Sunday, April 11, 2010

Tamatnya Sebuah Episod Dalam Perjalanan Hidup

Internship atau praktikal training aku secara rasminya dah berakhir Jumaat lalu. Walau aku gembira dapat melepaskan diri dari supervisor aku yang bermuka ketat sepanjang masa, aku rasa sesuatu. Sesuatu yang rasa seperti kehilangan. Aku selalu macam ni.

Macam masa aku kena pegi Program Khidmat Negara dulu, punyalah aku menyumpah apa semua, tapi bila dah atas bas nak tinggalkan kem rasa macam kehilangan. Entah kenapa entah, bila kita dah rasa selesa dengan apa yang di sekeliling kita walau ada satu dua benda yang menyakitkan hati di pertengahan jalan, kita akan rasa itu adalah sebahagian dari kehidupan. Itulah warna dalam kehidupan ni.

Maka, apabila hari Jumaat lalu tibanya waktu tamat kerja, aku bersalam dengan pekerja-pekerja di kilang itu. Dengan supervisor aku bermuka ketat pun aku salam sambil mengucapkan terima kasih atas tunjuk ajar yang diberi. Reaksinya biasa dan cuma berkata ok. Namun, aku tidak pernah nak simpan dendam atau apa-apa je dalam hati. Aku akan bersangka baik dan dia pun dah nak bertukar kerja. Dengan pekerja Bangla dan Myanmar pun aku salam. Mereka ni lah antara yang buat aku dan rakan-rakan seronok kerja sini. Yang buat aku survive sampai hari itu. Mereka juga seronok apabila kitorang datang buat praktikal kat situ sampai peluk-peluk aku sehingga keluar pintu sambil berpesan jangan lupakan mereka. Oh, aku terharu.


Aku akan menyambung semula status aku sebagai pelajar selepas ini selepas hampir 4 bulan berstatus sebagai operator. Jalan di depan masih banyak yang perlu aku tempuh. Berduri, bengkang-bengkok, lurus atau apa saja keadaan jalan itu, harus aku lalui. Masih banyak di depan yang menanti aku. Dan pengalaman-pengalaman yang aku lalui dan tinggalkan di belakang tidak akan menjadi sia-sia kerana itulah pedoman aku kelak. Dan, bagi pekerja-pekerja asing di situ, aku tidak tahu apa nasib mereka nanti setelah kerajaan akan mengurangkan kuota pekerja import nanti. Aku berasa simpati pada mereka sama seperti aku berasa simpati pada orang-orang kita yang masih menganggur. Tapi, apa yang boleh aku pelajari daripada mereka hari ini ialah, kerja kuat. Susah untuk melihat dalam 4 bulan itu mereka tidak datang bekerja. Mereka juga bekerja overtime setiap hari, setiap bulan dan juga setiap tahun. Itupun masih rendah bayaran yang mereka dapat yang hanya menjadi tinggi nilainya di kampung halaman mereka. Tapi mereka tak akan berhenti bekerja. Ibarat ada sesuatu yang mereka kejarkan. Entah apa nasib mereka nanti.




Bukan aku mahu menyokong kehadiran pekerja asing di sini cuma aku terasa dan tersentuh dengan ketabahan di dalam jiwa dan semangat kental mereka di sebalik cabaran yang mereka hadapi. Kerana sebagai manusia, melihat manusia lain berjuang dalam kepayahan mereka, cukup mendetik hati aku.

Tiba-tiba, kalendar bertiup di dinding....

Hari ni sudah 11 April. Tinggal 12 hari untuk menghantar laporan praktikal. Sempat lagi ber'emo' di sini. Sekian...

No comments:

 
Google Analytics Alternative