puluhan peminat Liverpool di kedai mamak situ.

Aku apalagi, menjerit sepuas-puasnya apabila seakan sudah pasti Arsenal akan layak. Namun, tak sampai seminit, Toure menjatuhkan Babel di dalam kotak penalti dan Liverpool menjadikan kedudukan 3-2. Seterusnya, Babel memastikan Liverpool layak dengan kemenangan 4-2. Seakan memahami nasib aku, hujan turun rintik-rintik sebaik hampir ke wisel penamat. Kuah dal juga bercampur hujan kerana aku duduk di kawasan tak berbumbung. Malam itu aku memang hampa gila kerana kekalahan itu terlalu kejam.



Sebelum game menentang Liverpool dalam musim yang sama, Arsenal telah mengatasi AC Milan di San Siro dalam perlawanan yang aku sifatkan antara game terbaik Arsenal dalam dekad ini. Tambah manis, pelbagai memori yang aku kutip semasa menonton game ni di mamak. Kedai mamak ni sebenarnya rumah kedai. Penyewa di bahagian atas kedai mamak ni adalah gadis-gadis bekerja kilang. Sudah tentulah apabila kami menyorak akan menyebabkan mereka terganggu. Tapi, inilah kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi.

Ketika Fabregas menjaringkan gol, semua penyokong Arsenal bagaikan dirasuk setan apabila menjerit bagai nak rak di kedai mamak tersebut. Maklumlah, setelah puas mencari gol, akhirnya masuk jugak. Tidak semena-mena, melayang tempat bekas pen daripada atas. Nasib baik tak bocor kepala budak depan aku tu. Ingatkan dah reda semuanya tapi setelah Adebayor menjaringkan gol kedua, sekali lagi budak depan meja aku menjerit nak gila. Maka, sekali lagi benda melayang ke bawah. Kali ni, plastik berisi ais. Apalagi, menjeritlah budak ni kepada si pembaling walaupun hakikatnya ais tu tak kena pun pada dia. 




Setelah tamat perlawanan lebih kurang 5.30 pagi, budak depan aku tadi menganjing orang yang membaling dari atas tadi. Caranya, dengan sekali lagi menjerit macam orang gila. Aku hanya tersengih melihat gelagat mereka. Apa nak dibuat. Dah bawah tu kedai mamak yang ada menayangkan game bola, sudah tentulah kita tidak boleh expect yang mereka akan tengok dengan senyap sunyi. Ah, lagipun seminggu sekali je. Kehkehkeh...

Banyak lagi kenangan menarik yang aku alami ketika menonton Champions League ni sebenarnya tapi dua memori nilah yang paling menarik bagi aku. Mungkin tidak menarik melalui pembacaan tetapi sangatlah beremosi apabila aku kenang kembali zaman jahiliah aku dulu. Haha. 

Sekarang, aku sudah tidak berpeluang lagi menonton Champions League secara langsung di tv kerana kekangan kerja. Itulah untungnya menjadi pelajar. Walaupun esoknya ada kelas pagi, aku masih boleh tidur belah petang untuk cover balik tidur tadi. Aku rindukan zaman itu.....

Saturday, December 03, 2011

Perihal Cikgu Geografi dan Countdown



Seorang cikgu wanita berketurunan Cina sedang tekun mengajar di papan hitam kelas aku. Beliau mengajar subjek Geografi yang mana salah satu subjek kegemaran aku di sekolah. Bukan pasal cikgu cina tersebut. Tapi aku amatlah berminat tentang alam. Kajian tentang alam amatlah menarik minat aku. Setiap hari aku rasa seronok belajar Geografi.




Namun, pada petang itu, aku semacam malas nak amik port apa yang cikgu tu ajar memandangkan kelas beliau adalah kelas terakhir untuk sesi petang hari tersebut. Jadi, rasa excited dan teruja nak balik tu lebih tinggi daripada semangat aku untuk belajar Geografi. 

Di sekolah, waktu loceng berbunyi sudah ditetapkan. Jadi, setiap hari aku akan mengira berapa saat lagi masa yang tinggal untuk balik. Pendek kata, waktu loceng berbunyi ni memang dah ada dalam kocek aku la. Biasanya kalau loceng dah berbunyi satu sekolah, budak-budak semua dah tak amik port dah cikgu kat depan. Semua pakat nak blah je ikut pintu belakang. Maklumlah, sekolah budak jahat. 

Petang itu, aku mengetuai kelas aku untuk memulakan 'countdown' bunyi jam loceng. Sebenarnya bukan aku pun sebab aku cuma countdown perlahan-perlahan kat mulut tapi rakan sekelas aku yang bising 'countdown' kuat-kuat. Jadi, ia merebak ke satu kelas. Sudahnya, semua 'countdown' ramai-ramai dalam kelas termasuk budak perempuan. 




Cikgu Geografi yang tengah syok menulis kat depan tu tersentak dengan tindakan kelas aku tu. Dia pun menempelak, " Sapa yang start countdown ni?!!". Satu kelas sebut nama aku seraya memandang aku. Aku jadi kaget. Tapi aku terselamat sebab 'countdown' tu dah betul-betul nak sampai ke 3,2,1.....



.:. Hari tu aku terselamat kerana loceng sudah berbunyi ketika cikgu Geografi tu nak marah aku. Suasana dah jadi kelam kabut memandangkan semua pelajar nak balik. Aku pulak rasa menyesal kerana memulakan 'countdown' tu. Sejak hari tersebut, aku dah tak amik peduli pasal bunyi loceng balik. Maaf cikgu....

Friday, December 02, 2011

Cerita Ultras



 Dikhabarkan Ultras Malaya wujud di Malaysia pada 2007. Cuma selepas kemenangan Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea, populasi penyokongnya bertambah mendadak. Keahliannya mudah. Terbuka untuk semua asalkan sanggup berdiri dan menyanyi atau dipanggil "chanting" sepanjang 90 minit.


Kewujudan Ultras merebak ke seluruh negara apabila Liga Super memulakan aksinya pada musim ini. Setiap negeri pasti ada Ultras mereka sendiri. Cuma, aku kurang pasti adakah Johor, Pahang, Melaka mahupun Pulau Pinang mempunyai Ultras sendiri. Dan berbagai-bagai nama mereka lekatkan bagi mewakili negeri masing-masing supaya ada perbezaan sesama mereka.

Pada mulanya, aku respek dengan kewujudan Ultras Malaya tambah-tambah lagi setiap kali game Malaysia berlangsung. Stadium menjadi meriah dan gempita dengan sorakan mereka walaupun jumlah mereka kadangkala tidaklah ramai. 

Cuma, perangai Ultras sekarang sudah menjadi makin pelik. Aku hairan. Adakah kerana keahliannya yang mudah dan terbuka menyebabkan nilai keindahan Ultras itu menjadi rosak? Mereka kini menyangka merekalah penyokong setia pasukan negara kerana sanggup berdiri 90 minit tanpa henti-henti bersorak. Sikap membangga diri dan menganggap diri lebih mulia ni memang tidak boleh aku terima. 

