Wednesday, November 16, 2016

Amerika Trump dan Malaysia Najib


Tak perlulah kita nak sibukkan pilihanraya Amerika yang bukan tandingan dunia Islam satu ketika dahulu. 

Yang kita patut sibukkan mengapa bodoh sungguh orang Malaysia 'guna' satu parti untuk tadbir negara lebih 50 tahun.

Wednesday, October 26, 2016

Menjadi Power di Zaman Moden

Zaman sekarang ni tak cukup untuk ibubapa sendiri sahaja tahu kepandaian anak. Maka, adalah perlu untuk ibubapa memberitahu kepada semua di dalam Facebook bahawa anak mereka pandai mengeja, pandai berjalan, pandai solat. 

Lagi satu, puji suami/isteri dalam Facebook. Contohnya, masakan. Tak boleh ke kau puji secara berdepan?

Ambik gambar dan gambar yang diambil tu kau print dan letak dalam album gambar rumah kau? Dekat gambar tu kau boleh letak tarikh bersama caption untuk tunjuk pada anak cucu kemudian. 

Bukankah tu lagi power dan sentimental?

Londeh Sana Sini

Bekas KPN pun dah mula berani bersuara bila kena sogok RM2 juta sebulan. Itu lepas dia pencen la. Masa dia belum pencen, ada ke dia kira berapa ringgit dia sebat? Ada dia bagitahu engko?

Sekarang pulak memang trend melondehkan pemimpin UMNO yang dah keluar daripada UMNO.

 Tapi, yang dungunya, mereka merasuah dan berakhlak buruk ketika dalam UMNO. Kalau dikatakan Shafie Apdal terlibat dalam ketirisan di Jabatan Air Sabah, ia datang daripada UMNO jugak. Kalau dikatakan Mahathir memilih pembekal di kalangan kroni ketika menjadi Pengerusi Proton, ia asalnya daripada UMNO jugak. 

Pendek kata, UMNO adalah punca segala kebusukan dan kerosakan di muka bumi ini. Jadi, benda yang dah menjadi barah dan virus ni nak simpan apa lagi? Elok ditenggelamkan dalam banjir besar atau mati dihempap gunung.

Takziah Buat HSA


"Kalau kau sakit jangan nak pergi hospital kerajaan!"

Selepas respon kerabat semalam...

"Pegila mintak dana dengan kerajaan kau tu! Apa ke gila mintak dengan orang bukan ahlinya."

Pencerahan: Selama ni 'ilmuan' UMNO bukan main menegakkan benda tidak betul mengenai hal tanggungjawab kerajaan. Jika ada yang tidak suka kerajaan, mereka disuruh tinggalkan negara, jangan pergi ke hospital kerajaan, jangan bersekolah di sekolah kerajaan. Namun, sebaik berlaku peristiwa semalam, 'ilmuan' UMNO sepakat bersetuju bahawa tanggungjawab membina hospital adalah tanggungjawab kerajaan persekutuan. 

Entah faham ke tidak engko?

Sunday, October 09, 2016

Kupasan : Bisnes atau Profesional?

Baru-baru ini, agak kerap kita membaca di laman-laman sosial dan media perdana bahawa ramai graduan telah berhenti daripada menjadi ahli profesional lantas membuka bisnes sendiri atau menguruskan pekerjaan lain selain yang dipelajarinya.

Apakah pandangan anda jika ada rakan yang bekerja sebagai jurutera tetapi kemudiannya memilih untuk berhenti lalu membuka bisnes sendiri.

Ini adalah pendapat aku dan tidak semestinya anda perlu bersetuju.

1. Ilmu bersifat universal dan kerangkanya juga berciri diversiti. Ia boleh diperolehi daripada mana-mana sumber, mana-mana ceruk dan mana-mana tempat sekalipun. Tidak semestinya di universiti, kolej kemahiran, politeknik dan lain-lain. Malah, ia boleh diraih daripada pengalaman di jalanan, pergaulan dengan ramai orang dan lain-lain. Itu salah satu ciri pemerolehan ilmu.

