Friday, December 02, 2011

Cerita Ultras



 Dikhabarkan Ultras Malaya wujud di Malaysia pada 2007. Cuma selepas kemenangan Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea, populasi penyokongnya bertambah mendadak. Keahliannya mudah. Terbuka untuk semua asalkan sanggup berdiri dan menyanyi atau dipanggil "chanting" sepanjang 90 minit.


Kewujudan Ultras merebak ke seluruh negara apabila Liga Super memulakan aksinya pada musim ini. Setiap negeri pasti ada Ultras mereka sendiri. Cuma, aku kurang pasti adakah Johor, Pahang, Melaka mahupun Pulau Pinang mempunyai Ultras sendiri. Dan berbagai-bagai nama mereka lekatkan bagi mewakili negeri masing-masing supaya ada perbezaan sesama mereka.

Pada mulanya, aku respek dengan kewujudan Ultras Malaya tambah-tambah lagi setiap kali game Malaysia berlangsung. Stadium menjadi meriah dan gempita dengan sorakan mereka walaupun jumlah mereka kadangkala tidaklah ramai. 

Cuma, perangai Ultras sekarang sudah menjadi makin pelik. Aku hairan. Adakah kerana keahliannya yang mudah dan terbuka menyebabkan nilai keindahan Ultras itu menjadi rosak? Mereka kini menyangka merekalah penyokong setia pasukan negara kerana sanggup berdiri 90 minit tanpa henti-henti bersorak. Sikap membangga diri dan menganggap diri lebih mulia ni memang tidak boleh aku terima. 

Aku yang sudah berdekad-dekad menonton bola di stadium pun tiada rasa nak mendabik dada atas sokongan aku pada pasukan Malaysia. Adakalanya, mereka yang baru setahun jagung mengecap nikmat menonton bolasepak di stadium sudah mula ego dan menjadi orang suci kononnya. Bukan itu saja, mereka ada lagu khas kepada pasukan lawan setiap kali ada perlawanan membabitkan pasukan negara yang mana liriknya tidak boleh diterima dalam budaya masyarakat Islam. Adakah ini yang dinamakan 'Respect' di dalam bolasepak?

Jadi, diharapkan Ultras Malaya kembali menjadi seperti dahulu. Radikal tetapi tidak banyak bersuara. Maksudnya, bersuara di medan lain selain di stadium. Kerana adakalanya suara kita itu hanya akan menampakkan kedangkalan dan kecetekan akal kita. Sekian, majulah Ultras untuk negara!!



No comments:

 
Google Analytics Alternative