Saturday, July 11, 2009

Revolusi '98


Kalau sebut tahun 98 mesti dalam kepala otak terbayang hatrik Zidane masa final World Cup lawan Brazil. Walaupun masa tu Ronaldo kena penyakit sawan tapi kehebatan Zidane masa tu memang tak boleh nafilah. Selain dari tu jugak, dalam tahun 98, korang mesti teringat kat SUKOM yang pertama kalinya dianjurkan kat Malaysia.

Tapi bukan aku nak cerita pasal tu dalam tahun 1998. Aku rasa kebanyakan pun dah tahu cerita ni tapi saja aku nak refresh balik di samping nak share ngan korang semua.

Sebenarnya agak lama aku tak sentuh tentang politik tanah air ni. Yela, bayangkan dia punye kotor tu macam tahap kualiti bolasepak Malaysia je kan. Ape taknya, kalau ada politik dalam bolasepak memang hancur la sukan tu jawabnya. Tak pernah pulak aku dengar Liga Inggeris ni diterajui orang-orang politik. Ade ke? Tu kena tanya bro freDD.

Berbalik kepada tahun 98 yang aku nak bagitau ni, sebenarnya turning point politik Malaysia sampai jadi macam sekarang ni adalah pada September 1998 tu. Betul tak? Terpulanglah pada penilaian masing-masing. Masa tu aku sekolah rendah lagi tapi masa tu jugalah aku mula berminat dengan hal politik tanah air. Kalau sebelum September 98 tu takyah nak fikir-fikir panjang dah sokongan kat siapa. Tapi sekarang kena fikir banyak kali, nilai banyak kali dan siasat banyak kali.

Tambah lagi dengan mainan media arus perdana sekarang, semuanya tak boleh telan bulat-bulat dan percaya seratus peratus. Betul, media mainstream ni bukan boleh percaya sangat. Dalam Transformers 2 pun ada bagitau benda ni. Yang penting, korang nilailah dengan akal berdasarkan sumber-sumber sahih jika melibatkan politik kita ni. Bukan apa, takut terikut membabi buta je. Ok. Fullstop.

Sunday, July 05, 2009

Sang Pemimpi


Tangan itu menyeluk sebuah poket lusuh.

Terisi hanyalah debu-debu kecil dan pasir-pasir halus.

Tergenggam ia sesuatu sebaik dikeluarkan.

Ketahuilah tangan itu hanya menggenggam sebuah imaginasi jujur.

Seraya dilemparkan imaginasi itu jauh ke muka langit.

Imaginasi itu terbang jauh membentuk awan-awan impian.

Cukup untuk ia menggumpal sebuah cita-cita buat sang pemimpi.

Sang pemimpi itu terus melangkah.

Langkahan itu makin laju buatnya menuju sinar sana.

Menyambung sebuah legasi perjuangan.

Saturday, July 04, 2009

Memori Dahulu Kala


Dulu aku suka menonton Ultraman. Antara Ultraman yang terawal sampai di bumi Malaysia ni adalah Ultraman Ace. Pergh, bayangkanlah dalam tahun 90an dorang dah boleh sampai sini. Erk.

Ok, ini serius! Kata Wonderpets. Berbalik semula kepada kisah Ultraman Ace ni. Zaman 90ana menyaksikan kemasukan besar-besaran kartun-kartun ke kaca televisyen Malaysia. Yelah, dah ada saluran tv swasta ditambah pula dengan Dasar Pandang ke Timur oleh Dr. Mahathir. Ada kena mengena ke?

Kalau dulu memang Ultraman Ace ni yang popular kat tv-tv. Sampai dok cerita kat sekolah, kat sekolah agama, kat kelas tuisyen dan segala tempat lepak yang ada la. Tapi aku tak ingat la tv berapa yang siar cerita Ultraman ni. Cuma, aku ingat lagi yang bila cerita ni nak start memang seram. Dia punya intro musik tu yang buat seram sebenarnya. Sampai sekarang aku pun dah tak ingat berapa adik-beradik Ultraman nih. Kalau dulu minat jugakla nak tau adik-beradik dan salasilah keturunan Ultraman ni. Siap bergaduh berebut kad yang ada point-point tu. Sapa menang dapat kad lawan. Haha.

