Wednesday, July 11, 2012

Cuba Jaya

Masih di dalam proses belajar untuk membuat video. Insyaallah akan diperkemaskan lagi.

Tuesday, July 10, 2012

Aku Takut


Aku takut jika kau selalu melihatku, kau akan menyampah.
Aku takut jika kau selalu bercakap denganku, kau akan habis modal untuk bercerita.
Aku takut jika aku selalu baik denganmu, kau akan selalu lupa akan aku.
Aku takut jika aku kasar denganmu, kau akan lari meninggalkan.
Aku takut jika kau ada orang lain meraih perhatianmu, kau akan mengabaikan aku.
Aku takut jika kau berjumpa orang baru, kau akan tinggalkan.

Monday, July 02, 2012

Forza Balotelli!


Aku tidak minat dengan pasukan Itali. Kali terakhir aku benar-benar menyokong (sokong bukan bermaksud minat ye) adalah semasa Piala Dunia 2002 di Korea Selatan dan Jepun. Ketika Anh Jung Hwan menanduk masuk gol emas Korea Selatan dalam saingan suku akhir, aku kecewa ya amat. Aku rasa mahu tumbuk saja setiap pemain Korea di situ. Sudahlah Vieri dinafikan penalti, malahan dikenakan pula kad kuning kerana kononnya menjatuhkan badan.

Itulah saja momen aku menyokong Itali. Seterusnya, semasa era 2006, aku bencikan Itali kerana menewaskan pasukan France dalam aksi final. Detik yang takkan dilupa tentulah tandukan Zidane ke dada Materazzi yang berkata lucah kepada Zidane. Ini salah satu taktik kotor Itali. Namun, apa boleh buat kerana jika Zidane stay di padang lagi, sudah tentulah piala bersalut emas itu akan pulang ke tanah Perancis. 

Kejahatan Itali ketika pentas final 2006 disumpah pada saingan 2010 apabila mereka gagal melepasi peringkat kumpulan. Dalam hati aku berkata, "Baruku puas! Baruku puas!". 

Namun, apa yang membuatkan aku kagum dengan pasukan Azzuri di dalam saingan Euro 2012 kali ni adalah kerana penglibatan pemain kelahiran Ghana yang dibesarkan di Itali iaitu Mario Balotelli. Mario Balotelli dibesarkan dengan cara hidup susah kerana setelah ditinggalkan kedua ibubapa kandungnya, dia dijaga oleh keluarga angkat di Itali. Saban hari dicaci maki dengan perkatan berbaur perkauman yang sudah menjadi mainan orang Itali membuatkan beliau gagah hari ini.

Terus-terang aku katakan, aku amat mengagumi pemain yang mempunyai karakter dan jiwa di dalam padang walaupun jiwa itu adalah jiwa memberontak. Daripada jiwa yang memberontak itulah yang akan menjadikan pemain itu bagus dan membesar dengan penuh amarah. Amarah yang dilepaskan ini adalah bagus kerana ia dilepaskan pada tempat yang sepatutnya iaitu di dalam padang bola.

Lihat saja bagaimana Balotelli yang cukup bermasalah ini menjaringkan dua gol ketika bertemu Jerman. Dari riak sambutannya, kita sudah tahu yang beliau mahu 'prove something'. Inilah yang menjadikan seseorang pemain itu mampu cemerlang di atas padang. Tekanan dek kehidupan silam dan bagaimana pengalaman mendewasakan dia menjadi resepi Balotelli.




Tidak hairanlah jika beliau yang cukup terkenal dengan ego dan lagak sombongnya mampu mencurahkan air mata kerana gagal membantu Itali menewaskan Sepanyol pada perlawanan akhir semalam. Air matanya sahaja sudah cukup menceritakan duka lara hatinya. Namun, tabik hormat aku sampaikan pada Mario Balotelli dengan persembahan beliau di Euro 2012 kali ni walaupun dikecam dari segenap sudut, beliau masih mampu berjuang. Perjuangan masih jauh kerana engkau masih muda.

Hegemoni Baru



  Tiki-taka instant result?