Aku yang sudah berdekad-dekad menonton bola di stadium pun tiada rasa nak mendabik dada atas sokongan aku pada pasukan Malaysia. Adakalanya, mereka yang baru setahun jagung mengecap nikmat menonton bolasepak di stadium sudah mula ego dan menjadi orang suci kononnya. Bukan itu saja, mereka ada lagu khas kepada pasukan lawan setiap kali ada perlawanan membabitkan pasukan negara yang mana liriknya tidak boleh diterima dalam budaya masyarakat Islam. Adakah ini yang dinamakan 'Respect' di dalam bolasepak?

Jadi, diharapkan Ultras Malaya kembali menjadi seperti dahulu. Radikal tetapi tidak banyak bersuara. Maksudnya, bersuara di medan lain selain di stadium. Kerana adakalanya suara kita itu hanya akan menampakkan kedangkalan dan kecetekan akal kita. Sekian, majulah Ultras untuk negara!!



Saturday, November 26, 2011

1433


Tibalah kita menuju ke tahun baru 1433 Hijrah ke arah yang lebih diredhaiNya....

P/S - Sila klik untuk tumbesaran.

Thursday, November 24, 2011

Berak Di Tengah Jalan Tiada Yang Mengaku






 Aku harap bila dia terkentut dalam LRT nanti, dia akan salahkan pembangkang jugak!


Mamat Kulim-Bandar Bharu tu pun sama 2 x 5.....

Tuesday, November 22, 2011

Gelora di Gelora Bung Karno


Sekalung tahniah dan sekalung pingat emas cewek Indon berikan kepada seluruh pemain Harimau Muda yang mencatatkan kemenangan dalam final bolasepak Sukan Sea 2011. Kemenangan ke atas tuan rumah Indonesia melenyapkan terus kata-kata dan lemparan kecaman yang diterbitkan daripada sebahagian besar penyokong Indonesia yang tidak bertamadun di Gelora Bung Karno.


We are the Barracuda team!!


Jarang sekali saya mahu menghadiahkan tahniah di atas kejayaan skuad muda negara kerana bagi saya mutu permainan tidaklah begitu membanggakan di separuh masa kedua semalam. Namun, perlunya saya menukilkan ucapan tahniah ini kepada mereka kerana sepanjang berada di Indonesia, pelbagai dugaan dan rintangan yang mereka hadapi dalam usaha mereka menewaskan tuan rumah yang bukan saja berkeupayaan seramai 11 orang tetapi perlu menghadapi jutaan penyokong fanatik tuan rumah. 


Heroes from Kelantan!


Dari insiden 'barracuda', bas dihalang, lagu Negaraku diejek, jeritan 'maling', ketibaan pegawai doping dan lain-lain lagi di venue sukan yang lain. Itu semua tidak melemahkan mental dan semangat anak-anak muda ini yang nampaknya sudah lali dengan insiden sebegini. Inilah sebenarnya pembakar semangat kita. Pada pendapat saya, layanan sebegini bukannya melemahkan pemain sebaliknya ia menambah semangat dalam diri anak-anak muda ini.

 
 Emas milik kami lagi!



Pernah saya dicaci dari luar padang oleh rakan-rakan atas permainan mengecewakan yang saya tunjukkan, namun cacian itu hanya menambahkan lagi semangat saya untuk bermain baik dan ia meresapi dalam permainan saya selepas itu. Ini contohlah tapi memang kisah benar. Sewajarnya, kita mengucapkan tahniah kepada skuad Ong Kim Swee ini kerana berjaya meresapi semua tekanan maha hebat meskipun masih muda. Adakalanya Arsenal pun tidak mampu berhadapan dengan tekanan yang hanya ala kadar tapi skuad harimau muda ini boleh! 


 Tigers!Aummm!!


 Walaupun perjalanan kita masih jauh, saya nampak ada sinar di hujung terowong buat bolasepak Malaysia yang selama ni menjadi bahan penambah dosa saya dengan kutukan yang dilemparkan. Saya katakan ada sinar adalah kerana kita semakin konsisten. Dua tahun lepas kita mengenggam emas di Laos. Setahun yang lepas pula kita menjulang Piala Suzuki. Manakala tahun ini kita kembali mempertahankan emas Sukan Sea. Tidak keterlaluan jika saya katakan kita kini adalah Raja bolasepak Asia Tenggara. 



 Fakri bukan hero kita. Passenger...

Cuma sayang, kita masih belum menjulang piala atau medal di hadapan penyokong kita sendiri. Di bumi kita sendiri. Di tanah tumpah darah kita. Saya percaya masa itu akan tiba. Tahun depan, kita adalah tuan rumah Piala Suzuki. Inilah peluang yang harus direbut demi mengekalkan penguasaan dan penaklukan wilayah Asia Tenggara ini. Akhir kata, syabas saya ucapkan kepada Harimau Muda!!

Thursday, November 10, 2011

Oh My Putrajaya!

 Putrajaya ini akan bertukar tangan suatu hari nanti


Kadang-kadang aku rasa bersetuju dengan cadangan DAP untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam jika dapat memerintah negara nanti. Bukan aku cemburu dengan kakitangan awam dan orang kerja kerajaan ni. Tapi ada rasionalnya cadangan tersebut.

Aku dapat lihat sendiri betapa masa kakitangan kerajaan di Putrajaya ni sungguh senggang. Pendek kata, sungguh rilek. Baik, yang paling jelas adalah apabila tiba waktu makan tengahari, mereka ni akan keluar berduyun dari kompleks pejabat mereka yang serba indah itu untuk menikmati makan tengahari di luar. Destinasi popular? Sudah tentu Alamanda! Mereka ni biasanya keluar awal. Kalau waktu rehat 12.30, pukul 12 dah start turun lif dah. Kalau pukul 1, pukul 12.30 dah start kereta. 

Dan aku difahamkan waktu rehat mereka berkala. Maksudnya, ada waktu rehat pertama dan kedua. Ada staff yang akan dapat rehat pertama dan ada staff akan dapat rehat kedua. Macam giliranlah supaya pejabat kerajaan itu tidak kosong. Tapi apa yang aku perhatikan, mereka bukanlah ikut sangat pun jadual ni. Main bantai je rehat ikut sedap dorang! Aku tengok memang clear habis pejabat ni bila waktu tengahari. Berdesup semua ke Alamanda!Nak-nak lagi makcik-makcik bajet bagus ni.

Apa yang aku kesalkan adalah ia menyusahkan kita sebagai customer di pejabat mereka. Konsultan datang nak hantar borang, nak hantar tender berkotak-kotak tapi kat pejabat takde sorang pun sambut padahal jam baru pukul 12 tengahari. Yang ada in-charge pun pegawai yang tak tahu menahu. Kalau hari jumaat tu lagi mintak maapla. Mau dekat pukul 3 baru nampak batang hidung.

Keluar awal satu hal. Balik lambat pun satu hal lagi. Orang pukul 2 dah start buat keje tapi makcik-makcik dan pegawai-pegawai bangang ni pukul 2.30 baru nak naik lif sambil cerita baju-baju kat Alamanda tadi. Ini bukan aku nak reka cerita tapi memang aku alami sendiri betapa kebangangan penjawat awam Putrajaya (sebahagian besarnya) menyusahkan konsultan seperti kami. Sudahlah masuk lambat, layanan tahap anjing pula diberikan.


