Friday, September 18, 2009

Raya Lagi

Maka, tibalah Syawal sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Ramadhan pergi, Syawal datang. Memang jadi kebiasaan yang kanak-kanaklah yang paling gembira masa raya ni. Takyah pikir macam-macam. Semua dah tersedia je. Tinggal nak pegi dan ikut makbapak pergi bershopping baju raya je . Kadang-kadang, macam mana design, berapa saiz baju, kaler apa semua pun tak payah pikir. Pegi Kamdar, tinggal nak sarung je.

Macam aku kecil-kecil dulu. Kalau nak beli baju raya je mesti ke Jalan Masjid India atau Jalan Tunku Abdul Rahman. Kekadang tu pegi Sogo. Bukannya takde tempat lain nak beli baju raya. Tapi, memang tak sah kalau tak pegi situ sebab situ memang port terbaik shopping baju raya. Masa dulu, memang penuh gila orang kat Kamdar atau kedai-kedai sepanjang Jalan TAR tu. Melimpah-limpah sampai kat jalanraya. Memang maki-makilah orang berkenderaan kat situ sebab jem. Kenalah terima hakikat dia macam tu. Sapa suruh datang.

Masa kecik memang kadang-kadang kena paksa ke sana. Dengan puasanya. Dengan ramai orangnya. Memang letih satu badan. Bila pandang kuih-kuih raya jual kat kaki lima, rasa macam nak buka puasa je. Lepas tu, masa nak beli baju, kenalah cuba apa semua. Time nak try nilah paling tensen bagi makbapak. Termasuklah aku masa tu. Memang berkali-kali kena try baju. Tak sesuai yang itu, cuba yang ini pulak. Tak best yang ni, cuba yang tu pulak. Masa tu mana kisah sangat apa bentuk, saiz dan warna baju melayu semua. Muka pulak muncung je sebab kena suruh itu, suruh ini. Taunya nak cepat habis je sesi cuba mencuba ni. Nak tidur kat rumah sebab tak tahan letih campur lapar lagi. Kadang-kadang ada orang jual mercun kat kaki lima. Masa tu, mata dengan badan jadi segar bila nampak benda ni. Terus bersemangat mintak kat ayah nak beli mercun. Mercun yang boleh terbang lepas tu meletup di udara masa tu memang jadi kegemaran aku. Masa dah besar sikit baru start main ketupat, bola, papan dan apa-apa lagilah.

Sekarang, lain dah. Macam dah takde apa sangat pasal shopping-shopping ni. Takde beza pun. Baju raya pun dah start beli sendiri. Itupun shirt biasa je dengan jeans sehelai. Cukuplah. Kalau ada rezeki, adalah mak ayah offer beli sehelai dua. Baju melayu pulak pakai yang tahun lepas je. Kadang-kadang 3 tahun sekali pun boleh guna. Sekarang, tak peduli dah sangat pasal persediaan dia. Yang penting, sambutan tu sendiri. Bagi aku, dapat balik kampung dan jumpa tok, opah dengan sanak saudara tu lebih penting.

Tapi, biasanya, kalau dah tinggal Ramadan ni. Macam tinggal semuanya. Maksud aku, segala amalan-amalan terpuji masa bulan tersebut dah tak gunapakai untuk bulan-bulan lain. Kalau tengok masjid dengan surau penuh je bulan Ramadan dengan terawihnya, dengan tadarusnya dan macam-macam. Tapi lepas Ramadan je, semua pun ikut pergi jugak. Sepi je. Masing-masing semua balik ke urusan duniawi lepas raya nanti. Mengharapkan bulan ramadan datang balik, barulah 'bernyawa' surau-surau dan masjid-masjid. Tak constant la orang kata. Semua ni aku tuju kat diri aku sendiri. Kekadang rasa sedih jugak bila Ramadan pergi bila semua ni berlaku. Pokok pangkalnya, kitalah yang kena berubah. Jangan masa Ramadan je nampak batang hidung, bulan lain lesap. Aku la. Tak taulah kome.

Aku nak amik kesempatan kat sini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pembaca-pembaca tegar(ada ke?), pembaca tak tegar, pembaca senyap(silent reader), pembaca tak senyap(yang rajin-rajin komen la), pembaca tumpang lalu ke atau yang terklik kat page ni. Maaf zahir dan batin jika ada kesalahan dan kekurangan. Beraya nanti, ingat-ingat sikit pada yang kurang berkemampuan dan pada yang tiada.




