Monday, December 31, 2012

Dalam Konteks Besar



Isu penggunaan kalimah Allah dalam Bible ni sebenarnya isu lama. Hanya kerana Lim Guan Eng yang melontarkannya, maka puak parti pemerintah mula memainkan isu ni sehinggakan Perkasa sendiri turut berdemo membantah kebiadapan Lim Guan Eng. Walhal, saya dapati pada demo tersebut, kaum wanitanya juga bukanlah sempurna dari segi auratnya. Jadi, siapa yang menghina Islam di sini?

Saya terbaca tulisan Dr. Zaharuddin di media perdana. Isu ni tidak patut diperbesarkan katanya. Ini akan menyebabkan penganut Kristian merasakan umat Islam sebagai angkuh dan sombong. Ya, memang benar tulisan Dr. Zaharuddin tersebut. Saya bersetuju. Mereka yang menentang Lim Guan Eng ini hanya akan menjadikan agama Islam dianggap sebagai agama yang sombong. Ini sangatlah patut dielakkan. Jika mereka hendak membantah, bukan dengan menulis di dada akhbar dan berdemonstrasi bagai. Mereka sepatutnya menulis kepada beliau. 

Umat Islam berdakwah bukan dengan cara mencaci dan maki hamun. Tiadalah salah sebenarnya isu penggunaan kalimah tersebut. Jika isu ini dianggap sebagai melemahkan dan menjerumuskan umat Islam ke arah murtad, bagaimana pula dengan konsert K-pop yang dianjurkan? Bagaimana pula dengan sambutan tahun baru di I-City yang dijangka dibarisi dengan artis Bollywood dan nyanyian melalaikan?

Kita sebagai umat Islam hari ni gagal memahami agama dalam konteks yang lebih luas. Dan juga dalam konteks yang tersirat. Mereka hanya bangkit menentang apabila kaum bukan Islam mengambil hak mereka. Walhal kita sendiri gagal menarik diri kita kepada agama Islam itu sendiri. Sedangkan kita pun gagal memahami agama kita, bagaimana pula mahu berdakwah kepada bukan Islam?

Seperti yang diterangkan pasal konteks tadi, kita mungkin tidak mempunyai Bible di rumah. Namun, ingatlah kita mempunyai televisyen dan internet di rumah di mana jika salah penggunaannya akan menjerumuskan kita kepada kerosakan akidah yang kita sendiri tidak sedar. Marilah memperkasakan akidah umat Islam sendiri daripada hanya membuang masa membantah penggunaan kalimah Allah digunakan orang bukan Islam. Itu lebih wajib kita lakukan. Inilah jadinya apabila politik dijadikan pegangan nombor wahid.


Sekadar gambar hiasan barangkali


Sunday, December 30, 2012

Only In Malaysia


Mereka menyerang beliau dari segenap sudut. Ini semua berkisarkan mengenai amanatnya lebih 20 tahun lalu (betulkan jika tersilap). Media-media pula pandai dengan meminta pandangan segenap mufti dan ulama komersil tanah air. Dan seperti dijangka, hanya yang 'menyerang' beliau sahaja akan keluar suratkhabar dan televisyen. 

Kebanyakkannya meminta ditarik balik amanat tersebut dan beliau diminta bertaubat. Begitu juga dengan gerombolan rakan daripada parti pemerintah yang meminta supaya 'pengeluar amanat' tersebut supaya bertaubat. Jadi, isu ni terus dimainkan selama hampir lebih seminggu. Yang peliknya, sudah lama baru hendak dimainkan semula?

Satu lagi yang pelik mengenai media arus perdana kita ialah kenapa pihak media tidak terus saja mendapatkan penjelasan daripada beliau yang mengeluarkan amanat tersebut? Kenapa pihak tersebut tidak berani membenarkan beliau memberi penjelasan? Inikah yang dipanggil keadilan dalam melaporkan berita?

Dan seperti dijangka, Menteri Penerangan hanya membenarkan rakaman penjelasan saja dibuat. Supaya boleh diedit begitu?

Sedih melihat negara kita semakin hancur....

Thursday, December 20, 2012

Bermain LEGO


Semasa saya kecil-kecil dahulu, Lego adalah antara permainan yang sering dimainkan. Permainan ini sangat-sangat awesome ketika itu. Namun, harganya yang tinggi menyebabkan saya sering berkongsi dengan rakan untuk bermain. 

Semalam, saya beli sebuah permainan Lego daripada Shell. Ketika saya memasang dan mencapahkan blok-blok tersebut, fikiran saya pantas terkenangkan memori dahulu. Ia bukan sekadar permainan. Ia mampu merangsang minda. Sekarang, kanak-kanak jarang bermain Lego. Mereka hanya tahu bermain permainan di smartphone saja.


Ferrari 150 Italia


P/S - Syok ke Legoland tu?

Monday, December 17, 2012

Ambil Masa dan Hati




Kebanyakan orang mengambil mudah dari segi menjaga hati dan perasaan orang lain walaupun kita tidak mengenali mereka. Ini adalah silap kerana jika diimbau perjalanan hidup Rasulullah S.A.W, kita dapat melihat betapa kekasih agung Allah ini sentiasa melayani kaum yang datang kepadanya dengan adil dan saksama.

Tidak perlulah saya huraikan mengenai sirah Rasulullah tersebut kerana saya yakin ramai daripada kita hari ini sudah sedia maklum mengenai kisah tersebut. Apa yang saya nak tekankan di sini adalah perlunya ada rasa kehambaan sepertimana yang diamalkan oleh baginda Rasulullah.

Contoh paling mudah dan dekat adalah apabila kita makan di restoran. Katakan datang seorang pemuda atau pemudi menjual benda. Ada di antara kita pasti akan mencebikkan muka dan dengan segera menghalau penjual tersebut yang kadangkala menjual buku agama. Ini sebenarnya tidak betul tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Apa salahnya kita ambil masa sekejap untuk mendengar penerangan mereka dan kemudian barulah buat keputusan untuk tidak beli. Bukankah kita menghancurkan perasaan mereka jika kita terus menghalau tanpa sempat mereka menghulur salam? Bagaimana pula jika kita berada di tempat mereka? Pasti ada sedikit rasa terkilan bukan?

Satu lagi adalah ketika penjual bertandang dari satu rumah ke rumah. Amalan menyorok di dalam rumah sambil mematikan bunyi TV adalah sangat tidak beretika. Ini salah sama sekali. Bukankah lebih elok jika kita keluar dan ambil masa sedikit untuk melayani mereka yang pastinya penat menjaja barangan dari satu rumah ke rumah. Saya sedih melihat layanan orang berumah besar dan berkereta besar ini terhadap orang yang hanya mahu mencari sesuap nasi. Beli atau tidak itu cerita lain. Penjual menipu atau tidak, itupun cerita lain.

Tidak akan rugi jika kita mengambil masa sedikit untuk sekurang-kurangnya menceriakan hidup orang lain dan menjaga hati orang sekeliling. Hidup ini bukannya lama. Kongsikan nikmat kita bersama mereka yang lain sambil kita mengikut sunnah manusia agung, Nabi Muhammad. Insyaallah.

Wednesday, December 12, 2012

Jurnal Kembara 10: Universal Studios


Alhamdulillah, baru-baru ni saya mendapat rezeki dan peluang berkunjung ke Singapura sekali lagi. Namun, kali ini, perjalanan saya terhad hanya ke Universal Studios Singapura (USS) sahaja. Jadi, tiket untuk masuk ke dalam tempat ni, anda paham-pahamlah ye dia punya mahal. Lagipun, saya berkunjung di atas tiket pakej rombongan bersama pakcik saudara. Mungkin, kalau ramai, harganya murah sedikit dan kunjungan bukan di masa peak hour.