Kesimpulannya, ada baiknya cadangan DAP itu. Marilah berganding bahu untuk membina negara yang lebih mapan dan tidak bangang.

Tuesday, November 08, 2011

Halusinasi

Kadang-kadang aku rasa Facebook dan teknologi social networking semua ni halusinasi je.

Senang-senang kita boleh bersembang macam dah lama kenal kat chatbox.

Cuba kalau kita tegur orang di stesen bas dan ajak sembang-sembang sambil bergurau.

Pelik kan?

Entri recyle dari sini.

Monday, November 07, 2011

Industri Automotif


Dalam Malaysia sekarang, ada 2 jenis je jenama kereta bukan nasional yang mendapat sambutan menggalakkan yakni boleh juallah iaitu Toyota dan Honda. Dua kereta ni memang laku kat negara kita sebab dua-dua ada bukak kilang pemasangan di sini. Satu di Melaka dan satu lagi di Shah Alam. Dan kereta-kereta dari dua jenama ni dapat dijual murah disebabkan mereka membuka kilang di sini. Mercedes juga ada kilang kat sini tapi semua sedia maklum bahawa mereka bukan into mass production punya market.

Jadi, tidak hairanlah kereta seperti Civic, Vios, City boleh dijual agak murah dan menjadi pilihan mereka yang berduit lebih sedikit dari golongan middle class. Oh ya, kalau golongan middle class terutamanya kakitangan kerajaan berpusat di Putrajaya, mereka cenderung memilih kereta seperti Viva, Myvi, Saga, Persona atau bagi yang berkeluarga, memilih Exora. Kereta nasional. Nampak di situ bagaimana trend orang Malaysia membeli kereta?

Baru-baru ni, aku telah memandu uji dan menaiki Persona keluaran syarikat Proton. Apa yang dapat aku kesan buat permulaan ini adalah sistem brek yang bermasalah dan sistem audio yang dibuat caca marba. Bagi sistem brek tersebut, ia perlu ditekan kuat untuk mendapatkan kesan cengkaman yang kuat. Maka, ia amat berbahaya bagi mereka yang perlu menekan brek kecemasan kerana ada kemungkinan mereka tidak sempat berbuat demikian. Aku tak pasti apakah semua pengguna Persona mengalami masalah ni atau aku je?





Keduanya, kebanyakan kereta Proton kebelakangan ni menggunakan sistem audio yang tahap caca marba. Pihak Proton meletakkan speaker hanya di bahagian bonet belakang manakala di depan pula langsung tiada speaker. Maka, orang yang duduk di belakang susah untuk menangkap percakapan orang di depan dan adakalanya sakit kepala kerana bunyi yang terlalu dekat dengan kepala. Aku hairan adakah Proton mahu menjimatkan kos dengan hanya meletakkan speaker di belakang atau mereka memang bangang?

Tidak pernah pula aku melihat kereta-kereta buatan negara lain mempunyai satu bahagian speaker saja. Kereta Proton yang lama juga tidak begini. Banyak lagi cara penjimatan kos namun mengurangkan jumlah speaker bukanlah salah satu caranya. 

Maka, rakyat Malaysia tidak punya pilihan terutamanya golongan pertengahan ini. Mereka terpaksa memilih Proton sebagai kereta baru mereka walhal kualiti amatlah berbeza jika dibandingkan dengan kereta seperti Vios dan City. Mereka tidak sanggup untuk menambah duit sedikit untuk mendapatkan kualiti. Mereka tiada pilihan dan terpaksa memilih Proton.

Ada juga yang bertanya kenapa Perodua menjual kereta mereka mahal-mahal. Ini jangan salahkan Perodua sebaliknya salahkan dasar kerajaan yang melindungi Proton. Proton diberi keistimewaan kerana mereka adalah satu-satunya syarikat kereta nasional yang menggunakan tenaga anak tempatan sepenuhnya. Maka, atas prinsip inilah, kerajaan melindungi syarikat ini berbanding Perodua yang mempunyai saham Daihatsu dan Toyota. 

Oleh itu, Perodua disaran menjual kereta dengan mahal dan cukai dikenakan ke atas mereka tinggi berbanding Proton. Namun begitu, Perodua tetap membuat keuntungan dengan model Myvi menjadi kereta paling tinggi jualannya di dalam negara ketika artikel ini ditulis. Amacam Proton?

Aku bukan hendak memperkecilkan Proton tetapi mereka yang membuat kereta tidak sepadan dengan harga. Walaupun tidaklah murah mana, seharusnya Proton membuat kereta tidak seperti melepas batuk di tangga. Dan semua cerita di atas bukan rekaan aku sebaliknya diperolehi dari sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai. Sekian, majulah automotif untuk negara!

Nafsu


Masa zaman belajar dulu macam-macam aku rasa nak beli. Bila pergi Uptown seksyen 24 tu, macam-macam benda rasa nak beli. Tapi sebab takda duit, aku tangguhkan dulu. Bukan sekadar tangguh tapi aku betul-betul plan memang nak beli bila dah berduit nanti. Maksudnya bila dah ada gaji nanti le tu.

Sekarang bila dah bergaji dan berduit, secara tiba-tiba nafsu nak membeli itu ini semua lenyap sama sekali. Macam hilang dibawa sekali dengan zaman belajar aku tu. Tak tahu kenapa tapi memang takde mood langsung nak membeli apa yang aku plan dulu-dulu tu. Aku pun hairan.

Wednesday, November 02, 2011

Jomblo

Ketika ini saya sedang mengikuti sebuah kursus yang diaturkan oleh pihak kompeni bagi saya menambah ilmu di dalam bidang 'groundwater'. Kursus ini mempertemukan saya dengan peserta-peserta dari serata Asia Tenggara antaranya Indonesia, Vietnam, Thailand, Kemboja, Filipina, Laos dan Timor Leste. 

Pada hari pertama lalu, saya duduk bersebelahan dengan seorang peserta dari Indonesia yang saya panggil 'bapak'. Jadi, sebelum kursus bermula, banyak juga yang kami sembangkan. Ternyata beliau seorang yang peramah dan kelakar orangnya. Ketika sesi pengenalan 'rakan di sebelah', beliau telah memperkenalkan saya.

Ketika itu, 'bapak' bercerita semua yang beliau tahu mengenai saya. Dari nama, umur, pekerjaan, pendidikan semuanya diceritain sehinggalah ke bahagian yang terakhir mengenai saya. Dia memperkenalkan kepada hadirin lain bahawa saya 'Jomblo'. Ketika itu, saya termangu dan memikirkan carutan apakah yang beliau gunakan terhadap saya ni. Sedang saya asyik memikirkan, penceramah kursus berkata, "Oooo..single..". Lantas disambut gelak tawa hadirin lain. Saya pun ikut sama tergelak.

Sebenarnya saya pernah dengar 'jomblo' sebelum ini, cuma baru itu saya mengetahui maksudnya.

Terima kasih Pak Soenarto!

Thursday, October 27, 2011

Test Power

Sunyi

Sunyi. Kosong.

Sewaktu saya jatuh sakit ketika dijangkiti denggi dahulu saya rasa amat sunyi setiap malam.

