Sunday, March 31, 2013

Konsep Ketuhanan Yang Kita Abaikan




Apabila aku buka facebook dan baca status-status manusia di situ, aku seringkali terfikir tentang pengakhiran kehidupan ini. Apakah manusia termasuk aku memikirkan kehidupan selepas mati? Apakah kita lupa bahawa dunia ini sebenarnya hanyalah sementara dan akhirat itu kekal abadi?

Tak dinafikan melalui pemerhatian yang aku buat, ramai manusia hari ini kian mengejar dunia tanpa memikirkan langsung kehidupan selepas barzakh. Contohnya pekerjaan. Berapa ramai manusia termasuk aku yang memikirkan pekerjaan itu sepatutnya haruslah berlandaskan prinsip pematuhan kepada Allah? Manusia tampak mengejar kejayaan dan kekayaan di dunia tanpa mahu langsung bersujud kepada Yang Esa. Mereka mampu hadir ke mesyuarat, seminar dan perbincangan yang beratus-ratus batu jauhnya tetapi mengapa susah untuk kaki melangkah ke masjid?

Tak perlu sentuh bab masjid, lihat saja bagaimana orang Islam sendiri mampu patuh kepada tarikh dan waktu mesyuarat tetapi bila diajak sembahyang, mereka akan kata, "Takpe, kejap lagilah. Ada masa lagi."

Mengapa terjadi begini? Mengapa? Bukankah kita diciptakan oleh Allah Maha Esa tetapi kita boleh mengatakan 'tunggu' kepada Tuhan? Kepada manusia kita boleh patuh tetapi mengapa tidak kepada Allah? Allahurabbi...Betapa banyaknya dosa yang telah kita lakukan kepada-Nya.

Lagi satu contoh adalah bab makan. Kita boleh pergi ke mana sahaja dalam Malaysia ini kalau bercerita bab makanan. Pernah satu pemuda bercerita kepada aku tentang kehebatan ayahnya yang sudah meneroka banyak tempat-tempat makan yang best dalam negara. Sebut saja negeri mana, pasti ayahnya mampu menyenaraikan kedai mana, restoran mana yang sedap. Sebutkan sekali jenis makanannya, mudah saja disenaraikan. Itu bukanlah satu kesalahan dan tidak bagus tetapi apakah kita sudah cukup meneroka 'masjid'?

Tidak salah jika kita tahu segenap inci tempat makan menarik tetapi cuba kita lihat diri kita atau aku sendiri yang lalai ni. Setiap kali kita keluar untuk urusan, kita pasti akan mencari tempat makanan dahulu bagi mengisi perut yang lapar. Tetapi berapa ramai yang cuba menyempurnakan ibadah solat pada waktunya? "Makan tak boleh tangguh, solat boleh tangguh?". Betul ada sebuah hadis pernah menyebut supaya kita makan dahulu walaupun telah mendengar iqamat. Tetapi, sebenarnya dalam hati kita memang sering meletakkan pengisian perut itu lebih utama daripada menunaikan ibadah pada waktunya. Kiranya memang takde dalam nawaitu kitalah untuk menunaikan solat pada waktunya berbanding makan pada waktunya. Ya Allah, lalainya aku.

Jadi, pesanan terhadap diri aku dan kalian semua, marilah kita cerminkan diri kita. Sementara duduk-duduk termenung tu, cuba fikirkan apakah kita sudah cukup beriman terhadap agama Allah. Apakah pekerjaan yang kita lakukan sehari-hari itu berlandaskan syariat-Nya? Adakah konsep pekerjaan suatu ibadah itu kita gunapakai? Apakah konsep mencari tempat-tempat makan best mudah tetapi apabila melangkah ke masjid, kaki terasa berat itu kita boleh buang jauh-jauh?

Tuan-tuan, hari ni kita mungkin tidak ingat akan hari akhirat. Apabila datang musibah, barulah kita akan ingat kepada Allah. Dan apabila musibah pergi, kita kembali kepada cara hidup jahiliah. Dunia hanya sementara tuan-tuan. Tidak guna kita bermegah-megah dengan pekerjaan dan makanan (contoh) yang baik-baik, tetapi hati langsung tidak kepada agama Allah.

No comments:

 
Google Analytics Alternative