Sewaktu pertama kali isu dobi untuk pelanggan Muslim disiarkan di
timeline berita Facebook, aku baca sepintas lalu (surface) sahaja dan
kemudian meneruskan skrol pembacaan kepada berita yang lain pula.
Isu ini adalah isu mudah dan senang. Bukanlah isu panjang dan tiada
guna untuk diperdebatkan. Namun, ianya sudah menjadi semakin berlarutan
dan panjang ditambah pula ada komentar daripada institusi monarki
menambahkan lagi kecelaruan yang ada di benak orang kebanyakan.
Kenapa isu ini mudah dan senang?
Yang pertama, kita lihat dari perspektif tuan punya kedai. Tuan punya
kedai meletakkan papan tanda bahawa kedainya mencuci untuk pelanggan
Islam sahaja. Normal dan terpakai pada mana-mana keadaan bahawa tuan
punya berhak menentukan siapa yang boleh menjadi pelanggannya. Sama
seperti kita membuat rumah sewa atau homestay. Tuan tanah berhak
menentukan pelanggan samada dari bukan Muslim ataupun Muslim. Itu
sahaja. Kita hormat prinsip tuan punya kedai dan kita cari sahaja kedai
lain jika tidak bersetuju. Tidak perlu diperbesarkan menjadi barah
seperti hari ini.
Isu lain adalah sangkaan atau ghuluw. Para
ulama melalui tafsir hadis sendiri sudah menyatakan secara jelas bahawa
perkara seperti ghuluw atau sangkaan ini tidak boleh dijadikan hujah
atau asas penolakan/penerimaan sesuatu perkara. Perkara yang kita tidak
pernah nampak dan rasai bukan satu hujah yang kuat untuk menolak perkara
pokok. Contohnya, tayar kereta kita setiap hari akan melalui bermacam
jenis permukaan jalan yang jika ada sangkaan, mungkin ada tahi najis
atau kencing babi. Dan kita pula boleh sahaja pegang tayar untuk periksa
bunga atau anginnya tanpa berasa ragu bahawa wujud kemungkinan yang
berasaskan sangkaan itu tadi. Maka, kita arif perkara ini dan kita pun
tidaklah pula menyertu tayar kita setiap kali habis menggunakan
kenderaan itu. Kes sama terpakai untuk hal dobi mendobi ini tadi. Jika
kita hanya berasaskan sangkaan semata, maka, apa hujah kita untuk
menolak orang lain daripada menggunakan perkhidmatan yang disediakan?
Sedangkan kita tidak pernah nampak dan dengar sendiri.
Bahkan,
jika sekadar berasaskan sangkaan, kita pula mendatangkan fitnah pada
agama Islam sehingga terbit bait-bait ucapan yang menyelar keindahan
agama Islam.
"Islam jumudlah. Islam tidak adillah. Islam sempitlah."
Ini semua perkataan yang boleh dijadikan modal kaum bukan Islam untuk
menolak agama ini sekaligus mendatangkan fitnah pada agama walhal Islam
tidak begitu.
Jadi, jika kemudaratannya lebih besar pada agama, jalan yang terbaik adalah mengikut garis panduan yang telah Quran dan sunnah gariskan. Itu jalan terbaik untuk mengelak sengketa antara kaum dan agama.
"Macamana pulak Cina yang pergi minta jawatan kosong untuk Chinese only tu?"
Ini satu lagi hujah kaum dungu. Itu isu lain dan ini isu lain. Stick
pada satu topik dan isu kerana membawa masuk isu lain dalam isu asal
adalah satu teknik 'diversion' yang digunakan mereka yang ketandusan
hujah. Kalau semua isu hendak dikaitkan, maka, sampai kiamat pun kita
tidak akan habis berpotpet potpet dan sembang. Fokuskan pada isu asal
lebih baik. Yang nak bawak masuk isu lain berkenaan pekerjaan tu kenapa?
Sampai bila nak habis? Kau baru lahir ke?
Akhir kata, aku
teringat pada pakcik aku yang berjiran dengan bukan Muslim kiri dan
kanan. Cita-citanya adalah membawa masuk Islam kepada mereka yakni
menarik mereka perlahan-lahan kepada Islam dan keindahannya. Bagaimana
untuk menunjukkan keindahan Islam kepada jiran-jirannya itu?
Melalui penerapan jati diri Islam dalam diri sendiri terlebih dahulu.
Berakhlak baik, berkata yang baik dan sebagainya untuk menonjolkan
keindahan agama Islam itu sendiri.
Dan, alhamdulillah, seorang
jirannya sudah memeluk Islam. Fokus kepada yang sebelah pula kini. Sebab
itu, selagi umat manusia yang beriman berjalan di atas muka bumi ini,
selagi itulah dakwah yang dibawa Muhammad SAW tidak akan terhenti walau
baginda sudah wafat ribuan tahun lalu.
Sekian.
No comments:
Post a Comment