Seperti yang diketahui ramai, fenomena ustaz Azhar Idrus semakin menjadi-jadi dan populariti beliau mencanak-canak naik. Aku mula mendengar video youtube ustaz ni sekitar tahun 2010. Ketika itu, tidaklah seglamer sekarang memandangkan ceramahnya lebih banyak di youtube sahaja. Berbanding sekarang, satu Malaysia beliau jelajah dan mudah untuk kita pergi mendengar ceramah beliau.
Lantang dan berani
Bukan itu sahaja, dengan adanya page ustaz Azhar Idrus Original di facebook menjadikan beliau semakin popular di kalangan anak muda. Apa agaknya resepi kejayaan ustaz ini dalam menambat hati golongan muda? Tentulah dari segi penyampaian ceramahnya yang menggunakan bahasa up-to-date(walaupun bahasa ganunya pekat!) dan elemen lawak disuntik bagi memberikan kesegaran dalam isinya. Inilah yang menjadi tarikan kepada anak muda.
Jarang aku dengar penceramah yang menggunakan pendekatan sebegini dalam menarik orang ramai mendengar apa yang mereka lontarkan. Seingat aku dahulu, Ustaz Harun Din dan ada beberapa ustaz yang menggunakan pendekatan lucu dalam berdakwah. Lama dahulu. Selepas itu, agak kurang ustaz yang menyerlah di kalangan orang ramai. Kini, muncul ustaz Azhar dan juga ustaz Kazim yang tidak kurang lucu dalam berceramah.
Begitupun, setiap hero pasti akan ada musuhnya sendiri. Dalam mendaki kejayaan pasti akan ada insan lain yang tidak berpuas hati dengan nikmat yang orang lain kecapi. Antara suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati mengatakan, " Ustaz ni suka membodohkan orang...", " Budak-budak sikit-sikit petik kata-kata ustaz Azhar, bukannya hadis..", "Ustaz ni suka menjatuhkan hukum.." dan macam-macam lagilah kalau lu orang rajin search.
Ini sebenarnya kata-kata orang bangang dan jahil agama. Pasal membodohkan orang tu aku tak mahu ulas pasal ustaz Azhar sendiri sudah jelaskan dan boleh cari di youtube. Mengenai ustaz yang tidak memberikan petikan dari hadis-hadis apabila menjelaskan sesuatu perkara, itu adalah gaya ustaz tersebut. Bukannya beliau tidak mahu memberikan petikan hadis tetapi itu adalah salah satu method beliau dalam berdakwah. Mungkin anak-anak muda bila dengar pasal hadis itu ini, mereka jadi jauh dan tidak mahu dengar. Sebaliknya, ustaz Azhar menggunakan cara halus dalam mendekati anak muda.
Lebih kurang begitulah dan kalau rajin, boleh cari penjelasan mengenai ini di internet juga. Dan kemudian pasal menjatuhkan hukum, aku rasa golongan ulama bukanlah penjatuh hukum. Seringkali manusia bangang agama merumuskan bahawa golongan ulama dan para ustaz ustazah suka menjatuhkan hukum dan beranggapan hanya Allah sahaja yang boleh menghukum mereka, bukannya manusia.
Sebagai contoh, telah diperjelaskan di dalam Al-Quran bahawa seseorang itu boleh jatuh murtad dengan 3 cara. Niat, lafaz dan perbuatan. Jadi, dengan ketiga-tiga asas inilah, para ilmuan agama merumuskan satu tafsiran berpandukan apa yang telah Allah tetapkan. Bukannya mereka sesuka hati menjatuhkan hukum. Konon mereka berkata, "Manusia sering mahu menjadi Tuhan, menghukum orang sesuka hati". Inilah yang sering terjadi kepada sesetengah masyarakat sekarang.
Aku bukanlah hebat dalam beragama namun percambahan golongan sekular dan fahaman sekularisme dalam masyarakat adalah sesuatu yang bahaya kerana ia melibatkan akidah. Mudah untuk mereka terpesong jika sudah berada di dalam landasan itu. Semoga aku dan setiap daripada anda dijauhkan daripada perkara-perkara sebegini. Jika kurang pasti dalam sesuatu melibatkan agama, berjumpalah dan bertanya kepada mereka yang lebih arif dan rujuk pada buku-buku yang betul. Jangan mentafsir agama mengikut cara sendiri.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment