Sunday, February 07, 2010

Nostalgia Ke Stadium


Stadium pada awalnya dibina oleh orang-orang Greek sejak 776 masihi lagi yang originatinya dipanggil 'Stadion' oleh mereka. Mereka membina stadium atas pelbagai sebab antaranya adalah untuk menjadi suatu tempat atau upacara untuk berlawan ataupun untuk bersukan. Dari situ, terlahirlah sukan Olimpik yang kita tonton sehinggalah sekarang.

Tunku Abdul Rahman pecah tanah Stadium Merdeka


Itu serba sedikit tentang stadium. Sebagai seorang penonton dan peminat sukan bolasepak, pastinya aku pernah menjejakkan kaki ke stadium. Pada waktu aku masih kecil lagi, ayah sering membawa aku ke stadium untuk menonton bolasepak yang membabitkan pasukan Malaysia dan Perak. Kebanyakannya aku menonton perlawanan membabitkan pasukan Perak. Aku tidak ingat berapa usia aku kali pertama melangkah masuk ke stadium tetapi kebanyakan stadium di sekitar Lembah Klang ini hampir semuanya pernah aku jejaki.


Stadium Merdeka. Stadium Petaling Jaya. Stadium Kelana Jaya. Stadium Selayang. Stadium Cheras. Stadium Shah Alam. Stadium Bukit Jalil. Oh ya, Stadium Perak. Itu antara stadium-stadium yang pernah aku jejaki. Yang pernah aku menjerit di dalamnya. Yang pernah aku memaki di dalamnya. Atau yang pernah aku bersorak di dalamnya.



Dulu


Jika ada pertemuan pasukan Perak dengan pasukan sekitar Lembah Klang, ayah pasti tidak akan melepaskan peluang untuk turun padang sama menonton kelibat-kelibat pemain menggelecek bola. Menonton bola di tv tidak pernah sama seperti menonton bola di stadium. Di stadium, perasaannya susah untuk digambarkan. Datanglah dari ceruk mana pun, semuanya bersatu menyokong pasukan kesayangan. Pernah aku bertepuk sorak dengan seorang pakcik yang lebih tua setelah Perak menjaringkan gol. Dan pernah juga aku membaling air minuman ke padang yang mana airnya terpercik ke penyokong depan aku namun dia hanya melontar senyuman seakan menyetujui tindakan protes aku itu. Itulah kuasa penyatuan yang mudah dilihat dalam stadium jika kita memakai jersi yang sama.




Dalam banyak-banyak stadium yang ayah bawa aku pergi, Stadium Merdekalah yang paling hebat dari nilai sentimental Liga Malaysia. Atmosfera di situ sungguh mengasyikkan dan elemen klasik pada pertandingan Piala Malaysia di situ sungguh fantastik. Pasukan yang sering ditentang ketika itu ialah Selangor. Pertemuan antara Perak dan Selangor ketika itu bagai membangkitkan suatu perasaan luarbiasa yang kedua pasukan boleh dianggap antara musuh ketat ketika itu. Di gelanggang keramat inilah, perasaan kalah dan menang sudah menjadi silih ganti antara kedua pasukan walhal aku ketika itu masih kecil yang mungkin tidak kenal erti sokongan yang sebenar.



Seterusnya, gelanggang yang menjadi mercu tanda pada awal milennium adalah Bukit Jalil. Pasukan Perak yang diterajui Laszlo Repasi pada 1998 bertemu Terengganu di final Piala Malaysia. Perak muncul juara kali pertama di gelanggang rasmi negara ini. Seterusnya pada tahun 2000 aku sekali lagi menjadi saksi kejuaraan kedua di gelanggang baru ini dengan Perak menewaskan Negeri Sembilan.


Kini

Apa yang aku terkilan adalah cara bagaimana pihak berkuasa menangani hal-ehwal Stadium Merdeka yang bagi aku tiada tolok bandingnya dari segi nilai sejarah dengan mengabaikannya begitu saja. Jika England boleh berbangga dengan Wembley yang sudah diupgrade, mengapa tidak Stadium Merdeka? Mercu tanda ini tidak sepatutnya mendapat layanan sebegini dan aku harapkan mereka yang berkuasa dapat melakukan sesuatu supaya stadium ini dapat menjadi monumen sejarah terus-terusan untuk generasi hadapan.



Ayah dan aku sudah jarang ke stadium kerana prestasi Perak yang tiba-tiba merudum sebaik saja berlaku rampasan kuasa di sana. Tidak mungkin dapat aku berperasaan teruja lagi sebaik memasuki pintu masuk stadium dan melihat lautan manusia menghadap 22 pemain di padang yang menghijau. Aku sangat ingin menjejakkan kaki ke stadium lagi. Aku berharap segala memori indah aku menonton bolasepak di stadium selama berbelas tahun(mungkin) bersama ayah dapat diulang lagi. Biarlah kali ini, aku yang membayarkan tiketnya dan menuntun tangannya memasuki pintu stadium. Dan biarlah penantian ini tidak terlalu lama.

Ini adalah antara entri hari-hari terakhirku ke stadium dulu.

2 comments:

Anonymous said...

Hey i am suuper boy

eJAI said...

kalo super girl leh gak aku ngorat...

 
Google Analytics Alternative