Wednesday, October 07, 2009

Gabungan Kejuruteraan dan Ekonomi melahirkan Arsenal


Menonton perlawanan Arsenal lawan Blackburn minggu lepas membuatkan aku terfikir sejenak. Sambil itu, aku habiskan sisa tosai yang berbaki dalam mulut aku ketika itu. Agak jarang dan sudah lama Arsenal tidak bermain begitu(walaupun memang selalu Arsenal bermain cantik). Tapi kali ni begitu menarik. Tidak keterlaluan jika aku katakan yang perlawanan hari itu antara yang terbaik dari EPL sejak bermula musim 2009/2010 ni. Kedua-dua pasukan sering berbalas gol tapi untuk awal separuh masa pertama sajalah kerana selepas itu Arsenal seperti biasa mula bermain passing-passing ibarat bermain petang-petang di padang Taman Astakona.

Jadi, kenapa Arsenal boleh bermain cantik sebegitu? Jawapannya adalah Arsene Wenger. Jika sebelum legasi Wenger, Arsenal dikenali dengan panggilan Boring Boring Arsenal lantaran kegagalan skuad utara London itu bermain cantik walaupun terdapat nama-nama besar sebegitu. Ah, bukan itu aku nak ceritakan kerana cerita macam tu sudah biasa orang dengar.


Seperti yang kita ketahui bahawa Wenger adalah dari jurusan ekonomi dan kejuruteraan. Jadi, bayangkanlah apabila orang dari jurusan sebegini mentadbir sebuah kelab. Tidakkah kelab itu kaya dan berjaya? Semestinya apabila digabungkan unsur kejuruteraan dan ekonomi dalam sesebuah aspek bisnes ataupun organisasi, tidaklah sukar untuk menentukan jatuh bangun struktur organisasi tersebut melainkan gagalnya pimpinan pentadbiran mengurus dengan baik. Selaku pelajar yang mengambil jurusan kejuruteraan, fahamlah aku bahawa permainan bolasepak bagaimana yang telah diciptakan Wenger. Beliau menerapkan unsur kejuruteraan itu sendiri dalam bolasepak sebagaimana Stephen Chow menerapkan unsur Shaolin dalam bolasepak. Jika ada yang kurang jelas lagi kaitan ini, izinkanlah aku terangkan sedikit mengenai kejuruteraan khususnya dalam kaitan mekanikal.

Di dalam subjek Fluid Mechanics, terdapat beberapa unsur atau terma kejuruteraan yang berkaitan dengan bolasepak. Istilah-istilah seperti ‘turbulent flow’, ‘laminar flow’ dan pelbagai istilah berkaitan ‘flow’ diterapkan Wenger ke dalam pasukan Arsenal. Pernah dengar bukan istilah ‘free-flowing football’? Para pengulas bolasepak melihat permainan yang berkadar laju atau beraliran deras ini sebagai free flowing yakni istilah yang dikutip daripada konsep flow dari aspek kejuruteraan fluid itu sendiri. Dalam hal ini, Arsenal diperkata oleh ramai orang mengamalkan konsep free-flowing football ini. Sedikit tentang konsep ini ialah ia mengamalkan konsep hantaran pantas iaitu 1-2 dan persembahan berteknikal yang mana melibatkan konsep sepak dan lari.

Baik, aku ambil contoh lain lagi kaitan antara kejuruteraan dan bolasepak. Di dalam subjek Dynamics juga ada kaitan ini. Antara istilah-istilah yang terdapat dalam subjek ini ialah ‘relative motion’, ‘rectilinear motion’, ‘statics’ dan pelbagai lagi aspek yang kebanyakannya menyentuh mengenai pergerakan jasad. Tidak sukar untuk melihat bagaimana corak pergerakan atau motion yang ditunjukkan setiap pemain Arsenal di bawah Wenger. Tentu korang semua faham jika menonton perlawanan melibatkan Arsenal. Dan tentu lebih faham lagi jika korang dapat mengetahui konsep ‘projectile motion’ iaitu konsep yang melibatkan pengiraan pergerakan sesuatu jasad di udara dan mengetahui titik jatuhnya jasad tersebut. Semuanya melibatkan pengukuran dan pengiraan dalam aspek sains kejuruteraan itu sendiri.

