Friday, December 23, 2011

Mengupas Rokok Dan Kopiah



Walaupun video di atas sudah agak lama beredar di Youtube namun baru kini saya berpeluang mengulasnya. Di Youtube, tidak ada tarikh luput untuk video-videonya kan?

Tujuan saya ingin membuat ulasan tentang video Matluthfi ini adalah kerana bukan saya mahu mempromosikan beliau. Sebaliknya, saya kagum dengan kreativiti pemuda ini dalam mengolah cerita yang boleh disifatkan antara video terbaik beliau dalam banyak-banyak video yang dikeluarkannya.





Babak pertama dimulakan dengan Matluthfi yang ditonjolkan sebagai kaki hisap rokok yang baru pulang ke rumahnya. Penonton diajak berfikir dalam babak ini di mana Matluthfi membuat panggilan kepada seseorang yang dipanggil 'cikgu'. Dalam panggilan ini, kita tertanya-tanya siapakah Syafiq yang dimaksudkan di mana Syafiq suka tengok binatang dalam salah satu dialog. Selepas itu, bermula debat antara Matluthfi dan rakannya mengenai down syndrome dan haramnya rokok. 

 
Di sini, kita akan mendapati bahawa Matluthfi suka mempersendakan rakannya yang berpegang kepada perintah pengharaman rokok dan bahawa bermain gitar/ukulele itu haram. Bagi babak seterusnya, Lutfi sekali lagi ditampilkan sebagai seorang yang liat nak bangun Subuh. Ini memberi klu kepada penonton bagaiman prinsip dan falsafah hidupnya yang kurang dekat pada Tuhan. 





Babak perbualan seterusnya di dalam kereta menyerlahkan sisi Luthfi yang menyatakan dirinya bersifat optimis kerana tidak bergantung sepenuhnya kepada Tuhan. Bagi rakan beliau pula, dia berpegang kepada pandangan ustaz yang mana mempunyai pandangan yang lebih tegas, maka itulah yang benar. Penonton pun mula dapat mengagak karakter yang dibawa dua orang ini. Ada sesetengahnya mungkin tidak akan berpihak kepada Matluthfi. 





Dalam babak selanjutnya, penonton sekali lagi disogokkan pertanyaan siapakah Syafiq yang dimaksudkan Luthfi dalam perbualan telefon beliau dengan 'cikgu'. Untuk bahagian seterusnya, kita tentu dapat meneka bahawa yang mematahkan filter rokok Matluthfi itu sudah tentulah rakannya. Antara dialog yang menarik bagi babak seterusnya adalah "Jangan Tuhan tak minat nak sambung nyawa kau tu sudah...". Pasti ada di antara kita yang pernah mempunyai rakan atau kita sendiri yang pernah mengucapkan sebahagian dialog dalam babak di sini.





Babak seterusnya adalah perbualan dua orang ini di mana Matluthfi kelihatan tertekan dengan digambarkan ia menghabiskan banyak rokok, pil dan air berkarbonat. Di dalam perbualan ini dapat disimpulkan yang Matluthfi mungkin kehilangan adiknya, Syafiq. Dialog berbunyi " Tu pun Tuhan teringin nak ambik dia daripada aku.." menerangkan bahawa mungkin adiknya terlibat dengan kemalangan kerana malam sebelumnya, Syafiq tidak balik lagi semasa beliau menelefon cikgunya. 


Peranan rakan Matluthfi menjadi besar apabila bercerita tentang hidup Nabi yang tidak ada apa-apa jika nak dibandingkan dengan Matluthfi. Dan dialog terakhir yang menusuk ke dalam kalbu penonton adalah "Selagi kau tak bergantung kepada yang tak mati". Ini adalah salah satu saranan rakannya supaya kembali kepada jalan Allah dan bergantung harap kepadaNya. Tidak guna jika bersikap positif jika tidak bergantung kepada Allah. 





Dalam babak terakhir, Matluthfi seakan-akan berada di airport atau di tempat pengangkutan awam seolah menguatkan dakwaan bahawa memang sesuatu telah terjadi kepada adiknya. Ketika ini juga dapat dilihat bahawa adiknya, Syafiq adalah down syndrome. Sebelum itu, dapat dilihat Matluthfi memegang kotak rokok ketika mahu bertolak dan penonton akan menyangka bahawa beliau memasukkan kotak rokok tersebut dalam kocek bajunya. 





