Thursday, June 18, 2009

Jurnal Kembara 2: Teluk Intan

Assalamualaikum semua. Bertemu lagi kita dalam rancangan Jurnal Kembara edisi kedua. Sesiapa yang belum baca edisi pertama, bolehlah ke sini. Baiklah, seperti terteranya nama tempat di atas, anda tentunya sudah tahu yang aku akan ke Teluk Intan. Aku tidak ingat berapa kali aku pernah ke Teluk Intan tapi yang pastinya sudah banyak kali cuma sudah lama tak pergi.

Ok. Mari mulakan.


12 Jun 2009 2.30pm

Sebaik selesai bersolat Jumaat di masjid di Seri Iskandar, aku dan keluarga memulakan perjalanan ke Teluk Intan.


Perjalanan memakan masa lebih kurang 1 jam jika memandu dari Seri Iskandar.


Sawah padi yang tiada di KL pastinya.

Gambar-gambar ini bukanlah setepatnya perjalanan aku ke sana. Tapi aku saja mahu menunjuk. Sama saja bukan?

3.40 pm


Sampai sahaja di pekan Teluk Intan, kami singgah ke Kedai Menjual Skru Mesin Pemotong Rumput. Apahal nama kedai panjang macam ni?Ah, takpe. Datukku sebenarnya yang ingin membeli skru tersebut untuk mesin potong rumputnya. Katanya susah nak mencari di pekan Parit. Mungkinlah kot sebab di Teluk Intan ini pun sampai 3 kedai mencari baru jumpa.

Sama.



4.oo pm

Ok.Dah dapat skru, mari parking kereta betul-betul di depan menara condong. Ya, menara condong. Apalah ertinya Teluk Intan jika tiada menara condong ni. Ia menjadi simbol kemegahan dan mercu tanda pekan Teluk Intan. Rasanya tak perlulah aku cerita sejarah menara condong ni sebab kebanyakan kamu sudah tahu. Kalau rajin sikit, Google saja.

Semakin hari semakin condong. Perasan tak?



Sudah sekian lama tidak ke Teluk Intan. Masih tidak banyak yang berubah.


4.20 pm

Setelah penat berposing di sekitar menara condong, kami ke Kompleks Menara Condong pula. Alangkah sedihnya kerana kompleks ini kurang meriah dengan kebanyakan gerai ditutup. Pelanggan juga agak kurang di sini. Cuma ada beberapa gerai cenderamata dan kedai pakaian saja yang masih bertahan. Sampai bila aku pun tak tahu.

Nampak macam meriah tapi dalam kosong.Hmm.


Aku hairan Majlis Perbandaran Teluk Intan tak mahu ke meletakkan kerusi riadah atau apa-apa landskap sekitar menara ini untuk menambahkan keindahannya lagi. Tambah air pancut ke apa ke. Yang paling penting kerusi untuk melepas penat sambil menikmati pemandangan sekitar.



Malangnya, hari aku datang, dia boleh tutup pulak. Patutnya Sabtu yang bukak.

4.40 pm

Lepak makan pula di dataran sebelah menara. Makan satay yang boleh tahan sedapnya. Tidak ketinggalan kami menikmati cucur udang dengan kuah yang begitu lazat di gerai no.3 dari kanan. Pekedainya pun ramah. Kalau anda singgah di situ jangan lupa meminta diskaun jika beliau terlambat menghantar pesanan anda. Beliau takkan teragak-agak memberinya tambahan pula jika anda orang Perak. Aku dapat diskaun RM3 untuk mi hailam 4 bungkus. Tapi pastikan beliau terlambat hantar pesanan anda.


5.30 pm

Ok. Mari pulang. Tiada apa yang menarik pun di Teluk Intan ni. Hehe. Marah pulak orang Teluk Intan nanti. Gurau saja.


Satu hari saja memang tidak cukup. Anda boleh menyewa hotel dan rumah tumpangan yang banyak di sini. Aku nak balik. Jumpa lagi. Terima kasih kerana menonton.



P/S - Gambar aku takde watermark, jadi jangan rembat. Ni semua Paint punya problem.

Tuesday, June 16, 2009

Air Lemuju Mujarab

Sewaktu menemani opahku ke pekan Parit lalu, tiba-tiba opahku singgah di sebuah kedai. Katanya nak membeli ubat. Aku pun tunggu punya tunggu, keluarlah opah aku dari kedai. Aku tengok dari luar plastik macam botol budu plak. Takkan ubat, botol macam budu pulak. Aku pun mintakla nak tengok isi dalamnya. Sekali tengok ada gambar kuda. Lepas tu, air warna kekuningan. Aku ingat air kencing kuda. Nasib baik tak kena penampar opah aku. Opah aku cakap, ni namanya air lemuju. Lemuju ni elok untuk buang angin dalam badan katanya. Kandungan dia pun agak pelik. Ada nol-nol belakang dia. Tapi memang first time la aku dengar air nama lemuju ni. Kat KL agak-agak ada tak?