2. Untuk mendapatkan ilmu bersifat profesional atau dalam skop perbincangan ini dipanggil ilmu kejuruteraan bukan mudah. Ia kadang-kadang perlu mengambil masa 3 tahun, 4 tahun atau sehingga 6 tahun. Dapatan ilmu yang diperolehi dari kerangka masa yang panjang ini seharusnya 'dipulangkan' semula kepada industri dalam bentuk sumbangan tenaga, buah fikir dan ilmu.

3. Adalah sayang, jika seseorang itu belajar ilmu kejuruteraan sehingga menghabiskan hidupnya selama 6 tahun dan apabila sudah bergelar graduan, beliau membuka bisnes sendiri yang tidak berkaitan dengan kejuruteraan. Malah, ada yang bertahan untuk bekerja selama 3,4 tahun lalu mengambil keputusan untuk terjun ke bidang lain (non-engineering).

4. Antara faktor pendorong mereka beralih arah adalah faktor pendapatan dan minat. Ada yang tidak berminat untuk meneruskan pekerjaan dalam bidang kejuruteraan yang mana ini juga dipengaruhi pelbagai sebab. Faktor pendapatan lumayan adalah antara faktor paling tinggi mereka meninggalkan bidang pekerjaan berkait dengan kejuruteraan.

5. Tidak dinafikan berbisnes sendiri itu lebih baik daripada makan gaji malah boleh ia digalakkan di dalam agama. Antara tarikan utama adalah masa yang lebih fleksibel dan pendapatan lumayan mampu dikecapi dalam masa yang singkat. Namun, sebagaimana yang ditegaskan dalam point sebelum ini, 'sayang' sekali apabila ia terjadi.

6. Ada pelajar yang telah menghabiskan ribuan ringgit untuk belajar ilmu kejuruteraan. Ada yang dibiayai kerajaan untuk meneruskan pengajian dengan selesa. Semua ini adalah pelaburan. Jika pelaburan ini gagal memberi pulangan kepada industri, bukankah itu suatu kerugian? Industri kerugian sumber tenaga graduan muda. Industri kerugian buah fikir dan daya kreatif daripada golongan lepasan ijazah ini. Mereka yang sepatutnya menyumbang kembali kepada industri kejuruteraan ini, telah beralih fokus menyumbang kepada perniagaan lain.

7. Faktor ingin cepat memperolehi pendapatan lumayan barangkali telah menarik ramai graduan untuk menceburi bidang yang berbeza daripada apa yang telah mereka pelajari. Tambahan pula, banyak kisah-kisah tentang mereka yang bergelar hartawan apabila membuka bisnes sendiri membuatkan mereka terpengaruh dan dalam bahasa kasarnya 'kelabu mata'. Ini juga berkait dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

8. Kita bukan hendak menghukum mereka dan menuduh mereka. Cuma, apabila difikirkan jumlah mereka yang berbisnes sendiri semakin bertambah perlu membuatkan kita berfikir, apakah berbaloi pengajian di universiti atau pusat pengajian jika kita mencari sesuatu yang berbeza dan lain. Kita mungkin tidak rugi apa-apa. Namun, negara akan rugi dari segi sumber tenaga dan percambahan ilmu.

9. Ada yang tidak berminat untuk mendapatkan ijazah, malah diploma sekalipun apabila terpengaruh dengan cerita 'nasi lemak' yang mampu memberi pulangan lumayan. Ada yang terpengaruh dengan cerita pemain hartanah menjadi jutawan walau dengan memiliki sijil SPM.

10. Di sinilah kita perlu bina kekuatan ilmu. Bukanlah satu 'dosa' walau anda memiliki sijil SPM sekalipun. Cuma, masyarakat yang lain perlulah bangkit mengejar ilmu. Menjadi jurutera adalah satu fardu kifayah. Jika semua hendak membuka bisnes, siapa yang mahu mengoperasikan mesin-mesin di kilang Proton? Siapa yang hendak memantau kerja-kerja penggerudian bawah tanah MRT? Siapa yang hendak merekabentuk sistem penghawa dingin di dalam pejabat-pejabat besar? Siapa yang hendak mengira kedudukan aras tanah bagi membina 'retaining wall'? Siapa yang hendak menyusun dan menyelia vendor-vendor bagi industri minyak dan gas?