Namun, saya berterima kasih kerana ada Tuhan yang masih menyayangi dan orang sekeliling yang memberi semangat untuk terus 'hidup'.

Dan sekarang, saya merasakan kesunyian itu kembali menjemput saya....



Di dalam wad yang sunyi dan takut. 24 Mac 2010.

Pengumuman Sempena Deepavali


Ramai orang mengutus surat, menghantar emel, mengirim merpati, bertanya melalui sistem pesanan ringkas, buat page di Facebook dan tidak kurang menumbuk saya di kedai mamak dengan hajat cuma satu. "Bilakah saya mahu mengemaskini blog saya?"

Pertanyaan yang dilemparkan dengan nada cacian ini sudah menjadi lumrah bilamana saya di dalam keadaan sibuk yang teramat sangat dan tidak dapat mengupdate seperti selalunya. Jadi, saya dengan rasa sukacita ingin mengumumkan bahawa saya akan membuat satu transformasi baru pada blog ini. Harapnya tidak menjadi seperti transformasi Najib yang dikatakan transformasi membuahkan hasil namun Ketua Audit mengumumkan sebaliknya. 

Jadi, hanya masa saja yang akan menjadi penentunya. Selain itu, saya akan membuat satu post mengenai cikgu Geografi saya dulu. Itupun saya akan update kemudian. Sekarang, tidur dahulu. Sekian, berita Deepavali hari ini.

Tuesday, October 11, 2011

Cerita Pasaraya Besar


Pasaraya Warta suatu ketika dulu adalah satu jenama pasaraya terkenal dah boleh dikatakan setanding dengan Giant. Di tempat aku dulu, ada satu pasaraya Warta yang mana jaraknya tidaklah begitu jauh daripada rumah aku. Kalau keluar pagi jalan kaki, mungkin sampai tengahari. Tapi, pasaraya ni memang jadi tempat kegemaran aku dan sekeluarga. Jarang benar dalam 2,3 hari seminggu tu kami tak singgah. 

For sure, dalam seminggu memang wajib singgah walhal pasaraya 2 tingkat ni takdelah besar mana sangat. Menariknya, semua benda yang aku nak ada dalam ni dan menepati kehendak keluarga aku. Dari sekecik-kecik umat sampailah ke sebesar-besar gajah, lengkap semua. Kalau nak beli bola, cari kat sini. Nak beli nat bola pun singgah sini. Dari alatulis, baju, kasut, kaset Elite hingga ke buah-buahan, semuanya beli kat pasaraya Warta. Siap ada funfair mini lagi dalam tu.


Warta Bangi: kredit


Dah takda pasaraya lain ke kat situ? Ok. Cheras ketika era 90-an, mana ada orang kenal sangat. Keluarga aku boleh dikatakan antara perintis awal penduduk perumahan di kawasan ini. Takdelah awal mana pun tapi kalau stadium Bukit Jalil tu takde, mesti Cheras ni tak sepopular sekarang. Jadi, masa tu, mana ada hiburan sangat dan pasaraya besar pun takde langsung. Masuk pertengahan 90-an, baru Plaza Phoenix dan Cheras Leisure Mall dibangunkan untuk menceriakan Cheras. Yang dua tu jela paling hip in town orang kata. Plaza Phoenix pun dah expired dan menunggu masa untuk dibangunkan jadi kawasan komersil lain.


So, pilihan kami adalah pasaraya Warta. Walaupun kecik, semuanya ada di sini. Masa tu, jenama Warta ni kuat sampai ada beberapa cawangan di Bangi, Puchong dan banyak lagi. Warta kat Cheras ni pun didirikan di atas tapak pasaraya Eaton yang lagi oldskool punya pasaraya. Dengan kemasukan gergasi luar seperti Tesco dan Carrefour, pasaraya Warta sedikit demi sedikit mulai hilang pengunjungnya. Dengan kemasukan pasaraya Giant berdekatan, ditambah pulak Tesco dan Jaya Jusco di sekitar Cheras, pasaraya Warta mulai rebah. 


Made from France


Giant ketika itu pula mempunyai pasaran dan tapak yang kukuh di area Lembah Klang. Makro juga terkenal ketika itu dan menjadi pilihan pemborong dan peruncit sebelum dibeli oleh Tesco. Masuk era milennium, pasaraya macam Warta ni mula tenggelam dek kemunculan jenama yang lebih kuat dan mempunyai aspek kewangan yang lebih kukuh dari mereka seperti Carrefour dan Tesco.



Made from UK


Pasaraya besar ni hadir disebabkan galakan daripada kerajaan supaya pelabur berminat mengembangkan perniagaan mereka dan antara sebab utama ialah hasil cukai yang akan dinikmati kerajaan. Dari satu segi, memang ia menguntungkan ekonomi negara. Dari sudut marhaen pula, peruncit tempatan macam pasaraya Warta ni takkan mampu bertahan lama kerana tiadanya galakan dan bantuan dari kerajaan.


Tahun 2000, seperti dijangkakan, pasaraya Warta mula bankrap dan diambil alih oleh sebuah pasaraya beridentiti Cina, C.S Brothers yang mampu bertahan sampai ke hari ini. Aku sedih kerana, orang tempatan dianaktirikan kerajaan sehingga pengusaha-pengusaha yang memiliki kedai kecil pun tak mampu menahan gelombang yang dicipta pasaraya besar ni kerana tiadanya kawalan terhadap kewujudan-kewujudan mereka yang tumbuh bak cendawan ini. Bukan tu sahaja, bidang tanah yang luas juga dapat mereka perolehi sehingga mereka mampu membuat bangunan yang luas di celah-celah kesibukan kota.


Thursday, September 22, 2011

Rindu Waktu Dahulu


Tadi semasa saya pulang dari tempat kerja, saya lihat beberapa pelajar sekolah berseluar hijau berjalan ramai-ramai. Mereka pulang dalam keadaan riang dan bergelak tawa bersama rakan-rakan. Secara automatiknya, fikiran saya mula melayang teringat zaman persekolahan saya dahulu. Dari sekolah rendah berseluar biru sehinggalah ke zaman berseluar hijau. Paling meninggalkan kenangan adalah zaman saya bersekolah asrama. Sungguh indah memori saya itu.


Kredit kepada tuanpunya


Sudah tentulah jika saya mempunyai mesin masa, saya mahu mengalami semula zaman tersebut. Namun, sedar tak sedar, semasa kita melalui zaman dahulukala kita, kita kadangkala kalau boleh, taknak lagi melalui zaman persekolahan. Dengan kena beruniformnya, dengan perhimpunan setiap paginya, dengan perlu menghadiri kelas dari pagi ke petangnya, dengan musim peperiksaannya dan macam-macam lagilah yang kita semua bencikan. Cuma, secebis kebencian yang kita pernah rasai dulu itu dapat diganti dan dihiburkan dengan aktiviti sampingan sewaktu di asrama bersama kawan-kawan. 

Dengan 'riot' terjadi setiap kali tiba harijadi lantas berlari sekeliling sekolah dan dicampak dalam kolam, dengan 'fly' hujung minggu dan disambut dengan rotan warden, dengan ponteng prep dan ditampar warden, dengan mengorder piza untuk dikongsi bersama kawan, dan macam-macam lagilah yang tak mampu saya huraikan dengan jari-jemari saya ni. Seperti yang saya katakan, saya hanya mahu merasai detik-detik keseronokan dan keindahan alam semasa menjadi pelajar dulu. Bukannya detik-detik tertekan menghadapi SPM. Itu kalau boleh saya tak mahu ulang lagi.