Sepanyol mengesahkan status mereka selaku kuasa bolasepak utama dunia apabila merangkul gelaran Euro 2012 malam tadi sekaligus mempertahankan kejuaraan 2008 mereka. Ketika Luis Aragones mengambilalih jawatan kejurulatihan selepas Euro 2004, maka bermulalah generasi emas Sepanyol ketika itu. Setelah terkeluar daripada saingan Piala Dunia 2006, Aragones sedar bahawa rata-rata para pemainnya berfizikal biasa dan tidak mampu menandingi lawan yang lebih besar.

Lantas, Aragones mula mencipta resepi yang menjadi kebangkitan skuad La Furia Roja hari ini. Sistem yang berakar umbi daripada corak Johan Cruyff ini bermula di Barcelona pada era 80an. Lantas, ia berkembang di bawah Louis Van Gaal dan Frank Rijkaard seterusnya maju di bawah era Josep Guardiola. Namun, kredit sebenar haruslah dianugerahkan kepada Luis Aragones yang menyempurnakan corak permainan 'tiki-taka' ini apabila membuahkan kejayaan di Euro 2008. 

Tiki-taka merupakan corak permainan memonopoli permainan dengan cara menguasai bola melalui hantaran rendah dan berjarak dekat. Selain itu, perubahan posisi pemain dan pergerakan 'roaming' atau berlegar di sekitar padang menjadi pelengkap tiki-taka. Pendekatan memonopoli bola ini lantas menguatkan tanggapan adakah ini suatu corak permainan bolasepak era baru?

Boleh dikatakan jawapan itu hampir 100% benar. Setelah menguasai pentas Eropah pada 2008, Sepanyol sekali lagi melengkapkan imperialisme mereka di dalam bolasepak dengan merajai bolasepak dunia dengan memenangi Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan di bawah kendalian Vicente Del Bosque. Corak permainan tiki-taka diteruskan Del Bosque dengan menampilkan kudrat tenaga muda yang jauh lebih segar dan pantas. Kegemilangan 2010 inilah dikatakan puncak kejayaan tiki-taka.

Pelengkap kuasa hegemoni Sepanyol adalah dengan mengulangi kejayaan 2008 lalu apabila mencipta gemilang di Poland-Ukraine malam tadi. Sebagaimana Christopher Columbus, seorang pelayar Spanish menemui Dunia Baru sekaligus mengekalkan kolonisasi Eropah untuk berabad lamanya, begitulah juga pasukan bolasepak Sepanyol yang seakan menemui corak permainan yang mampu mengekalkan hegemoni mereka untuk beberapa tahun mendatang.

Monday, June 18, 2012

Teguran Buat Pengkarya Filem Luar

Akhirnya, entri ini merupakan entri yang ke-300 buat aku sepanjang 6 tahun aku mula menulis di Warkah Kembara. 6 tahun untuk mencapai entri yang ke 300 sebenarnya agak lama bagi sesetengah orang, namun aku bukanlah popular pun (sedar diri!) untuk mencapai entri 300 dalam masa setahun. Aha. Apapun, terima kasihlah kepada orang-orang yang walaupun tak ramai jumlahnya, memastikan aku terus menulis di sini.

Sebenarnya, minggu lepas aku tonton filem Robocop 1, 2 dan 3. Dah lama gila aku tinggal cerita ni. Seingat aku, aku masih tadika atau sekolah rendah bila aku mula-mula tonton filem ni. Maklumlah, filem ni keluar sama dengan tahun aku diberanakkan. Jadi, dengan menonton semula membuatkan aku refresh balik jalan cerita filem ni yang bagi aku berada di dalam kelas tersendiri pada zamannya.


Polis lagenda


Terus-terang aku katakan yang orang dahulu (dalam kes ni, orang putihlah) amatlah kreatif dan berdaya fikir jauh ke depan. Cuba korang tengok filem 80-an dan 90-an macam Robocop, Child's Play, Terminator dan lain-lain, semuanya menggunakan efek asli dan teknologi robotik yang baru berkembang di zaman tersebut. Baru berkembang aku rasa di negara kitalah, mungkin di sana sudah lama kot. 

