Tuesday, November 07, 2017

Menonton Korupsi Kelas Bawahan

Baru-baru ini aku singgah di RnR sebuah plaza tol lebuhraya antara bandar bagi menyempurnakan dua benda normal manusia. Sedang aku menunggu orang, aku pun duduk berehat di sebuah pangkin berdekatan tandas plaza tol berkenaan. 

Aku melemparkan pandangan ke arah 2 orang pekerja pembersihan yang sedang melakukan kerja-kerja menyapu. Pada mulanya, aku tidak menyangka apa-apa sehinggalah salah seorang pekerja yang aku fikir orang tempatan mengeluarkan telefon bimbitnya.

Pekerja tersebut mula mengambil gambar rakannya sedang menyapu. Yang lebih menghairankan, beliau menyuruh rakannya bergaya seakan menyapu sampah di mana rakannya itu berada dalam keadaan pegun bagi membolehkan gambar diambil. Beberapa sudut pandangan diambil sambil rakannya terus berada dalam keadaan pegun.

Setelah selesai satu kawasan, mereka beralih ke tempat berdekatan bahu jalan di mana terdapat sampah-sampah dan daun kering. Peliknya, kawasan yang mereka 'bergaya' mengambil gambar tadi masih tetap tidak bersih dan sampah masih terbiar seperti sebelum mereka datang. Apabila mereka beralih kawasan, aksi yang sama dipertontonkan kepada aku iaitu rakannya mengambil gambar dengan seorang rakan lagi bergaya seakan-akan sedang menyapu sampah.

Kemudian, mereka pun beredar ke sebuah bilik yang aku syak, bilik rehat pekerja pembersihan tersebut. Aku jadi hairan dan terkejut. Sampah masih ada dan terbiar tetapi mereka seakan-akan sudah siap bekerja. Bukan hendak memfitnah atau bersangka buruk, namun perkara seperti ini pasti menghairankan kita.

Nampaknya, moral segelintir masyarakat sudah terjejas dari seatas-atas pimpinan sehingga ke bawah-bawahnya. Dunia semakin tidak berpihak kepada orang berilmu dan berintegriti. Manakala, yang jahil pula berada di tempat yang tidak sepatutnya. Lebih malang, kelompok jahil ini mempunyai peminat dan penyokong mereka sendiri.

Ini era depresif....

No comments:

 
Google Analytics Alternative