KL betullah aku ni. Lemuju pun tak pernah dengar. Dari 1953 dah ade.




Huh. 32 macam penyakit boleh diubati tu. Semestinya, dengan izin dariNya.


P/S - Kalau tak puas hati,pergilah Google..

Wednesday, June 10, 2009

Protokol Atau Perintah: Mana Lebih Penting?

Seringkali kita melihat wanita atau perempuan yang pada dasarnya tidak menutup aurat atau dalam ertikata lain tidak memakai tudung boleh bertukar prinsipnya. Bukan tujuannya entri ini untuk menghentam golongan hawa tetapi kadangkala sikap mereka(terutamanya free hair) cukup untuk membuatkan kita hairan dan adakalanya gelak sendirian. Baiklah.

Aku pernah terlihat di kebanyakan suratkhabar atau televisyen, juga melalui pemerhatian aku sendiri yang golongan tidak memakai tudung ini boleh memakai tudung atau sekurang-kurangnya skaf yang menampakkan jambul di dalam majlis-majlis tertentu. Contohnya majlis bertemakan keagamaan. Kenduri kahwin ke. Di perkuburan ke. Pendek kata, majlis bercorak keagamaanlah.

Jadi, jika ditanya alasan mereka bagaimana mereka boleh terfikir hendak bertudung 'sementara' ni. Jawapan kebanyakannya adalah "demi menghormati majlis" ataupun "mengikut protokol". Hairan bukan? Ya,jika berfahaman sekular mungkin tidak hairan. Tapi aku begitu hairan bagaimana mereka boleh menghormati majlis dan mengikut protokol majlis sedangkan dalam masa yang sama perintah Allah mereka tidak hiraukan? Apakah tidak mengikut protokol majlis lebih besar azabnya dari mengikut perintah Allah?

Jelas nampaknya kekurangan pemahaman Islam menjadi batu penghalang di minda mereka sekaligus mencampakkan mereka ke arah pemikiran Islam liberal. Mereka boleh pula mengikuti dan menuruti perintah dalam beberapa perkara tetapi menjadi tidak dalam perkara yang sepatutnya menjadi kewajipan.

Hairan....

Monday, June 08, 2009

Putrajaya Yang Menyusahkan


Sudah sekian lama juga aku tidak menulis di sini. Bukan kerana tiada story nak morry kat korang tapi tangan aku ni yang tak sampai untuk menulis blogspot dot com di papan kekunci. Tak tahulah sebab malas ke apa tapi itulah dia. Tangan ni memang tak terdaya menaip perkataan tersebut.

Baru-baru ini aku berkesempatan mengikuti ayahku menghantar borang ape ntah kat Kementerian Pengangkutan. Aku pun sudah agak lama tidak menjengah Putrajaya, jadi inilah peluang terbaik untuk aku melihat suasana di Putrajaya. Dah berubah ke tidak. Dah cantik ke tidak. Atau dah banyak pokok ke tidak. Erm..macam dah lama sangat pula aku tak ke Putrajaya.

Apa yang aku nampak memanglah indah dan agak menarik jika dibandingkan dahulu. Tapi seperti biasa yang selalu orang dok komplen dalam suratkhabar itu memang betul. Parking susah. Bayangkan hanya nak menghantar beberapa helai borang, terpaksa menapak ke Kementerian Pengangkutan hampir 3-4 kilometer!! Aku pasti di bangunan kementerian yang lain juga begitu. Sebabnya pelawat memang tak boleh memasuki kawasan bangunan tersebut. Jadi, nak tak nak kenalah park kat luar sekejap. Maksudnya parking selamba kat tepi jalan luar bangunan tersebut yang ada garisan kuning itu. Kenalah ada orang tunggu dalam kereta kot-kot ada polis ronda ke.

Nak parking kat tempat letak kereta yang disediakan memang jauh. Alamatnya lagi jauhlah menapak. Parking di luar itupun sudah cukup jauh untuk berjalan. Ditambah dengan cuaca yang cukup panas sekarang ini. Bayangkan punya besar kawasan kat situ dari luar bangunan ke pejabat kementerian. Aku hairan mengapa tidak diberikan saja pas pelawat kepada pelawat-pelawat yang ingin berurusan dengan kementerian. Kemudian dibenarkan parkir di dalam. Habis cerita. Dari pengamatan aku mungkin kesemua bangunan mengamalkan sistem begitu. Iaitu tidak membenarkan pelawat luar masuk ke dalam.