Mercu tanda USS di hadapan pintu masuk


USS terletak di dalam rantau Pulau Sentosa. Dahulu, saya hanya mampu melihat USS ni dari luar je, dan sekarang berpeluang singgah dan masuk terus ke dalamnya. Di dalam USS ni, ada 7 kawasan taman tema utama iaitu Hollywood, Madagascar, Far Far Away, The Lost World, Ancient Egypt, Sci-Fi City dan New York. Kami bermula di Hollywood di mana kawasan ini ibarat kedai-kedai seperti dalam gambaran filem Hollywood baik daripada kawasan pejalan kakinya, rekaan bangunannya, hiasan jalanannya dan macam-macam lagilah. Jika masanya kena, anda akan dapat menikmati perarakan watak-watak filem Hollywood di sini. Time lalu area ni, takde pulak perarakan, cuma ada Frankenstein je.


 Nampak macam Hollywood ka?


Seterusnya, checkpoint kedua ialah Madagascar. Di sini, ada tarikan 'Boat Ride' di mana kita naik bot sambil melayani keletah binatang-binatang Madagascar. Walaupun agak keanak-anakan tetapi still impressive. Bagi checkpoint ketiga yakni di Far Far Away, kita dihidangkan dengan sebuah persembahan visual 4D daripada filem Shrek. Ini juga satu persembahan yang hebat di mana kita boleh merasai semburan air ke muka apabila watak Donkey bersin dan juga merasai seperti kaki kita dinaiki labah-labah. Memang satu pengalaman yang amat menarik dan canggih.


 Tarikan utama adalah sang Shrek


Sebelum sampai ke checkpoint keempat, kami sempat menikmati persembahan hebat yang diadaptasi daripada filem Waterworld. Ibarat sebuah teater bertemakan air, penonton juga sama-sama dapat merasakan percikan air dan paling menakutkan adalah apabila penonton juga akan disimbah dengan air oleh para pelakonnya. Walaupun cuma berdurasi lebih kurang 15 minit, saya merasakan persembahan hebat yang diiringi tembakan, letupan dan percikan air ni seperti sukar untuk diluputkan dari ingatan.


Pentas canggih yang dipenuhi dengan pyrotechnic


Bagi checkpoint di The Lost World, saya dan rombongan terpaksa memendekkan masa perjalanan dan skip ke checkpoint seterusnya. Walaupun cuma baru 4 tempat yang dikunjungi, ia sudah memakan masa hampir 4 jam. Jadi, untuk The Lost World punya tarikan, terpaksalah saya skip ke tahun mendatang. Manalah tahu, dapat pergi dengan bini pulak ke...Haha! Oh ya, di checkpoint kelima iaitu The Ancient Egypt juga terpaksa kami skip bagi merasai pengalaman yang seterusnya. Mungkin di lain kali.


 Menaiki salah satu roller coaster yang cukup mengecutkan perut


Seterusnya, di Sci-Fi City, saya berpeluang menaiki antara roller coaster yang menakutkan bagi saya. Walaupun tak banyak roller coaster di Malaysia yang saya cuba, tapi di sini, roller coaster Battlestar Galactica adalah antara yang menarik. Walaupun naik cuma seminit, saya sentisa memikirkan bilalah agaknya roller coaster ni nak habis ketika di udara. 


Kafe bagi robot?


Dan, saya pun sampai di checkpoint yang dinantikan sekian lama iaitu menaiki Transformers Ride. Walaupun pada mulanya, mereka memaklumkan ada beberapa kerosakan teknikal terjadi, namun tidak sampai setengah jam, kami dimaklumkan bahawa permainan tersebut selamat untuk dinaiki. Menarik mengenai permainan ini adalah penonton akan duduk di dalam sebuah kereta yang digerakkan di atas rel dan seterusnya disajikan dengan pengembaraan Transformers di layar 3D. Ia sangat menakutkan ditambah dengan kereta tersebut yang turut sama bergoyang mengikut perjalanan cerita. Bagi saya, inilah antara permainan yang wajib dicuba jika anda berkunjung ke USS.