11. Oleh itu, bersabarlah wahai graduan sekalian. Libatkan diri dalam bidang yang kamu telah kamu pelajari dengan susah payah untuk mendapatkan gulungan ijazah itu sekurang-kurangnya sehingga 8 ke 10 tahun. Bantu adik-adik yang perlukan bimbingan. Industri ini perlukan kamu. Industri perlukan tenaga kamu. Industri perlukan buah fikiran kamu. Inspirasikan semula bidang kerja profesional ini. Walau pendapatan mungkin tak seberapa, namun, ingatlah, ilmu yang kamu kongsikan lebih jauh bernilai daripada wang ringgit yang berada di dalam dompet kamu.

Saturday, October 08, 2016

Kaya Infiniti Cara Kerja Kerajaan

Baru-baru ini, kita digemparkan dengan projek bernilai RM3.3 billion (betul ke?) yang sepatutnya dibelanjakan bagi infrastruktur air di Sabah telah digelapkan oleh penyangak kelas atasan. Mereka dikatakan mengumpul kekayaan sehingga RM50 juta dan mengagihkan tender kepada 38 syarikat kroni mereka. Menurut akhbar, 60% daripada peruntukan telah digunakan untuk membuat kerja selain daripada kerja yang menguntungkan rakyat. Masyaallah.

Yang RM50 juta itu yang kita tahu? Macamana dengan lain-lain? Sejak zaman merdeka, berapa ratus billion yang telah disonglap oleh orang-orang kerajaan? 

Adalah mustahil apabila amaun sebegitu besar boleh melepasi peringkat semakan dengan perunding dan kontraktor tanpa adanya persetujuan untuk membahagi sama rata.

Malaysia ini sesuai untuk pencinta dunia yang gemarkan kekayaan infiniti. Asalkan berada di bawah Barisan Nasional, semuanya beres. Akhirat nanti, beratlah soalan yang akan ditanya wahai kamu pemerintah.



Zuriat Soleh?


Resam manusia itu adalah ibarat parasit. Ia perlu menumpang pada pohon lain demi kelangsungan hidup. Untuk makan, ia perlu berpegang pada yang kuat. 

Demikian jugalah pengikut dedak belaan ketua Gerakan Merah. Ia perlu menumpang ibarat parasit pada Dato Jamal untuk meneruskan hidup. Untuk menyara anak bini. Untuk membeli pakaian, membayar hutang sana sini dan melancong. 

Sayangnya, hasil pendapatan haram inilah yang digunakan untuk membeli susu anak dan menyara isteri yang kemudiannya akan menjadi seperti bapanya juga. Kerana itulah, ibubapa yang rosak akan melahirkan anak yang rosak.

Thursday, September 29, 2016

"Suamiku Doktor pHD Penipu"

Ada sesetengah orang sanggup 'menghalalkan' kerja jahat hanya kerana seseorang itu telah memberi manfaat kepada orang lain. Dalam konteks ini, kita bercakap mengenai seorang doktor yang selalu buat ceramah motivasi dan keusahawanan disabitkan menipu kelayakannya.

"Sekurang-kurangnya dia membantu memajukan ekonomi orang melayu. Kau, apa sumbangan yang kau dah buat?"
Ia ibarat engkau melakukan rasuah untuk membina masjid kepada penduduk. 

"Takpelah rasuah asalkan dia buat masjid untuk kita semua."
  
Amat menyedihkan melihat masyarakat 'terlampau positif' sampai tidak tahu lagi untuk membezakan kebenaran dan kebatilan.

Orang menipu tetap perlu diberi hukuman. Bukannya diberikan kata-kata galakan, dorongan dan lain-lain slogan 'I support u'.

Berapa ramai melayu yang dah tertipu dengan daya penarik menggunakan pHD tersebut? Apakah selepas ini, akan ada anak muda memohon pekerjaan menggunakan diploma dan ijazah palsu dan kita atas nama 'telah banyak sumbangan yang diberikan' akan menghalalkan penipuan maha dahsyat ini.

