Sunday, June 12, 2011

Jurnal Kembara 7: Tanah Tinggi


Baru-baru ini saya berpeluang dan diberi kesempatan untuk menikmati zat keagunganNya di tanah tinggi Cameron. Perjalanan saya bersama kerabat keluarga dan sanak saudara menelusuri laluan berliku dan bengkang-bengkok dari Simpang Pulai dengan tujuan kami ke sana hanyalah sekadar untuk menggumpal awan dan menconteng kaki langit dengan pandangan mata kami. 

Selain itu, saya mahu membawa pulang beberapa sampel strawberi untuk meneruskan kajian saya yang terbantut 16 tahun lalu iaitu bagaimana kita boleh menanam pokok strawberi di tanah yang hampir pada paras laut. Dalam ertikata lain, saya mahu menanam strawberi di rumah saya dan bagaimana mahu memastikan ia kekal subur sehingga berbuah dengan banyaknya. 




Sempat kami semua bermalam sehari di sana untuk hanya menghayati keasyikan suhu dinginnya di atas Tanah Rata. Sampaikan tidak perlu pendingin hawa hatta kipas sekalipun di dalam resort penginapan kami semua. Ternyata langkah penjimatan elektrik dan pengurangan kos oleh pihak resort itu tepat dan hasilnya kami semua membeku dalam kesejukan malam serta kedinginan embun pagi. 

Apa yang saya kagumi di sini adalah, suhunya masih dingin seperti 16 tahun lalu tetapi udaranya sudah tidak sesegar dulu. Tidak banyak kabus yang tumbuh di sekitar resort penginapan kami walaupun ia terletak di puncak bukit. Kuasa alam sudah semakin menunjukkan tindakbalasnya hasil kerja tangan manusia yang hanya mempedulikan isi perut mereka. Oh ya, saya juga mengkagumi keramahan penjual-penjual pasar tani yang kebanyakkannya menghormati pengunjung yang datang biarpun mereka berlainan bangsa.

Sekian jurnal kali ini.




P/S - Mengenai hasil kajian aku pasal pokok strawberi tu mungkin aku terpaksa pergi lain kali kerana semua buah strawberi habis dimakan sebelum sampai ke bawah. 

No comments:

 
Google Analytics Alternative