Saturday, May 12, 2012

Jurnal Kembara 8: Pulau Lagenda


Jurnal kembara kali ni meneruskan perjalanan jauh nun ke utara tanah air iaitu di Pulau Langkawi. Yes, sekian lama aku mengimpikan peluang menjejakkan kaki ke bumi lagenda Mahsuri ini, akhirnya peluang itu tiba dengan rezeki limpahan dari-Nya mengikuti rombongan syarikat. Perjalanan 3 hari 4 malam ini sesungguhnya amat berbaloi. Tanpa membuang masa lagi, mari kita berkembara bersama.

Perjalanan dimulakan dari Kuala Lumpur kira-kira pada pukul 10 malam dengan menaiki bas bersama ahli-ahli rombongan yang lain. Perjalanan ini sebenarnya diketuai oleh ejen yang dilantik oleh syarikat aku. Perjalanan ke Kuala Perlis mengambil masa lebih kurang 8 jam. Kami sampai ke jeti Kuala Perlis lebih kurang pada pukul 9 pagi kerana tayar bas pancit ketika berhenti rehat di Gurun, Kedah. Syukur kerana ia terjadi ketika bas sedang berhenti.

Sesampainya di Kuala Perlis, kami terpaksa menunggu lebih kurang 45 minit untuk menaiki feri ke Langkawi. Keadaan di jeti tersebut memang agak sesak kerana sebahagian kawasan di situ ditutup kerana pembinaan dijalankan. Dipendekkan cerita, kami sampai di jeti Kuah, Langkawi setelah sejam lebih menaiki feri. Keadaan di dalam feri bukan main sejuk lagi kerana aku berada betul-betul di hadapan air-cond.


Kuat sungguh bau diesel feri ni


Di Kuah, kami menaiki bas untuk ke Hotel Lanai di Pantai Tengah. Lebih kurang 20 minit perjalanan dari jeti tersebut, kami pun tiba di resort tiga bintang itu. Sesampai di resort itu, memang terasa penat sekali kerana melalui perjalanan melebihi 12 jam sebelumnya. Namun, sebelum badan menghempas katil, kami menikmati dulu makan tengahari yang disediakan pihak hotel khas buat rombongan kami.

Seterusnya, apalagi, aktiviti bersantai di dalam biliklah. Kerana kepenatan aku hampir-hampir saja terlepas sukaneka pada pukul 4.30 petang di pantai. Aku rasa sudah lama aku tidak bersukaneka dan ini satu pengalaman yang amat menarik ditambah pula dapat bersukaneka bersama bos-bos dan staf lain. Selesai sukaneka, aku mengambil masa untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Tengah ni. 


 Pemandangan dari Pantai Tengah. Macam Ombak Rindu pulak


Sebelah malamnya pula, kami mengadakan 'annual dinner' dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Malam itu memang tidur dengan nyenyak kerana kepenatan sehari suntuk. Dan esok aku akan memulakan pengembaraan yang lebih menarik.

Pagi Ahad dimulakan dengan lawatan ke kedai menjual dan membuat gamat yang dikenali dengan nama Saujana Enterprise. Apa yang menariknya, sebelum kami membeli gamat di situ, kami akan diberi penerangan terlebih dahulu dari tuan penjual (aku lupa nama dia). Borong sakan jugak aku di sini kerana ada orang pesan dari Kuala Lumpur. Kemudian, perjalanan ke kedai batik dari Jawa menjadi persinggahan kedua. Banyak betul kain batik makcik-makcik ni borong!


 Kedai gamat yang popular di Langkawi


Seterusnya, kami ke Kota Mahsuri bagi melihat makam Mahsuri dan tempat peninggalan beliau. Aku suka ke tempat sebegini kerana ia menjadi satu bentuk panduan bagaimana corak kehidupan orang dahulu yang memberi kesan ke atas pulau ini. Dikatakan Langkawi maju hari ini kerana sumpah 7 keturunan Mahsuri telah tamat pun ada benarnya walaupun agak tak logik. Terpulang untuk kita percaya atau tidak kerana jika tidak ada bukti purba, mana mungkin cerita begini akan keluar.


 Kota Mahsuri penuh lagenda


Kilim Geoforest Park menjadi destinasi kami seterusnya. Bagi aku, tempat inilah paling menarik sepanjang berada di Langkawi ni. Kami bermula dengan menaiki bot ke gua kelawar. Ini kali pertama aku merasai pengalaman memasuki gua yang penuh dengan kelawar. Di sini, kami tidak boleh bising kerana ia akan menganggu habitat mereka. Kawasan ini dipenuhi dengan hutan paya bakau dan terdapat spesis ketam unik di sini di mana ia mempunyai satu sepit. 