Ternyata masyarakat bukan sahaja telah menjadi rosak, malah menjadi sial...

Sunday, September 18, 2016

Analisa Perak Kedua Termiskin

Beberapa bulan kebelakangan ini, aku lihat beberapa situasi dan keadaan di negeri Perak yang seakan mengesahkan bahawa Perak sewajarnya diletakkan di tempat kedua negeri termiskin. Oleh itu, aku akan gariskan beberapa kesimpulan awal yang mungkin kamu boleh tidak bersetuju dengannya, terpulang.

Kesimpulan pertama adalah mengenai projek pembangunan di dalam negeri Perak:

1. Seri Iskandar Wholesale Centre

Tempat ini dicanang-canang akan memberikan alternatif kepada Nilai 3 di Negeri Sembilan. Promosi pada awalnya cukup bagus dan meluas. Terdapat lambakan kedai-kedai menjual pakaian dan aksesori pengantin yang sudah mula dibuka di sekitar pekan Seri Iskandar lewat tahun 2014 (jika tidak silap). Maka, akan adalah alternatif kepada pengunjung belah utara bagi yang mencari aksesori pengantin dan perkahwinan daripada bertandang hingga ke Nilai.

Masuk tahun ketiga yakni, tahun 2016, tidak ada sebarang ciri-ciri bahawa Seri Iskandar ini akan berubah landskap menjadi Nilai. Bahkan, kedai mula kosong dan tutup. Tidak ada pertambahan kedai-kedai baharu walaupun pembangunan rumah kedai rancak dilakukan. Maka, apakah projek pembangunan SIWC ini akan menjadi gajah putih?

2. RTC Gopeng

Aku kurang ingat bila RTC Gopeng ini mula beroperasi. Tetapi, ia sudah agak lama di Gopeng ini. Terdapat pasar basah, pasar awam, Mydin Mall, kedai-kedai kecil dan tentunya pusat sehenti untuk urusan-urusan melibatkan agensi-agensi kerajaan. Aku bertandang bulan lepas ke sana. Apa yang memeranjatkan adalah banyak kedai telah ditutup. Pasar awam yang besar itu juga telah ditutup. Yang tinggal beroperasi hanyalah Mydin Mall dan kedai-kedai kecil di dalam itu yang aku ibaratkan sudah nyawa-nyawa ikan barangkali. Orang ke sini mungkin hanya untuk urusan melibatkan di RTC sahaja.

3. Marina Island Lumut

Lumut adalah satu pekan yang sudah lama muncul sebagai salah satu tempat pelancongan di Perak. Namun, dengan tiadanya tarikan baharu di Lumut, ia seakan sudah tidak menjadi destinasi wajib kunjung jika ke Perak. Aku ke sana baru-baru ini. Rupanya ada satu pembangunan Marina Island di Lumut di mana ia mengandungi perumahan (barangkali ekslusif), hotel tepi laut, pulau buatan manusia dan taman tema. Apa yang memeranjatkan adalah Marina Island ini tidak begitu menyerlah dan menarik baik malam mahupun siang. Taman tema pun belum dibuka (mungkin belum siap, namun tiada langsung kerja-kerja pembinaan dijalankan), siar kaki lengang dan lampu jalan lebih banyak daripada manusia. Apakah pemaju silap perancangan atau memang pembangunnya lambat?

Daripada pemerhatian aku terhadap tiga kawasan atau tempat ini, maka, izinkan aku membuat hipotesis awal. Jika tidak bersetuju, maka, terserahlah.

A. Faktor geografi.

Siapa yang mahu ke Seri Iskandar semata-mata hendak membeli kelengkapan perkahwinan yang perjalanannya dari Kuala Lumpur memakan masa dua jam lebih? Atau dari Alor Setar ke Seri Iskandar yang lebih kurang 3 jam perjalanan? Maka, faktor geografi menjadi punca bahawa SIWC ini tidak mendapat pengunjung yang sepatutnya. Masyarakat tempatan tidaklah setiap hari membeli barang-barang sebegini.

