Wednesday, December 23, 2009

Survival Alam




Manusia sentiasa mahu terus hidup. Manusia akan terus berbuat apa saja demi meneruskan kelangsungan bangsa mereka. Dan demi meneruskan survival mereka. Itulah serba sedikit intipati dalam filem terbaru James Cameron, Avatar.

The Director

Tidak sukar mengenali pengarah bernama James Cameron ini. Filemnya sentiasa membuatkan kamu ternanti-nanti dan lain daripada yang lain. Mula mengenali Cameron ketika Terminator. Oh bukan. Aku mula menonton Terminator 2 dan mula ingin tahu lebih mengenai sang pengarah bernama James Cameron. Ketika itulah aku mula mencari dan menonton Terminator. Ternyata ideanya lain dari pengarah yang ada ketika itu. Beliau sentiasa mencari pembaharuan dalam pengarahannya. Aku sehinggakan selepas beberapa tahun menonton Aliens barulah tahu, beliau adalah pengarahnya. Terdetik ketika itu, patutlah menarik cerita ni. Sejak dari itu, aku mula meminati dan menonton kebanyakan filemnya. Selepas Titanic, sehingga sekarang aku fikir yang Cameron sudah bersara dari arena perfileman.



Namun segalanya berubah tahun ini apabila aku dapat tahu yang James Cameron mengarah filem Avatar. Avatar? Filem adaptasi dari animasi Avatar The Last Airbender kah?Aku memang tidak minat kartun tu. Tapi Avatar yang aku baru tonton itu bukanlah seperti kartun di tv itu. Avatar ialah sesuatu yang berkait dengan kepercayaan Hindu iaitu 'incarnation' atau penjelmaan. Aku tidak mahu ulas panjang tentang ini kerana aku pun bukan tahu sangat. Kamu boleh search sendiri di internet apa itu maksud avatar.




The Plot

Avatar dalam filem ini adalah klon makhluk diberi nama Na'vi yang berkoloni dan mendiami planet Pandora. Para saintis pada tahun 2154, mencipta klon genetik gabungan DNA manusia dan spesis planet itu agar manusia dapat berasimilasi dengan kaum Na'vi melalui teknologi Avatar. Aku tidak mahu ulas sangat pasal ini tapi aku agak mungkin plot sebegini sudah agak klise di mana manusia ingin merebut mineral berharga kepunyaan makhluk lain demi meneruskan keupayaan Bumi memberi tempat tinggal untuk manusia. Mineral yang berharga itu, unobtanium, terdapat di perut Pandora atau lebih tepat lagi di bawah pokok besar kediaman puak Na'vi. Walau nampak tema imperialisme ini begitu klise, kita tidak akan rasa keklisean itu kerana Cameron mengolahnya dengan begitu baik sekali apatah lagi dibantu dengan kecanggihan teknologi animasi disajikan beliau dan teamnya. Dan cara mereka masuk ke dunia Avatar juga seakan sama seperti The Matrix tapi itu tidak harus menjadi isu.



Gambaran di planet Pandora memang tidak pernah tergambar dalam fikiran manusia dan tempat seperti ini adalah impian setiap manusia untuk menjejakkan kaki mereka. Makhluk seperti viperwolf adaptasi dari serigala dan anjing, pa'li sejenis binatang seperti kuda dan pelbagai lagi haiwan lain yang ada juga antaranya seperti haiwan prasejarah. Tumbuhan di situ pula amat berwarna-warni dan pada waktu malamnya mengeluarkan cahaya. Pokok tempat dewa mereka pula seperti kita melihat pokok besar di Kuala Lumpur yang digantungkan dengan lampu-lampu berwarna-warni. Sesungguhnya tidak ada ciptaan yang dapat melawan keindahan ciptaan Tuhan cuma apabila manusia diberikan otak, itulah antara keajaiban dan kebesaranNya dengan hasil kreativiti yang dikurniakan.




Apa yang menarik tentang Avatar adalah mata anda tidak terasa jemu memandang imej-imej ajaib dan menakjubkan sepanjang 2 jam 40 minit. Sehingga kini, aku juga tidak mampu menyingkirkan imej-imej ini dari kotak ingatan. Mengeluarkan RM10 untuk menonton sebuah filem yang memberi dimensi baru dalam industri ini amatlah berbaloi. James Cameron juga telah meletakkan satu kayu ukur yang tinggi bagi kategori filem bergenre sains-fiksyen ini. Maka pengarah yang datang dengan filem selepasnya, perlulah berusaha lebih keras lagi. Teknologi baru animasi yang telah diusahakan oleh beliau nampak begitu realistik sehingga kadang-kadang kita tidak sedar apa yang kita tonton di layar lebar itu hanyalah imej janaan komputer.



The End

Pada akhirnya, setelah selesai menonton, jangan pulang dengan otak kosong. Bercerita canggih itu ini tanpa memahami erti yang disampaikan adalah malapetaka. Penuhkan akal dengan memahami mesej-mesej yang ingin disampaikan oleh Avatar. Sanggupkah kita memenuhi nafsu dan keinginan kita dengan membunuh orang lain, membunuh binatang-binatang yang sama-sama mendiami galaksi ini dan paling penting, sanggup menebang pokok dan memusnahkan tumbuhan menghijau demi keinginan yang tak pasti? Kita mahu memilih menjadi golongan mana? Golongan rakus Sky People terdiri dari manusia sendiri yang datang untuk mengaut khazanah Pandora atau golongan Na'vi yang bermati-matian mempertahankan khazanah yang mereka ada supaya tidak dicemari tangan-tangan kotor manusia?

Apa yang cuba dihantar melalui Avatar adalah kita telah banyak merosakkan Bumi dengan menindas kaum lain yang mendiaminya. Kita mudah memusnahkan tumbuhan demi selera tamak itu tanpa kita sedari mereka juga hanyalah makhlukNya yang ada perasaan cuma tiada akal dan kekuatan untuk melawan kudrat manusia yang sewenang-wenangnya menceroboh dan memusnah. Kemudian bergelak ketawa apabila melihat hutan-hutan ditebang sehingga menjadi padang jarak padang tekukur. Lantas mereka juga terlupa apa yang mereka tebang itu adalah sumber 'nyawa' mereka juga. Kemudian berpekik menjerit bumi semakin panas lalu terus gagal berbuat apa-apa menghalang kepanasan global.



Kesimpulannya, Avatar amatlah berbaloi untuk ditonton kepada mereka yang bukan saja mahu menghargai teknologi tapi pada masa yang sama turut sama mengajak kita berfikir dan bertindak demi menyelamatkan dan meneruskan kelansungan alam yang kita diami bersama ini...


2 comments:

mmsyah said...

g xajak!

eJAI said...

aku nk ajak ko tp dgr citer ko dh ade kt utm..:p

 
Google Analytics Alternative