Hot Graphics Icons, Comments and Layouts @ hotfriendsterlayouts.com


Sunday, September 13, 2009

Harga Terima Kasih


Terima kasih Adebayor kerana mengajar kami apa erti profesionalisme dalam bolasepak. Memijak kepala bekas rakan dan berlari setengah padang meraikan sambutan provokatif ke arah penyokong lawan adalah sesuatu tindakan yang profesional. Bukan sesekali tindakan kebudak-budakan. Sekali lagi, terima kasih Ade.

Thursday, September 10, 2009

Cerita Lepas Terawih

Malam tu angin berpupuk lembut. Aku terus menyarungkan bajuku yang bercetak ' Cap Ayam' seperti yang pernah dipakai peserta Raja Lawak dahulu. Lekas ku sarungkan selipar di kaki dan memecut dengan motosikal. Tapi aku hanya pemboncengnya saja. Malam tu ada 5 orang kesemuanya. Masing-masing ada matlamat sendiri.

Biarpun angin menderu laju namun tak sekali pun ia mematahkan semangatku untuk ke sana. Ya, ke Seksyen 24. Orang-orang tua memanggilnya Kompleks Muhibbah. Anak-anak muda pula memanggilnya Uptown. Panggil apa saja tapi tempatnya tetap sama. Di atas motor, aku cuba bernyanyi menghiburkan hati. Mula-mula lagu nyanyian Yassin berjudul Nur Kasih. Apabila sampai beberapa baris, aku melihat ia bagai tidak kena dengan suasana. Lantas aku menukarnya kepada lagu Menjelang Hari Raya nyanyian D.J Dave. Aku senyum kerana aku masih mampu mengingati bait-bait liriknya walaupun tak sempurna. Lagu tu aku ulang sehingga sampai ke destinasi buat hiburan sendiri.

Sesampainya di sana, aku terus menuju ke matlamatku. Rakanku mengekori dari belakang. Gerai pertama yang aku tujui itu ada terpapar objek itu. Aku segera merasa. Aku merasakan yang ianya licin dan nipis. Ah, apakah benar ini? Getus hatiku datang bertandang. Aku tidak berkata apa-apa lantas melangkah keluar dari gerai tersebut. Rakanku juga semuanya mengikut.

Hajatku ingin mencari yang lebih baik. Setelah berjalan sekitar beberapa minit, aku terjumpa lagi apa yang ku ingin. Aku lantas masuk ke dalam kedai dan merasanya macam tadi . Memang benar. Sama seperti gerai yang sebelumnya. Ia licin dan nipis. Aku jadi tidak sedap. Kenapa jadi begini setelah begitu lama ku menunggu? Aku cuba menyarungnya sambil mulutku bertanyakan harga kepada pekedai tersebut.

"Rm35 je" katanya.

"Takyah beli la dik", Sambungnya lagi. Aku jadi hairan apabila peniaga tidak mahu menjual barangan jualannya.

"Ni barang China punya. Tunggu Siam la", kata pekedai itu lagak seperti seorang broker saham. Kadangkala gayanya ibarat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula.

"Ye ke? Patutla nipis kan...", kataku memujuk hati.

"Ha'ah. Tunggula Siam punya. Ni China mari punya memang tak bagus sebab kain dia panas."

"Bila mari Siam punya?" tanyaku sambil membuka kembali kain tadi.

"Nantilah, dalam minggu depan adalah kot", kata brader tersebut.

"Oklah, minggu depan saya datang",kataku separa kecewa. Kecewa kerana begitu lama aku menunggu masih belum keluar yang grade AAA lagi.

Sudahnya, aku benamkan saja hajatku ingin membeli jersi 2nd Arsenal berwarna biru itu minggu depan.....

Monday, August 31, 2009

Liga Perdana Untuk Inggeris

Tengah minggu lalu, seorang penyerang Croatia menjatuhkan badan dan pengadil memberikan penalti. Hatta demikian, bertempik sakanlah suratkhabar-suratkhabar British mengeji tindakan pemain tersebut.

Hujung minggu lalu selepas itu pula, seorang penyerang England pula menjatuhkan badan untuk memenangi penalti. Maka, bersenyap sunyilah suratkhabar-suratkhabar British yang sebelum itu lantang melabelkan pelbagai gelaran tidak enak kepada penyerang Croatia tersebut.
Betapa patritotik sungguh mereka bukan?

Tuesday, August 25, 2009

Cerita Ekonomi Esok-Esok

Petang Selasa lalu, aku dengan rakanku berpakat nak cari sama tempat untuk buat praktikal tahun depan. Aku dahlah takde transportasi maka aku terpaksa menebalkan muka untuk menumpang mana-mana kawan-kawan yang ada motor.