Jika Wenger seorang pelajar jurusan kejuruteraan, kenapa tidak dia memberikan pandangan dan nasihat dari segi rekabentuk semasa fasa pembinaan Stadium Emirates. Padang latihan dan fasiliti berkaitan kejurulatihan di stadium berkenaan telah diilhamkan oleh Wenger sendiri yang aku percaya tidak pernah ada mana-mana pengurus dalam dunia ini yang boleh menyentuh mengenai aspek pembinaan dan rekabentuk sesebuah stadium kepunyaan kelab. Pandai-pandailah construction company tu nak design macamane.

Jadi, kat sini kita boleh lihat betapa kehadapannya pemikiran Arsene Wenger ni dari pelbagai segi. Dan betapa bertuahnya Arsenal mempunyai seorang pengurus yang bukan saja seorang pengurus malah boleh menyumbang lebih daripada itu. Mana nak cari pengurus yang still boleh manage team dia untuk pertandingan hingga 4 tempat terakhir di Eropah dengan pelaburan tak semahal pasukan-pasukan berbelanja besar? Agaknya, jika Wenger diberi pelaburan besar, nescaya kelab tersebutlah antara yang terhebat dalam planet ni. Ilmu ekonomi beliaulah yang telah menjaga Arsenal sehingga Arsenal mampu membina stadium lebih besar tanpa banyak berhutang dan telah mencapai keuntungan bersih yang tinggi dalam laporan kewangan kelab yang dikeluarkan baru-baru ni. Jadi, cerita panjang pun tak guna. Aspek kejuruteraan apalah bagai, layankan saja hiburan dari Arsenal walau 4 tahun tiada trofi. Apalah guna trofi jika setiap minggu aku hampir tertidur menonton persembahan ko The Blues!! Tak dramatik macam Arsenal langsung!! Hehe..

Saturday, September 26, 2009

2 Soalan

Jika ada peluang, aku ingin bertanya 2 soalan kepada team penubuhan pasukan F1 1Malaysia.

1. Kenapa mesti menggunakan nama F1 1Malaysia? Belum pernah dalam sejarah F1 ada pasukan menggunakan nama negara pada pasukannya setahu aku. Tak segan ke dengan team-team lain takut depa mengata pulak..

2. Apakah faedah atau impak kepada rakyat secara langsung? Rakyat untung ke jikapun dikatakan F1 menjana berbillion-billion pendapatan kepada negara?Walhal sistem pengangkutan masih di bawah par. Aku menunggu komuter untuk pulang ke rumah terpaksa memakan masa hampir 60 minit sedangkan setiap minit tayangan F1, berjuta masuk ke kantung pihak tersebut.

Itu saja 2 soalan aku. Ada sesiapa mahu terangkan sebab aku memang tak tahu..

Diari Raya Bergambar

Sudah siap isi minyak, mari mulakan perjalanan. Iklan ini dibawakan oleh Shell.


Sebelum balik kampung, ronda dulu kat Bukit Bintang. Memang jalan clear habis...



Alhamdulillah sampai. Pemandangan begini biasanya berlaku menjelang raya.




Malam raya, main mercunlah apalagi. Barulah terasa kemeriahannya.



Menyiapkan lemang dengan memerah santan. Begitu tradisional sekali tanpa perlu membeli santan segera.




Sesi membakar lemang bermula.



Membakar lemang begitu lama sehingga memerlukan 2 keping gambar untuk melaluinya.




Sesi ziarah-menziarahi rumah terbuka di kalangan sanak saudara. Tapi kenapa gambar ini?




Sesekali dapat melepaskan tekanan hidup di Kuala Lumpur dengan merasai suasana sebegini.




Itu saja. Insyaallah Raya tahun depan, moga dapat aku sekali lagi pulang ke kampung indah nan permai ini.

