Sunday, February 28, 2010

Victory With A High Price

Aku baru selesai menonton perlawanan Stoke menentang Arsenal di kedai mamak kegemaran. Perlawanan ini seperti perlawanan-perlawanan biasa Arsenal yang penuh dengan drama-drama dan aksi-aksi yang mampu membuat kita kecut perut, tidak senang duduk, melonjak gembira, menekup muka ketakutan atau kurang-kurang asyik meng'order' ais kosong sampai 8 gelas. Oh, tadi aku order 2 gelas je.

Dan perlawanan yang baru aku tonton tadi tidak terlepas daripada aksi dramatik. Stoke memulakan perlawanan dengan garang dan seawal minit ke-8 sudah berjaya menjaringkan gol menerusi balingan Rory Delap. Apa lagi yang hendak dikatakan mengenai beliau, yang aku rasa, beliau tersalah bidang sukan. Sepatutnya, beliau mengambil lontar peluru, baling lembing atau sekurang-kurangnya bola baling. Namun, beliau adalah antara aset berharga bagi Stoke khususnya serta bolasepak amnya kerana seingat aku, Stoke sudah menjaringkan 14 gol menerusi balingan beliau. Dan tadi boleh jadi 15 kesemuanya.

Namun, apa yang mengagumkan(seperti biasa), Arsenal bangkit kembali dengan corak yang lebih teratur dan tersusun. Dan juga lebih keras barangkali. Orang putih kata, "the tense is in the air". Entah betul ke tidak apa yang aku tulis. Dan kebangkitan itu berhasil dengan tandukan anak muda Denmark, Bendtner yang tidak semena-mena dapat melepaskan kepungan pemain Stoke untuk memberi gol penyamaan buat Arsenal. 

Apa yang berlaku seterusnya, sangat beremosi untuk diceritakan kerana tragedi 2 tahun lepas yang menimpa kepada pemain Arsenal dari Croatia, Eduardo berulang kembali. Kali ini, ia menghinggap pada bakat muda yang paling menyinar dalam kebanyakan pemain muda Arsenal iaitu Aaron Ramsey. Tatkala aku melihat para pemain mula menekup muka, bermuka pucat dan para 'medic' berlari ke dalam padang, aku merasakan sesuatu yang tidak kena. Ditambah pula apabila pengadil memberi kad merah kepada penerjah Ramsey, iaitu Shawcross, aku dapat mengagak sesuatu yang buruk.

Aku simpulkan di sini yang kemenangan ini adalah dengan harga yang mahal. 'Terkorban'nya seorang pemain yang bakal menjadi nadi masa depan Arsenal adalah sesuatu yang malang. Tapi apa perlindungan yang kita boleh dapat apabila kita terjun ke dalam bidang ini. Ini adalah suatu risiko yang perlu diambil kira sebagai pemain bolasepak profesional. Cuma, apabila ia terjadi pada pemain yang baru berusia 20 tahun, terdapat beberapa persoalan yang berlegar dalam otak aku sekarang.

Apakah kesan kepada karier pada pemain semuda ini? Apakah beliau mampu kembali pada prestasi sebagaimana sebelum ini? Apakah jaminan yang kecederaan itu tidak akan berulang? Seberapa cepat beliau boleh kembali?

Segalanya berlegar dalam kepala aku sebaik pulang dari kedai mamak tadi. Harapnya kebangkitan dan kepositifan Eduardo dalam mengharungi penderitaan itu menjadi guru terbaik kepada Aaron Ramsey. Seperti kata orang tua belah mak aku, " No Pain, No Gain". Dan jika aku menyemak kembali catatan perjalanan Arsenal sepanjang 5 tahun kebelakangan, mungkin aku akan dapati lebih banyak yang duka dari yang suka. Tapi, aku tidak pernah kisah semua itu kerana minat ini bukan tertakluk pada anugerah trofi saja, aku mencari lebih lagi dari sekadar perlawanan bolasepak biasa. Aku mencari hiburan bolasepak yang sejati biarpun senarai dukanya lebih panjang dari kegembiraan. Itulah drama. Seronok dan tidak jemu aku menonton 'drama' ini.



Kepada anak muda Wales itu, semoga mendapat semula kesihatan yang diimpikan semua.

