Saturday, March 16, 2013

Jurnal Kembara 11: Ke Negara Eropah


Bagi setiap manusia yang mengambil subjek atau jurusan Kejuruteraan Mekanikal, pastinya antara salah satu negara yang ingin dilawati adalah Jerman. Jerman sinonim dengan teknologi kejuruteraannya. Maka, ini adalah salah satu sebab utama mengapa anda harus ke Jerman jika mengambil subjek Kejuruteraan Mekanikal. 

Dengan kuasa Allah, aku telah dipilih oleh-Nya pada tanggal 24 Februari 2013 lepas untuk ke Jerman. Ketika bos jabatan aku menyampaikan berita ini seminggu sebelumnya, aku kaget dan tidak tahu apa reaksi yang harus aku keluarkan. Gembira pun tidak, sedih pun tidak. Sedih tu sebenarnya patut aku rasa kerana aku tidak pernah keluar sejauh Singapura, maka, ada rasa sedikit takut. Malah, mendengar perkhabaran suhu ketika itu mencecah paras negatif membuatkan aku rasa sedikit kurang yakin.

Negatif

Tetapi segala pemikiran negatif itu harus aku buangkan jauh kerana hanya inilah satu-satunya peluang untuk aku ke negeri orang. Ke tempat orang putih. Ke Eropah. Suatu tempat yang tidak pernah aku impikan untuk jejakkan kaki seawal ini usia ini. Maka, dengan rasa suam-suam kuku, aku pun menerima tawaran bos jabatan mekanikal itu sambil berdoa dipermudahkan segala urusan aku pergi, semasa di sana dan juga semasa pulang.

Maka, segala titip kata nasihat beliau semburkan untuk aku termasuklah penyediaan baju sejuk dan barang makanan di sana. Sempat beliau meminjamkan jaket sejuknya bagi kegunaan di sana. Menjelang tarikh berangkat, aku pun menyiapkan segala kelengkapan bagi menghadapi cuaca sejuk di sana. Warmpacks, glove, snow cap, lip gloss, stokin tebal dan tak lupa megi juga menjadi antara persediaan aku.

Take-off

Genap tarikh 24 Februari, aku pun sampai di KLIA lebih kurang 5.30 petang sambil ditemani keluarga dan berjumpa dengan wakil dari syarikat pam dan wakil dari operator Terengganu. Oh ya, aku lupa nak bagitau tujuan kedatangan aku ke Jerman adalah bagi menjadi saksi pengujian pam air bersih atau dalam bahasa Inggerisnya, Factory Acceptance Test (FAT) untuk pam yang telah ditempah oleh pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah. Selaku wakil konsultan, maka aku ditugaskan untuk memeriksa data semasa pengujian nanti samada mematuhi ketetapan yang ditawarkan semasa dalam proses rekabentuk pam tersebut. Jika ok, bolehlah turunkan tandatangan dan jika sebaliknya, boleh reject.


 Mula menyanyi "Frankfurt, aku datang!"

 
 Penaja Arsenal


Perjalanan aku ke Jerman akan transit di Dubai sebelum sampai ke Frankfurt. Emirates Airlines pun mula bertolak pada pukul 7.30 malam waktu Malaysia. Aku mulai rasa berdebar. Fuhh, adakah ini semua mimpi? Ketika di dalam pesawat Emirates Airbus A380, kemudahannya sangat selesa. Kami dibekalkan dengan tv yang mempunyai ribuan jumlah filem, lagu-lagu, berita dan radio. Layanannya juga sangat memuaskan kerana kami susah nak tidur akibat sering diganggu dengan makanan dan pemberian tuala basah daripada pramugari-pramugari.


Mempunyai kamera dari pandangan luar pesawat. Terbaik!


 
 Pelbagai variasi buat penghilang bosan


 Dubai

Aku sampai di airport Dubai pada lebih kurang pukul 3 pagi waktu Malaysia (11 malam waktu Dubai). Tanpa melengahkan masa, aku dan wakil syarikat operator mengerjakan solat jamak dan qasar sementara menanti pesawat berlepas ke Frankfurt. Disebabkan pesawat hanya akan berlepas lebih kurang 3 jam lagi, aku dan mereka mengambil peluang untuk berjalan di sekitar airport Dubai. Airport ni sebenarnya lagi besar daripada KLIA dan lagi moden. Maklumlah, kebanyakan pelancong akan transit di sini untuk ke negara Eropah. Bagi membasahkan tekak, kami singgah di sebuah kedai kopi yang aku lupa namanya.

Tepat jam 3.30 pagi (waktu Dubai), kami pun take-off ke Frankfurt. Fuh, kali ni makin berdebar. Entah macam manalah keadaan di Jerman tu nanti. Sementara bosan di dalam pesawat, aku layan cerita Wreck-It-Ralph bagi menghadapi perjalanan selama 7 jam tersebut. Dan seperti biasa, kami dihidangkan dengan pelbagai makanan (kebanyakkannya roti) oleh pramugari Emirates Airlines. 


















Suasana di Airport Dubai


Oh Frankfurt!

Dan pada pukul 7.30am waktu Jerman (3.30pm waktu Malaysia), pesawat pun mendarat di airport Frankfurt. Aku berasa sangat teruja apabila memandang ke luar tingkap pesawat apabila melihat keseluruhan bangunan dilitupi salji tebal. Subhanallah, sungguh indah ciptaan Allah. Aku dan rakan lain selamat mendarat dan selamat melepasi pemeriksaan imigresen pegawai Frankfurt. Seperti rasa mimpi, aku sudah menjejakkan kaki di salah sebuah negara Eropah yang aku impikan selama ini. Syukur kepada Allah kerana telah memakbulkan doa aku. Alhamdulillah. Seperti yang aku pernah tengok dalam drama atau filem luar, aku juga bernafas mengeluarkan 'asap'. Hehe. Sangat teruja.

Cukup sampai di sini dan aku akan sambung di Bahagian Kedua nanti.

No comments:

 
Google Analytics Alternative