Tuesday, March 30, 2010

Kesihatan Itu Satu Nikmat

Agak lama tidak menulis bukan bermaksud aku kecewa dan bungkam dengan dunia ini. Sebaliknya, aku telah dipilih untuk 'menghadiri' ujianNya. Ceritanya bermula pagi Jumaat 19 Mac lalu. Aku bangun dalam keadaan menggigil. Biasanya, walau aku tidak berselimut sekalipun, aku tidak akan menggigil kuat sebegitu. Lalu, aku pun mandi dan bersiap untuk ke tempat praktikal menyangkakan aku akan sihat pada hari itu.

Di kilang, aku cuba berlagak biasa dan tenang tanpa ada apa-apa berlaku. Namun, ketenangan yang cuba aku pamerkan tidak kesampaian apabila kerap kali aku ke belakang atau ke tandas untuk berehat sambil mencangkung. Kerja aku memang memaksa aku berdiri saja sepanjang hari, jadi, jika kepala sudah mula berpinar aku berehat sambil mencuri tulang di belakang kilang. Entah berapa kali aku mengular, aku pun tak tahu. Akibat kepeningan yang amat sangat, aku niat dalam hati yang aku nak kerja separuh hari je Jumaat tu. Lalu, masa rehat tengahari, aku pun balik membonceng motosikal kawanku. Aku kasihan dengan dia terpaksa jadi penghantar aku balik pula hari itu.

Di rumah selepas sembahyang Jumaat(yang aku gagahkan juga pergi), aku lebih banyak tidur. Seperti ada batu dalam kepala. Esoknya, barulah kawan aku menghantar ke panel klinik di dalam kampus. Kata doktor, tak cukup rehat. Mungkin juga sebab kerja di squaring section ni memang banyak berdiri je. Mana ada masa nak layan facebook. Err..cerita lain.

Masuk hari ahad, semua pil dan ubat yang doktor di klinik kampus bagi tak lut. Ah, tak boleh jadi ni. Mesti ada sesuatu ni. Aku pun menghantar mesej kepada kedua ibubapa aku supaya dapat menghantar aku ke klinik lain pula. Manalah tahu, doktor lain, lain penyakitnya yang ada. Jadi, seperti biasa, aku cuma dapat ubat demam biasa saja dari sebuah klinik di Ampang Jaya. Juga MC 2 hari untuk Isnin dan Selasa. 

Malam Selasa itu, demam aku masih tak kebah lagi. Aku lebih banyak tidur dan berbaring di rumah. Kalau nak berdiri pun tak boleh lama. Kepala pening lain macam. Tanpa berlengah lagi, sekali lagi aku dibawa ayahku ke klinik di Ampang Jaya tu. Lepas ambil darah semua, doktor kata tunggu call. Dalam area pukul 1 pagi, doktor menelefon ayah supaya membawa aku ke hospital pagi itu juga. Platlet aku berkurang banyak. Sekitar 60 saja. Bagi manusia normal, platlet darah adalah sekitar 150 ke atas. Maka, di hospital UKM, aku disahkan menghidap denggi. Bernasib baik aku kerana hanyalah denggi biasa. Bukannya denggi berdarah. 

Jadi, aku menjadi penghuni wad 6H di HUKM selama 4 hari dari 24 Mac hingga 27 Mac. Kali terakhir aku masuk wad ialah ketika aku sakit masa bayi. Jadi, ni antara pengalaman pahit untuk aku. Tapi, alhamdulillah, sepanjang di wad, nurse-nurse dan doktor-doktor sangat peramah. Di sana juga, kebanyakan pesakit adalah warga emas. Macam-macam ragam yang aku lihat sepanjang aku terlantar di sana. Apa yang penting sekarang adalah kesihatan lebih bernilai dari segala-galanya. Tak kira betapa kaya sekalipun, kesihatan adalah paling utama. Datangnya kesihatan yang baik akan membolehkan kita melakukan perkara-perkara yang diingini. Jadi hargailah kesihatan kita semua sementara masih berpeluang. Pesanan ini dibawakan oleh Kementerian Kesihatan. Kehkehkeh...

No comments:

 
Google Analytics Alternative