Maskot Optimus Prime yang sedia bergambar dengan anda


Dan, di New York pula, saya sempat berkunjung ke Lights, Camera, Action! yang dikendalikan oleh Steven Spielberg (kononnya) dan menikmati kesan khas yang dijana di dalam filem-filem Universal. Ada satu ketika babak letupan, seorang kanak-kanak berusia lebih kurang 6 tahun menangis kerana terkejut. Jadi, hati-hatilah ketika membawa anak-anak kecil yang berusia 6 tahun dan ke atas kerana ia mampu membuat anda terkejut secara tiba-tiba.


Kotaraya New York?


Akhirnya, lengkaplah perjalanan saya dan rombongan di USS pada pukul kira-kira 6.30 petang. Masuk pukul 10 pagi dan keluar 6.30 petang, itupun ada beberapa taman yang kami skip kerana mengejar waktu walaupun ketika itu bukanlah waktu puncak. Jadi, nasihat saya bagi mereka yang ingin ke USS. Rancang sebaiknya jadual permainan yang ingin anda lawati dan cuba elakkan waktu cuti umum atau hari Jumaat. Hari Isnin yang saya pergi ni pun dah ramai orang apatah lagi jika waktu cuti. 

Bagi bab makanan pula, hati-hati jika hendak membeli, pastikan yang halal dan dikendalikan Muslim. Saya cadangkan makan di restoran Arab di kawasan Ancient Egypt. Untuk kemudahan surau pula amat mendukacitakan kerana mereka hanya menyediakan sebuah surau yang teramat kecil dan cuma ada satu tempat wuduk. Saya bernasib baik kerana ketika selesai saja solat, berduyun orang datang ke surau tersebut sehingga terpaksa menanti lama di luar. Sekian, kembara saya kali ni dan saya berharap semoga dapat berkunjung lagi ke sini.




Notakaki - Dimaklumkan bahawa gambar-gambar adalah hakcipta terpelihara. Sebarang penculikan gambar haruslah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tiada kes saman menyaman terjadi.

Tuesday, December 04, 2012

Menjadi Pemimpin


Menjadi pemimpin itu bukan satu tugas mudah. Terlalu banyak dan amanah yang kita akan pikul. Apabila gagal, setiap satu daripadanya akan dipersoalkan kelak di padang mahsyar hatta menjadi ketua kelas sekalipun. Sepatutnya, orang yang mencari kita untuk menjadikan kita sebagai pemimpin. Jika kita yang beria-ia untuk menjadi pemimpin, dari situ kita sudah boleh nilai akhlak mereka yang beria-ia benar untuk menjadi pemimpin.

Aku masih ingat lagi di zaman sekolah dahulu di mana, ada beberapa sekumpulan rakan-rakan aku yang beria-ia benar untuk bergelar Majlis Pemimpin Pelajar (MPP). Ada di antaranya sanggup berkawan dengan MPP tingkatan 5 semata-mata mahu mendapatkan tiket mudah menjadi MPP. Dalam bahasa pasarnya, orang kata kuat kipaslah. Aku hairan dengan orang sebegini. Apa yang berada di benak fikiran mereka. Jika dengan meng'ipas' boleh memberikan jawatan sedemikian, apakah mereka mampu untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang bakal digalas?

Aku bukan rasa cemburu dengan kebolehan mereka yang mampu memperolehi jawatan-jawatan seperti MPP ini dengan cara sedemikian. Cuma, aku rasa tiada istimewa lagi jawatan pemimpin jika ia hanya diberikan kepada mereka yang hanya berkawan baik dengan MPP tingkatan 5. Bagi aku, biarlah jawatan itu diperolehi secara terhormat dan di atas kerja keras mereka sendiri. Biarlah manusia yang menilaikan diri kita, bukannya kita terhegeh-hegeh gilakan jawatan.