Friday, September 18, 2009

Raya Lagi

Maka, tibalah Syawal sebagaimana tahun-tahun sebelumnya. Ramadhan pergi, Syawal datang. Memang jadi kebiasaan yang kanak-kanaklah yang paling gembira masa raya ni. Takyah pikir macam-macam. Semua dah tersedia je. Tinggal nak pegi dan ikut makbapak pergi bershopping baju raya je . Kadang-kadang, macam mana design, berapa saiz baju, kaler apa semua pun tak payah pikir. Pegi Kamdar, tinggal nak sarung je.

Macam aku kecil-kecil dulu. Kalau nak beli baju raya je mesti ke Jalan Masjid India atau Jalan Tunku Abdul Rahman. Kekadang tu pegi Sogo. Bukannya takde tempat lain nak beli baju raya. Tapi, memang tak sah kalau tak pegi situ sebab situ memang port terbaik shopping baju raya. Masa dulu, memang penuh gila orang kat Kamdar atau kedai-kedai sepanjang Jalan TAR tu. Melimpah-limpah sampai kat jalanraya. Memang maki-makilah orang berkenderaan kat situ sebab jem. Kenalah terima hakikat dia macam tu. Sapa suruh datang.

Masa kecik memang kadang-kadang kena paksa ke sana. Dengan puasanya. Dengan ramai orangnya. Memang letih satu badan. Bila pandang kuih-kuih raya jual kat kaki lima, rasa macam nak buka puasa je. Lepas tu, masa nak beli baju, kenalah cuba apa semua. Time nak try nilah paling tensen bagi makbapak. Termasuklah aku masa tu. Memang berkali-kali kena try baju. Tak sesuai yang itu, cuba yang ini pulak. Tak best yang ni, cuba yang tu pulak. Masa tu mana kisah sangat apa bentuk, saiz dan warna baju melayu semua. Muka pulak muncung je sebab kena suruh itu, suruh ini. Taunya nak cepat habis je sesi cuba mencuba ni. Nak tidur kat rumah sebab tak tahan letih campur lapar lagi. Kadang-kadang ada orang jual mercun kat kaki lima. Masa tu, mata dengan badan jadi segar bila nampak benda ni. Terus bersemangat mintak kat ayah nak beli mercun. Mercun yang boleh terbang lepas tu meletup di udara masa tu memang jadi kegemaran aku. Masa dah besar sikit baru start main ketupat, bola, papan dan apa-apa lagilah.

Sekarang, lain dah. Macam dah takde apa sangat pasal shopping-shopping ni. Takde beza pun. Baju raya pun dah start beli sendiri. Itupun shirt biasa je dengan jeans sehelai. Cukuplah. Kalau ada rezeki, adalah mak ayah offer beli sehelai dua. Baju melayu pulak pakai yang tahun lepas je. Kadang-kadang 3 tahun sekali pun boleh guna. Sekarang, tak peduli dah sangat pasal persediaan dia. Yang penting, sambutan tu sendiri. Bagi aku, dapat balik kampung dan jumpa tok, opah dengan sanak saudara tu lebih penting.

Tapi, biasanya, kalau dah tinggal Ramadan ni. Macam tinggal semuanya. Maksud aku, segala amalan-amalan terpuji masa bulan tersebut dah tak gunapakai untuk bulan-bulan lain. Kalau tengok masjid dengan surau penuh je bulan Ramadan dengan terawihnya, dengan tadarusnya dan macam-macam. Tapi lepas Ramadan je, semua pun ikut pergi jugak. Sepi je. Masing-masing semua balik ke urusan duniawi lepas raya nanti. Mengharapkan bulan ramadan datang balik, barulah 'bernyawa' surau-surau dan masjid-masjid. Tak constant la orang kata. Semua ni aku tuju kat diri aku sendiri. Kekadang rasa sedih jugak bila Ramadan pergi bila semua ni berlaku. Pokok pangkalnya, kitalah yang kena berubah. Jangan masa Ramadan je nampak batang hidung, bulan lain lesap. Aku la. Tak taulah kome.