Tanpa berlengah, kitorang pun bukalah pakcik 'Google' dan senaraipendekkan kilang-kilang berpotensi untuk aku dan yang lain menabur bakti nanti. Setelah dapat dalam 5 syarikat termasuk Syarikat Tampal Tayar Ah Seng, kitorang pun start lah main calling-calling.

"Hello, nak tanya sini ada amik budak praktikal ke?"

Pertanyaan inilah yang diulangsiar setiap kali terdengar bunyi gagang telefon diangkat. Sampai syarikat kelima telefon baru dapat pengesahan adanya tempat untuk budak-budak kejuruteraan macam kami ini.

Apa yang aku hairan ialah.............."Baguskah ekonomi kita?"

Jika apa yang aku dengar hanyalah:

"Kilang kami dah nak tutup. Pekerja pun cuma ada 45-50 orang je dik".
Ni satu kilang Flextronics yang bukan main besar lagi kat Bukit Jelutong tu dah nak tutup. Bulan 12 ni rasmilah penutupan dia.

Hari tu satu kilang Dell dah tutup kat Penang. Sekarang ni Toyota kat Seksyen 15 pun dah tenat. Confirm reject kaw-kaw punya kalau budak praktikal datang.

Masa telefon Panasonic pun macam nak taknak je layan. Nasib baik ada jugak suruh hantar resume apa semua.

Macamanalah ekonomi kita esok-esok? Takkan aku nak tukar kos pulak kan....

Saturday, August 15, 2009

Perginya Tak Kembali


Al -Fatihah dan takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri. Moga alunan suaranya terus berkumandang di corong telinga kita agar senantiasa kita memperolehi keberkatan hidup.

Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku... - Ustaz Asri Ibrahim(1969-2009)


Semoga Rabbani tetap terus memperjuangkan irama nasyid agar legasi itu terus berkesinambungan.

Tuesday, August 11, 2009

Beruk di Stadium

Bila aku tengok FA Community Shield semalam yang mana pasukan Setan Merah ni tumbang, aku teringat kisah lama. Bukan apa, masa Rooney skor last minit tu, makhluk-makhluk MU di kedai mamak semuanya bertukar rupa macam maskot pasukan diorang gak. Last-last keluar kedai senyap je semua. Haha..

Kisah lama tu terjadi masa game kat Stadium Shah Alam, Selangor lawan Kelantan. Bukan Final FA tapi liga super je.

Mamat A: Apahal semua orang terjerit-jerit macam beruk je ha?

Mamat B: Hak ela, kalau lu taknak tengok orang terjerit-jerit kat stadium, apa kata lu pegi tengok wayang je.

Rupanya Mamat B baru tahu yang Mamat A ni 1st time pegi stadium. So, tak biasa sangat dengan suasana stadium. Tapi dia bukan 1st time tengok bola. Entah. Mamat B rasa pelik.

Saturday, August 01, 2009

Seminggu Berlalu


Aku taktau apa aku buat sepanjang cuti seminggu ni. Takde buat apa-apa pun. Yang penting, balik je kampus ni nanti, berlambak assignment menunggu aku. Tu yang aku malas cuti tuh. Bila cuti je aku jadi malas. Bila kat rumah je, lain macam dia punya malas. Kenapalah dorang ni bagi cuti tengah sedap-sedap semangat nak belajar. Alasan H1N1 macam tak boleh pakai pulak. Pasal nila setitik rosak susu sebelanga. Seorang yang kena, habis semua kena balik rumah. Wah, kalau macam ni susahlah nak buat kerja dan belajar. Asal ada je orang kena, semua sekolah,ipt,kem PKN tutup. Bila dah bukak pulak, tengok-tengok ada orang syak kena virus tu, tutup balik seminggu. Baliklah budak-budak ni semua ke kampung. Last-last, habis semua orang kampung kena. Mana taknya, dah asyik balik kampung je, kenalah virus tu kat orang kampung.

