Friday, December 23, 2011

Mengupas Rokok Dan Kopiah



Walaupun video di atas sudah agak lama beredar di Youtube namun baru kini saya berpeluang mengulasnya. Di Youtube, tidak ada tarikh luput untuk video-videonya kan?

Tujuan saya ingin membuat ulasan tentang video Matluthfi ini adalah kerana bukan saya mahu mempromosikan beliau. Sebaliknya, saya kagum dengan kreativiti pemuda ini dalam mengolah cerita yang boleh disifatkan antara video terbaik beliau dalam banyak-banyak video yang dikeluarkannya.





Babak pertama dimulakan dengan Matluthfi yang ditonjolkan sebagai kaki hisap rokok yang baru pulang ke rumahnya. Penonton diajak berfikir dalam babak ini di mana Matluthfi membuat panggilan kepada seseorang yang dipanggil 'cikgu'. Dalam panggilan ini, kita tertanya-tanya siapakah Syafiq yang dimaksudkan di mana Syafiq suka tengok binatang dalam salah satu dialog. Selepas itu, bermula debat antara Matluthfi dan rakannya mengenai down syndrome dan haramnya rokok. 

 
Di sini, kita akan mendapati bahawa Matluthfi suka mempersendakan rakannya yang berpegang kepada perintah pengharaman rokok dan bahawa bermain gitar/ukulele itu haram. Bagi babak seterusnya, Lutfi sekali lagi ditampilkan sebagai seorang yang liat nak bangun Subuh. Ini memberi klu kepada penonton bagaiman prinsip dan falsafah hidupnya yang kurang dekat pada Tuhan. 





Babak perbualan seterusnya di dalam kereta menyerlahkan sisi Luthfi yang menyatakan dirinya bersifat optimis kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Bagi rakan beliau pula, dia berpegang kepada pandangan ustaz yang mana mempunyai pandangan yang lebih tegas, maka itulah yang benar. Penonton pun mula dapat mengagak karakter yang dibawa dua orang ini. Ada sesetengahnya mungkin tidak akan berpihak kepada Matluthfi. 





Dalam babak selanjutnya, penonton sekali lagi disogokkan pertanyaan siapakah Syafiq yang dimaksudkan Luthfi dalam perbualan telefon beliau dengan 'cikgu'. Untuk bahagian seterusnya, kita tentu dapat meneka bahawa yang mematahkan filter rokok Matluthfi itu sudah tentulah rakannya. Antara dialog yang menarik bagi babak seterusnya adalah "Jangan Tuhan tak minat nak sambung nyawa kau tu sudah...". Pasti ada di antara kita yang pernah mempunyai rakan atau kita sendiri yang pernah mengucapkan sebahagian dialog dalam babak di sini.





Babak seterusnya adalah perbualan dua orang ini di mana Matluthfi kelihatan tertekan dengan digambarkan ia menghabiskan banyak rokok, pil dan air berkarbonat. Di dalam perbualan ini dapat disimpulkan yang Matluthfi mungkin kehilangan adiknya, Syafiq. Dialog berbunyi " Tu pun Tuhan teringin nak ambik dia daripada aku.." menerangkan bahawa mungkin adiknya terlibat dengan kemalangan kerana malam sebelumnya, Syafiq tidak balik lagi semasa beliau menelefon cikgunya. 


Peranan rakan Matluthfi menjadi besar apabila bercerita tentang hidup Nabi yang tidak ada apa-apa jika nak dibandingkan dengan Matluthfi. Dan dialog terakhir yang menusuk ke dalam kalbu penonton adalah "Selagi kau tak bergantung kepada yang tak mati". Ini adalah salah satu saranan rakannya supaya kembali kepada jalan Allah dan bergantung harap kepadaNya. Tidak guna jika bersikap positif jika tidak bergantung kepada Allah. 





Dalam babak terakhir, Matluthfi seakan-akan berada di airport atau di tempat pengangkutan awam seolah menguatkan dakwaan bahawa memang sesuatu telah terjadi kepada adiknya. Ketika ini juga dapat dilihat bahawa adiknya, Syafiq adalah down syndrome. Sebelum itu, dapat dilihat Matluthfi memegang kotak rokok ketika mahu bertolak dan penonton akan menyangka bahawa beliau memasukkan kotak rokok tersebut dalam kocek bajunya. 





Namun, penonton ditunjukkan bahawa itu bukanlah kotak rokok sebaliknya adalah sebuah Al-Quran kecil. Dan, dalam gerakan kamera yang tidak dinampakkan wajah orang yang bermain ukulele itu, bagi saya, itu adalah rakan Matluthfi yang mungkin sudah mengubah kepercayaannya. Begitu juga dengan Matluthfi. Bagi saya, penonton diajak berfikir supaya jika kita percaya kepada sesuatu benda tanpa asas yang kukuh, kita akan tenggelam dengan hujah lawan. Dan pastinya kita tidak akan nampak keikhlasan dalam sesuatu yang kita pegang dan perjuangkan kerana semuanya adalah kosong. Itu senario kawan Matluthfi (maaf, tak tahu nama).







Bagi kes Matluthfi pula, orang seperti ni bagus jika kita pakai dalam aspek kehidupan seperti pekerjaan atau pembelajaran. Dia akan mencari jawapan kepada setiap persoalan di sekelilingnya. Sayangnya, hidupnya bukanlah memberikan hatinya kepada Tuhan. Dia bersangka baik dengan Tuhan tetapi tetap kosong pada akhirnya malah, tiada apa yang mampu menyuburkan jiwanya kerana tidak ada iman di dalamnya. Oleh itu, kepercayaan tanpa rasional adalah buta. Rasional tanpa kepercayaan adalah kontang. Seimbangkan kedua-duanya, Insyallah akan hiduplah 'perigi' itu. 


Tahniah Matluthfi dan teamnya di atas kreativiti hebat mereka di samping sebagai satu dakwah dan sinikal kepada mereka yang pernah merasakannya.

5 comments:

aljambz said...

Ulasan yang mantap kawan.

Anonymous said...

Siapa dan di mana untuk memesan musim panas ini pada festival , sebagian informasi Anda.

Unknown said...

Terbaik ulasan anda...

eJAI said...
This comment has been removed by the author.
eJAI said...

Terima kasih en. Naaz. Apapun, ilmu adalah milik Allah dan kepadaNya jugalah kita memberikan segala puji.

 
Google Analytics Alternative