Apa yang aku nak tekankan di sini adalah perbezaan orang dulu dengan sekarang menghasilkan filem. Filem dahulu lebih natural, lebih direct dan lebih saspen berbanding sekarang. Korang tengok sajalah filem Robocop 1 ni yang jalan ceritanya memang straight forward dan direct tetapi masih mampu menangkap emosi kita. Masih ingat watak Chucky? Sejenis patung permainan yang mengerikan dan boleh membunuh. Bagi aku, filem tersebut penuh unsur suspen dan penuh thrill. Tidak perlu diisi dengan adegan mengarut dan meleret-leret dengan aksi merepek macam filem sekarang.

Jadi, pesanan aku buat penggiat filem nasional dan antarabangsa, kembalilah ke jalan yang asal dan hasilkanlah filem yang mempunyai efek yang natural atau asli, hasilkanlah filem dengan jalan cerita yang lebih direct. Tidak perlu unsur-unsur komersil, lucah, mahupun efek-efek janaan komputer yang melampau. Oh, aku benar-benar merindui zaman 90-an. Apakan daya, masa akan tetap berputar dan manusia semakin malas.


Sunday, June 10, 2012

Beberapa Perihal


Salam semuanya...

Kalau diikutkan sebenarnya, aku malas hendak menulis apa-apa di sini dek kerana kesibukan yang teramat sangat. Tetapi memandangkan ini adalah warkah kembara buat aku yang akan menjadi tatapan untuk aku di masa depan, aku cuba juga menulis perihal kehidupan aku.

Perihal Pertama

Semalam aku menghadiri kenduri rakan baik aku semasa sama-sama belajar di universiti dahulu. Menariknya, kendurinya diadakan di sebelah malam. Tambah menarik, aku berpeluang berjumpa kawan-kawan satu universiti dulu yang mana masing-masing sudah mula bekerja dan ada kehidupan sendiri. Seronok betul aku dengar member aku yang dapat kerja di dalam bidang welding kerana aku juga meminati bidang welding yang boleh bikin duit ni. Kalau banyak sijil dalam welding, boleh pergi oversea dan kumpul harta. 

Ada jugak kawan aku yang dapat berjalan seluruh dunia dengan hanya buat kerja maintenance di offshore. Fuhh, dahsyat sungguh mereka ni. Aku tumpang gembira dengan kejayaan mereka dan sedikit sebanyak ia membakar semangat aku untuk lebih berjaya. Tak sangka, graduan mekanikal UiTM ni sebenarnya laku juga sekaligus menafikan tohmahan dan kritikan sesetengah pihak.

Perihal Kedua

Sebenarnya, perihal kedua ni bukan ada apa sangat. Cuma aku nak bercerita mengenai kesibukan aku sekarang ni. Biasalah, kalau nak dekat tender ni, konsultanlah yang akan pecah kepala nak siapkan dokumen tender. Ditambah pula dengan projek yang aku sebagai inspector of work ni dah nak masuk fasa M&E, kenalah kerja lebih sikit, misalnya datang pada hari Sabtu tanpa mendapat elaun OT. Kahkahkah...

Perihal Ketiga




EURO 2012 sudah pun bermula, maka marilah kita beramai-ramai menyokong Sepanyol! Agak cliche sebenarnya menyokong Spain ni sebab sekarang ni dah ramai poser yang turut sama menyokong team calon juara ni. Jadi, aku beralahlah bagi memberi peluang kepada poser-poser ini menyokong Spain dengan memberi sokongan kepada France. Apa macam? Boleh pergi juga sebenarnya France ni tapi mungkin susah sikit nak menang Euro. Jangan sokong Brazil masa ni sudah...

Cukuplah sampai di sini dulu beberapa perihal aku. Sekian..

Friday, June 01, 2012

Letak Jawatan


Suatu malam, tiba-tiba nombor tak dikenali naik kat henpon aku. Dahlah pukul 3 pagi pulak tu. Lalu, aku menekan butang jawapan. Dengan nada yang agak keras, aku berkata, " Heloo! Ni siapa ni? Nak apa call aku pagi-pagi gini?"

" Ni aku ni. Maaflah call kau time-time macam ni," jawab suara tersebut.

