Orang kata hijrah adalah satu pengorbanan. Harus aku simpulkan tepat
bahawa sememangnya hijrah memerlukan pengorbanan dan menuntut
kesabaran.
Jika sebelum ini aku agak selesa berada di rumah
sendiri yang cukup dengan segala kemudahan asas seperti Astro untuk
menonton bolasepak Inggeris, Unifi berkelajuan tinggi, mesin basuh,
microwave, mesin Coway hatta parkir kereta yang memudahkan, tidak perlu
bayar rumah sewa, maka apabila berlakunya hijrah, kesemua nikmat itu
tarik balik.
Idea penghijrahan ini datangnya dari aku dan isteri
aku yang tentunya kami berdua sudah tidak dapat bersabar lagi dengan
keadaan jalanraya yang dipenuhi umat manusia keluar pagi pulang malam.
Begitu banyak masa terbazir di jalanraya semata hanya menempuhi
perjalanan dari Cheras ke Batu Caves yang sekitar 30km sahaja.
Perjalanan 30km ini mampu menjadi sejam pada sebelah pagi dan boleh
mencapai hampir 2 jam jika sebelah petang membawak ke malam.
Lalu, kata sepakat dicapai. Maka, jika penghijrahan mampu mengembalikan
'masa' yang kami buangkan di jalanraya, eloklah sekiranya masa yang ada
itu dapat digunakan untuk memasak, mengemas dan paling penting
merehatkan diri.
Seawal 3 bulan pertama ini memang 'sakit'. Aku
struggle. Aku terpaksa berasimilasi dengan keadaan dan persekitaran
baharu. Dan tinggalkan segala kemudahan yang telah 'setia' denganku
bertahun-tahun. Begitu juga dengan orang tuaku. Perasaan sedih tidak
dapat digambarkan apabila ada keadaan di mana aku terpaksa melewatkan
bayaran hutang kereta selama 1 bulan hanya kerana untuk membolehkan aku
membeli makanan untuk kami berdua. Kadangkala, terpaksa berhutang dengan
kawan-kawan hanya untuk membayar duit rumah sewa. Dan, raya yang lepas
pun, aku dan isteri tiada langsung baju baharu untuk dipakai. Cukuplah
pakai baju nikah kami tahun lepas yang masih elok untuk bergambar pagi
raya.
Keadaan persekitaran juga amat mencabar. Memilih untuk
meninggalkan keadaan yang selesa di rumah teres dan menduduki sebuah
kejiranan rumah pangsa kos rendah sungguh mendetikkan hatiku. Saban hari
aku disajikan 'perang' suami isteri di depan rumah sehingga memaksa
pihak polis datang membawa M-16, tangisan kanak-kanak yang seolah-olah
didera, gejala sosial dengan budak sekolah rendah merokok selamba di
lobi lif, kawasan buang sampah yang tidak terurus dan macam-macam lagi
yang kau orang boleh fikirkan di sebuah kejiranan berkos rendah
(barangkali).
Lalu, ibrah apa yang dapat aku pelajari dari sini?
Ya, sudah tiba aku menerima penghijrahan itu sememangnya menuntut
sebuah pengorbanan yang bukan kecil anak. Ada masa kita akan menangis
dan ada masa kita masih lagi mampu untuk ketawa kecil. Tidak selamanya
aku boleh berada di tempat selesa dan cukup makan pakai segala-galanya.
Aku perlu keluar untuk merasai sendiri bagaimana rasanya menunggu di
hadapan bank semata untuk menanti 'wang' yang dipinjam dari rakan bagi
membolehkan kami membeli barang dapur. Aku perlu keluar dari zon selesa
supaya tak selamanya aku merasa 'ketidakcukupan'. Aku perlu mengajar
diri pula untuk berkata 'cukuplah'. Dan berkenaan hutang, jika ada jalan
lain, elakkanlah diri dari melakukan hutang melainkan keadaan amat
terdesak.
Dan aku bersyukur aku masih diuji dengan dugaan dan
ujian yang masih mampu ditanggung. Sedangkan ramai lagi manusia di luar
sana yang menanggung ujian yang lebih dahsyat dan berat dari apa yang
pernah aku fikirkan. Bukanlah niatku untuk membuka kisah keaiban dan
meraih simpati kalian, bahkan tujuanku cuma satu. Hanya untuk aku
jadikan pelajaran dan pengajaran buat diri yang masih lagi belajar
bertatih mengenal erti hidup.
Sememangnya, hijrah itu mampu
menerbitkan rasa syukur dan menyatakan perlunya manusia 'pulang' semula
kepada Tuhan pentadbir alam.
Selamat Tahun Baru Hijrah 1439M.
No comments:
Post a Comment