Hmm.. Apa yang istimewanya bangunan ini semua sehinggakan sistem keselamatannnya sebegitu ketat? Di Amerika agak-agaknya ada tak sistem begini?.

Thursday, May 28, 2009

Lenyapnya Keegoan MU


Pagi tadi aku menonton sebuah perlawanan bolasepak yang menarik tetapi lebih kepada "one-sided football" iaitu perlawanan sebelah pihak je. Mana tidaknya, pasukan yang dicanang-canangkan tampil untuk mempertahankan kejuaraan Champions League hadir dengan reputasi hebat selaku juara Piala Kelab Dunia tersungkur tidak melawan di Stadium Olimpico. Jika pada tahun 2006 aku membenci Barcelona kerana menewaskan pasukan kegemaranku di perlawanan akhir namun kali ini aku menyanjungi mereka kerana antara pemain-pemain pujaan aku seperti Thierry Henry,Lionel Messi dan Aliaksandr Hleb menyertai mereka untuk beraksi buat kali pertama di pentas akhir Champions League. Malam semalam nyata bukanlah milik Mankayu ...err..maksud aku Manchester sebaliknya Barcelona hebat mendominasi perlawanan dari mula hingga tamat perlawanan. Cakap besar sangat Evra...



Mankayu...err..Manchester bermula garang dengan sepakan percuma Ronaldo gagal ditangkap kemas Valdes sebelum Park Ji Sung gagal memasukkan bola muntah tersebut. Tapi untuk 10 minit pertama sajalah. Aku sangkakan yang MU akan mendominasi perlawanan dan mendapat gol awal namun Eto'o yang menyumbat gol untuk Barcelona untuk serangan pertama mereka. MU hanya garang untuk 10 minit pertama saja dan selepas itu Barca mendapat rentak dan menguasai bahagian tengah dengan selambanya. Dengan berbekalkan pemain-pemain kurang tinggi seperti Messi,Xavi dan Iniesta, mereka mudah menenggelamkan bahagian tengah MU. Kesimpulannya, bahagian tengah MU memang hancur. Carrick dan Park banyak memberi bola kepada lawan.




Untuk bahagian pertahanan pula, Barca sememangnya seimbang untuk bahagian serangan dan pertahanan. Serangan diterajui Messi,Henry dan Eto'o manakala pertahanan pula cukup bagus membendung asakan Ronaldo, Rooney dan Tevez. Puyol mengunci pergerakan Ronaldo cukup bagus sebab itu MU sering menyerang dari bahagian kanan yang mana Sylvinho kurang efektif mengawal Rooney. Kawalan Puyol memang terbaik yang mana menyebabkan Ronaldo menerima kad kuning kerana tak puas hati dikunci baik oleh Puyol. Yaya Toure juga begitu berkesan di '
centreback'. Gerard Pique yang pernah dibuang Alex Ferguson pula cukup bersahaja bergandingan dengan Toure. Pique begitu bagus menghantar bola ke depan yang sering tepat ke sasaran. Boleh dikatakan beliau begitu versatile dalam kebanyakan pemain pertahanan Barca.



Jadi,kesimpulan untuk perlawanan pagi tadi:


Pertarungan Messi-Ronaldo


Setelah digembar-gemburkan sebagai pertarungan antara dua pemain terbaik dunia ini, nyata malam tersebut adalah milik Messi biarpun Ronaldo dilihat berhempas pulas menjaringkan gol. Sepakan percuma cantik Ronaldo di awal permainan seakan menjadi petanda bahawa beliau mahu membuktikan yang dia layak mendapat gelaran pemain terbaik dunia. Sejurus selepas itu, Ronaldo lebih banyak membazirkan peluang dari mencipta gerakan untuk rakan lain apabila bertindak merembat jauh dari gawang Barca. Permainan solo beliau sebenarnya merugikan pasukan. Messi pula bermain secara bersahaja dan dengan penuh skill menanduk masuk gol kedua untuk Barca. Amatlah jarang sekali melihat Messi menjaringkan gol dengan kepala sehinggakan seorang peminat Barcelona pun berkata, " Apabila Messi mula menjaringkan gol dengan kepala,dia adalah seorang pemain hebat". Jadi, untuk membandingkan dua pemain ini, adalah lebih layak dikatakan Messi adalah seorang pemain genius yang penuh skill dan perangainya lebih baik dari Ronaldo.


Park Ji-Sung kebanggaan Asia?