Contohnya, aku. Izinkan aku riak sedikit. Aku telah terpilih menganggotai badan yang menjaga merit pelajar di mana ia perlu dianggotai oleh pelajar-pelajar yang telus dan amanah. Pada mulanya aku menolak kerana sedar dengan tanggungjawab besar tersebut, mana tahu aku terkhilaf nanti dan disoal di akhirat kelak. Namun, guru yang menyelia badan merit tersebut tetap mahukan aku menganggotainya dan aku dengan berat hati pun menerima tanggungjawab yang amat besar itu. 

Jadi, nasihat aku kepada pemuda pemudi zaman sekarang, berhentilah menjadi kaki ampu dan bodek. Jadilah diri sendiri dan bekerja keraslah untuk menggalas amanah orang. Jika ditawarkan pemimpin, pastikan anda mampu menggalasnya dengan rasa tanggungjawab dan amanah kerana jika tersalah sedikit pun, ia akan dinilai oleh Allah kelak. Sekian lintas langsung daripada Perhimpunan Agung Umno.

Saturday, December 01, 2012

Permintaan Maaf


Baru-baru ini di sebuah perhimpunan agung yang saban tahun diadakan, seorang pemimpin tertinggi negara meminta maaf kepada rakyat atas kekhilafan yang dilakukan dahulu.



Jadi, di sini timbul beberapa persoalan yang patut bermain di benak minda kita:

1. Jika ada permohonan maaf, sepatutnya diterangkan apakah kekhilafan yang dilakukan sehingga beliau meminta maaf. Di sini, beliau hanya menyebut permohonan maaf tanpa diterangkan apakah 'dosa' yang telah dilakukan? Contohnya, Ahmad meminta maaf kepada Firdaus tiba-tiba pada pertemuan mereka di taman tasik. Firdaus terkejut dan pasti rasa pelik kerana apa perkara yang telah dilakukan Ahmad sehingga beliau meminta maaf kerana Ahmad tidak menyatakannya.

2.  Biasanya apabila sesebuah pemimpin organisasi membuat salah dan meminta maaf, mereka akan turun dan digantikan dengan orang lain. Jadi, dalam kes ini, mengapa PM tidak turun dan berundur?

3. Jika permohonan maaf dibuat, pasti ada kesalahan yang dilakukan, namun apabila saya membaca berita-berita selanjutnya di akhbar, mereka yakni orang 'merah' terus-terusan menghentam pihak pembangkang. Walhal ketika itu, pemimpin yakni PM sedang membuat permohonan maaf yang pastinya ada kaitan dengan kelemahan sistem pentadbiran kerajaan. Di sini, kekeliruan pasti akan timbul.

Secara jujurnya, permohonan maaf itu bagus tapi di sini saya tidak nampak ketelusan dan keikhlasan yang diucapkan oleh PM. Masakan tidak, jika mereka mengambil pendekatan dan inisiatif untuk merendah diri, pastinya mereka tidak akan meneruskan serangan terhadap pihak lawan. Sayangnya, yang saya nampak dan baca di dada-dada akhbar hanyalah serangan dan kecaman terhadap pihak pembangkang. Jadi, saya dan anda semua pasti tertanya-tanya di manakah kejujuran permohonan maaf itu?


Friday, November 16, 2012

Pray For Gaza


Di ketika ini, Gaza sedang diserang hebat sehingga dikhabarkan 13 orang maut dan lebih 120 orang cedera. Dan lebih menyayat hati, ketua briged Hamas, Muhammad al Jabari telah terkorban. Maka, sekali lagi umat Islam Malaysia menggesa kempen boikot barangan Yahudi dimulakan semula. Suatu usaha yang kadang-kadang timbul, kadang-kadang tenggelam. Bagi saya, perlu ada usaha konsisten dalam memboikot produk Yahudi ini. Bukan hanya tiba waktu peperangan sahaja.

Maka, saya teringat pada buku tulisan Ustaz Pahrol Mohd Juoi. Beliau berkata, usaha boikot ini walaupun nampak kecil tapi Insyaallah apabila ditanya Allah kelak, apa yang kita buat bagi membantu rakyat Palestin, sekurang-kurangnya inilah usaha kecil kita. Seperti kisah burung yang membantu memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim di zaman pemerintahan Raja Namrud.