Selain dari Ultraman ni sebenarnya banyak lagi kartun lain yang masuk zaman tuh. Transformers, Thundercats, Voltron, Cybercop, Gaban dan macam-macam lagilah. Boleh google sendiri la.

Kat bawah ni intro Ultraman Ace. Seram tak muzik intro dia?



P/S - Jangan amik pot subtitle dia. Melawak saje.

Friday, July 03, 2009

Optimus Prime Demand Gaji Lebih


"Diberitakan Optimus Prime dan kawan-kawan robotnya tak puas hati gaji diorang lagi rendah dari Megan Fox yang nampak macam 'robot' je."


Kesimpulan yang aku boleh buat:

1. Jalan cerita longgar. Hanya bergantung kepada aksi-aksi hebat yang menyakitkan mata.
2. Megan Fox tuh berlakon ke?
3. Plot banyak sangat. Berserabut otak.
4. Cerita meleret-leret. Adegan kat kolej Sam tu perlu ke?
5. Michael Bay dah hilang taringnya. Mungkin terperangkap dengan alam robotnya.
6. Lawak yang cuba dibuat-buat. Tak lawak pun.


P/S - Ni komen aku je. Kalau korang rasa best jugak, tak boleh buat apala sebab bagi aku yang 1st dulu tu ok sikit.

Wednesday, July 01, 2009

Gadoh


Aku baru menonton filem ni. Bukan di panggung wayang sebab ia tak ditayangkan kat situ. Pandai-pandailah cari. Cerita ni aku nak sarankan untuk semua sekolah-sekolah tak kira sekolah kebangsaan ke, sekolah jenis kebangsaan cina ke,sekolah jenis kebangsaan tamil ke, sekolah swasta ke, sekolah international ke atau sekolah yang dah kena tutup sebab selsema babi ke. Pendek kata, semua sekolah dalam Malaysialah.

Bukan setakat sekolah saja, malah kat universiti pun boleh. Kat kolej-kolej ke. Kat IKBN ke. Kat poli ke. Kat mana-mana jelah yang ada rakyat Malaysia. Kena tengok filem ni. Ala, kalau Transformers korang boleh pulak tengok kan? Apalah salahnya tengok filem ni. Bagus sekali tambah lagi dalam zaman meruncing ni kan. Tapi, kalau bahasa dia ganas sikitlah untuk budak bawah umur.


P/S - Sokonglah industri kita. Takkan nak suruh Sam Witwicky sokong pulak.

Manifestasi Sebuah Alam


Sekawan burung-burung turun terbang ke dunia.

Berharap memperolehi sesuatu.

Dilintasinya satu benua. Dilihatnya penduduk-penduduk di situ semuanya melarat. Mereka tidak cukup makan. Tidak cukup pakai. Dan ada yang kebuluran. Resah menanti ajal.

Diteruskan terbangannya ke bahagian lain dunia.

Di satu sudut dilihatnya sekumpulan kanak-kanak berlari. Berlari sambil memegang batu. Belum sempat batu dilemparkan, segerombolan tentera melepaskan beberapa das tembakan dan dalam sekelip mata, tubuh-tubuh berlari tadi terbujur kaku. Tidak bergerak.

Burung-burung itu terbang membawa hati yang hiba. Memikirkan betapa mudahnya mereka mencabut nyawa mereka yang lain.

Hinggap ia di suatu benua. Keadaannya kacau-bilau. Bising dengan letupan. Bising dengan tangisan. Bising dengan bunyi tembakan. Sepastinya, keadaannya sama seperti sebelumnya. Cuma kali ini, lawan bertemu buku dengan ruas. Masing-masing punya kekuatan yang sama. Entah apa yang direbutkan, mereka tidak punya jawapan.