Park Ji Sung dicanangkan menjadi kebanggaan Asia apabila pertama kalinya pemain Asia berada di pentas akhir Champions League. Mengapa baru sekarang? Sebenarnya tidak apa yang nak dibanggakan dengan kenyataan ini. Beliau menyertai antara kelab terbaik dunia iaitu Manchester, maka tidaklah mustahil untuk beraksi di final. Sebenarnya, sebaik saja Park menjejakkan kaki di PSV Eindhoven itulah sebenarnya yang perlu dibanggakan. Kenyataan ini sebenarnya makan diri apabila Park beraksi buruk pagi tadi terutamanya pada separuh masa pertama. Mungkin sup kataknya masih belum berkesan kot.
Cukuplah sekadar itu saja. Kalau lebih-lebih nanti marah pula peminat MU. Apapun, Barcelona selayaknya memenangi perlawanan semalam seterusnya dijulang sebagai juara Eropah. Hakikatnya, MU beraksi di bawah tahap sebenar kerana Barcelona berjaya mengekang dan menguasai bahagian tengah. Inilah resepi kejayaan anak buah Josep Guardiola.


P/S - Nampaknya Manchester akan menjadikan 'Asia Tour'nya sebagai medan melepas dendam. Jadi, Malaysia harus berhati-hati agar tidak dimalukan dengan jumlah gol yang besar. Aku sarankan pemain dan peminat Malaysia bawa batu untuk 'direjam' pada syaitan-syaitan merah itu. :p

Wednesday, May 20, 2009

Satu Soalan Bodoh


Ketika Manchester United memenangi gelaran liga mereka yang ke 18 baru-baru ini, aku terdengar satu soalan bodoh di kedai mamak. Sebelum itu, aku nak bagitau yang kedai mamak itu dipenuhi hampir kebanyakan penyokong Syaitan Merah atau Red Devils. Biasalah, orang Malaysia. Berbalik kepada soalan bodoh tadi, aku terdengar dan melihat ia dilontarkan oleh seorang remaja berjersi United. Soalan yang dilontarkan adalah ketika tamat perlawanan dengan Arsenal di mana keputusan seri sudah memadai buat MU memenangi gelaran.


Soalan tersebut berbunyi....



" Wey, ni final ke?"
.........


...........

............

Suasana sunyi ketika itu kerana soalan itu aku kira dilontarkan agak kuat. Tiada jawapan untuk soalan itu baik dari kawan-kawannya ataupun pengunjung lain. Aku cuba menahan gelak dengan segera meninggalkan restoran mamak itu. Sebenarnya aku malas melihat pasukan MU menjulang piala.

Maka, sebab beliau bertanyakan soalan itu berkemungkinan adalah:


A) Melihat kawan-kawannya gembira sedangkan keputusan seri.

B) Melihat sambutan gembira para pemain United di kaca tv.

C) Melihat penyokong Arsenal pulang hampa.

D) Sebab dia memang bengap?


Jadi, nasihat aku, sebelum turun menonton di kedai mamak pastikan anda dapatkan dulu info perlawanan yang bakal anda tonton jika tidak mahu malu sendiri. Jangan sesekali mengikut dan turut serta kawan-kawan sedangkan anda tak tahu apa-apa lebih-lebih lagi penyokong MU. Biasa terjadi...



P/S - Jangan marah fans MU. Tahniah untuk gelaran ke 18.

Friday, May 15, 2009

Jurnal Kembara 1: Kampung Kuantan




Bertemu lagi kita dalam rancangan Jurnal Kembara. Mungkin baru kali inilah entri ini bersesuaian dengan nama blog. Pernah pergi Kampung Kuantan? Haa apa?..taktau kat mana? Kampung Kuantan ni terletak di Kuala Selangor. Kampung Kuantan ini terkenal dengan kelip-kelip. Dalam dunia ini cuma ada 2 tempat saja yang menjadi habitat kelip-kelip ini. Di Malaysia dan di Brazil. Ok, sekarang baru tau.
Baik, kita mulakan sekarang. Setelah menamatkan kertas terakhir untuk final exam semester ini, aku bersepakat mengajak rakan serumahku untuk melihat kelip-kelip di Kuala Selangor. Setuju saja rakan-rakan serumahku.

10 MEI 2009 10.00pm

Kami mula bertolak dari rumah sewa di Shah Alam.


Sudah pakai tali pinggang keledar ya semua?Ok, mari jalan.


10.50pm

Sampai di Kampung Kuantan setelah melalui perjalanan yang panjang. Aku tertidur beberapa kali. Yang lain juga.


