Saturday, May 07, 2016

Kamu Halau Mereka Kerana Kamu Mahu Menghuni


"Syuhhh..syuhhh...!!"

Hamidah menghalau sekawan anjing liar dewasa yang merayau-rayau bersama beberapa ekor anak mereka. Hamidah risau akan keselamatan anak mereka yang baru berusia 4 tahun kerana Jamali anaknya itu, suka sangat bermain-main di luar. Khuatir digigit anjing, Hamidah segera mendapatkan suaminya.

"Abang ni nak sangat beli rumah kat sini. Banyak anjing liar tau kat sini!", Hamidah menjerkah suaminya tanpa berminat memberi salam.

Suami Hamidah, Abu Salam yang dari tadi tenang sahaja menekan butang kawalan jauh mengalih saluran TV lain bingkas bangun.

"Kejap, biar abang telefon pemaju kejap...," kata Abu Salam. Mungkin kerana tidak tahan dengan leteran isterinya hampir setiap hari berkenaan masalah anjing liar, beliau bingkas bangun mendapatkan telefon pintarnya. Sebaik memberi salam, Abu Salam pun terus menceritakan masalah yang mereka hadapi kepada pemaju perumahan mereka.

"Encik, jika risau dengan anjing, saya cadangkan encik berpindah sahajalah...", kata sang pemaju dengan nada selamba.

Abu Salam mula rasa nak meradang.

"Sebagai pemaju yang bertanggungjawab, encik tidak patut jawab begini dengan saya. Apakah setelah encik seronok menerima bayaran daripada kami, maka, harus sahaja encik 'lepas tangan' atas perkara ini?"

"Maaf encik. Dunia ini perlumbaan mencari wang. Encik mampu membeli rumah di kawasan perumahan tersebut kerana encik ada wang. Disebabkan adanya orang macam encik ini, maka, kami selaku pemaju, hanya mengurus 'permintaan'. Encik tahu bukan konsep 'supply and demand'? Ada permintaan, maka, adalah pengeluarannya. Dan kami, hanya mengurus. Bukan tugas kami untuk mengurus anjing liar. Encik sendiri yang 'menghalau' penghuni habitat asal kawasan tersebut demi untuk encik dan keluarga menjadi pengganti habitat di situ."

"Celaka....", Abu Salam menghempas telefonnya ke bantal baldunya.

Tetapi, entah mengapa, herdikan itu seakan ditujukan buat dirinya sendiri.

No comments:

 
Google Analytics Alternative