Mutakhir ini, orang Malaysia amnya dan Melayu khasnya seakan mulai sedar akan kepentingan politik. Namun, apa yang kita dapat lihat pada hari ini bukanlah suatu situasi politik unggul dan yang kita impikan. Politik yang kita lihat dan baca pada hari ini adalah lebih kepada 'sila sokong kami' atau 'undilah parti dot dot'.
Ketika aku masih kecil, aku masih ingat bahawa suratkhabar tidak banyak memainkan isu-isu politik dengan begitu terang-terangan seperti hari ini. Media ketika itu lebih banyak menceritakan isu tentang rancangan-rancangan kerajaan, dasar-dasar kerajaan, sosialisma masyarakat dan masalah rakyat. Seperti yang kita lihat hari ini, setiap parti sedaya upaya cuba untuk menjadi juara rakyat dan meraih sokongan kerana bagi setiap ahli politik, nyawa mereka adalah sokongan rakyat.
Namun, manipulasi media yang digerakkan oleh ahli-ahli politik pada zaman ini sungguh jijik dan meloyakan. Saban hari kita disajikan dengan cerita tohmahan, fitnah-memfitnah, burukkan orang itu, burukkan orang ini demi mendapat kuasa pengundi. Apakah ini yang kita mahukan? Membaca segala berita caci maki? Jika ditanya akal yang dangkal pasti tidak membantah. Namun, bagi kita yang waras dan rasional, berita-berita sebegini amat meloyakan dan memualkan. Dan setiap hari, pasti terkeluar caci maki kita terhadap orang itu, orang ini, parti itu dan parti ini.
Dan aku? Aku mencaci maki suratkhabar dan televisyen. Sudah tidak ada nilai berita yang lebih intelektualkah? Apakah ahli politik hanya pandai memburukkan orang tanpa boleh 'berperang' dengan hujah dan fakta ilmiah. Inilah situasi yang perlu dipandang serius oleh kita. Teknologi makin ke depan namun mengapa nilai berita kita semakin berundur ke belakang ibarat orang di zaman jahiliyah. Malah, aku sifatkan ia lebih teruk daripada zaman jahiliyah.
Politik tanahair adalah jijik, kotor, samseng dan meloyakan. Sebab itulah, politik adalah segala-galanya di sini. Sana sini ia pasti melibatkan politik. Hendak mendapatkan tanah perlukan politik. Hendak meluluskan geran perlukan politik. Hendak membina bangunan perlukan politik. Hendak dapatkan pekerjaan perlukan politik. Hendak memberikan pinjaman pelajaran perlukan politik. Hatta, membina sebatang jalan di dalam kampung pun perlu campurtangan politik. Mengapa kita tidak boleh mencontohi Eropah, Jepun dari segi pelaksanaan cara dan kerja?
Kerajaan yang dipilih rakyat menunaikan mandat yang diterima tanpa mahu mengambil hak rakyat dengan sewenang-wenangnya.Kerajaan sewajarnya ikhlas berkhidmat kepada rakyat selepas mengambilalih tampuk pemerintahan. Namun apa yang berlaku kini adalah kerajaan seboleh mungkin cuba memeras harta negara dan dicampakkan beban itu kepada rakyat jelata. Ini sangat mengecewakan. Kita masih jauh ketinggalan untuk menjadi negara berdaya saing selagi pemimpin di atas korup dan hanya menghabiskan wang rakyat.
Kini bukan lagi zaman untuk kita berperang minda secara ilmiah dan intelektual. Mereka berperang dengan harapan untuk memperolehi mandat dan kuasa supaya mampu terus-terusan memperolehi kekayaan. Perang yang dipelopori ahli politik ini menghalalkan fitnah, caci maki, sebar video lucah dan samseng-samseng. Inilah perang yang kita hadapi sekarang. Buang semua buku anda dan marilah terus mengundi parti yang hanya mampu berperang cara sebegini.
No comments:
Post a Comment