Aku nak amik kesempatan kat sini, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri buat pembaca-pembaca tegar(ada ke?), pembaca tak tegar, pembaca senyap(silent reader), pembaca tak senyap(yang rajin-rajin komen la), pembaca tumpang lalu ke atau yang terklik kat page ni. Maaf zahir dan batin jika ada kesalahan dan kekurangan. Beraya nanti, ingat-ingat sikit pada yang kurang berkemampuan dan pada yang tiada.




Hot Graphics Icons, Comments and Layouts @ hotfriendsterlayouts.com


Sunday, September 13, 2009

Harga Terima Kasih


Terima kasih Adebayor kerana mengajar kami apa erti profesionalisme dalam bolasepak. Memijak kepala bekas rakan dan berlari setengah padang meraikan sambutan provokatif ke arah penyokong lawan adalah sesuatu tindakan yang profesional. Bukan sesekali tindakan kebudak-budakan. Sekali lagi, terima kasih Ade.

Thursday, September 10, 2009

Cerita Lepas Terawih

Malam tu angin berpupuk lembut. Aku terus menyarungkan bajuku yang bercetak ' Cap Ayam' seperti yang pernah dipakai peserta Raja Lawak dahulu. Lekas ku sarungkan selipar di kaki dan memecut dengan motosikal. Tapi aku hanya pemboncengnya saja. Malam tu ada 5 orang kesemuanya. Masing-masing ada matlamat sendiri.

Biarpun angin menderu laju namun tak sekali pun ia mematahkan semangatku untuk ke sana. Ya, ke Seksyen 24. Orang-orang tua memanggilnya Kompleks Muhibbah. Anak-anak muda pula memanggilnya Uptown. Panggil apa saja tapi tempatnya tetap sama. Di atas motor, aku cuba bernyanyi menghiburkan hati. Mula-mula lagu nyanyian Yassin berjudul Nur Kasih. Apabila sampai beberapa baris, aku melihat ia bagai tidak kena dengan suasana. Lantas aku menukarnya kepada lagu Menjelang Hari Raya nyanyian D.J Dave. Aku senyum kerana aku masih mampu mengingati bait-bait liriknya walaupun tak sempurna. Lagu tu aku ulang sehingga sampai ke destinasi buat hiburan sendiri.

Sesampainya di sana, aku terus menuju ke matlamatku. Rakanku mengekori dari belakang. Gerai pertama yang aku tujui itu ada terpapar objek itu. Aku segera merasa. Aku merasakan yang ianya licin dan nipis. Ah, apakah benar ini? Getus hatiku datang bertandang. Aku tidak berkata apa-apa lantas melangkah keluar dari gerai tersebut. Rakanku juga semuanya mengikut.

Hajatku ingin mencari yang lebih baik. Setelah berjalan sekitar beberapa minit, aku terjumpa lagi apa yang ku ingin. Aku lantas masuk ke dalam kedai dan merasanya macam tadi . Memang benar. Sama seperti gerai yang sebelumnya. Ia licin dan nipis. Aku jadi tidak sedap. Kenapa jadi begini setelah begitu lama ku menunggu? Aku cuba menyarungnya sambil mulutku bertanyakan harga kepada pekedai tersebut.

"Rm35 je" katanya.

"Takyah beli la dik", Sambungnya lagi. Aku jadi hairan apabila peniaga tidak mahu menjual barangan jualannya.

"Ni barang China punya. Tunggu Siam la", kata pekedai itu lagak seperti seorang broker saham. Kadangkala gayanya ibarat Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula.

"Ye ke? Patutla nipis kan...", kataku memujuk hati.

"Ha'ah. Tunggula Siam punya. Ni China mari punya memang tak bagus sebab kain dia panas."

"Bila mari Siam punya?" tanyaku sambil membuka kembali kain tadi.

"Nantilah, dalam minggu depan adalah kot", kata brader tersebut.

"Oklah, minggu depan saya datang",kataku separa kecewa. Kecewa kerana begitu lama aku menunggu masih belum keluar yang grade AAA lagi.

Sudahnya, aku benamkan saja hajatku ingin membeli jersi 2nd Arsenal berwarna biru itu minggu depan.....