Namun, penonton ditunjukkan bahawa itu bukanlah kotak rokok sebaliknya adalah sebuah Al-Quran kecil. Dan, dalam gerakan kamera yang tidak dinampakkan wajah orang yang bermain ukulele itu, bagi saya, itu adalah rakan Matluthfi yang mungkin sudah mengubah kepercayaannya. Begitu juga dengan Matluthfi. Bagi saya, penonton diajak berfikir supaya jika kita percaya kepada sesuatu benda tanpa asas yang kukuh, kita akan tenggelam dengan hujah lawan. Dan pastinya kita tidak akan nampak keikhlasan dalam sesuatu yang kita pegang dan perjuangkan kerana semuanya adalah kosong. Itu senario kawan Matluthfi (maaf, tak tahu nama).







Bagi kes Matluthfi pula, orang seperti ni bagus jika kita pakai dalam aspek kehidupan seperti pekerjaan atau pembelajaran. Dia akan mencari jawapan kepada setiap persoalan di sekelilingnya. Sayangnya, hidupnya bukanlah memberikan hatinya kepada Tuhan. Dia bersangka baik dengan Tuhan tetapi tetap kosong pada akhirnya malah, tiada apa yang mampu menyuburkan jiwanya kerana tidak ada iman di dalamnya. Oleh itu, kepercayaan tanpa rasional adalah buta. Rasional tanpa kepercayaan adalah kontang. Seimbangkan kedua-duanya, Insyallah akan hiduplah 'perigi' itu. 


Tahniah Matluthfi dan teamnya di atas kreativiti hebat mereka di samping sebagai satu dakwah dan sinikal kepada mereka yang pernah merasakannya.

Thursday, December 08, 2011

Memori Champions League



Tiada berita lain yang lebih menggembirakan saya daripada mendengar berita terkeluarnya Man United daripada saingan Champions League pagi tadi. Arsenal pula meneruskan rekod cemerlang sejak menyertai Champions League pada musim 1998 iaitu tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan. Cuma musim untuk menjulang piala bertelinga besar itu saja masih belum tiba.

Menonton Champions League menjadi kegemaran saya saban tahun. Kegemaran itu makin menjadi-jadi apabila saya melangkah masuk ke universiti. Tambahan pula waktu itu, rangkaian Media Prima menyiarkan perlawanan secara langsung di saluran TV3, NTV7 dan 8TV. Jadi, lelah selepas mengulangkaji diubati dengan menonton perlawanan bolasepak yang menarik di kaca tv.

Memang terasa keseronokannya apabila kita bangun pukul 3 pagi dan mengerjakan tahajud sekejap, kemudian menonton bola. Jika duduk di kolej, aku lebih senang menonton dari komputer yang dicucuk dengan tv card. Kemudian, sama-sama menjerit bila gol sehinggakan esoknya tu final exam pun tak terasa sangat. Antara memori yang masih segar di ingatan aku pastinya kenangan menonton di kedai mamak sewaktu belajar di Pulau Pinang dahulu.

Tahun 2008, Arsenal menentang Liverpool. Perlawanan tersebut begitu dramatik sehingga ke wisel penamat. Setelah kedudukan terikat 1-1, Liverpool tampak seakan melayakkan diri ke peringkat seterusnya tetapi larian menakjubkan dari Walcott dari kawasan Arsenal memberi harapan buat Arsenal. Adebayor mudah membuat 'tap-in' dari larian cantik Walcott yang mana telah menggamamkan puluhan peminat Liverpool di kedai mamak situ.

Aku apalagi, menjerit sepuas-puasnya apabila seakan sudah pasti Arsenal akan layak. Namun, tak sampai seminit, Toure menjatuhkan Babel di dalam kotak penalti dan Liverpool menjadikan kedudukan 3-2. Seterusnya, Babel memastikan Liverpool layak dengan kemenangan 4-2. Seakan memahami nasib aku, hujan turun rintik-rintik sebaik hampir ke wisel penamat. Kuah dal juga bercampur hujan kerana aku duduk di kawasan tak berbumbung. Malam itu aku memang hampa gila kerana kekalahan itu terlalu kejam.