B. Ekonomi setempat

Taraf ekonomi penduduk setempat bukanlah baik sebagaimana di bandar besar seperti Ipoh dan Kampar. Maka, barangkali penduduk tidak berbelanja besar atau mengunjungi Mydin Mall hari-hari. Bahkan, lebih baik mereka membeli di pasararaya kecil dan kedai runcit berdekatan rumah mereka. Keadaan ekonomi yang rata-ratanya isi rumah di bawah RM1000 (mengikut kajian Khazanah Research Institute) tidak memungkinkan populasi penduduk di Gopeng berbelanja lebih. Begitu juga di Lumut. Berapa ramai sahaja pendapatan isi rumah mereka melebih RM3000 di sana? Peluang terhad menjadikan keadaan ekonomi setempat juga terhad.

Ini adalah analisa awal berdasarkan pemerhatian sahaja. Mungkin ada analisa yang lebih baik daripada pemain hartanah, pemaju atau cendekiawan di Perak. Tetapi, inilah realiti yang terjadi. Aku sedang menunggu Movie Animation Park untuk disiapkan di Ipoh bagi melihat sejauh mana pembangunan yang dirancang mencapai sasaran sekaligus mungkin dapat menamatkan riwayat Perak menduduki tangga kedua negeri termiskin.

Mendatangkan Roh Islam


Takziah diucapkan di atas pemergian murabbi agung Ustaz Haron Din setelah perginya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat.

Pemergiannya seakan mengulangi episod sama sebagaimana arwah tuan guru apabila tidak terkecuali dicaci kata nista dan kata-kata jelik. Tambah panas, ia diucapkan oleh salah seorang pemimpin pembangkang.

Apa yang aku nampak di sini adalah salah dan silap orang Melayu itu sendiri. Jika mereka didatangkan dengan perasaan kuatnya Islam, kaum bukan Islam akan lebih menghormati agama Islam. Siapa yang tidak lupa ketika perginya arwah Nik Aziz, betapa ramai melayu yang mengucapkan kata-kata kurang ajar dan biadap terhadapnya. Ini termasuklah kata-kata kurang ajar bekas Ketua Polis Negara sehingga menggelarnya kafir.

Tidak terkecuali kes mendiang Karpal Singh yang dihina oleh berapa ramai orang Melayu dalam media sosial? Jadi, menjengah ke media sosial, ramai melayu mengambil peluang untuk menghentam parti DAP walaupun yang terlibat itu adalah individu, bukannya organisasi. Aku tanyakan diri aku kembali.

Apakah mereka ini benar-benar mengambil berat tentang arwah Ustaz Haron Din?

Atau sekadar pengucapan yang diambil kesempatan untuk kepentingan diri?

Ada antara mereka yang sanggup screenshot beberapa petikan FB dari kaum lain sambil membuat caption 'supaya aku tidak terlupa setiap tahun'. Ini satu lagi tindakan bodoh kebudak-budakan. Apa gunanya engkau membuat perkara sedemikian yang tidak menguntungkan sesiapa? Orang bijak tidak akan berhujah dengan si jahil. Orang genius juga tidak menjadikan pengucapan orang dungu sebagai modal ketika menulis. Maka, apa gunanya sehingga nak kumpul screenshot kata-kata jelik itu lantas untuk diingatkan setiap tahun? Bukankah bagus jika kita umat Islam membuat ucapan doa dan kata-kata yang baik untuk arwah lalu dapat diingatkan kata-kata yang baik ini setiap tahun? Lepas tu, engkau terpekik terlolong bila arwah dihina atas perbuatan buruk kamu itu.

Ini akibat dari kerosakan sistem moral masyarakat Melayu hari ini. Atas didikan apa yang menyebabkan kerosakan sebegini hari ini? Siapa yang menjulang sekularisme dalam pendidikan dari zaman British sehingga ke saat ini? Siapa kalau bukan pemerintah yang sudah berkuasa 59 tahun kita merdeka ini?

