Sunday, July 05, 2015

All The Best

19 Jun 2015

Setelah hampir empat tahun aku menimba ilmu di syarikat aku sekarang, aku akhirnya telah mengemukakan surat perletakan jawatan kepada HR di pejabat aku petang itu. Beliau terus terduduk dan seterusnya bertanyakan apa masalah aku. Aku macam biasa jawab, 'tiada masalah, saya cuma mahu mencari pengalaman dan ilmu.'

Macam cliche juga jawapan itu.

Beberapa hari berikutnya, aku dipanggil oleh Pengarah Eksekutif dan apabila beliau tahu bahawa aku akan join syarikat cina, terus beliau bercerita pengalamannya bekerja dengan syarikat kontraktor cina dan tekanan yang dihadapinya itu. Aku rasa ceritanya menarik dan aku dapat rasakan ia satu cabaran buat aku untuk bekerja di dalam suasana yang lain walaupun bangsa lain menjadi bos aku. Itu satu cabaran dan kalau aku tak mahu ambil cabaran dan takut berdepannya, aku akan terus berada di zon selesa dan tidak akan dapat belajar. Itu yang aku tersedar apabila mendengar cerita beliau. Aku tambah bersemangat. Namun, di akhir perbualan, aku mengatakan bahawa aku ingin solat istikharah dahulu. Nampak seperti memberi harapan kepadanya walhal aku ingin bertemu sendiri dengan Pengarah Urusan aku pula.

3 Julai 2015

Pengarah Urusan aku pulang dari mengerjakan umrah dan akhirnya masuk ke pejabat. Sebelum aku bertemu dengannya, aku sempat ditanyakan sekali lagi oleh admin HR aku. Antara kata-kata yang masih aku ingat adalah seperti :

1. Awak tahu tak yang awak akan bekerja dengan cina? Awak tahu tak berkat ke pendapatan awak? Mereka tak bayar zakat tau. Awak sanggup?

2. Awak kata kalau awak bayar zakat pendapatan dapat menyucikan harta, habis macamana pula kalau awak bekerja di syarikat Carlsberg? Awak rasa pendapatan awak berkat ke?

3. Saya pernah bekerja dengan syarikat di mana ada staffnya yang tidak solat. Dari situ saya dapat merasakan tiada keberkatan lagi saya bekerja di syarikat lama saya tu.

Aku diam. Kadang-kadang aku balas juga tapi nampaknya semakin tajam dan pedih point-point yang beliau keluarkan termasuklah suatu perbandingan yang tidak logik dan relevan. Aku faham beliau berniat baik mahukan aku supaya terus tinggal di syarikat aku sekarang tetapi point-point yang dikemukakan telah terkeluar dan lari daripada tajuk. Sedikit sebanyak, aku menjadi sedih kerana seakan-akan aku akan bekerja di syarikat di mana pendapatan aku menjadi tidak berkat. Aku rasa sebenarnya banyak lagi cara lain untuk buatkan orang itu stay dengan syarikat lama tetapi ia agak keterlaluan sehingga memainkan sentimen agama. Aku boleh sahaja mematahkan hujah itu namun aku rasa ia tidak perlu kerana ia pasti menimbulkan suasana tidak sihat di kemudian hari. Aku akhiri perbualan itu dengan sedikit humor agar dapat aku 'lari' daripada point-point tajam beliau.

"Besar nanti pahala saya kalau dapat bawak bakal bos saya tu masuk Islam tau..."

Aku gelak dan beliau juga tergelak. Aku segera berlalu pergi.

Dalam pukul 6 petang, aku berjumpa dengan bos Pengarah Urusan aku dan beliau sememangnya bersikap profesional sepanjang perbualan setengah jam itu. Beliau menggalakkan stafnya untuk mengembangkan karier dan mencari pengalaman apatah lagi dengan usia yang muda ini, masih banyak yang perlu dipelajari. Bukan bermakna dia melepaskan aku, dia tidak sayangkan staffnya, cuma ia tidak mahu menyekat karier orang lain. Beliau juga menggalakkan aku untuk take-over bakal syarikat itu atau buka syarikat sendiri kerana jika kita hidup sekadar bekerja untuk makan gaji, ia tidak membawa ke mana. Maksudnya, impian aku harus besar apabila ingin berhijrah. Beliau akhirnya mengucapkan 'All the best' buat aku.

Malam itu aku menangis sedih kerana terpaksa meninggalkan mentor yang aku kagum tersebut. Aku berharap beliau beroleh kesihatan yang baik dan aku akan sedaya upaya membantunya apabila tiba masa aku berbuat demikian untuk membalas jasanya suatu hari nanti. Insyaallah.

No comments:

 
Google Analytics Alternative