Thursday, October 29, 2015

Pemanduan Mencerminkan Keperibadian.


Melewati lebuhraya MRR2 ketika pulang daripada pejabat, aku terpandang sebuah iklan nasihat daripada Astro Pencetus Ummah dengan mottonya 'Pemanduan Mencerminkan Keperibadian'. Hal ini memang tersangat benar kerana di jalanraya Malaysia inilah kita dapat melihat sisi lain seseorang itu samada buruk atau baik.

Aku juga tak terkecuali. Bukan aku meninggi diri tetapi apabila di jalanraya, aku seringkali mengamalkan sikap bertimbang rasa, bertolak ansur dan memberi peluang kepada orang lain. Cuma, bab membawa kereta dengan laju, itu hal lain. Akan tetapi, ada juga yang tidak menyenangi perbuatan yang sudah sebati dengan diri aku ni. Lebih-lebih lagi apabila orang tersebut (tidak perlulah aku maklumkan siapa) ada di sebelah kerusi pemandu yakni penumpang hadapan. Aku menjadi tidak keruan.

"Kenapa bagi kereta sebelah masuk line?"

"Kenapa tak hon kereta yang mencelah tu tadi?"

"Hey, kereta ni tak bagi signal. Honlah dia!!"

"Kereta depan ni biadap. Kejar dia, nak tengok macamana rupa orangnya.."

Inilah ayat-ayat yang sering aku terima ketika aku memandu. Ia sekaligus 'merosakkan' cara pemanduan bertolak ansur yang aku amalkan ketika aku memandu berseorangan atau tanpa orang-orang yang suka mengkritik dan memberi arahan di jalanan. Dalam usia sebegini, tidak perlu rasanya ada orang mengajar kau bagaimana cara memandu yang betul hatta sehingga kau hendak masuk simpang pun, akan ada terdengar,

"Bagi signal masuk kiri, nanti kereta belakang hentam..".

Aku rasa terkejut. Aku sudah memandu hampir 10 tahun dan aku mendapati cara pengajaran sebegini hanya sesuai dimaklumkan ketika engkau belum pun memperoleh lesen atau dalam proses belajar memandu dengan sekolah memandu. Aku bukan tidak menghargai pesanan itu namun, apabila setiap kali diucapkan, ia akan menyakitkan hati engkau dan seterusnya boleh mengubah emosi engkau daripada memandu secara berhemah menjadi secara beremosi dan tidak siuman. Lebih-lebih lagi jika, ayat-ayat contoh yang aku berikan seperti di atas itu. Ini semua boleh mengubah emosi dan perasaan engkau sekaligus membawa kepada reaksi yang tidak bagus di kemudiannya.

Dan, apabila emosi menguasai diri, tidak dinafikan, aku juga akan turut bereaksi atas apa yang terlontar dan tersebut. Jalanraya bukanlah tempat bermain dan berseronok. Kesannya amat dahsyat apabila engkau tidak lagi memandu mengikut kata hati, akal dan fikiran yang sebati dengan engkau, tambahan jika engkau memandu dengan aura positif dan berhemat cermat.

Seperti aku katakan, bukan manusia tidak boleh menerima kritikan, tetapi jika ia menjurus kepada arah yang tidak sekelumit pun menampakkan tanda positif, kesannya amat bahaya. Kerana ia pernah terjadi kepada aku apabila aku membahayakan nyawa penumpang lain di belakang akibat dirasuk 'emosi' dan sebagai reaksi tindakbalas.

Pesanan aku, memandulah dengan cara kamu yang positif dan jangan mempedulikan kata-kata orang tidak kira siapa pun dia. Jika perlu, memandulah dengan berseorangan atau dengan orang yang tidak cuba mengubah cara engkau memandu.

Pemanduan cerminan keperibadian.

No comments:

 
Google Analytics Alternative