Bak kata arwah Nik Aziz, cara terbaik menyatukan kesemua kaum di dalam Malaysia ini adalah dengan membuang 'kebangsaan' masing-masing. Tinggalkan 'pakaian' Melayu kamu, 'pakaian' Cina kamu, 'pakaian' India kamu dan lain-lain. Sebaik-baik penyatuan adalah menerusi agama.

Namun, sayang, UMNO tidak suka akan idea ini. Hasilnya, lihatlah Melayu hari ini....

Tuesday, July 26, 2016

Tarik Telinga


Ketika aku pulang daripada kampung di Perak dengan memandu kereta isteri, keadaan lebuhraya agak licin dek dibasahi hujan renyai-renyai. Aku pula memandu agak laju untuk sampai ke KL dengan cepat. Aku memotong kereta kanan dan kiri dengan sering bertukar haluan di lebuhraya.

Isteri yang tadi tidur terjaga perlahan-lahan. Ketika aku membawa laju, dia senyap sahaja.

Tiba di keadaan lebuhraya yang agak sesak dan banyak kereta, aku perlu memperlahankan kereta. Ketika itulah, telinga aku ditarik manja oleh isteri.

Rupa-rupanya beliau marah aku memandu laju. Ingatkan senyap, ok je.

Woha!

Friday, July 01, 2016

Syukur dan Asimilasi


Adik aku mengeluh lagi tentang keadaan dan kondisi rumah yang tidak selesa menyebabkan dia sukar untuk belajar. Sudah beberapa kali setiap kali dia kembali dari tempat belajarnya di universiti, dia mengeluh sebegitu. Ada lagi keluhan lain. Misalnya tiada kenderaan hendak ke tempat belajar. Kawan-kawannya katanya, mempunyai kenderaan sendiri untuk bergerak ke mana-mana sekaligus memudahkan mereka untuk menelaah pelajaran dan urusan ke kelas.




Aku faham. Keadaan rumah yang tidak selesa memang boleh merencatkan mood untuk belajar. Tambahan lagi, jika sempit, bising dan tiada kemudahan belajar yang sesuai. Memang tidak dinafikan bahawa segala apa yang diperkatakan itu benar belaka. Namun, apa yang kita harus buat atau dia harus buat adalah cuba memaksimumkan sebaik mungkin kemudahan yang ada dan cuba belajar untuk bersyukur. Aku faham bahawa perkara itu susah apatah lagi, jika kadang-kadang manusia telah selalu berada di zon selesa.

Apa yang aku telah lalui sebelum ini sama juga seperti apa yang telah dia lalui. Atau aku biarlah aku bercerita secara umum sahaja supaya dapat dijadikan panduan samada untuk aku mahupun sesiapa yang terbaca.

Ketika aku sekolah rendah dan menengah bawahan, tempat belajar aku di rumah adalah di tangga naik ke laluan tingkat satu. Keadaan tangga yang mempunyai bukaan di ruang antara pemijak membolehkan aku memasukkan kaki ke dalam bukaan tersebut, seterusnya membolehkan aku meletakkan buku di atas pemijak tangga tersebut. Dapat dibayangkan bukan? Jadi, itulah tempat aku belajar selama beberapa tahun. Andaikata ada orang ingin naik atau turun tangga tersebut, terpaksalah aku 'berkemas' sedikit untuk melegakan ruang laluan.

Aku tidak tahu mengapa ketika itu meja belajar tidak ada disediakan oleh ibubapaku. Mungkin aku sendiri tidak berapa kisah belajar di antara ruang pemijak tangga. Dan, aku faham ketika itu, memang tiada ruang untuk menempatkan meja belajar. Kadang-kadang, baring di ruang tamu sambil belajar jika letih duduk terlalu lama. Sehingga aku masuk Tingkatan 4, aku terpaksa meninggalkan 'meja belajar' aku itu untuk duduk di asrama yang jauh lebih selesa daripada di rumah. Dan, ketika aku belajar di Pulau Pinang dahulu, aku tidak kerap balik walaupun kadang-kadang ada cuti semester atau cuti perayaan (yang kadang-kadang 3 hari tu) kerana aku lebih suka belajar di universiti yang jauh lebih selesa. Aku tidak merungut dengan keadaan rumah aku tersebut. Jadi, aku mengoptimumkan apa yang aku ada untuk mencapai keselesaan walaupun terpaksa berjauhan lama dengan keluarga.