Sebelum game menentang Liverpool dalam musim yang sama, Arsenal telah mengatasi AC Milan di San Siro dalam perlawanan yang aku sifatkan antara game terbaik Arsenal dalam dekad ini. Tambah manis, pelbagai memori yang aku kutip semasa menonton game ni di mamak. Kedai mamak ni sebenarnya rumah kedai. Penyewa di bahagian atas kedai mamak ni adalah gadis-gadis bekerja kilang. Sudah tentulah apabila kami menyorak akan menyebabkan mereka terganggu. Tapi, inilah kehidupan yang terpaksa mereka tempuhi.

Ketika Fabregas menjaringkan gol, semua penyokong Arsenal bagaikan dirasuk setan apabila menjerit bagai nak rak di kedai mamak tersebut. Maklumlah, setelah puas mencari gol, akhirnya masuk jugak. Tidak semena-mena, melayang tempat bekas pen daripada atas. Nasib baik tak bocor kepala budak depan aku tu. Ingatkan dah reda semuanya tapi setelah Adebayor menjaringkan gol kedua, sekali lagi budak depan meja aku menjerit nak gila. Maka, sekali lagi benda melayang ke bawah. Kali ni, plastik berisi ais. Apalagi, menjeritlah budak ni kepada si pembaling walaupun hakikatnya ais tu tak kena pun pada dia. 




Setelah tamat perlawanan lebih kurang 5.30 pagi, budak depan aku tadi menganjing orang yang membaling dari atas tadi. Caranya, dengan sekali lagi menjerit macam orang gila. Aku hanya tersengih melihat gelagat mereka. Apa nak dibuat. Dah bawah tu kedai mamak yang ada menayangkan game bola, sudah tentulah kita tidak boleh expect yang mereka akan tengok dengan senyap sunyi. Ah, lagipun seminggu sekali je. Kehkehkeh...

Banyak lagi kenangan menarik yang aku alami ketika menonton Champions League ni sebenarnya tapi dua memori nilah yang paling menarik bagi aku. Mungkin tidak menarik melalui pembacaan tetapi sangatlah beremosi apabila aku kenang kembali zaman jahiliah aku dulu. Haha. 

Sekarang, aku sudah tidak berpeluang lagi menonton Champions League secara langsung di tv kerana kekangan kerja. Itulah untungnya menjadi pelajar. Walaupun esoknya ada kelas pagi, aku masih boleh tidur belah petang untuk cover balik tidur tadi. Aku rindukan zaman itu.....

Saturday, December 03, 2011

Perihal Cikgu Geografi dan Countdown



Seorang cikgu wanita berketurunan Cina sedang tekun mengajar di papan hitam kelas aku. Beliau mengajar subjek Geografi yang mana salah satu subjek kegemaran aku di sekolah. Bukan pasal cikgu cina tersebut. Tapi aku amatlah berminat tentang alam. Kajian tentang alam amatlah menarik minat aku. Setiap hari aku rasa seronok belajar Geografi.




Namun, pada petang itu, aku semacam malas nak amik port apa yang cikgu tu ajar memandangkan kelas beliau adalah kelas terakhir untuk sesi petang hari tersebut. Jadi, rasa excited dan teruja nak balik tu lebih tinggi daripada semangat aku untuk belajar Geografi. 

Di sekolah, waktu loceng berbunyi sudah ditetapkan. Jadi, setiap hari aku akan mengira berapa saat lagi masa yang tinggal untuk balik. Pendek kata, waktu loceng berbunyi ni memang dah ada dalam kocek aku la. Biasanya kalau loceng dah berbunyi satu sekolah, budak-budak semua dah tak amik port dah cikgu kat depan. Semua pakat nak blah je ikut pintu belakang. Maklumlah, sekolah budak jahat. 

Petang itu, aku mengetuai kelas aku untuk memulakan 'countdown' bunyi jam loceng. Sebenarnya bukan aku pun sebab aku cuma countdown perlahan-perlahan kat mulut tapi rakan sekelas aku yang bising 'countdown' kuat-kuat. Jadi, ia merebak ke satu kelas. Sudahnya, semua 'countdown' ramai-ramai dalam kelas termasuk budak perempuan. 