Monday, August 31, 2009

Liga Perdana Untuk Inggeris

Tengah minggu lalu, seorang penyerang Croatia menjatuhkan badan dan pengadil memberikan penalti. Hatta demikian, bertempik sakanlah suratkhabar-suratkhabar British mengeji tindakan pemain tersebut.

Hujung minggu lalu selepas itu pula, seorang penyerang England pula menjatuhkan badan untuk memenangi penalti. Maka, bersenyap sunyilah suratkhabar-suratkhabar British yang sebelum itu lantang melabelkan pelbagai gelaran tidak enak kepada penyerang Croatia tersebut.
Betapa patritotik sungguh mereka bukan?

Tuesday, August 25, 2009

Cerita Ekonomi Esok-Esok

Petang Selasa lalu, aku dengan rakanku berpakat nak cari sama tempat untuk buat praktikal tahun depan. Aku dahlah takde transportasi maka aku terpaksa menebalkan muka untuk menumpang mana-mana kawan-kawan yang ada motor.

Tanpa berlengah, kitorang pun bukalah pakcik 'Google' dan senaraipendekkan kilang-kilang berpotensi untuk aku dan yang lain menabur bakti nanti. Setelah dapat dalam 5 syarikat termasuk Syarikat Tampal Tayar Ah Seng, kitorang pun start lah main calling-calling.

"Hello, nak tanya sini ada amik budak praktikal ke?"

Pertanyaan inilah yang diulangsiar setiap kali terdengar bunyi gagang telefon diangkat. Sampai syarikat kelima telefon baru dapat pengesahan adanya tempat untuk budak-budak kejuruteraan macam kami ini.

Apa yang aku hairan ialah.............."Baguskah ekonomi kita?"

Jika apa yang aku dengar hanyalah:

"Kilang kami dah nak tutup. Pekerja pun cuma ada 45-50 orang je dik".
Ni satu kilang Flextronics yang bukan main besar lagi kat Bukit Jelutong tu dah nak tutup. Bulan 12 ni rasmilah penutupan dia.

Hari tu satu kilang Dell dah tutup kat Penang. Sekarang ni Toyota kat Seksyen 15 pun dah tenat. Confirm reject kaw-kaw punya kalau budak praktikal datang.

Masa telefon Panasonic pun macam nak taknak je layan. Nasib baik ada jugak suruh hantar resume apa semua.

Macamanalah ekonomi kita esok-esok? Takkan aku nak tukar kos pulak kan....

Saturday, August 15, 2009

Perginya Tak Kembali


Al -Fatihah dan takziah diucapkan kepada keluarga Allahyarham Ustaz Asri. Moga alunan suaranya terus berkumandang di corong telinga kita agar senantiasa kita memperolehi keberkatan hidup.

Aku adalah pengejar syurga akhirat,bagiku dunia ini adalah tempat mempersiapkan segala sesuatu untuk meraih syurga akhirat;aku yakin bahawa syurga akhirat tidak akan pernah dapat aku raih kecuali aku boleh menikmati syurga dunia terlebih dahulu.Maka rumah dan keluargaku adalah syurga dunia paling indah buatku. Tempat kerja syurga dunia harianku. Tetangga, masyarakat,dan bangsa adalah syurga duniaku yang lebih luas.Ke manapun dan sampai bila-bila pun syurgaku selalu bersamaku... - Ustaz Asri Ibrahim(1969-2009)


Semoga Rabbani tetap terus memperjuangkan irama nasyid agar legasi itu terus berkesinambungan.

Tuesday, August 11, 2009

Beruk di Stadium

Bila aku tengok FA Community Shield semalam yang mana pasukan Setan Merah ni tumbang, aku teringat kisah lama. Bukan apa, masa Rooney skor last minit tu, makhluk-makhluk MU di kedai mamak semuanya bertukar rupa macam maskot pasukan diorang gak. Last-last keluar kedai senyap je semua. Haha..

Kisah lama tu terjadi masa game kat Stadium Shah Alam, Selangor lawan Kelantan. Bukan Final FA tapi liga super je.