Dan yang paling mustahak di zaman sekarang ini bagi menentang Yahudi adalah kita sendiri. Umat Islam sendiri. Daripada buku tersebut, kita sendiri perlu kuatkan ummah kita, kuatkan akidah dan akhlak kita. Perbaiki solat kita dan hiduplah berlandaskan syariat Islam. Inilah kaedah sebenar untuk kita melawan Yahudi. Daripada hati yang bersih dan penuh dengan nilai-nilai Islam ini, Insyaallah Yahudi akan tumbang.

Sama-sama kita berdoa dan melakukan qunut nazilah untuk kemenangan umat Palestin di sana. 




Wednesday, November 07, 2012

Teman Dari Sabah


Saya tahu bukannya senang untuk kita memasuki mana-mana universiti awam tempatan jika tidak cemerlang. Persaingannya tinggi dan sengit. Jadi, sekiranya tawaran daripada IPTA diperolehi, janganlah adik-adik siakan. Kadang-kadang, kita belum cuba tapi sudah mengalah. Ceritanya begini....

Semasa saya mula-mula memasuki UiTM di Pulau Pinang tujuh tahun dahulu, ramai rakan saya datang dari berbilang negeri. Ada daripada Kelantan, Johor, KL dan juga Sabah. Alkisahnya, saya mengenali seorang budak Sabah yang tutur katanya begitu lembut dan bersuara halus. Selesai tempoh minggu suaikenal (atau apa saja term yang digunakan untuk minggu tu), aku tengok dia menggalas beg dan bermacam-macam barang dibawaknya di lobi hostel.

Aku menyapanya dan bertanyakan mahu ke mana. Dijawabnya, menunggu pakciknya datang jemput.

"Buat apa pakcik ko datang ni?"

"Aku nak berhenti..."

"Hah?"

"Ya, aku tak boleh di sini. Aku tengok buku-buku kejuruteraan semuanya tebal-tebal belaka. Takut aku.."

"La..buku memanglah tebal. Bukannya kena hafal semua dari buku tebal tu.."

"Takpalah...Aku nak try mohon politeknik ni. Studynya nanti takdelah tertekan sangat bah..."

Belum sempat aku menasihatkannya, pakciknya sudah tiba. Seraya itu, mereka bergerak keluar dari kawasan hostel setelah memasukkan barang-barang ke dalam kereta. Aku sedih.

Aku sedih kerana tak sempat pujuk dia untuk mencuba. Sekurang-kurangnya mencuba untuk menempuh pengajian diploma ni dahulu. Sayang sekali. Namun, aku berharap beliau sudah berjaya mencapai cita-citanya. Insyaallah.

Thursday, November 01, 2012

Angan-Angan Ku Di Suatu Masa


Tadi selepas selesai saya menghantar dokumen di Putrajaya, saya singgah sebentar di Alamanda untuk berjalan-jalan. Tidak adil rasanya jika saya membiarkan penjawat awam saja yang menghabiskan waktu petang mereka di Alamanda. Maka, saya tampil di Alamanda bagi mewakili penjawat sektor swasta untuk menghabiskan saki baki waktu kerja saya.

Bukan ada benda saya nak beli sangat pun. Cuma saya melepaskan tekanan kerja yang banyak terbeban di bahu ini. Saya sempat singgah di kedai pertama yang saya masuk iaitu MPH. Nampak banyak juga buku-buku bagus sekarang ni. Banyak orang sudah boleh menulis dan menerbitkan buku sendiri. Saya membelek buku tulisan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertajuk Fearless: From Kampung Boy to CEO. Agak menarik dan berinspirasi. Namun, di awal bukunya, beliau mengingatkan buku itu bukanlah untuk memberi motivasi tapi memang ceritanya begitu. Haha. 