Sesudah sampai, suasana di tempat masuk amat lengang. Setelah bertanyakan orang samada kelip-kelip ini masih wujudkah, kami bersyukur kerana kelip-kelip ini masih wujud. Siapa tahu, kelip-kelip ini sudah menjadi spesis terancam sekarang. Atau mungkin orang yang jaga tu cakap, "Hari ni kelip-kelip takdela. Diorang dah bermigrasi,".
Mungkin panas jika dengar jawapan sebegini memandangkan aku melihat suasana yang lengang di situ.

Setelah berjalan beberapa meter ke tempat masuk, barulah aku melihat beberapa kelibat orang dan satu kumpulan remaja yang lain.

11.00pm
Kami tak perlu menunggu lama memandangkan sudah tiada orang. Cuma kumpulan remaja tadi yang menunggu giliran untuk menaiki bot. Err...sampan. Kalau naik bot, habislah lari kelip-kelip tu sebab bising.

Satu sampan harganya RM40. Tak..tak. Kau tak boleh bawak balik sampan itu. Maksud di sini adalah sewanya RM40. Satu sampan naik 4 orang. Jadi pakat-pakatlah bayar RM10 seorang.
Boleh dikatakan agak mahal juga. Yelah. Satu sampan RM40. Kalau hari tu, ada 20 kumpulan menyewa sampan, dapat RM800 sehari. Boleh kaya bisnes kelip-kelip ini. Tapi tak menentulah kot. Penat mendayung satu hal.


Maka, tibalah giliran aku dan rakanku menaiki sampan setelah memakai jaket keselamatan. Disebabkan malam tu bulan penuh, mungkin kelip-kelip tak sebanyak mana. Tapi yang aku lihat ini pun sudah cukup banyak. Apatah pula, kalau bukan bulan penuh.


Turun dari jeti. Aku curi-curi tangkap gambar sebab katanya tak boleh menangkap gambar.



Nampak tak kelip-kelip?Tak nampak?



Yang ini nampak tak? Cuba tengok betul-betul. Ada tu.Tompok hijau.



Ada tak?



Kelip-kelip ni macam lampu raya korang yang berkelip-kelip tu. Entah-entah diorang letak lampu raya tu kan? Eh,takdelah. Ini betul-betul punya.

11.15pm

Kelip-kelip ini hanya terdapat di sekitar jeti sahaja. Jadi, brader yang dayung sampan tu pusing-pusing dekat jeti tu jugak. Tapi, masa dia pergi tepi tebing tu macam cuak jugak. Manalah tau. Kawan aku sempat juga tangkap kelip-kelip seekor tapi terlepas. Jadi, setelah puas menikmati keindahan kelip-kelip,kami sedia berangkat pulang.


Jadi, jangan tangkap bawa balik. Kalau tangkap untuk dilepaskan balik bolehlah.



Sempat bergaya sebelum pulang.


Pengalaman yang cukup tidak ternilai harganya apabila dapat menikmati keindahan makhluk ciptaan Allah bernama kelip-kelip ini. Aku sarankan kamu pergi sebelum ia pupus dek pembangunan...Ataupun jika TNB sudah mula menerangi kawasan tersebut...Takkan korang nak pergi kat Brazil pulak nanti.

11.30pm

Sebelum balik untuk mengisi perut yang lapar, kami cuba cari kedai ikan bakar. Di sini banyak restoran tepi jalan yang menjual ikan bakar dan makanan laut.


Lauk kailan ikan masin dan tenggiri kalau tak silap aku. Tomyam tak tinggal. Sambil layan Arsenal lawan Chelsea pulak masa ni.

1.00am

Pulang. Biarpun Arsenal tewas 1-4 tapi perutku kenyang dan keindahan kelip-kelip masih terbayang di ingatan.

Sekian, jurnal kali ini. Berjumpa lagi.



P/S - Susah nak tangkap gambar kelip-kelip dengan kamera cap ayam ni. Percayalah, tengok dengan mata sendiri baru puas woo..

Monday, April 20, 2009

Jangan Berhenti Dahulu

Salam..

Diharapkan kepada anda yang sering mengikuti blog ini agar terus bersama blog ini biarpun sudah lama tiada posting baru. Kesibukan sebagai pelajar terutamanya pada hujung semester ini ditambah pula dengan pelbagai hal yang berlaku pada saya sememangnya membataskan waktu saya di sini. Insyaallah,sebaik bermulanya cuti semester nanti, saya akan mula berblogging kerana terlalu banyak yang ingin saya ceritakan pada anda semua.

Sekian

Thursday, February 26, 2009

Jangan Tipulah Kalau Kau Kata Geng Best!