Mamat A: Apahal semua orang terjerit-jerit macam beruk je ha?

Mamat B: Hak ela, kalau lu taknak tengok orang terjerit-jerit kat stadium, apa kata lu pegi tengok wayang je.

Rupanya Mamat B baru tahu yang Mamat A ni 1st time pegi stadium. So, tak biasa sangat dengan suasana stadium. Tapi dia bukan 1st time tengok bola. Entah. Mamat B rasa pelik.

Saturday, August 01, 2009

Seminggu Berlalu


Aku taktau apa aku buat sepanjang cuti seminggu ni. Takde buat apa-apa pun. Yang penting, balik je kampus ni nanti, berlambak assignment menunggu aku. Tu yang aku malas cuti tuh. Bila cuti je aku jadi malas. Bila kat rumah je, lain macam dia punya malas. Kenapalah dorang ni bagi cuti tengah sedap-sedap semangat nak belajar. Alasan H1N1 macam tak boleh pakai pulak. Pasal nila setitik rosak susu sebelanga. Seorang yang kena, habis semua kena balik rumah. Wah, kalau macam ni susahlah nak buat kerja dan belajar. Asal ada je orang kena, semua sekolah,ipt,kem PKN tutup. Bila dah bukak pulak, tengok-tengok ada orang syak kena virus tu, tutup balik seminggu. Baliklah budak-budak ni semua ke kampung. Last-last, habis semua orang kampung kena. Mana taknya, dah asyik balik kampung je, kenalah virus tu kat orang kampung.

Aku terbaca dalam surat pembaca suratkhabar Straits Times. Pembaca ni mempersoalkan apa perlunya jika IPT ditutup, pelajar-pelajarnya dihantar pulang? Ada jaminan ke jika pelajar dihantar pulang dan IPT ditutup seminggu akan menghilangkan virus tu. Ok, aku tau yang bila kena virus tu, orang tu kena kuarantin. Tapi apa perlunya dia dihantar pulang? Dan yang ada contact dengan tuan punya virus tu pun kena balik sekali. Lepas tu, boleh bajet pulak seminggu je kuarantinnya. Kenapa tidak sebulan? 3 bulan? Atau sampai dia disahkan sihat? Ada lebih baik jika orang yang terkena jangkitan tu saja yang dirawat dan dikuarantin. Yang lain biarlah teruskan kehidupan macam biasa. Kesian pulak mak bapak yang kat kampung kena kalau dah kena balik kampung.

Kadang-kadang kita ni fobia sangat dengan benda yang tidak pasti lagi. Apatah lagi melibatkan orang yang tiada kaitan dalam skala yang besar. Aku tahu, mencegah lebih baik dari merawat tapi kadangkala kita kena berfikiran rasional sikit. Kalau tak, susahlah nak buat kerja atau belajar jika kita asyik dengar tutup,tutup dan tutup je. Tapi, apakah mereka ini akan menutup universiti sekali lagi jika ada kes baru? Aku tak rasa dorang akan buat benda yang sama. Sebab biasanya, tindakan menutup IPT ni sebenarnya hanya untuk nampak mereka concern je for the 1st time. Jika ada kes baru dilaporkan lepas ni, aku rasa dorang akan tutup sebelah mata je. Hah, tutup jugalah tu. Tapi memang betul. Benda ni banyak sangat dah jadi. Kes-kes lepas ni kalau jadi, akan dirahsiakan dan dipencilkan. Tak teluslah namanya tu.

Apapun, terima kasihlah kerana telah memberikan seminggu cuti yang bosan.

Wednesday, July 29, 2009

Keroncong Petang




Mega mendung di angkasa
Hembusan bayu dingin terasa
Gerimis berderai di merata
Bagai mutiara

Rahmat dibawa bersama
Limpahannya meresap di jiwa
Adakala bahgia dirasa
Meskipun duka nestapa

Tika hujan turun
Sayup mendayu lagu keroncong
Merdu irama di alun
Bersenandung

Hujan membasahi bumi
Melahirkan keluhuran budi
Mengeratkan paduan suci
Kasih sayang abadi

 
Google Analytics Alternative