Saturday, February 27, 2010

Playstation: Sebuah Perjuangan



Zaman aku membesar, banyak benda karut marut datang menerjah Malaysia. Terutamanya permainan video. Aku mula ada permainan video masa aku darjah berapa ntah. 3 kot. Masa tu tape dia orang panggil katrij. Masa tu game katrij memang mahal macam celaka. Ada ke 1 katrij harganya sampai RM60-RM70. Nasib baik kalau dalam 1 katrij tu ada banyak game. 10 in 1 ke. 5 in 1 ke. Kadang-kadang ada sampai beratus game dalam satu katrij. Tapi harga dia punya mencanak sampai beratus gakla. Time tu kalau ada permainan video ni memang aristokrat la. Masa tu Playstation mana ada lagi. Depa belum cipta. Yang paling kuat pun ada Nintendo. Pastu ada gak Atari yang aku pun tak tahu sangat. Agaknya pakai katrij juga kot.

 
Macam nilah lebih kurang videogame pertama aku. Siap ada pistol lagi beb.


Lepas tu, jeng jeng jeng. Muncullah Playstation menyinari bumi Malaysia. Gile kerek ayat. Aku tak ingat Playstation masuk Malaysia tahun berapa tapi aku dalam sekolah rendah la. Maknanya dalam tahun 1993-1999 la kot. Maybe 95 kot. Tak kisahla. Tapi nak mempunyai Playstation ni adalah satu perjuangan yang panjang bagi aku. Jika budak-budak golongan aristokrat boleh berbangga memiliki Playstation setelah memiliki Nintendo yang harganya riban-riban tu, aku pula menanti lama hanya untuk memilikinya sebuah. Tak silap aku masa Playstation 2 dah ura-ura nak keluar baru aku dapat beli Playstation.



Ni contoh game katrij. Yang ni 128 in 1. Banyak seh. Harga masa tu jangan cakapla.

Tapi masa tu, bukan je ada PS. Masa tu ada gak GameBoy dengan DreamCast. Tapi Playstation la barang hot masa tu. Ok, masa Playstation start keluar semua budak macam cacat gila kalau tak dapat main PS kat kedai game. Dulu mana ada Cyber Cafe ape semua. Yang ada hanyalah kedai game yang guna pelantar PS sebagai marketing dorang. Budak-budak sekolah la target market dorang. Kebanyakan yang bukak kedai game PS ni kebanyakannya golongan Cina la.

Apa?Ko tak paham? Adui, samala konsepnya dengan CC sekarang ni. Main 1 jam kena RM3 masa tu. Pilih je mana-mana game. Harga sama. Budak-budak sekolah termasuk aku habis duit kat kedai Cina ni je. Mau tak kaya dorang kan? Aku dengan abang aku sanggup pulak tuh berkayuh ke kedai depan yang jaraknya dalam 3 kilometer. Ala, kat Taman Minang,Cheras la susah sangat. Selalunya lepas sekolah petang pegila main kejap. Biasanya sabtu ngan ahad la. Siap pergi ngan member-member jiran lagi. Bawakla dalam RM10. Hujung minggu memang penuh kedai-kedai game PS ni. Pastu siap kena tunggu giliran lagi. Bila time dapat giliran punyalah seronok bukan kepalang. Masa tu famous ngan game bola fifa, wrestling dengan GranTurismo. Kalau tak main game-game ni semua boleh amuk satu pekan jadinya. Haha.

Ada jugak budak layan main game RPG macam Final Fantasy. Dey tambi, ini kedai game la! Lu orang mau save-save pegi angkat satu PS la ! Ada ke dorang main stail yang kena save kalau nak sambung lagi. Bajet esok datang lagi nak main balik. Tengok-tengok aku dah pedajal delete semua game dorang. Lantaklah, bukan orang tahu pun. Ada ke patut main game RPG camni kat kedai game. Pastu ada yang tak puas hati sanggup beli memory card PS sendiri pastu layan game dia. Bapaklah dorang ni. Macam sangap gila plak. Nasib baik kadang-kadang tokey kedai tak kasi bawak memory card sendiri. Tapi ada gak member aku yang perangai sial sikit, dia pergi rembat cd game PS. Yela, korang tau tak yang kalau korang bukak cover PS tu sambil game tengah running, imej kat skrin still ada lagi. So, dengan rasa tak bersalah terus blah sambil rembat game PS. Bengong gak member aku ni. Dia pergi rembat cd tu nak main kat mana? Taktaula aku kalau dia ada kawan dengan anak aristokrat lain pulak.