Tapi, apakan daya. Masa terus berputar. Seandainya mesin masa berjaya dicipta suatu hari nanti, saya percaya, detik-detik dan kenangan yang mengajar kita hari ini pasti akan terhapus. Sejarah mungkin akan berubah. Kita mungkin tidak akan menjadi seperti sekarang. Cuma, kita hanya mampu mengimbas memori lalu dalam kepala kita. 

Terdetik juga saya bahawa saya rasa menyesal bila memasuki alam pekerjaan. Kerana saya masih tidak puas belajar. Saya rasa masih belum puas belajar di universiti. Saya merasakan bahawa terlalu awal bagi saya untuk berada dalam industri kejuruteraan yang tanggungjawabnya sungguh berat ini. Lebih berat daripada pemain bolasepak walhal gaji pemain bolasepak berkali-kali ganda lebih tinggi dari gaji seorang profesional. Itu cerita lain yang akan saya rungkaikan. Bagaimanapun, itulah hakikatnya.

Memang boleh sahaja saya 'belajar' dalam bekerja namun apa yang saya alami sekarang sungguh berbeza. Semuanya menuntut komitmen dan tiada istilah atau masa untuk belajar sekarang. Sebaik saya berada di sini, saya harus mengikut arus deras dan tuntutan tekanan yang tiada kesudahannya. Lantas saya merasakan, semangat saya seperti malap dan hampir padam, tidak seperti waktu awal bekerja dulu. Itu yang menyebabkan saya digamit memori menjadi pelajar dulu dan betapa rindunya saya untuk kembali ke zaman itu. Ya, itu antara sebab saya mengintai kenangan lalu saya.

Saya percaya pada Allah yang memberi rezeki dan segala benda hidup di atas bumi ini adalah di bawah kekuasaanNya. Saya yakin setiap daripada kita pernah rasa ditindas, dimaki hamun dan disepak terajang oleh manusia-manusia sekeliling kita yang kadangkala kita fikir, 'apakah beliau tidak punya perasaan?' Juga berfikiran 'bagaimanakah jika beliau berada di tempat aku?'

Semua itu cabaran bagi setiap manusia dan sekiranya saya sendiri boleh merasa patah dengan cabaran ini, bagaimana dengan manusia lain? Apakah manusia itu boleh 'mati' dengan tekanan atau cabaran yang membelenggu? Tidak mustahil kerana jika tidak, tiadalah orang membunuh diri kerana tertekan. Ah, ada baiknya saya akhiri entri kali ni kerana pada awalnya saya berhajat untuk menulis mengenai zaman belajar saya sahaja dan nampaknya ia sudah pergi terlalu jauh.

Saya berharap saya cuma boleh berasa gembira dengan apa yang saya lalui sekarang kerana mungkin 10 atau 20 tahun dari sekarang, saya cuma boleh tersenyum dengan apa yang berlaku kini. Salam...

Tuesday, September 13, 2011

Dinaungi British


Betul kata seorang profesor kangkung yang mengatakan Malaya tak pernah dijajah. Cuma dinaungi oleh British saja. Tapi dalam sedar tak sedar, orang kita sendiri kini yang memang mintak dinaung. 

Kelab luar ditaja dan diagungkan tapi Liga Super kita ni takdak sapa pun nak taja atau beli. Mengapa Tony Fernandes ni taknak beli Johor FC? Adakah kerana Johor FC tak main Champions League? Kenapa Vincent Tan ni taknak taja Selangor PKNS? Takde market value? Kenapa pulak Genting ni nak taja Aston Villa tapi taknak taja pasukan Perak? Airasia dan MAS pulak kenapa pegi taja QPR? Dah habis pasukan dalam Malaysia ni yang berduit?

Dulu, lepas Dunhill blah, memang tunggang langgang liga kita. Time tu aku ingat lagi takde sapa pun nak taja liga Malaysia. Last-last, TM ambik atas arahan kerajaan tapi tajaan punyalah ciput. Sekarang ni nasib baik Astro mula salur tajaan banyak pada liga kita. Bukannya tak ada company giant dalam Malaysia ni untuk taja liga M tapi semuanya memikirkan pasaran yang lebih besar. Mereka lebih jauh ke depan. Mereka lebih British. Mereka sampah!!

Thursday, September 08, 2011

Pasca Aidilfitri Saya




Aku kira Syawal sudah boleh melabuhkan tirai sebaik sahaja kaki aku menjejak bumi KL hari tu. Memang orang kata sebulan tapi biasanya bagi aku, Syawal sebenar hanyalah apabila aku berada di kampung. Itu puncak kenikmatan sebenar bagi aku kerana di sanalah saja aku menghayati apa erti dan definisi Hari Raya itu. Memang orang KL ada je buat rumah terbuka apa bagai tapi tetap tak dapat melawan keasyikan menyambutnya di kampung. Aku tak dapat bayangkan mereka yang tidak pulang ke kampung untuk beraya. 


Ah, memang susah untuk aku terangkan. Baik nikmat itu atau definisi Hari Raya itu sendiri. Terpulang kepada tafsiran masing-masing. Sama seperti bagaimana kita mentafsir sejarah Bukit Kepong. Ada menjulang Mat Indera dan ada menentang. Itu berbalik kepada tafsiran penulis sejarah itu. Masuk cerita Bukit Kepong la pulak. Nak cerita Bukit Kepong lebih-lebih, tanyalah TV3. Mereka memang arif bak ilmuwan menghunus pedang. Fullstop.

Untuk Hari Raya 1432H kali ni, boleh dikatakan antara raya paling sakan aku pernah sambut. Sakan tahu, sakan? Bukan pasaraya sakan tu. Sakan ni kira memang havoc la. Belum sempat lemang rumah sebelum nak hadam, dah sumbat lemang rumah seterusnya pulak. Itu yang membawa kepada senak perut bila kita tengah duduk. Tapi nafsu nak makan tu sentiasa ada je. Itu bukan pelik sebenarnya kerana Melayu secara tradisinya tidak boleh kenyang dengan hanya makan kuih raya atau lemang. Kita mesti makan nasi baru rasa kenyang. So, jika bertandang ke open house raya, jangan makan nasi.


Sebagai persediaan menyambut raya kali ni memang antara paling down to earth atau paling simple sepanjang aku hidup. Aku hanya beli sepasang seluar dan sebiji songkok buat menyambut raya. Sebelum ni, memang nafsu nak membeli tinggi sebab mak ayah tolong belikan. Sekarang dah ada duit sendiri, macam malas pula nak membeli untuk diri sendiri. Duit raya pun dah tak dapat tahun ni, sebaliknya kena menghulur pulak. 