Cikgu Geografi yang tengah syok menulis kat depan tu tersentak dengan tindakan kelas aku tu. Dia pun menempelak, " Sapa yang start countdown ni?!!". Satu kelas sebut nama aku seraya memandang aku. Aku jadi kaget. Tapi aku terselamat sebab 'countdown' tu dah betul-betul nak sampai ke 3,2,1.....



.:. Hari tu aku terselamat kerana loceng sudah berbunyi ketika cikgu Geografi tu nak marah aku. Suasana dah jadi kelam kabut memandangkan semua pelajar nak balik. Aku pulak rasa menyesal kerana memulakan 'countdown' tu. Sejak hari tersebut, aku dah tak amik peduli pasal bunyi loceng balik. Maaf cikgu....

Friday, December 02, 2011

Cerita Ultras



 Dikhabarkan Ultras Malaya wujud di Malaysia pada 2007. Cuma selepas kemenangan Piala AFF Suzuki dan Sukan Sea, populasi penyokongnya bertambah mendadak. Keahliannya mudah. Terbuka untuk semua asalkan sanggup berdiri dan menyanyi atau dipanggil "chanting" sepanjang 90 minit.


Kewujudan Ultras merebak ke seluruh negara apabila Liga Super memulakan aksinya pada musim ini. Setiap negeri pasti ada Ultras mereka sendiri. Cuma, aku kurang pasti adakah Johor, Pahang, Melaka mahupun Pulau Pinang mempunyai Ultras sendiri. Dan berbagai-bagai nama mereka lekatkan bagi mewakili negeri masing-masing supaya ada perbezaan sesama mereka.

Pada mulanya, aku respek dengan kewujudan Ultras Malaya tambah-tambah lagi setiap kali game Malaysia berlangsung. Stadium menjadi meriah dan gempita dengan sorakan mereka walaupun jumlah mereka kadangkala tidaklah ramai. 

Cuma, perangai Ultras sekarang sudah menjadi makin pelik. Aku hairan. Adakah kerana keahliannya yang mudah dan terbuka menyebabkan nilai keindahan Ultras itu menjadi rosak? Mereka kini menyangka merekalah penyokong setia pasukan negara kerana sanggup berdiri 90 minit tanpa henti-henti bersorak. Sikap membangga diri dan menganggap diri lebih mulia ni memang tidak boleh aku terima. 

Aku yang sudah berdekad-dekad menonton bola di stadium pun tiada rasa nak mendabik dada atas sokongan aku pada pasukan Malaysia. Adakalanya, mereka yang baru setahun jagung mengecap nikmat menonton bolasepak di stadium sudah mula ego dan menjadi orang suci kononnya. Bukan itu saja, mereka ada lagu khas kepada pasukan lawan setiap kali ada perlawanan membabitkan pasukan negara yang mana liriknya tidak boleh diterima dalam budaya masyarakat Islam. Adakah ini yang dinamakan 'Respect' di dalam bolasepak?

Jadi, diharapkan Ultras Malaya kembali menjadi seperti dahulu. Radikal tetapi tidak banyak bersuara. Maksudnya, bersuara di medan lain selain di stadium. Kerana adakalanya suara kita itu hanya akan menampakkan kedangkalan dan kecetekan akal kita. Sekian, majulah Ultras untuk negara!!



Saturday, November 26, 2011

1433


Tibalah kita menuju ke tahun baru 1433 Hijrah ke arah yang lebih diredhaiNya....

P/S - Sila klik untuk tumbesaran.

Thursday, November 24, 2011

Berak Di Tengah Jalan Tiada Yang Mengaku






 Aku harap bila dia terkentut dalam LRT nanti, dia akan salahkan pembangkang jugak!


Mamat Kulim-Bandar Bharu tu pun sama 2 x 5.....

Tuesday, November 22, 2011

Gelora di Gelora Bung Karno


Sekalung tahniah dan sekalung pingat emas cewek Indon berikan kepada seluruh pemain Harimau Muda yang mencatatkan kemenangan dalam final bolasepak Sukan Sea 2011. Kemenangan ke atas tuan rumah Indonesia melenyapkan terus kata-kata dan lemparan kecaman yang diterbitkan daripada sebahagian besar penyokong Indonesia yang tidak bertamadun di Gelora Bung Karno.