Selain itu, saya lihat Pekin Ibrahim juga ada menulis. Dan sama seperti Tan Sri, beliau menulis mengenai kisah hidupnya yang dibesarkan di Kelantan dan merantau hingga ke Kuala Lumpur. Sebenarnya, buku bercorak biografi sebegini memang menjadi kegemaran saya. Dan paling saya suka adalah buku tulisan Dr. Hasrizal iaitu Aku Terima Nikahnya. Corak persembahan dan bait kata yang digunakan sangat menangkap dan dekat dengan pembaca. Pendek kata, mudah dihadam. Berbeza dengan buku tulisan Hilal Asyraf yang kadangkala agak berpuitis dan bahasa yang digunakan agak 'tinggi' untuk dicapai. Maaf ye, sekadar pandangan dari hati kecil ini.

Namun, buku tulisan Tan Sri dan Pekin Ibrahim itu tidaklah pula saya beli. Saya takut apabila saya beli nanti, ia akan dimamah habuk. Sebab saya ni masalahnya agak sukar menghabiskan bacaan. Buku Tora Si Harimau Jadian yang menarik tu pun saya sukar untuk habiskan. Bila berhenti, susah nak sambung baca balik. Jadi, kepada para penulis, sila hasilkan buku yang lebih nipis dan pendek ye. Haha.



Sebagai penutup, saya berharap agar saya juga mampu menerbitkan buku saya sendiri satu hari nanti. Atau sekurang-kurangnya mungkin tulisan saya di Warkah Kembara ini akan saya bukukan supaya saya dapat membelinya, dapat membacanya dan dapat menghabiskannya sendiri! (Mari gelak!). Di akhir persinggahan ini, saya menyibukkan diri di kedai Famous Amos bagi membeli biskut sekeping dua kerana perut agak lapar. Sekian, sajalah kembara saya di Alamanda tersebut.

Apa Cerita Plaza Rakyat?


Agaknya apa nasib Plaza Rakyat ni? Saya dengar akan ada pembangunan di tapak yang terbengkalai ini. Tapi itu kata menteri tahun lepas. Tahun ni saya tak update lagi ceritanya.

Susah-susah kita runtuhkan Penjara Pudu tu tapi kita lupa yang tanah bagi cadangan pembangunan Plaza Rakyat ni masih tak terusik. Kalau harga tanahnya masih rendah, saya rela beli tanah tersebut. Bukan senang nak ada tanah di tengah kotaraya Kuala Lumpur ni.






Mutakhir Ini


Saya melihat situasi politik Malaysia kini berada di saat paling tegang dan susah untuk dihadam. 

Pemimpin kerajaan sesuka hati menghabiskan duit cukai rakyat dan mengagihkan kekayaan kepada kroni. AES digunakan untuk memerangkap rakyat bagi mencari untung atas angin dengan kadar segera. Balak di Sarawak ditebang dan kekayaannya diagihkan kepada kroni ketua negerinya sementara masih banyak lagi rakyat yang merempat. Pemberian kad pengenalan kepada warga asing secara besar-besaran di kala ini bagi memastikan pengekalan kuasa dan tampuk pemerintahan.

Kerajaan Selangor diserang dari pelbagai arah dan cara bagi memastikan rakyat keliru dan kembali menukar kepada kerajaan lama. Hudud diketawakan dan dijadikan alat menakut-nakutkan rakyat bukan Islam. Bermacam-macam lagi yang kita boleh tampil dan bentangkan di atas meja perbincangan samada masih rasional atau tidak bagi kita mengekalkan parti yang telah lama memerintah selama lebih 50 tahun.

Masa semakin suntuk. Jika keadaan ini tidak dicegah, saya percaya ini akan mengakibatkan negara berhadapan dengan krisis yang sudah tentu kita semua tidak inginkan. Isu pemberian kerakyatan kepada warga asing ketika inilah yang membimbangkan saya. Apakah nasib generasi masa depan?

Maafkan saya jika posting ini berunsur politik tapi anda berhak menyatakan tidak kepada apa yang saya cuba sampaikan ini. Sekian.
 
Google Analytics Alternative