Monday, July 02, 2012

Hegemoni Baru



  Tiki-taka instant result?


Sepanyol mengesahkan status mereka selaku kuasa bolasepak utama dunia apabila merangkul gelaran Euro 2012 malam tadi sekaligus mempertahankan kejuaraan 2008 mereka. Ketika Luis Aragones mengambilalih jawatan kejurulatihan selepas Euro 2004, maka bermulalah generasi emas Sepanyol ketika itu. Setelah terkeluar daripada saingan Piala Dunia 2006, Aragones sedar bahawa rata-rata para pemainnya berfizikal biasa dan tidak mampu menandingi lawan yang lebih besar.

Lantas, Aragones mula mencipta resepi yang menjadi kebangkitan skuad La Furia Roja hari ini. Sistem yang berakar umbi daripada corak Johan Cruyff ini bermula di Barcelona pada era 80an. Lantas, ia berkembang di bawah Louis Van Gaal dan Frank Rijkaard seterusnya maju di bawah era Josep Guardiola. Namun, kredit sebenar haruslah dianugerahkan kepada Luis Aragones yang menyempurnakan corak permainan 'tiki-taka' ini apabila membuahkan kejayaan di Euro 2008. 

Tiki-taka merupakan corak permainan memonopoli permainan dengan cara menguasai bola melalui hantaran rendah dan berjarak dekat. Selain itu, perubahan posisi pemain dan pergerakan 'roaming' atau berlegar di sekitar padang menjadi pelengkap tiki-taka. Pendekatan memonopoli bola ini lantas menguatkan tanggapan adakah ini suatu corak permainan bolasepak era baru?

Boleh dikatakan jawapan itu hampir 100% benar. Setelah menguasai pentas Eropah pada 2008, Sepanyol sekali lagi melengkapkan imperialisme mereka di dalam bolasepak dengan merajai bolasepak dunia dengan memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan di bawah kendalian Vicente Del Bosque. Corak permainan tiki-taka diteruskan Del Bosque dengan menampilkan kudrat tenaga muda yang jauh lebih segar dan pantas. Kegemilangan 2010 inilah dikatakan puncak kejayaan tiki-taka.

Pelengkap kuasa hegemoni Sepanyol adalah dengan mengulangi kejayaan 2008 lalu apabila mencipta gemilang di Poland-Ukraine malam tadi. Sebagaimana Christopher Columbus, seorang pelayar Spanish menemui Dunia Baru sekaligus mengekalkan kolonisasi Eropah untuk berabad lamanya, begitulah juga pasukan bolasepak Sepanyol yang seakan menemui corak permainan yang mampu mengekalkan hegemoni mereka untuk beberapa tahun mendatang.

No comments:

 
Google Analytics Alternative