Aku terbaca dalam surat pembaca suratkhabar Straits Times. Pembaca ni mempersoalkan apa perlunya jika IPT ditutup, pelajar-pelajarnya dihantar pulang? Ada jaminan ke jika pelajar dihantar pulang dan IPT ditutup seminggu akan menghilangkan virus tu. Ok, aku tau yang bila kena virus tu, orang tu kena kuarantin. Tapi apa perlunya dia dihantar pulang? Dan yang ada contact dengan tuan punya virus tu pun kena balik sekali. Lepas tu, boleh bajet pulak seminggu je kuarantinnya. Kenapa tidak sebulan? 3 bulan? Atau sampai dia disahkan sihat? Ada lebih baik jika orang yang terkena jangkitan tu saja yang dirawat dan dikuarantin. Yang lain biarlah teruskan kehidupan macam biasa. Kesian pulak mak bapak yang kat kampung kena kalau dah kena balik kampung.

Kadang-kadang kita ni fobia sangat dengan benda yang tidak pasti lagi. Apatah lagi melibatkan orang yang tiada kaitan dalam skala yang besar. Aku tahu, mencegah lebih baik dari merawat tapi kadangkala kita kena berfikiran rasional sikit. Kalau tak, susahlah nak buat kerja atau belajar jika kita asyik dengar tutup,tutup dan tutup je. Tapi, apakah mereka ini akan menutup universiti sekali lagi jika ada kes baru? Aku tak rasa dorang akan buat benda yang sama. Sebab biasanya, tindakan menutup IPT ni sebenarnya hanya untuk nampak mereka concern je for the 1st time. Jika ada kes baru dilaporkan lepas ni, aku rasa dorang akan tutup sebelah mata je. Hah, tutup jugalah tu. Tapi memang betul. Benda ni banyak sangat dah jadi. Kes-kes lepas ni kalau jadi, akan dirahsiakan dan dipencilkan. Tak teluslah namanya tu.

Apapun, terima kasihlah kerana telah memberikan seminggu cuti yang bosan.

Wednesday, July 29, 2009

Keroncong Petang




Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
Gerimis berderai di merata
Bagai mutiara

Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap di jiwa
Adakala bahgia dirasa
Meskipun duka nestapa

Tika hujan turun
Sayup mendayu lagu keroncong
Merdu irama di alun
Bersenandung

Hujan membasahi bumi
Melahirkan keluhuran budi
Mengeratkan paduan suci
Kasih sayang abadi

Tuesday, July 28, 2009

Shivering

Pertama kali aku tengok iklan ni, aku menggigil. Bukan menggigil apa. Aku terasa terkesan sekali dengan mesej yang disampaikan dalam iklan ni. Dan ini antara iklan terawal yang membuat aku mengenali siapa seniman di sebalik tabir iklan ni. Al-Fatihah untuknya.




Merdeka dan raya kali ni aku tak pasti iklan manakah yang mampu menambat hati aku lagi.

Monday, July 27, 2009

Tomorrow of Surprise


Esok.
Esok senantiasa adalah hari baru.
Tidak kira hari ini kau bagaimana.

Ada yang gembira dengan hari esok kerana cerita sukanya hari ini.
Ada yang benci akan hari esok kerana cerita dukanya hari ini.

Esok sentiasa penuh dengan kejutan. Kita tidak akan tahu apa yang akan berlaku esok.
Itulah istimewanya hari esok.

Dan waktu yang terbaik untuk memikirkan hari esok adalah sewaktu sebelum tidur. Ketika itu, serebrum ligat berputar tentang hari esok.

Apakah hari esokku bagus?
Apakah hari esokku gembira?
Apakah hari esokku sedih?

Esok adakalanya berwarna-warni. Esok adakalanya kelam.
Adakalanya apa yang kita rancang hari ini tidak semestinya menjadi hari esok.
Dan adakalanya apa yang kita tidak jangkakan hari ini akan terjadi esok hari.

Apa yang pasti semua itu terjadi pastinya mempunyai hikmah tersendiri. Tak terjangkau kadang-kadang akal kita memikirkan sebab musababnya. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Aku masih ingat lagi waktu kecilku bagaimana begitu takutnya aku memasuki alam persekolahan aku buat pertama kali. Aku sukar hendak melelapkan mata. Semuanya hanya kerana memikirkan bagaimana hari esokku. Namun semua itu terpaksa ditempuhi juga hingga kini aku mampu berdiri di mana aku sekarang.

Begitu juga yang lain.
Ada yang memikirkan bagaimana hari temuduganya esok.
Ada yang memikirkan bagaimana tempat kerja barunya esok.
Ada yang memikirkan bagaimana hari perkahwinannya esok.

Semua itu difikirkan sebelum tidur. Saat hendak lelapkan mata.

Kadangkala kita tidak mahu berdepan hari esok atas permasalahan yang kita hadapi hari ini.
Kadangkala kita mengharapkan esok hadir dengan cepat untuk melupakan segala yang kita alami hari ini.
Kadangkala juga kita mengharapkan esok tidak akan datang.