Haih, pastinya ramai yang terkejut atau terkamjat melihatkan tajuk aku yang agak kontra dengan pandangan masa kini. Bukan apa,sudah lama tak menulis,itu yang jadi begini. Apapun,baca dulu sampai habis.

Seminggu selepas filem Geng & Upin dan Ipin ditayangkan barulah aku berkesempatan untuk menontonnya. Apa yang menarik ialah kebanyakan pawagam yang aku pergi semuanya full house. Pada mulanya aku ke Jusco Cheras Selatan dengan harapan di fikiran tak ramai sangat orang kalau di pinggir-pinggir bandar ini, tapi malangnya semua penuh pada petang itu. Aku malas nak tengok malamnya sebab ada Epl. Jadi,aku menghala ke The Mines. Walaupun penuh juga, aku terpaksa beli juga tiket dan duduk di barisan ke-3 dari depan.

Aku pasti ramai yang dah menonton filem Geng ini yang diberitahu jumlah kutipannya sudah melepasi RM2 juta. Kalau masih belum menonton, aku nasihatkan kau pergi beli DVD original Geng nanti. Kalau tidak, anda pastinya malu bergelar rakyat Malaysia jika tidak menontonnya. Kerana apa? Kerana ini adalah produk Malaysia hasil tangan anak tempatan. Jika kita menolak menontonnya maka pastilah ada sesuatu yang tidak kena di kotak pemikiran kita. Industri animasi boleh dikatakan agak baru, jadi apa salahnya kita berikan sokongan kepada mereka di industri ini agar mereka terdorong untuk menghasilkan yang lebih baik pada masa depan. Respon penonton penting dalam memotivasikan mereka.

Walaupun ada kelemahan dalam filem ini, ia masih mampu dibanggakan. Malah, lebih jauh boleh dibanggakan. Sesetengah pergerakan ada yang nampak kaku dan tidak lancar(smooth). Semasa insiden kemalangan bas itu juga nampak tidak sempurna. Tetapi, ini boleh dimaafkan kerana filem ini adalah hasil sulung mereka. Terdapat pelbagai lagi aspek lain yang boleh dinilai dengan merit tinggi. Les Copaque boleh menghasilkan suatu cerita yang mengajak penonton mengembara sekali bersama watak dalam filem tersebut. Dengan keindahan warna dan gerakan 'kamera' nya, ia sememangnya sebuah filem pengembaraan yang mendebarkan dan mengujakan. Apa yang pastinya, watak Upin dan Ipinlah yang menarik penonton ke pawagam setelah selama ini kita dihidangkan dengan kisah mereka di bulan puasa dan baru-baru ini, siri baru mereka di TV9.

Jika hendak bercerita mengenai filem animasi, sudah banyak sebenarnya pakar dari Malaysia menghasilkannya. Lihat saja di Youtube dan carilah filem-filem animasi 3D dari negara kita yang mana ada dihasilkan oleh individu ataupun syarikat. Contoh yang paling ketara ialah filem Saladin. Filem Saladin belum ditayangkan di Malaysia dan aku kurang pasti samada filem ini akan ditayangkan di sini atau tidak. Tetapi filem ini sudah menembusi pasaran luar dan menyertai pelbagai pertandingan.



Namun, aku merasakan jika Saladin ditayangkan di Malaysia terdahulu sebelum filem Geng, pastinya rakyat Malaysia akan terkejut seterusnya akan memberi kesan terhadap kutipan tiketnya. Seperti yang aku katakan, animasi pada sebilangan besar rakyat negara kita masih baru dan ada kalangan yang masih tidak tahu negara kita ada pakar animasi. Apabila Geng keluar, maka orang ramai seperti "oowh", "woww" dan macam-macam lagi ekspresi teruja yang lain. Atas kecekapan strategi yang dijanakan produksi Les Copaque yang menghasilkan Geng, mereka mengeluarkan dahulu siri tv Upin dan Ipin. Ini untuk melihat dahulu bagaimana sambutan penonton terhadap animasi 3D. Siri itu malah lebih didekatkan lagi dengan penonton terutamanya kanak-kanak dengan cerita yang berkaitan dengan kebudayaan Melayu sendiri contohnya rumah kampung bertiang,main labah-labah,main kapal kertas dan lain-lain. Atau lebih tepat lagi, siri itu bercirikan Malaysia.

Strategi ini cukup berjaya dalam menarik minat kanak-kanak malahan dewasa dengan telatah Upin dan Ipin. Dan orang kata, suara watak mereka itu yang membuatkannya comel. Ada kebenarannya juga. Jadi, cuba kita bayangkan Saladin dikeluarkan sebelum Geng, maka sudah pastinya sambutan diterima tidak sebaik filem Geng. Walaubagaimanapun, ini hanyalah pendapat aku, bukanlah sumber dari pihak yang menghasilkan Saladin.