 Jeti Kilim Geoforest Park


 Hutan paya bakau



Perjalanan diteruskan ke kawasan yang menjadi tumpuan helang makan. Masyaallah, banyak sungguh helang berterbangan di kawasan ini mencari makan di dalam air. Walaupun enjin bot berbunyi kuat, namun helang-helang ini langsung tidak mempedulikan kehadiran kami dan buat macam biasa saja. Bagi mengisi perut yang lapar setelah melihat helang mengisi perut, kami ke Restoran Hole In The Wall yang berdekatan di situ. Menariknya, restoran ini terapung di atas air dan semua makanan disediakan segar. Persekitaran yang diapit oleh bukit-bukit berbatu di sekelilingnya menambahkan suasana alam malar hijau. 


Komuniti helang sibuk mencari makan tanpa mempedulikan kami


 Muka Red Indian di batuan bukit


Kami menamatkan kunjungan di Kilim Geoforest Park ini dengan melihat batuan yang telah hidup beribu tahun di sini dan ada sesetengahnya menyerupai muka 'red indian'. Indahnya ciptaan Allah. Selesai sudah kembara melihat alam ciptaanNya, kami terus ke pekan Baron. Tidak lengkap rasanya jika kunjungan ke Langkawi tidak diselitkan dengan membeli coklat dan pinggan mangkuk. Banyak betul aku borong coklat-coklat di sini, maklumlah semuanya murah-murah belaka. Ah, ini semua nafsu!


 Syurga coklat!


Lagi satu, kedai yang terkenal di sini adalah Haji Ismail Group yang cawangannya terletak merata-rata. Semuanya bebas cukai dan tak mustahillah kita akan rambang mata melihat set pinggan mangkuk dan coklat-coklat di sini. Nasihat aku, sediakanlah duit yang banyak sikit sebab bukan senang nak beli barang murah kat sini kalau jarang datang. 


 Empayar Haji Ismail Group bersepah di Langkawi


Kunjungan kami ditamatkan dengan melawati Langkawi Underwater World. Sepatutnya kami menaiki kereta kabel tetapi ia ditutup pulak. Apapun, di sini pun tidak kurang menarik juga cuma kami tidak dapat lama di sini atas faktor masa. Semuanya dipadatkan untuk satu hari ini dan kami harus menggunakan masa sebaik-baiknya. Jadi, aktiviti malam?


 Penguin comel di Underwater World



Underwater view


Kami ke Pantai Chenang kerana ia sama seperti pekan uptown di ibukota. Walaubagaimanapun, tidak banyak pilihan di sini kerana setiap barang cenderahati lebih kurang sama je di setiap kedai. Dalam tidak banyak pilihan itu pun, sempat juga aku sambar beberapa helai t-shirt bagi dijadikan hadiah untuk orang di rumah. Malam itu, sekali lagi tidur dengan nyenyak kerana kepenatan. Walaupun penat tapi memang seronok gila. 

Suasana 'uptown' di pantai Chenang


Keesokannya, kami bertolak pulang ke jeti Kuala Perlis. Dan sebelum pulang, kami singgah ke Padang Besar buat menikmati hiburan terakhir dan mengosongkan lagi dompet. Di sini, aku tidak berpeluang untuk membeli belah lama kerana keadaannya yang agak panas. Ia sekaligus mematikan selera aku. Apapun, aku sempat untuk menyambar sebuah beg kamera. Kami bertolak dari Padang Besar pada kira-kira pukul 5 petang. Sampai di KL pula lebih kurang 5 pagi Hari Pekerja. Lambat tu bukan apa. Ia disebabkan sebuah bas terbalik dan melintang di tengah lebuhraya. Sungguh sadis aku melihat keadaan mangsa-mangsa bas terbabit kerana ketika kami sampai, ia baru terjadi dan kebanyakkan mangsa sedang diselamatkan oleh orang sekeliling. Alhamdulillah kami semua selamat.


Pemandangan indah sawah padi Perlis


Banyak lagi tempat yang tak sempat diteroka lagi di Pulau Langkawi ni sebenarnya. Contohnya, Pulau Dayang Bunting, Gunung Mat Chincang dan banyak lagi. Kalau 3 hari pun belum tentu dapat rasa semua. Tapi, aku sangat menyarankan kepada korang kalau nak ke Langkawi, pastikan ke Kilim Geoforest Park yang sungguh indah. Insyaallah, jika ada peluang, akan aku kembali lagi di sini untuk menikmati keindahan alam yang diciptakanNya untuk kita teroka dan berfikir. Sekian untuk kali ini.


P/S - All pictures are copyright reserved. Any use without permission will consider as copyright infringement. Thank you.

No comments:

 
Google Analytics Alternative