We are the Barracuda team!!


Jarang sekali saya mahu menghadiahkan tahniah di atas kejayaan skuad muda negara kerana bagi saya mutu permainan tidaklah begitu membanggakan di separuh masa kedua semalam. Namun, perlunya saya menukilkan ucapan tahniah ini kepada mereka kerana sepanjang berada di Indonesia, pelbagai dugaan dan rintangan yang mereka hadapi dalam usaha mereka menewaskan tuan rumah yang bukan saja berkeupayaan seramai 11 orang tetapi perlu menghadapi jutaan penyokong fanatik tuan rumah. 


Heroes from Kelantan!


Dari insiden 'barracuda', bas dihalang, lagu Negaraku diejek, jeritan 'maling', ketibaan pegawai doping dan lain-lain lagi di venue sukan yang lain. Itu semua tidak melemahkan mental dan semangat anak-anak muda ini yang nampaknya sudah lali dengan insiden sebegini. Inilah sebenarnya pembakar semangat kita. Pada pendapat saya, layanan sebegini bukannya melemahkan pemain sebaliknya ia menambah semangat dalam diri anak-anak muda ini.

 
 Emas milik kami lagi!



Pernah saya dicaci dari luar padang oleh rakan-rakan atas permainan mengecewakan yang saya tunjukkan, namun cacian itu hanya menambahkan lagi semangat saya untuk bermain baik dan ia meresapi dalam permainan saya selepas itu. Ini contohlah tapi memang kisah benar. Sewajarnya, kita mengucapkan tahniah kepada skuad Ong Kim Swee ini kerana berjaya meresapi semua tekanan maha hebat meskipun masih muda. Adakalanya Arsenal pun tidak mampu berhadapan dengan tekanan yang hanya ala kadar tapi skuad harimau muda ini boleh! 


 Tigers!Aummm!!


 Walaupun perjalanan kita masih jauh, saya nampak ada sinar di hujung terowong buat bolasepak Malaysia yang selama ni menjadi bahan penambah dosa saya dengan kutukan yang dilemparkan. Saya katakan ada sinar adalah kerana kita semakin konsisten. Dua tahun lepas kita mengenggam emas di Laos. Setahun yang lepas pula kita menjulang Piala Suzuki. Manakala tahun ini kita kembali mempertahankan emas Sukan Sea. Tidak keterlaluan jika saya katakan kita kini adalah Raja bolasepak Asia Tenggara. 



 Fakri bukan hero kita. Passenger...

Cuma sayang, kita masih belum menjulang piala atau medal di hadapan penyokong kita sendiri. Di bumi kita sendiri. Di tanah tumpah darah kita. Saya percaya masa itu akan tiba. Tahun depan, kita adalah tuan rumah Piala Suzuki. Inilah peluang yang harus direbut demi mengekalkan penguasaan dan penaklukan wilayah Asia Tenggara ini. Akhir kata, syabas saya ucapkan kepada Harimau Muda!!

Thursday, November 10, 2011

Oh My Putrajaya!

 Putrajaya ini akan bertukar tangan suatu hari nanti


Kadang-kadang aku rasa bersetuju dengan cadangan DAP untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam jika dapat memerintah negara nanti. Bukan aku cemburu dengan kakitangan awam dan orang kerja kerajaan ni. Tapi ada rasionalnya cadangan tersebut.

Aku dapat lihat sendiri betapa masa kakitangan kerajaan di Putrajaya ni sungguh senggang. Pendek kata, sungguh rilek. Baik, yang paling jelas adalah apabila tiba waktu makan tengahari, mereka ni akan keluar berduyun dari kompleks pejabat mereka yang serba indah itu untuk menikmati makan tengahari di luar. Destinasi popular? Sudah tentu Alamanda! Mereka ni biasanya keluar awal. Kalau waktu rehat 12.30, pukul 12 dah start turun lif dah. Kalau pukul 1, pukul 12.30 dah start kereta. 

