Tiada berita lain yang lebih menggembirakan saya daripada mendengar berita terkeluarnya Man United daripada saingan Champions League pagi tadi. Arsenal pula meneruskan rekod cemerlang sejak menyertai Champions League pada musim 1998 iaitu tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan. Cuma musim untuk menjulang piala bertelinga besar itu saja masih belum tiba.
Menonton Champions League menjadi kegemaran saya saban tahun. Kegemaran itu makin menjadi-jadi apabila saya melangkah masuk ke universiti. Tambahan pula waktu itu, rangkaian Media Prima menyiarkan perlawanan secara langsung di saluran TV3, NTV7 dan 8TV. Jadi, lelah selepas mengulangkaji diubati dengan menonton perlawanan bolasepak yang menarik di kaca tv.
Memang terasa keseronokannya apabila kita bangun pukul 3 pagi dan mengerjakan tahajud sekejap, kemudian menonton bola. Jika duduk di kolej, aku lebih senang menonton dari komputer yang dicucuk dengan tv card. Kemudian, sama-sama menjerit bila gol sehinggakan esoknya tu final exam pun tak terasa sangat. Antara memori yang masih segar di ingatan aku pastinya kenangan menonton di kedai mamak sewaktu belajar di Pulau Pinang dahulu.
Tahun 2008, Arsenal menentang Liverpool. Perlawanan tersebut begitu dramatik sehingga ke wisel penamat. Setelah kedudukan terikat 1-1, Liverpool tampak seakan melayakkan diri ke peringkat seterusnya tetapi larian menakjubkan dari Walcott dari kawasan Arsenal memberi harapan buat Arsenal. Adebayor mudah membuat 'tap-in' dari larian cantik Walcott yang mana telah menggamamkan puluhan peminat Liverpool di kedai mamak situ.
Aku apalagi, menjerit sepuas-puasnya apabila seakan sudah pasti Arsenal akan layak. Namun, tak sampai seminit, Toure menjatuhkan Babel di dalam kotak penalti dan Liverpool menjadikan kedudukan 3-2. Seterusnya, Babel memastikan Liverpool layak dengan kemenangan 4-2. Seakan memahami nasib aku, hujan turun rintik-rintik sebaik hampir ke wisel penamat. Kuah dal juga bercampur hujan kerana aku duduk di kawasan tak berbumbung. Malam itu aku memang hampa gila kerana kekalahan itu terlalu kejam.
Sebelum game menentang Liverpool dalam musim yang sama, Arsenal telah mengatasi AC Milan di San Siro dalam perlawanan yang aku sifatkan antara game terbaik Arsenal dalam dekad ini. Tambah manis, pelbagai memori yang aku kutip semasa menonton game ni di mamak. Kedai mamak ni sebenarnya rumah kedai. Penyewa di bahagian atas kedai mamak ni adalah gadis-gadis bekerja kilang. Sudah tentulah apabila kami menyorak akan menyebabkan mereka terganggu. Tapi, inilah kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi.
Ketika Fabregas menjaringkan gol, semua penyokong Arsenal bagaikan dirasuk setan apabila menjerit bagai nak rak di kedai mamak tersebut. Maklumlah, setelah puas mencari gol, akhirnya masuk jugak. Tidak semena-mena, melayang tempat bekas pen daripada atas. Nasib baik tak bocor kepala budak depan aku tu. Ingatkan dah reda semuanya tapi setelah Adebayor menjaringkan gol kedua, sekali lagi budak depan meja aku menjerit nak gila. Maka, sekali lagi benda melayang ke bawah. Kali ni, plastik berisi ais. Apalagi, menjeritlah budak ni kepada si pembaling walaupun hakikatnya ais tu tak kena pun pada dia.
Setelah tamat perlawanan lebih kurang 5.30 pagi, budak depan aku tadi menganjing orang yang membaling dari atas tadi. Caranya, dengan sekali lagi menjerit macam orang gila. Aku hanya tersengih melihat gelagat mereka. Apa nak dibuat. Dah bawah tu kedai mamak yang ada menayangkan game bola, sudah tentulah kita tidak boleh expect yang mereka akan tengok dengan senyap sunyi. Ah, lagipun seminggu sekali je. Kehkehkeh...
Banyak lagi kenangan menarik yang aku alami ketika menonton Champions League ni sebenarnya tapi dua memori nilah yang paling menarik bagi aku. Mungkin tidak menarik melalui pembacaan tetapi sangatlah beremosi apabila aku kenang kembali zaman jahiliah aku dulu. Haha.
Sekarang, aku sudah tidak berpeluang lagi menonton Champions League secara langsung di tv kerana kekangan kerja. Itulah untungnya menjadi pelajar. Walaupun esoknya ada kelas pagi, aku masih boleh tidur belah petang untuk cover balik tidur tadi. Aku rindukan zaman itu.....
No comments:
Post a Comment