Akhir kata, tajuk yang aku kemukakan di atas itu hanyalah kontra daripada apa yang orang kata. Aku tidak kata yang Geng tidak best. Malah, menonton Geng adalah pengalaman seronok buat aku. Saja je aku menulis berbeza dari apa orang lain cakapkan.Apapun,sokonglah industri animasi negara.

Trailer siri animasi Saladin. Filemnya masih tidak tahu bila dikeluarkan.

Friday, January 30, 2009

Kisah Si Tua

Kebelakangan ini seringkali bahan serius menjadi intipati entri aku. Mungkin keseriusan ini terlahir seiring dengan kematangan usia sejajar peredaran zaman. Aduh, ayat serius apa lagi ni.

Ok, kali ini biarlah aku lari dari menulis hal-hal serius kerana natijah aku membuka blog ini bukan untuk berceramah kepada orang(apalah salahnya jika saling ingat-mengingat bukan?) sebaliknya untuk bercerita perihal diri yang dilihat semakin kurang menghiasi blog ini. Erm, tak banyak yang menarik mengenai aku. Mungkin begitu ya.

Tersebut satu alkisah bahawa aku mempunyai seorang rakan yang aku kenali sewaktu pengajian aku di diploma dahulu dan sekarang masih bersama mengaji dengan aku. Mengaji di sini bukan yang ustaz dok pegang rotan suruh baca kitab tu. Mengaji ini belajarlah maksud dia. Manalah tahu kot ada yang tersalah faham. Rakan aku ini digelar Si Tua di kalangan rakan-rakan rapatnya sehinggakan kadangkala aku juga memanggilnya dengan gelaran itu. Aku kurang periksa kenapa gelaran itu diberikan. Mungkin kerana paras rupanya yang nampak matang ataupun gerak tubuhnya yang seperti seseorang tua agaknya. Agaknyalah kot.

Setelah mengenalinya agak lama, aku hampir faham kenapa gelaran Si Tua diberikan padanya. Mungkin sedikit sebanyak ia mempengaruhi otakku mengatakan bahawa gelaran itu selayaknya untuk dia. Satu hari, sedang aku bercerita dengannya, tup-tup termasuklah cerita kereta kegemaran. Sebelum itu aku nak bagitahu yang umurnya sebaya dengan aku,maksudnya awal 20an lah. Haih,umur pun aku nak rahsiakan ke? Cukuplah tu aku bagitahu awal 20an.

Berbalik pada cerita kereta kegemaran itu, aku pun bertanyalah kereta jenis bagaimana yang diimpikannya atau yang menjadi idamannya. Jika anak muda seperti aku(poyo sikit boleh?) meminati kereta-kereta seperti Evo X,Skyline atau kurang-kurang pun Toyota KE70 rabak tu,berlainan pulak dengan dia. Nak tahu apa kereta kegemarannya?

Toyota Unser!!

Unser? Aduh aku memang tak boleh terima sebab ini adalah salah satu keajaiban dunia. Tak pernah aku jumpa rakan sebaya aku meminati kereta sedemikian.

Jadi,fahamlah aku mengapa dia digelar Si Tua.

P/S-Tiada unsur menghina atau merendahkan orang lain dalam entri ini cuma hanya ingin berkongsi sebuah memori kisah lucu saja. Jika tak lucu, apakan daya, aku bukan Nabil.

Monday, January 26, 2009

Konsep Yang Silap

Seringkali kita berdepan dengan situasi yang memaksa kita berkata,

"Lantaklah die. Kan dia dah besar,boleh fikir baik buruk."

"Biarlah dia. Kita jaga tepi kain kita sendiri sudahlah."

Ataupun begini,

"Suka hati akulah. Kau sibuk pesal? Kubur lain-lain kan."

Memang sering aku bertemu ayat-ayat sebegini. Aku bagi contohlah. Kononnya ada pasangan artis dicekup berkhalwat dan terpampang di dada-dada akhbar atau di Melodi. Contohlah. Lalu, kita boleh baca komen-komen peminat yang sering terdapat di bahagian kiriman sms di suratkhabar. Ada yang mengkritik dan ada juga yang memberi komen seperti di atas.

" Apa kau nak sibuk? Biarlah dia dengan dunia dia sendiri. Kita jaga amal ibadat kita sudahlah." Itulah antara bunyi sms tersebut walaupun ia tidak berbunyi sewaktu kita baca di akhbar. Aku begitu kecewa dengan komen sebegini kerana ia seperti menghalalkan perbuatan artis tersebut. Ingat ya, contoh sahaja.