Dan aku difahamkan waktu rehat mereka berkala. Maksudnya, ada waktu rehat pertama dan kedua. Ada staff yang akan dapat rehat pertama dan ada staff akan dapat rehat kedua. Macam giliranlah supaya pejabat kerajaan itu tidak kosong. Tapi apa yang aku perhatikan, mereka bukanlah ikut sangat pun jadual ni. Main bantai je rehat ikut sedap dorang! Aku tengok memang clear habis pejabat ni bila waktu tengahari. Berdesup semua ke Alamanda!Nak-nak lagi makcik-makcik bajet bagus ni.

Apa yang aku kesalkan adalah ia menyusahkan kita sebagai customer di pejabat mereka. Konsultan datang nak hantar borang, nak hantar tender berkotak-kotak tapi kat pejabat takde sorang pun sambut padahal jam baru pukul 12 tengahari. Yang ada in-charge pun pegawai yang tak tahu menahu. Kalau hari jumaat tu lagi mintak maapla. Mau dekat pukul 3 baru nampak batang hidung.

Keluar awal satu hal. Balik lambat pun satu hal lagi. Orang pukul 2 dah start buat keje tapi makcik-makcik dan pegawai-pegawai bangang ni pukul 2.30 baru nak naik lif sambil cerita baju-baju kat Alamanda tadi. Ini bukan aku nak reka cerita tapi memang aku alami sendiri betapa kebangangan penjawat awam Putrajaya (sebahagian besarnya) menyusahkan konsultan seperti kami. Sudahlah masuk lambat, layanan tahap anjing pula diberikan.


Kesimpulannya, ada baiknya cadangan DAP itu. Marilah berganding bahu untuk membina negara yang lebih mapan dan tidak bangang.

Tuesday, November 08, 2011

Halusinasi

Kadang-kadang aku rasa Facebook dan teknologi social networking semua ni halusinasi je.

Senang-senang kita boleh bersembang macam dah lama kenal kat chatbox.

Cuba kalau kita tegur orang di stesen bas dan ajak sembang-sembang sambil bergurau.

Pelik kan?

Entri recyle dari sini.

Monday, November 07, 2011

Industri Automotif


Dalam Malaysia sekarang, ada 2 jenis je jenama kereta bukan nasional yang mendapat sambutan menggalakkan yakni boleh juallah iaitu Toyota dan Honda. Dua kereta ni memang laku kat negara kita sebab dua-dua ada bukak kilang pemasangan di sini. Satu di Melaka dan satu lagi di Shah Alam. Dan kereta-kereta dari dua jenama ni dapat dijual murah disebabkan mereka membuka kilang di sini. Mercedes juga ada kilang kat sini tapi semua sedia maklum bahawa mereka bukan into mass production punya market.

Jadi, tidak hairanlah kereta seperti Civic, Vios, City boleh dijual agak murah dan menjadi pilihan mereka yang berduit lebih sedikit dari golongan middle class. Oh ya, kalau golongan middle class terutamanya kakitangan kerajaan berpusat di Putrajaya, mereka cenderung memilih kereta seperti Viva, Myvi, Saga, Persona atau bagi yang berkeluarga, memilih Exora. Kereta nasional. Nampak di situ bagaimana trend orang Malaysia membeli kereta?

Baru-baru ni, aku telah memandu uji dan menaiki Persona keluaran syarikat Proton. Apa yang dapat aku kesan buat permulaan ini adalah sistem brek yang bermasalah dan sistem audio yang dibuat caca marba. Bagi sistem brek tersebut, ia perlu ditekan kuat untuk mendapatkan kesan cengkaman yang kuat. Maka, ia amat berbahaya bagi mereka yang perlu menekan brek kecemasan kerana ada kemungkinan mereka tidak sempat berbuat demikian. Aku tak pasti apakah semua pengguna Persona mengalami masalah ni atau aku je?





Keduanya, kebanyakan kereta Proton kebelakangan ni menggunakan sistem audio yang tahap caca marba. Pihak Proton meletakkan speaker hanya di bahagian bonet belakang manakala di depan pula langsung tiada speaker. Maka, orang yang duduk di belakang susah untuk menangkap percakapan orang di depan dan adakalanya sakit kepala kerana bunyi yang terlalu dekat dengan kepala. Aku hairan adakah Proton mahu menjimatkan kos dengan hanya meletakkan speaker di belakang atau mereka memang bangang?