Bercakap pasal duit raya ni, memang seronok rasanya dapat bagi anak buah dan sepupu duit raya. Rasa membuak-buak nak bagi. Tak tahu sebab apa. Nak kata 'konon macho la tu bagi duit raya kat budak-budak' tak jugak. Lebih kepada rasa seronok dapat menggembirakan orang. Kita pernah lalui zaman menerima duit raya tu dulu, maka tiba masanya kita memberi 'perasaan' itu kembali. Jadi, hulurkanlah duit raya kepada kanak-kanak walaupun sedikit kerana itu sudah cukup memberi mereka makna Raya dalam definisi mereka tersendiri.


Berbalik kepada cerita beraya ke rumah orang tadi, mulai dari hari raya pertama lagi dah berjalan ke rumah sanak saudara. Baik di Parit ataupun nun ke Simpang Pulai sana. Sampaikan ada saudara yang tak pernah-pernah tengok dan kenal selama ni. Ni semua sebab keluarga ayah yang beriya nak jumpa balik saudara-saudara lama. Maka, selama 4 hari aku menyambut raya tak lekat di rumah. Keluor beraya je kojenye. Itu yang dikatakan nikmat Aidilfitri. Sekian, selamat hari raya Aidilfitri.


P/S - Nak beraya kat Kampar je belum berani. :P

Monday, September 05, 2011

65th Mercury


"Mengapa anda tidak membetulkan gigi anda setelah mengecap pelbagai nikmat kekayaan?"


"Saya bimbang jika saya membetulkan gigi saya, anda mungkin tidak akan melihat dan mendengar Freddie Mercury sebagaimana sekarang...."

Waktu Perdanaku

Dulu sekitar tahun 90-an, pada waktu malam atau orang panggil waktu perdana, aku habiskan dengan bersantai bersama keluarga di depan tv menonton cerita-cerita menarik.

Kini menjelang 2000-an, aku mula menghabiskan waktu perdanaku di depan komputer untuk mendapatkan pelbagai maklumat dan hiburan dengan kadar yang lebih pantas.

Zaman kian berubah. Tak kira macamana kita elak sekalipun, kita tetap akan menghadapinya. Juga salah satu sebab aku kurang menonton tv adalah kerana buletin utama TV3 sudah semakin jauh menyimpang dari matlamat asal sebagai wadah menyampaikan berita benar kepada rakyat.

Saturday, September 03, 2011

Pahit


Mat Sabu hanya menyatakan kebenaran. Dan benarlah kebenaran itu memang pahit (bagi sesetengah orang).

Saturday, August 27, 2011

Selamat Hari Raya

Sempena Aidilfitri yang bakal tiba ini, saya memohon ampun dan maaf sepuluh jari sekiranya selama saya berblogging ini pernah menyinggung perasaan dan menyakiti hati anda dan kerajaan yang membaca. Pandulah pulang ke kampung dengan berhati-hati dan ingatlah orang yang tersayang. Kalau pasang lagu raya, selang-selikanlah dengan lagu tanggal 31 Ogos atau yang seumpama dengannya. 



Kredit kepada tuan punya gambar


Sambil-sambil buat bahulu dengan lemang tu, jangan lupa beri sokongan kepada Arsenal demi menumpaskan syaitan durjana di muka bumi ini. Sekian...

Thursday, August 25, 2011

Ramadan Yang Pendek


Aku merasakan Ramadan tahun ni adalah Ramadan yang paling pendek pernah aku alami. Maklumlah, siang bekerja dari pagi sampai maghrib. Balik rumah je, dah prepare untuk berbuka. Terawih pun selalu buat kat rumah je sebab penat sangat.  Nak-nak dalam minggu ni asyik berkampung kat Putrajaya je buat tender evaluation. 

Kalau zaman student dulu, kelas biasanya belah pagi je. Petang-petang boleh lepak dengan kawan-kawan sambil borak-borak kosong. Bila jam dah nak dekat pukul 6, mulalah start motor ronda-ronda Shah Alam cari bazar yang best nak buat berbuka. Kadang-kadang beli dekat dengan rumah seksyen 18 tu je. Nak best sikit, pergi ronda bazar seksyen 7 tu. Budak-budak Uitm jelah bersepah kat situ. Kalau tak kuat iman, memang takde pahala puasa hari tu. Nak lagi power, pergi turun bazar stadium. Kat sini, banyak choice. Godaan pun kuat jugak. Bukan godaan makanan je. Yang lain pun ada. 

Pastu balik rumah, buat bising-bising kat dapur. Masing-masing tunjuk lauk berbuka sapa lagi best. Ada yang beli ayam percik, beli skewer kebab kambing, beli air blue ramadan, beli roti john panjang 8 inci dan macam-macam lagilah. Memang seronok gila masa tu. Tak rasa lapar. Rasa semangat menyakat kawan-kawan lagi adelah. Lepas tu, bunyi jer azan, semua berebut kurma yang biasanya di letak di tengah-tengah ruang tamu. Tu pun kurma orang sedekah. Manalah budak-budak ni rajin nak beli kurma sedekah kat kawan-kawan. Kahkahkah. Dah masuk azan tu, suasana hingar-bingar tu dah jadi senyap. Sebab masing-masing dah penuh makanan kat mulut. Selesai maghrib, kadang-kadang pegi terawih sama-sama kat masjid yang dekat ya amat.

Tapi itu cerita setahun, dua tahun atau tiga tahun yang lepasla. Tahun ni aku berbuka dengan keluarga je. Bukan tak enjoy berbuka dengan keluarga. Tapi rasa macam kenikmatan sewaktu berbuka tu sedikit sebanyak dah hilang. Yelah, dulu kita pergi redah bazar cari makanan yang kita nak. Siap berpeluh, berpanas dan kadang-kadang berhujan semata-mata nak beli juadah berbuka. Sekarang senang, siap ada orang tolong belikan dah. Kadang-kadang, aku top-up je mana-mana kuih yang tak cukup. Tu pun jalan kat bazar sorang-sorang. 

Aish..rindu sungguh zaman student dulu. Walaubagaimanapun, aku bersyukur dengan apa yang aku lalui sekarang. Melihat kembali ke belakang bukanlah bermakna kita bencikan masa kini kita, sebaliknya ia hanya sekadar satu memori dan juga boleh menjadi pengajaran buat kita menghadapi masa depan.


Ni gambar raya. Gambar ramadan sudah hilang


Semakin kita menginjak dewasa, semakin kurang keseronokan itu semua....

Sunday, August 21, 2011

Kuasa Iklan


Masa aku kecik-kecik dulu, iklan memang memberi pengaruh besar kepada kami sebagai kanak-kanak. Lalu, tidak hairanlah iklan Tora mahupun Ding Dang yang menggunakan suara Mat Sentul dulu boleh memberi impak besar kepada budak-budak kecik macam aku. Biarpun tidaklah secanggih mana grafiknya dan tidak melibatkan kos besar dari segi penerbitannya, ia tetap meninggalkan kesan.

Masa tu jugak, kita boleh menilai mana iklan yang best dan dahsyat sinematografinya satu persatu di depan tv. Sebenarnya, ramai pengusaha tidak mengambil kira atau kurang mementingkan aspek pengiklanan. Mereka tidak menyedari betapa pentingnya kuasa iklan samada di televisyen, radio ataupun suratkhabar. Ia bukan sekadar salah satu aspek penjanaan minat orang ramai terhadap sesuatu produk bahkan ia lebih daripada itu.