Terbanglah sekawan ini ke tempat lain. Kali ini aman. Tiada bunyi-bunyi gempita.
Tetapi di sudut lain, sekumpulan pemuda berlainan warna kulit sedang berentap. Bergelut sehingga tubuh mereka mengalirkan darah. Di sudut lain juga, seorang gadis dirosakkan kehormatannya oleh beberapa lelaki.

Burung-burung tersebut kecewa lalu terbang. Walaupun aman namun masih ada kekacauan sana-sini.

Setibanya di benua yang terakhir, dilihat keadaannya aman seperti sebelumnya. Jika adapun berlaku kekacauan,ia tidaklah sebanyak sebelumnya.

Burung-burung itu melihat lagi. Mereka ternampak pemerintah kumpulan ini bercakaran sesama mereka. Masing-masing berebutkan kuasa. Mengejar pangkat dan harta kekayaan fikirnya. Mereka terus menindas yang di bawah. Yang di bawah itu juga terseksa. Walau mereka seperti nampak selesa tetapi mereka seakan terhimpit. Dan mereka akan terus terhimpit selagi pemerintah itu terus-terusan berlaga sesama mereka.

Sekawan burung-burung itu menghabiskan sebuah perjalanan panjang mereka. Kembali semula ke atas di tempat asal mereka.

Ya, mereka memperolehi sesuatu.

Pengajaran yang amat berguna. Untuk diceritakan kepada cucu cicit mereka bahawa alam yang baru mereka lintasi sungguh indah. Berwarna-warni. Cuma, ia didiami mereka yang bernama manusia. Mereka berperang sesama sendiri walau mereka sama saja fizikalnya. Walau mereka punya banyak persamaan, mereka tetap mempertentangkan sebahagian kecil perbedaan.

Mereka selitkan dalam sanubari mereka. Untuk diekspresikan nanti.

Manifestasi sebuah alam.

Friday, June 26, 2009

ByeBye Espana!


Aku telah mendapat alamat kekalahan Sepanyol dalam Piala Konfederasi apabila aku tertidur sebaik saja bermulanya separuh masa kedua. Haih. Boleh dikatakan sebab kekalahan Sepanyol di tangan Amerika adalah kerana aku tertidur dan tidak dapat menghabiskan tontonan aku. Ceh.

Boleh dikatakan penyebab kekalahan ini adalah kerana sikap terlalu yakin skuad Spain semalam. Apapun,citer banyak tak guna, nasi sudah menjadi bubur. Dan sekarang, pasukan mana yang dapat memecah rekod kemenangan Spain, kita tunggu saja.


Aku predict Afrika menang pagi ni.

Rockstar Freeshow

Orang Malaysia amat gemarkan hiburan percuma. Atau hiburan murahan mungkin? Yelah, buktinya baru-baru ini konsert inspirasi TV3 tu menarik punyalah ramai umat manusia. Tambah lagi JomHeboh yang sering dianjurkan mereka pasti dapat menarik ramai umat manusia. Berbezalah jika seseorang artis itu punya faktor X seperti M Nasir, Siti(sekadar menyebut beberapa nama) dan lain-lain. Jadi, teori mudahnya, di mana ada konsert atau persembahan percuma pasti ada ramai orang. Aku mungkin terjatuh dalam kategori ini. Tapi aku bukanlah ingin menjadi golongan hedonisme sebagaimana yang korang sangkakan.


Ahad lalu, atas desakan seseorang(yang memang amat mendesak) aku telah pergi ke sebuah persembahan percuma di atas kapasiti aku ni yang anti-kan persembahan hiburan merosak akhlak. Hehe. Tetapi setelah difahamkan ia hanyalah sebuah gathering antara artis dengan penyokongnya dan bukanlah gig semata, aku bersetuju. (itupun setelah didesak). Majlis gathering merapatkan ukhwah sesama ahli grup ni berlangsung di sebuah studio kecil di Kelana Mall.

Penyambut tetamu untuk aku pada hari itu.