Tidak pernah pula aku melihat kereta-kereta buatan negara lain mempunyai satu bahagian speaker saja. Kereta Proton yang lama juga tidak begini. Banyak lagi cara penjimatan kos namun mengurangkan jumlah speaker bukanlah salah satu caranya. 

Maka, rakyat Malaysia tidak punya pilihan terutamanya golongan pertengahan ini. Mereka terpaksa memilih Proton sebagai kereta baru mereka walhal kualiti amatlah berbeza jika dibandingkan dengan kereta seperti Vios dan City. Mereka tidak sanggup untuk menambah duit sedikit untuk mendapatkan kualiti. Mereka tiada pilihan dan terpaksa memilih Proton.

Ada juga yang bertanya kenapa Perodua menjual kereta mereka mahal-mahal. Ini jangan salahkan Perodua sebaliknya salahkan dasar kerajaan yang melindungi Proton. Proton diberi keistimewaan kerana mereka adalah satu-satunya syarikat kereta nasional yang menggunakan tenaga anak tempatan sepenuhnya. Maka, atas prinsip inilah, kerajaan melindungi syarikat ini berbanding Perodua yang mempunyai saham Daihatsu dan Toyota. 

Oleh itu, Perodua disaran menjual kereta dengan mahal dan cukai dikenakan ke atas mereka tinggi berbanding Proton. Namun begitu, Perodua tetap membuat keuntungan dengan model Myvi menjadi kereta paling tinggi jualannya di dalam negara ketika artikel ini ditulis. Amacam Proton?

Aku bukan hendak memperkecilkan Proton tetapi mereka yang membuat kereta tidak sepadan dengan harga. Walaupun tidaklah murah mana, seharusnya Proton membuat kereta tidak seperti melepas batuk di tangga. Dan semua cerita di atas bukan rekaan aku sebaliknya diperolehi dari sumber-sumber dalaman yang boleh dipercayai. Sekian, majulah automotif untuk negara!

Nafsu


Masa zaman belajar dulu macam-macam aku rasa nak beli. Bila pergi Uptown seksyen 24 tu, macam-macam benda rasa nak beli. Tapi sebab takda duit, aku tangguhkan dulu. Bukan sekadar tangguh tapi aku betul-betul plan memang nak beli bila dah berduit nanti. Maksudnya bila dah ada gaji nanti le tu.

Sekarang bila dah bergaji dan berduit, secara tiba-tiba nafsu nak membeli itu ini semua lenyap sama sekali. Macam hilang dibawa sekali dengan zaman belajar aku tu. Tak tahu kenapa tapi memang takde mood langsung nak membeli apa yang aku plan dulu-dulu tu. Aku pun hairan.

Wednesday, November 02, 2011

Jomblo

Ketika ini saya sedang mengikuti sebuah kursus yang diaturkan oleh pihak kompeni bagi saya menambah ilmu di dalam bidang 'groundwater'. Kursus ini mempertemukan saya dengan peserta-peserta dari serata Asia Tenggara antaranya Indonesia, Vietnam, Thailand, Kemboja, Filipina, Laos dan Timor Leste. 

Pada hari pertama lalu, saya duduk bersebelahan dengan seorang peserta dari Indonesia yang saya panggil 'bapak'. Jadi, sebelum kursus bermula, banyak juga yang kami sembangkan. Ternyata beliau seorang yang peramah dan kelakar orangnya. Ketika sesi pengenalan 'rakan di sebelah', beliau telah memperkenalkan saya.

Ketika itu, 'bapak' bercerita semua yang beliau tahu mengenai saya. Dari nama, umur, pekerjaan, pendidikan semuanya diceritain sehinggalah ke bahagian yang terakhir mengenai saya. Dia memperkenalkan kepada hadirin lain bahawa saya 'Jomblo'. Ketika itu, saya termangu dan memikirkan carutan apakah yang beliau gunakan terhadap saya ni. Sedang saya asyik memikirkan, penceramah kursus berkata, "Oooo..single..". Lantas disambut gelak tawa hadirin lain. Saya pun ikut sama tergelak.

Sebenarnya saya pernah dengar 'jomblo' sebelum ini, cuma baru itu saya mengetahui maksudnya.

Terima kasih Pak Soenarto!
 
Google Analytics Alternative