Memandangkan gejala bermain game di kedai cina dah sampai ke tahap kronik sehingga menjejaskan hubungan kekeluargaan, mak ayah aku mencadangkan aku dengan abang aku supaya membeli sendiri Playstation. Yak adoi! Ibarat satu tompokan tahi jatuh ke muka kami. Harga Playstation masa tu bayangkanlah berapa ribu bhai. Kalau beli seekor lembu pun lepas masa tu. Duit simpanan dalam bank campur berdua pun memang tak cukup. Jadi,hasrat ni pun tertangguh seketika. Maka, gejala menghabiskan duit tetap berlaku di kedai-kedai game. Tak best kedai ni, pergi try kedai baru. Masa tu, kedai game berorientasikan PS tumbuh macam cendawan. Cuma takleh makan je.

Setelah bertahun-tahun gejala ni terjadi, akibat satu persitiwa aku dapat juga memiliki Playstation. Mungkin selepas 3 tahun PS diperkenalkan kot. Peristiwa yang aku maksudkan ialah peristiwa abang aku main basikal jatuh patah tangan. Ada ke bawak laju turun bukit dekat lorong belakang rumah tu. Masa tu banyak timbunan simen yang dah kering. Meninggi je simen-simen kering tu. Bukk. Tercampak dia dalam longkang.

Tangan patah + duk umah bosan = dapat PS.

Senang je teori atas ni kan? Tapi tulah dia. Abang aku dengan aku bergabung duit la beli. Sambil-sambil tu mak ayah aku support. Yang sedihnya, kitorang pegi keluar duit tabung haji tu semata-mata nak beli PS. Memang hedonistik betul la. Habis simpanan untuk haji aku. Huhu.

Then, masa kitorang beli tu memang jadi hero kampung la. Mau taknya, dalam taman aku tu agaknya aku sorang je yang ada PS masa tu. Memang jadi kebanggaan taman la. Semua budak nak lepak main. Ah, jangan haraplah. Aku nak main sorang-sorang.

Kini, Playstation aku dah disimpan kembali dalam kotak sebagaimana asalnya. Aku dah tak guna. Aku nak tolak je kat orang tapi ayah aku pulak tak bagi. Ada sentimental value katanya. Agaknyala kot.


 
PS2 yang semakin hampir untuk diframekan di rumah.

Dan dalam tahun 2007 aku pun beli PS2 dengan saki baki duit Tabung Haji aku. Habis semuanya. Hmm. Aku beli tu bukan apa. Sebab PC yang aku selalu dok main game tu pakcik aku dah angkut balik rumah dia. Dia baru kahwin masa tu. So, dia nak la balik barang dia. Aku pun dengan hati yang lara ni pegi bantai beli PS2. Geram nak main game sebenarnya. Dan, sekarang aku nampak peluang untuk PS2 aku memasuki kotak dia balik adalah cerah. PS2 tu jugak dah berhabuk dan berdebu. Entahlah...

Don't Be Sad



" Apabila Kau melihat, Segalanya dariNya, Yang Maha Mencipta, Yang Menimpakan ujian, Yang menjadikan sakitnya hati, Yang membuatkan keinginan terhalang serta menyusahkan hidupmu....

Masakan Allah sengaja mentakdirkan segalanya untuk sesuatu yang sia-sia...

Bukan Allah tak tahu deritanya hidupmu, retaknya hatimu...

Itulah yang Dia mahukan kerana Dia tahu bahawa hati beginilah selalunya lebih lunak dan mudah untuk dekat dan akrab padaNya...

Ya Allah, hanya padaMu lah aku mengadu.Hanya padaMu lah aku berserah. Semoga hidupku sentiasa beroleh rahmah. Dan campakkanlah kekuatan iman di hatiku...

Moga kesudahanku..Husnul Khotimah."

AMIN...


Warkah ini dikirimkan kepadaku daripada seseorang yang memberi makna dalam hidupku. Seseorang yang istimewa dan seseorang yang memberikan aku cahaya harapan...Insyaallah.Salam Maulidur Rasul.

Sunday, February 21, 2010

Setail Sekarang

Tahun Baru Cina hari tu aku jalan-jalan Ipoh. Bajet nak rasalah macamane sambutan kat sini. Tapi nampak macam biasa je. Ke aku yang taktau mana port best dorang kat Ipoh ni? Lantaklah.

Di samping itu jugak, hajat aku nak cari air lemuju. Nak cari buat apa pun, aku taktau. Saja-saja je nak cari. Aku try round kat Greentown Mall Ipoh kot-kot ada kat situ ke. Masuk je dalam mall ni rasa macam masuk kedai butik wanita je. Penuh dengan butik dan kedai pakaian wanita je dalam ni. Jadi, aku teruskan pencarian air lemuju aku ni. 

Sampai satu corner, aku selisih dengan sorang pakcik. Hampir berlanggar aku dengan dia. Tiba-tiba, pakcik tu usha tengok aku dari atas sampai bawah. 