Setelah sampai dan mendaftarkan nama, suasana tidaklah sesesak disangka. Semua buat hal masing-masing dengan ada yang masih lepak kat luar. Aku ingat sudah lambat, rupanya rockstar dengan bandnya lagi lambat. Mujur. Oh ya, mereka yang panggil dia rockstar. Entah, rockstar kot.



Inilah dia rockstarnya. Kenal tak?


Aku silap kerana mengisi perutku sebelum datang sedangkan aku tahu yang ini adalah majlis gathering pastilah ada makan-makan bukan? Dengan tangki perut yang penuh, aku hanya menghirup sirap saja walaupun kek tart, bihun, karipap dan lain-lain lagilah.




Sesudah itu, band yang berkait dengan cuaca ni pun memulakan show. Free show beb. Takyah bayar. Jangan fikir free show yang lain pulak. Adalah dalam hampir 10 lagu dimainkan. Pendek kata, puas hatilah dengan apa yang dibayar(bayar air liur sebab menjerit) menonton permainan gitar rancak mereka walaupun tak dapat bergambar berdua dengan rockstar.





Moral dari entri kali ni ialah:

1. Selagi ada show percuma, mari datang. Haha.


2. Jangan makan kenyang-kenyang sebelum ke majlis yang dipanggil gathering. Kalau tak, anda minum sirap saja.



Wednesday, June 24, 2009

Terima Kasih Daun Keladi


Inilah kali pertama blog aku mendapat award daripada seseorang iaitu Uncle Dot.

Maka, berbillion dan jutaan terima kasih diucapkan kepada beliau. Award ini adalah pemangkin dan inspirasi buat aku untuk menulis. Ceh, macam ucapan dalam Anugerah Bintang Popular pula.

Sekali lagi, terima kasih Uncle.


award utk seme

Aku ambil yang ini juga ya, Uncle.



P/S - Beri betis hendak peha pula ye...


Saturday, June 20, 2009

Betapa Tidak Adilnya Mereka


Dunia memang berumpankan popular. Jika mereka bertiga bukan orang popular, mana mungkin kamu dapat peluang keluar tv dokumentari khas PLKN.

Aku pernah juga ke PLKN tapi kenapa tiada stesen tv yang berminat membuat dokumentari khas untuk aku sepertimana mereka bertiga?Adilkah ini?

Oh, aku lupa. Mereka tu orang popular. Aku ni siapa.

Maafkan aku kerana aku sering terlupa.

Selamat Hari Ayah

Aku tiada apa yang dapat kuberikan pada ayahku melainkan hanya ucapan Selamat Hari Ayah dan kasih sayang yang ditunjukkan. Itupun belum cukup. Tapi aku berusaha.

Selamat Hari Ayah untuk semua yang bergelar ayah.

Untuk ayah....Pujaan Hati

Thursday, June 18, 2009

Kapitalis Kian Bernanah


Apabila aku menatap sebuah ruangan di dalam akhbar tabloid, aku jadi terkedu. Membayangkan bahawa dunia hari ini semakin dilingkari dan dilitupi racun kapitalis. Racun yang kian bernanah dan merebak di serata dunia begitu juga dalam negara. Kapitalis pada dasarnya membolehkan manusia mencapai kemajuan dan mengejar kemewahan sambil meminggirkan sistem masyarakat yang lainnya. Pendukung kapitalis mampu tersenyum gembira lantaran hidup dilimpahi segala macam nikmat dunia. Sementelahan yang lainnya merana dan hidup menderita. Begitulah racun kapitalis yang boleh menjadi barah dalam sistem sosial masyarakat sekarang.

Oh ya, berbalik semula kepada apa yang aku baca dalam akhbar tersebut. Kisahnya mungkin remeh tetapi ia akan membiakkan racun kapitalis dalam sosio budaya kita jika kita membiarkan. Seorang anak muda yang bergelar artis yang juga baru sahaja menamatkan Program Khidmat Negara bercerita perihal dirinya.