Begitu juga ketika aku belajar di Shah Alam. Juga aku tidak kerap balik kerana faktor untuk mengulangkaji pelajaran dan membuat kerja atau assignment yang lebih selesa di rumah sewa (kerana ada meja!). Aku tidak suka menyalahkan keadaan jika ia tidak boleh diubah (dengan drastik), maka, aku sendiri yang berubah mengikut keadaan. Bak kata peribahasa, ikutlah haluan angin, ke mana ia menghembus, ke situlah padi akan terbang meliuk lentuk ditiup angin.

Seperkara lagi adalah kenderaan ataupun barang bantu belajar (contohnya komputer). Bukan tidak pernah aku suarakan kepada ibubapaku yang aku memerlukan komputer peribadi untuk memudahkan membuat kerja-kerja diberikan pensyarah, namun, dengan keadaan ketika itu yang tidak mengizinkan, maka, aku dinasihatkan untuk meminjam komputer kawan ataupun pergi ke perpustakaan siber.

Sudahnya, aku kumpul duit daripada latihan praktikal di sebuah kilang besi dan alhamdulillah, berjaya juga aku memiliki komputer peribadi yang aku guna sampai sekarang (sehingga saat ketika post ini ditaip). Tidak susah untuk kumpul duit dan tidak mudah juga untuk kumpul duit. Tapi, disebabkan ada target untuk dibeli, maka, usaha mengumpul duit daripada latihan praktikal kelihatan mudah dan lebih fokus.

Sekali lagi, aku ada menyuarakan hasrat untuk mempunyai kenderaan kepada kedua orang tuaku untuk memudahkan pergerakan aku ke kampus dengan tidak selalu menumpang motosikal kawan. Sedar ia mungkin tidak memberikan hasil, aku bekerja ketika cuti semester di sebuah kilang membuat pendingin hawa dengan ditemani beberapa rakan. Pengalaman yang ada ketika aku menjalani praktikal memang sangat membantu aku untuk memahami budaya kerja dan bagaimana untuk kita meletakkan sesuatu fokus untuk mencapai apa yang kita inginkan.

Hasilnya, aku berjaya membeli motosikal daripada kawan dengan harga RM1,500 yang mana, motosikal itu alhamdulillah, masih dalam keadaan baik sekarang. Motosikal ini amat membantuku yang selama ini menumpang motosikal rakan serumah untuk ke kampus. Kadang-kadang, kawan aku ni tertidur sampai tak terjaga pagi (belah malam dia jadi burung hantu, aku tak tahulah masalah apa dia ni), jadi, menyebabkan aku sendiri tidak dapat ke kelas kerana rakan-rakan lain ada yang tidak sama waktu atau motosikal mereka sudah penuh dengan pembonceng. Rakan aku yang selalu tuang kelas itu juga menyumbang kepada faktor aku untuk membeli kenderaan sendiri.

Apa yang aku cuba sampaikan adalah manusia ini berasimilasi. Ia harus mengubahsuaikan diri mereka jika keadaan di sekeliling tidak dapat berubah untuk mereka. Rumah tak selesa, jadi pergilah belajar di kampus. Tiada kenderaan hendak ke kelas, jadi usahalah dengan apa cara sekalipun, untuk sampai juga ke kelas. Kadang-kadang ibubapa mungkin boleh membantu semampu mereka dan kita tidak perlulah memaksa mereka untuk membantu kita membeli itu ini. Adalah lebih baik kita berusaha sendiri, raih wang ringgit sendiri dan nikmati hasil yang kita usahakan itu sendiri kerana ia lebih manis. Ruang lingkup yang selesa juga mampu mematikan kita apabila kita terdedah dengan kesusahan secara tiba-tiba. Oleh itu, berasimilasilah ye.

 
Google Analytics Alternative