Sebab apa aku kata seperti menghalalkan? Kerana si pengirim sms itu mengkritik kembali pengirim sms yang lain yang menghentam perlakuan khalwat itu. Nyata si pengirim tersebut tidak mahu ambil peduli apa yang dilakukan artis tersebut yang nyata bertentangan agama sebaliknya diherdik kembali orang yang menyibuk perihal orang lain. Inilah silapnya kita.

Silap kerana konsep amar makruf nahi mungkar itu tidak diterapkan dalam diri. Bayangkan jika kita semua hanya menjaga amal ibadat kita dan dalam masa yang sama kita tidak menegur atau sekurang-kurangnya menunjukkan perlakuan membenci maksiat, apakah yang akan terjadi kepada masyarakat? Aku menyarankan sesiapa yang sering berkata 'kubur lain-lain' itu berfikir kembali apa yang disebut. Bukankah manusia itu diutuskan untuk saling ingat-mengingati untuk menepati konsep amar makruf nahi mungkar itu sendiri? Apa akan terjadi pada masyarakat jika tiada yang saling tegur menegur antara satu sama lain? Maka apakah apabila Allah menurunkan bala ke atas sesuatu tempat itu, Allah akan memilih mana yang beriman diselamatkan dan mana yang tidak itu ditimpa bala. Jika terselamat alhamdulillah tapi bagaiman jika tidak?

Jadi,itulah pentingnya konsep saling mengingati antara kita. Di atas tadi hanyalah contoh kes saja yang diberi. Bukan ambil mana-mana kisah. Banyak juga terjadi perkara-perkara yang salah konsep di mana orang tidak faham. Dan ia amatlah berbahaya kerana ia boleh menggugat akidah kita. Banyak aku lihat kekhilafan konsep ini contohnya dalam forum-forum dan komen-komen di blog dan termasuk Youtube.
Wallahualam...

Friday, January 02, 2009

Tatkala Itu..



Tatkala di malam tahun baru kau bangga memegang botol arak, tatkala itu jugalah anak-anak muda Palestin sedang memegang 'senjata' berjuang menentang rejim Zionis.

Tatkala di malam tahun baru kau bergelimpangan bersama rakan-rakanmu, tatkala itu jugalah anak-anak muda Palestin sedang bergelimpangan dengan mayat saudara-saudaranya.

Tatkala di malam tahun baru kau berdansa sehingga peluh membasahi tubuhmu, tatkala itu jugalah anak-anak muda Palestin sedang berjuang dibasahi darah demi mempertahankan kalimah Lailahail Allah.

Tatkala di malam tahun baru kau menjerit berpesta menonton konsert di Dataran, tatkala itu jugalah rakyat Palestin sedang menjerit kehilangan saudara dan ahli keluarganya.

Tatkala di malam tahun baru kau seronok bercanda bersama kekasihmu, tatkala itu jugalah rakyat Palestin sedang berdoa memohon perlindungan kepada Yang Maha Esa.

Tatkala di malam tahun baru kau giat menambah umat secara haram, tatkala itu jugalah rakyat Palestin menangisi kehilangan umatNya dibunuh secara haram oleh Zionis.

Tatkala di malam tahun baru kau teruja melihat pertunjukan pelbagai bunga api, tatkala itu jugalah rakyat Palestin sedang menangkis peluru-peluru 'api' dari tentera-tentera Israel.

Tatkala kamu semua sedang bergembira sambil ucap Tahun Baru kepada orang sana sini, rakyat Palestin tiada masa untuk mengucapkannya. Bukan sahaja ia adalah Tahun Roman tetapi tiada tahun 'baru' bagi mereka. Setiap tahun sama sahaja. Pasti ada yang hilang nyawa dan kehilangan sanak saudara. Tetapi kita, terutama yang kad pengenalannya tertera perkataan Islam hanya seronok berperang buih di Bukit Bintang, berpesta air di Sunway Lagoon, menyanyi gembira di Dataran Merdeka atau sibuk melampiaskan nafsu di hotel-hotel.

Ke manakah hilangnya harga diri kita apabila saudara yang seagama dengan kita, yang bersama di bawah panji-panji Islam dibunuh sewenang-wenangnya oleh tentera Zionis ini?

Ke manakah perginya suara dan kekuatan umat Islam yang dikatakan mempunyai penganut seramai 1.5 bilion dalam dunia ini?

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosa kami hamba-hambaMu yang lemah di bumi Malaysia ini dan Engkau selamatkanlah bumi Palestin daripada serangan rejim Zionis...
 
Google Analytics Alternative