Tapi esok itu tetap akan datang. Tidak kira baik atau buruk, kita tetap tidak boleh lari.

Dan yang paling penting,

Masihkah ada esok untuk kita?


Al-Fatihah diucapkan untuk semua yang telah pergi meninggalkan kita.
Mereka sudah di 'sana'.
Kita hari ini di sini yang entah hari esok bagaimana.

Sunday, July 19, 2009

Rasa Hidup Ini

Sebaik sahaja aku memulakan pengajian semester baru, banyak cerita-cerita yang aku lalui. Tapi semua hampir sama saja perkaitannya. Begini,


1. Abang kepada rakanku meninggal dunia dalam kemalangan jalanraya. Motor yang terlibat dalam kemalangan itu sebenarnya milik rakanku. Sekarang ni, dia nak jual dah.

2. Bukak je sem baru, dengar member sakit nak dekat sebulan. Pegilah ziarah dia kat Klang. Sembang-sembang, dia rupanya terlanggar 'benda'. 'Benda' tu yang masuk dalam badan buat badan lemah. Kesian gak. Sekarang dia dah duduk balik kat rumah sewa ni dan pergi kelas dah. Tapi memang aku nampak dia masih lemah lagi. Katanya, 'benda' tu tak keluar lagi.

3. Rumah sewa aku kena rompak masa cuti sem. Yang tinggal kat rumah masa tu ada 3 orang kawan aku je. Ketiga-tiga hilang duit. Dekat beratus jugaklah. Bukan sekali dua. Dekat 2,3 kali jugaklah. Sayangnya, bukan manusia yang buat. 'Benda' lain buat. Siap bertuan lagi. Dengar cerita orang Indonesia. Bomoh mana entah yang bagitau ni kat kawan aku. Peliknya, duit je hilang. Komputer dengan laptop 'dia' tak minat nak curi pulak. Bukan IT punya spesis la ni. Lagi satu peliknya, kejadian ni hanya berlaku pada Rabu malam Khamis. Agaknya syarat dorang kot.

Akibat dah banyak kali sangat kejadian ni berlaku masa cuti arituh, member aku buat teori mudah. Simpan duit dalam bekas bertutup. Confirm dia tak ambil. Yelah, duit rumah ada beratus dalam tin biskut tak pulak 'dia' kebas. Agaknya 'dia' tak boleh buka benda bertutup kot. Nak lagi best, 'benda' ni boleh buat tilam member aku kat tingkat atas boleh turun kat tingkat bawah siap landing kat ruang tamu lagi.

4. Ayah kepada rakan baikku meninggal dunia hari Selasa lepas. Aku agak lama tak contact dia ni sebab habis degree sekerat jalan tahun lepas, dia balik kampung. Kerja untuk menyara diri dan keluarga. Sayang gak bila dapat tau dia tak dapat sambung pengajian walhal dialah antara bestfren aku. Ok, setelah agak lama aku tak contact dia, tiba-tiba aku teringat akan dia sehari sebelum ayah dia meninggal. Aku mesej dia, " Kau buat apa sekarang?". Dia jawab, " Aku jaga ayah aku tengah sakit kat hospital ni." Dengan ajal maut di tanganNya, keesokannya dapat mesej dari dia yang ayah dia meninggal pagi tu. Betapa dekatnya kita dengan kematian bukan?

Lagi satu kejadian yang hampir serupa adalah semasa aku duduk sekolah asrama. Aku bersembang dengan member aku macam-macam malam tu. Termasuk pulak dalam sembang tu pasal ayah dia. Dia risaukan keadaan kesihatan ayah dia yang tak seberapa. Esoknya, aku bangun pagi, dapat tau cerita dari member satu dorm yang member aku tu dah bertolak ke kampung sebab ayah dia meninggal. Betapa terkejutnya aku sebab malam sebelum tu, aku berborak panjang mengenai ayah dia.

Aku rasa setiap apa yang berlaku di sekeliling aku sekarang sebagai menandakan satu isyarat untuk aku samada sedar atau tidak. Aku harus bersedia dengan kehidupan aku yang bakal aku tempuhi ini dalam jarak hanya sejauh satu hari mungkin. Siapa tahu, esok-esok giliran kita. Tapi aku hanya berdoa agar aku dan ahli keluarga aku dipanjangkan umur dan dilimpahi rahmatNya.


Apabila datang detik itu, kita sudah tidak mampu untuk mengelak.
 
Google Analytics Alternative