"Ko ni dari KL ke?", pakcik tu bertanya aku tiba-tiba.

"Ha'ah. Mana pakcik tau ni?", aku soal dia pulak.

"Entah, pakcik agak je.Tengok gaya kot. Ko cari apa sini?", tanya pakcik itu ibarat seorang detektif.

"Ayor lemuju"

"Oh, pakcik ada jual. Moh kite ke kedai pakcik.", ajak pakcik itu.

Aku lega dapat juga cari air ni. Tapi aku tak paham kenapa dia tanya macam-macam tadi. Dengan prasangka baik, aku pun ikut dia ke kedai. Dalam perjalanan, kami sembang-sembang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai pakcik Mat Tom. Sembang punya sembang, masuk pulak cerita pasal budak-budak sekarang. Jadi, antara benda yang pakcik tu sentuh mengenai setail style sekarang, pakcik tu ceritakan di bawah ni. Aku terpaksa sunting sikit-sikit supaya blog aku nanti tak diharamkan pulak.
----------------------------------------------------------------------------------

1. DSLR - Pakcik tak paham betul kenapa ramai sangat budak sekarang sibuk nak jadi photographer. Masa pakcik pegi kompleks beli-belah dekat Padang Pahlawan kat Melaka tu, ramai betul budak-budak dengan DSLR bergayut kat tengkuk. Kalau betul-betul minat takpe. Ini sekadar nak nampak cool dan mengikut arus semasa je pakcik tengok. Kang pakcik tanya apa tu aperture, telephoto, focal point, haa..terkebil-kebil mata nak jawap.



2. Drift Oldskool - Sekarang ramai pakcik tengok budak-budak muda ni amik jalan senang. Bukan apa, dorang pegi beli kereta lama yang dah buruk harga murah tu ngan geng-geng pakcik lepas tu dorang modified kasi boleh drift. Sakit hati geng-geng pakcik tu tengok kereta dorang diperlakukan sebegitu. Tapi sapa suruh jual kan. Yang ni pakcik tak kisah sangat. Kurang-kurang dapat gak pakcik teringat balik nostalgia lama bila pakcik tengok kereta-kereta ni kat jalan dah jadi cantik-cantik belaka.



3. Facebook - Yang ni pakcik hairan. Laman sosial bukan baru pun dalam internet ni. Kehairanan pakcik bertambah bila tengok iklan kat tv suruh orang masuk satu grup ni dalam Facebook. Menteri-menteri sekarang pun nak ikut budak-budak muda ni join Facebook. Ape barang? Masa zaman Friendster, Myspace dulu takde pulak orang sibuk-sibuk. Heran betul pakcik walaupun fans pakcik taklah seramai Dr.Mahathir atau Fara Fauzana.



4. Perempuan dan gitar - Yang ni bukan pakcik nak marah cuma pakcik hairan kenapa sekarang berlambak golongan perempuan nak main gitar? Dulu-dulu zaman pakcik takde pun. Yang jadi tukang nyanyi ada la. Pakcik bukan marah cuma hairan je. Mungkin sebab teknologi sekarang memudahkan sesiapa saje nak belajar main gitar contohnya Guitar Pro. Cucu pakcik yang ajar pakcik tu. Tapi tangan pakcik memang jenis takde bakat punya.

Itulah antara point-point yang pakcik Mat Tom kongsi dengan aku. Selesai je sembang, dia pun bagi aku 2 botol air lemuju. Aku cuba menyerahkan wang tetapi beliau menolaknya. Sedekah katanya. Cuma beliau berpesan, "Janganlah kita hanyut sangat dengan dunia. Kejar dunia tapi akhirat jangan lupa jugak. Itu lebih penting."
 
Aku pun berlalu meninggalkan pakcik Mat Tom dan cerita-ceritanya yang akan aku jadikan ingatan.

Saturday, February 20, 2010

Haus


Aku betul-betul haus sekarang. Aku perlukan air.

Dan juga udara baru.

Segalanya tampak kering dan berdebu di sini.

Sunday, February 07, 2010

Nostalgia Ke Stadium


Stadium pada awalnya dibina oleh orang-orang Greek sejak 776 masihi lagi yang originatinya dipanggil 'Stadion' oleh mereka. Mereka membina stadium atas pelbagai sebab antaranya adalah untuk menjadi suatu tempat atau upacara untuk berlawan ataupun untuk bersukan. Dari situ, terlahirlah sukan Olimpik yang kita tonton sehinggalah sekarang.