Dia bercerita dan membayangkan bagaimana begitu seronoknya memandu BMW X5 ke kelas setiap hari. Kadangkala tidak tahu mana satu kenderaan mewah yang mahu digunakan ke kelas.

Sedangkan di saat ini, masih ramai yang belum mampu untuk berkenderaan sendiri. Malah ada yang sehingga ke penghujung usia hanya bertemankan basikal atau sekurang-kurangnya motor EX5 buruk. Ya, dia seronok memandu X5 dan mereka hanya menunggang EX5 yang setiap hari dilaluinya cuacanya tidak pernah menentu. Berhujan atau berpanas tetaplah ia begitu melaluinya setiap hari.

Dia bercerita tentang keseronokannya yang akan memulakan pengajian di universiti swasta yang tentunya melibatkan yuran yang tinggi. Sementelahan masih ada yang tidak mampu mendapatkan pendidikan apatah lagi mendapatkan biasiswa. Kau seronok mengaji di tempat berhawa dingin di kala orang lain hanya belajar berbumbungkan langit dan serba-serbinya tidak cukup. Jika kamu pernah menonton Laskar Pelangi mungkin kamu dapat membayangkan bagaimana susahnya orang miskin mahu mendapatkan pendidikan. Berkayuh 20km ke sekolah. Menanti buaya pergi baru boleh meneruskan kayuhan. Aku percaya, di sini juga masih ada kepayahan serupa yang terpaksa ditempuh.

Dia bercerita lagi tentang kegemarannya mengumpul koleksi beg tangan. Samada berjenama atau tidak, samada mahal atau tidak, akan dibelinya. Sehingga sudah beratus-ratus koleksi agaknya. Dan, mereka yang lain terus memakai beg yang sama setiap hari. Yang koyak itulah dipakainya. Yang berdebu itu jugalah terus digalasnya. Yang sudah lusuh itu jugalah menjadi penampung untuk cita-citanya. Menjadi pelampung usaha mereka. Dia, sebaliknya hanya mencampakkan beg yang dia tidak mahu walhal tidak terkoyak,lusuh atau terguris sedikitpun. Minta dibelikan baru beralasankan mengikut fesyen terkini.

Dia bercerita pula tentang destinasi percutian kegemaran. Indonesia, Australia dan di mana-mana saja menjadi kegemarannya asalkan jauh jaraknya. Lebih jauh lebih bagus. Sesuai dengan statusnya. Anak Dato'. Anak Tan Sri. Anak orang kenamaan. Di sudut lain, tidak ada destinasi percutian kegemaran bagi golongan bawahan. Jika hari-harinya ke laut, laut itulah yang menjadi destinasi percutiannya. Jika hari-harinya ke kebun getah, kebun getah itulah menjadi destinasi percutiannya. Jika hari-harinya di lorong-lorong, maka lorong-lorong itulah destinasi percutiannya.

Jika ada sedikit wang pun akan dikumpulkan hanya untuk menunaikan rukun Islam kelima. Baginya, itulah destinasi percutiannya. Sedangkan dia tidak pernah mahu menghajatkan kakinya ke Tanah Suci hatta duit sudah berguni-guni.

Aku bukannya anti kekayaan dan kemewahan cuma melihatkan sistem kapitalis hari ini telah menindaskan golongan lain. Yang kaya semakin kaya. Yang miskin semakin miskin. Kekayaan mungkin menyebabkan manusia lupa apa yang di bawah. Namun, tidak semua begitu. Ada yang berupaya memandang ke bawah dan menghulur bantuan. Lihat saja bagaimana Saidina Abu Bakar As-Siddiq menghabiskan hartanya ke jalan Allah sehinggakan tiada apa yang tinggal untuknya.

Cerita yang aku selitkan di atas tadi hanyalah contoh untuk direnungkan bersama.

Kapitalisme sebenarnya yang merosakkan struktur masyarakat kini. Apatah lagi kepada umat Islam.

Harta hanyalah sampah dunia.
 
Google Analytics Alternative