Apabila sesuatu syarikat mengeluarkan iklan di tv misalnya, ia menunjukkan kepada umum bahawa ia adalah syarikat yang besar dan hebat meskipun kita baru pertama kali mendengar nama produknya. Itu persepsi pertama masyarakat terhadap produk tersebut. You know, first impression is very important. Maka, secara tidak langsungnya, telah terpahat di dalam kepala pengguna bahawa syarikat tersebut mampu beriklan di televisyen, maka sudah tentu produknya bagus. Jika tidak, masakan dia berani mengeluarkan modal besar untuk mengiklan di televisyen. 

Kesimpulannya, aku tertarik membeli Lifebuoy bervitamin C yang mampu elak kulit kering tu selepas menonton iklan di televisyen. Amacam? Sekian, terima kasih.



Stubborn Old Men



 No idea?


 Sesungguhnya Arsenal pada detik ini berdepan dengan masalah kesukaran yang luar biasa kerana Wenger masih degil dan tidak mahu 'spend the tuuttt money'. Tidak hairanlah jika peminat yang datang ke Emirates semalam sepakat mengeboo Wenger usai tamat perlawanan di mana Liverpool menang 2-0.

Harapan aku untuk Raya kali ni, moga Wenger membuka pintu hatinya demi masa depan Arsenal yang lebih cemerlang.


Bila anda sudah mula diejek orang yang pernah menyokong anda dahulu, pastinya kaki anda tidak akan kuat lagi berdiri.


Kasihan beliau basah dalam hujan

Wednesday, August 17, 2011

Terima Kasih Fabregas


Wajah ceria bercampur sugul dapat aku rasakan


Seharusnya keputusan Fabregas ke Barcelona itu haruslah dihormati oleh segenap fans Arsenal sepertimana mereka menghormati keputusan Thierry Henry ke Barcelona dulu. Fabregas memang layak kembali ke tempat asalnya kerana memang itulah yang dicita-citakannya selama ini. Apalah guna menyimpan player yang meronta-ronta mahu pulang ke kampung halamannya di kala hatinya juga sudah tiada di Arsenal.

Aku percaya yang Fabregas berat untuk meninggalkan Arsenal kerana Arsene Wengerlah yang menjadikan beliau pemain sebagaimana yang kita lihat hari ini. Aku tidak pasti jika bukan Wenger yang menggilap bakatnya, apakah dia mampu untuk berdiri sebaris dengan barisan bintang Sepanyol yang lain menjulang Piala Dunia tahun 2010 lalu. Arsenal adalah tempat selayaknya untuk beliau mengembangkan bakat dan mengeluarkan potensi yang ada jika dibandingkan dengan kelab-kelab lain yang mungkin tidak akan memberi peluang serupa sebegitu.

Tidak haruslah seseorang yang bergelar peminat setia Arsenal mencaci Fabregas hanya kerana beliau meninggalkan Arsenal untuk ke Barcelona. Lupakah kita bahawa jasa-jasa beliaulah yang telah meletakkan Arsenal di puncak kemenangan? Meskipun beliau gagal menghadiahkan kelab sebarang piala tapi itu bukan alasan untuk terus mencaci beliau. Aku masih ingat bagaimana ketika di awal kemunculannya, dia boleh sound Alan Shearer dalam perlawanan menentang Newcastle sekitar tahun 2006 rasanya. Alan Shearer ketika itu berjalan lambat-lambat ke dalam kawasan Newcastle setelah mereka menjaringkan gol. Fabregas lantas menolak dia supaya cepat. 

Insiden meludah Ballack juga satu kenangan nakal yang masih aku ingat. Antara kenangan lain adalah apabila menjaringkan gol di San Siro menentang AC Milan dan cara beliau meraikan gol itu bersama Wenger adalah sesuatu yang meremangkan bulu roma. Aku juga masih ingat bagaimana dia muncul sebagai cameo penyelamat ketika menentang Aston Villa menjaringkan 2 gol dalam tempoh belasan minit lalu dikeluarkan semula kerana kecederaan. Banyak lagi kenangan Fabregas bersama Arsenal yang aku ingati namun tak mampu diungkapkan. 

Jadi, aku ucapkan selamat berjaya kepada Fabregas di Barcelona meskipun dia tak faham apa yang aku tulis ni. Segala sumbangan dan pengorbanan anda kepada Arsenal selama ini amatlah dihargai. Semoga anda berjaya menjadi pemain yang lebih baik Francesc Fabregas Soler!!


Thanks for 8 wonderful years and goodbye mate!!

Ogos Hebat


Gua percaya yang bulan Ogos banyak melahirkan orang-orang yang hebat.

Tak percaya lu orang gugel....

Goku dan Awan Guling?

Son Goku terkenal dengan pengangkutannya di zaman awalnya iaitu sebuah awan yang dipanggil awan guling. Dengan awan guling inilah Son Goku bergerak ke mana-mana sebelum dia mempunyai kuasa pergerakan sejenak. Jadi, adakah benar awan guling ni wujud? Mari kita lihat.


Bukti Pertama



Bukti Kedua




Dan ini? Goku bersama tok gurunya?




Wednesday, August 10, 2011

Perkara Membatalkan Puasa

"Lu tau tak yang sebenarnya bulan pose ni, kita boleh hisap rokok?"

"Ah,mazhab mana lu blajar ni?Mazhab Ayah pin?"

"Betul la..Bole bai. Hasil pemerhatian gua, hisap rokok takde membatalkan puasa pun..."

"Lu nie..dah sah-sah lu boleh register masuk Maharaja Lawak musim depan.."

"Ah lu, yang lu hari-hari sedut asap bas tu, takde pulak lu kata membatalkan puasa. Kan sama tu...."

"........"

Kaum Yang Gagah

Saya melihat kaum wanita khususnya kaum ibu adalah satu susuk figura yang kental dan gagah.

Masakan tidak, sebagai contoh, kaum ibu boleh bangun memanaskan dan menyiapkan lauk untuk bersahur sekitar 4.30 pagi untuk kaum bapa dan anak-anaknya. Selepas bersahur, mereka perlu mengemaskan meja dan pinggan-pinggan mangkuk yang berlambak di sinki. Sebaik saja selesai, tugas menggosok baju dan menyiapkan pakaian suami dan anak-anak pula digalas. Itu belum campur yang masih ada anak kecil. Lagilah berat tanggungjawabnya.

Jadi, mari bayangkan berapa lama mereka berdiri menyiapkan itu ini untuk kelangsungan sebuah kehidupan berkeluarga. Maka, haruslah kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka ini yang sebenarnya kita tak berapa sedar akan peri pentingnya mereka dalam hidup kita.

Thursday, August 04, 2011

Berbuka Pada Altitud 16,000 Kaki


Buat kali pertamanya, pada Ramadan yang ketiga ini aku berpeluang berbuka pada ketinggian 16,000 kaki ditemani dengan pemandangan awan-awan nano biru. Syukur kepada Allah yang mengurniakan kesempatan dan rezeki sebegini. Walaupun hanya menjamah kacang tanah dan air oren, aku bersyukur kerana sekurang-kurangnya mampu juga berbuka tidak seperti saudara kita di sana nun.