Tunku Abdul Rahman pecah tanah Stadium Merdeka


Itu serba sedikit tentang stadium. Sebagai seorang penonton dan peminat sukan bolasepak, pastinya aku pernah menjejakkan kaki ke stadium. Pada waktu aku masih kecil lagi, ayah sering membawa aku ke stadium untuk menonton bolasepak yang membabitkan pasukan Malaysia dan Perak. Kebanyakannya aku menonton perlawanan membabitkan pasukan Perak. Aku tidak ingat berapa usia aku kali pertama melangkah masuk ke stadium tetapi kebanyakan stadium di sekitar Lembah Klang ini hampir semuanya pernah aku jejaki.


Stadium Merdeka. Stadium Petaling Jaya. Stadium Kelana Jaya. Stadium Selayang. Stadium Cheras. Stadium Shah Alam. Stadium Bukit Jalil. Oh ya, Stadium Perak. Itu antara stadium-stadium yang pernah aku jejaki. Yang pernah aku menjerit di dalamnya. Yang pernah aku memaki di dalamnya. Atau yang pernah aku bersorak di dalamnya.



Dulu


Jika ada pertemuan pasukan Perak dengan pasukan sekitar Lembah Klang, ayah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk turun padang sama menonton kelibat-kelibat pemain menggelecek bola. Menonton bola di tv tidak pernah sama seperti menonton bola di stadium. Di stadium, perasaannya susah untuk digambarkan. Datanglah dari ceruk mana pun, semuanya bersatu menyokong pasukan kesayangan. Pernah aku bertepuk sorak dengan seorang pakcik yang lebih tua setelah Perak menjaringkan gol. Dan pernah juga aku membaling air minuman ke padang yang mana airnya terpercik ke penyokong depan aku namun dia hanya melontar senyuman seakan menyetujui tindakan protes aku itu. Itulah kuasa penyatuan yang mudah dilihat dalam stadium jika kita memakai jersi yang sama.




Dalam banyak-banyak stadium yang ayah bawa aku pergi, Stadium Merdekalah yang paling hebat dari nilai sentimental Liga Malaysia. Atmosfera di situ sungguh mengasyikkan dan elemen klasik pada pertandingan Piala Malaysia di situ sungguh fantastik. Pasukan yang sering ditentang ketika itu ialah Selangor. Pertemuan antara Perak dan Selangor ketika itu bagai membangkitkan suatu perasaan luarbiasa yang kedua pasukan boleh dianggap antara musuh ketat ketika itu. Di gelanggang keramat inilah, perasaan kalah dan menang sudah menjadi silih ganti antara kedua pasukan walhal aku ketika itu masih kecil yang mungkin tidak kenal erti sokongan yang sebenar.



Seterusnya, gelanggang yang menjadi mercu tanda pada awal milennium adalah Bukit Jalil. Pasukan Perak yang diterajui Laszlo Repasi pada 1998 bertemu Terengganu di final Piala Malaysia. Perak muncul juara kali pertama di gelanggang rasmi negara ini. Seterusnya pada tahun 2000 aku sekali lagi menjadi saksi kejuaraan kedua di gelanggang baru ini dengan Perak menewaskan Negeri Sembilan.


Kini

Apa yang aku terkilan adalah cara bagaimana pihak berkuasa menangani hal-ehwal Stadium Merdeka yang bagi aku tiada tolok bandingnya dari segi nilai sejarah dengan mengabaikannya begitu saja. Jika England boleh berbangga dengan Wembley yang sudah diupgrade, mengapa tidak Stadium Merdeka? Mercu tanda ini tidak sepatutnya mendapat layanan sebegini dan aku harapkan mereka yang berkuasa dapat melakukan sesuatu supaya stadium ini dapat menjadi monumen sejarah terus-terusan untuk generasi hadapan.



Ayah dan aku sudah jarang ke stadium kerana prestasi Perak yang tiba-tiba merudum sebaik saja berlaku rampasan kuasa di sana. Tidak mungkin dapat aku berperasaan teruja lagi sebaik memasuki pintu masuk stadium dan melihat lautan manusia menghadap 22 pemain di padang yang menghijau. Aku sangat ingin menjejakkan kaki ke stadium lagi. Aku berharap segala memori indah aku menonton bolasepak di stadium selama berbelas tahun(mungkin) bersama ayah dapat diulang lagi. Biarlah kali ini, aku yang membayarkan tiketnya dan menuntun tangannya memasuki pintu stadium. Dan biarlah penantian ini tidak terlalu lama.

Ini adalah antara entri hari-hari terakhirku ke stadium dulu.
 
Google Analytics Alternative