Suatu memori Ramadan yang baru dan indah

Sunday, July 31, 2011

Ramadhan Kembali


Saya selaku blogger yang diamanahkan oleh pemimpin negara mengucapkan Selamat Menyambut 1 Ramadhan Al-Mubarak dan selamat berpuasa kepada umat Islam pada esok hari. Jangan lupa kalau makan nasi, pakai kicap masin....Sekian,assalamualaikum.

Monday, July 25, 2011

Kerja Lagi

Salam...

Hari ni genap 4 hari aku bekerja di konsultan ni. Sebelum pergi lebih lanjut, aku nak cerita yang company ni konsultan untuk water treatment, air-cond, fire fighting dan struktur bangunan. Untuk bahagian mekanikal, paham-paham sajalah bahagian mana kan. Hari Jumaat lepas, aku ditugaskan untuk menghadiri meeting antara konsultan-konsultan di sebuah firma arkitek di Shah Alam. Sesat jugak aku mencari di mana Jalan Bola Tampar sampai terlewat setengah jam dari waktu sebenar namun tak mengapa, sebab masih ada lagi yang lain lambat. 

Jadi, sepanjang meeting tu aku dok tercongok saja sebab tak berapa paham apa itu DO Submission, SSP dan macam-macam terma yang depa pakai. Cuma yang aku paham, projek yang aku bakal terlibat ni terletak di Kuala Lipis tempat pipiyapong membesarkan perut. Tambah syahdu, dalam perjalanan pulang, tiub motor bocor selepas aku keluar federal highway. Nasib baik dah hampir dengan rumah, maka aku gagahkan jugalah tunggang sampai ke kedai motor berdekatan rumah.

Hari ni pulak, kerja aku menjadi banyak sikit daripada sebelumnya apabila aku terlibat dalam mengira berkaitan aircond dan juga kiraan saiz paip dalam konsep yang dipanggil 'depressed sewerage'. Sebenarnya, benda-benda ni sulit dan rahsia company tapi siapa sangatlah yang baca blog aku ni kan. Kahkahkah. Jadi, setakat itulah cerita aku kali ni. Ni nak kena buat pasport pulak sebab nanti nak ke China dan Korea. Syukur kerana dengan rezeki ni mampu membawa aku berjalan ke negara orang. 

Thursday, July 21, 2011

Kerja


Hari ini 20 Julai 2011, aku memulakan langkah hidupku sebagai Jr.Mechanical Engineer di sebuah konsultan. Hari ni mula-mula aku diperkenalkan kepada semua orang di ofis. Bila akak bahagian admin memperkenalkan aku sebagai "Ni mechanical engineer kita yang baru..." kepada setiap orang, aku mula rasa bergetar. Bergetar kerana bebanan dan tanggungjawab yang akan aku pikul dengan jawatan tersebut.

Selepas itu, meeting pertama bos dengan engineer-engineer yang mana aku hanya mendengar dengan penuh khusyuk sambil mereka membincangkan pasal kontrak, tender, site dan macam-macam lagi yang buat aku pening. Selepas itu, aku pun mendapat meja sendiri dengan dilengkapi komputer dan interkom. Selain itu, dapat set alatulis percuma. Setelah setup komputer selesai, aku berjumpa dengan Head of Mechanical Department, Encik din namanya untuk bertanyakan apa kerja yang boleh aku lakukan pada hari ni.

Lantas, dia membawa aku ke satu sudut di mana terletak satu buku Panduan Pengauditan mengenai treatment plant atau loji rawatan air. Dalam buku ni, lengkap dengan proses, layout plan, komponen-komponen dan macam-macam lagi. Jadi, satu hari aku habiskan dengan mengkaji buku tersebut.

Risau jugak aku memikirkan nasib aku di sini. Entah apalah yang ada di depan aku nanti.

Monday, July 18, 2011

Jersi Kebangsaan

Copyright reserved


Sekarang, merata-rata pergi pun orang pakai jersi Malaysia. Tak kiralah di shopping kompleks ke, pasar malam ke, kedai buku ke, masjid ke, atau mana-manalah, semuanya samada menyarung jersi hitam kuning ataupun biru. Tambah-tambah lagi, fenomena ni terjadi selepas kita menang Piala Suzuki dulu. 

Nak dapat jersi Malaysia bukan susah dah. Semuanya mudah dan senang didapati. Kat butik ade, kat uptown ada, kat mall ade, kat tepi jalan pun ade tu beb. Tak kisahla ori atau tak, semuanya boleh didapati dengan pelbagai harga. 

Kalau dulu, nak cari jersi Malaysia pun payah, apatah lagilah nak jumpa orang pakai. Ala, yang zaman Adidas tu la. Kebanyakannya dijual original saja, itupun tak banyak sebab pengedar tak berani ambik banyak-banyak takut tak laku. Bak kata orang putih, sape yang pakai jersi Malaysia zaman 90an dan 2000an ni memang 'rare' la pasal scene dia orang tak into sangat.

Jadi, aku respect pada orang-orang yang mempunyai jersi-jersi Malaysia pada zaman dahulukala iaitu di zaman gelap bolasepak negara!

Friday, July 15, 2011

Kita dan Dunia Pelik Kita

Pernah ke kita terfikir yang dunia social networking kita ni pelik sebenarnya?




- Kita boleh sesuka hati add orang yang entah sapa-sapa duduk beribu-ribu batu jauhnya padahal dalam kawasan kejiranan kita pun kita jarang bertegur sapa. Pelik...

- Kita boleh selamba poke orang yang kita tak berapa kenal kat luar tapi rapat kat dalam Facebook.

- Kita boleh rilek je sembang sampai berpuluh-puluh komen kat orang yang baru kita add, macam dah kenal lama.

- Kita boleh memiliki beratus-ratus friend di dalam FB yang mana besar kemungkinan kita tak pernah berjumpa muka atau memang takkan jumpa punye walhal dalam dunia realiti berapa helai sangat je kawan kita.

- Kita boleh selamba tulis status 'Aku benci laki tu...' dekat wall FB dan kemudian semua kawan-kawan kita pun nak ambil tahu dan tanya macam-macam di ruangan komen.

- Kita tulis status marah atau gembira di wall kita dan akan ada macam-macam orang komen yang kemudiannya dah takde kaitan sangat dengan status tu sebab dah sembang benda lain. Orang yang menulis status marah tu contohnya pun dah tak jadi nak marah.

- Kita boleh selamba share gambar-gambar yang kita ambil kat Facebook pada kawan-kawan kita yang kita 'tak berapa kenal sangat' tu. Padahal, kalau diorang datang nak mintak album gambar kat rumah atau kat phone kita, sure kita tak bagi punya.


Jadi, bagaimana agaknya jika someone datang approach kita kat dalam LRT misalnya dan tiba-tiba cakap "Saya nak berkawan dengan awak boleh?". Sure yang perempuan akan malu-malu dan blah dari situ pelan-pelan sambil bisik dalam hati "Pehal mamat gila nih...". Tapi bila ada orang add kita dalam FB, senang-senang je kita boleh approve dan sembang macam dah kenal lama kan? Tulah..pelik sebenarnya dunia social networking nih kan?

This video tells everything...

 
Google Analytics Alternative