"Ohh, Tan Sri ke??Amboi, tak tidur lagi ye?" terus nada suara aku berubah setelah mendapati Tan Sri menelefon.

" Aku ingat aku nak keluor Proton la. Aku dah rasa tak best sejak DRB Hicom ambil alih ni,". Direct je Tan Sri ni bercerita tanpa sempat aku bertanya tujuan beliau menelefon.

"Eh, kenapa pulak Tan Sri?" aku bertanya.

"Alah, kau paham-paham jelah si Khamil Jamil tu bukannya sekepala dengan aku. Ada ke nak bawak masuk company luar melabur dalam Proton. Design semua nak ambil kereta luar. Macamana 'orang design' aku nak cari makan? Tak ke bengong namanya tuh? Dah elok-elok aku nak promote aspirasi baru Proton, dia pulak nak ubah polisi kitorang," getus Tan Sri melahirkan ketidakpuasan hatinya.

" Sabarlah Tan Sri. Janganlah keluar dari Proton, tak syok le nanti," aku membalas.

" Ah, aku tak kira, esok ko baca la paper yang aku dah resign ye.Selamat malam, aku nak balik opis ni.."

"Err...Tan Sri...Tan Sri..."

Tuttt...tuttt...

Bunyi telepon dimatikan. Ah, gila apa Tan Sri Syed Zainal Abidin ni baru nak balik opis pukul 3 pagi gini? Kuat benor dia keje gamaknya. Apapun, aku sedih jugaklah sebab dia meluahkan isi hati dia pada aku malam sebelum dia letak jawatan. Haishh.. Apa la nasib Proton selepas ni?



Tuesday, May 29, 2012

Ketibaan Zaman Teknologi


Sebenarnya zaman 90-an adalah suatu zaman yang hebat. Jikalau ada timeline bagi zaman tersebut, nescaya kita semua akan terpegun dan kaku melihat betapa pesatnya teknologi yang berkembang dalam jangka masa tersebut. Namun begitu, walaupun ia sebuah zaman yang hebat, tidak dinafikan ia adalah antara zaman yang cukup sukar bagi sebuah keluarga untuk membesarkan anak-anak mereka.

Saya tidak menafikan bahawa pada masa kini juga adalah sukar bagi ibubapa untuk membesarkan anak mereka namun percayalah bahawa saya berani kerat kuku bahawa untuk ibubapa menangkis ketibaan era teknologi pada zaman 90-an adalah suatu cabaran besar daripada melihat anak yang berkurung di dalam bilik bermain facebook.

Insyaallah akan saya kupas nanti.

Friday, May 18, 2012

Bunch of Idiots


Kita harus bersyukur kerana di dalam negara kita ini, kita bukan sahaja dihidangkan dengan lawak berbayar daripada stesen televisyen satelit malah lebih daripada itu. Kita senantiasa mendapat hiburan percuma daripada golongan 'pelawak' ini yang tidak jemu-jemu menghiburkan kita. Syukur!!







See?

Saturday, May 12, 2012

Jurnal Kembara 8: Pulau Lagenda


Jurnal kembara kali ni meneruskan perjalanan jauh nun ke utara tanah air iaitu di Pulau Langkawi. Yes, sekian lama aku mengimpikan peluang menjejakkan kaki ke bumi lagenda Mahsuri ini, akhirnya peluang itu tiba dengan rezeki limpahan dari-Nya mengikuti rombongan syarikat. Perjalanan 3 hari 4 malam ini sesungguhnya amat berbaloi. Tanpa membuang masa lagi, mari kita berkembara bersama.

Perjalanan dimulakan dari Kuala Lumpur kira-kira pada pukul 10 malam dengan menaiki bas bersama ahli-ahli rombongan yang lain. Perjalanan ini sebenarnya diketuai oleh ejen yang dilantik oleh syarikat aku. Perjalanan ke Kuala Perlis mengambil masa lebih kurang 8 jam. Kami sampai ke jeti Kuala Perlis lebih kurang pada pukul 9 pagi kerana tayar bas pancit ketika berhenti rehat di Gurun, Kedah. Syukur kerana ia terjadi ketika bas sedang berhenti.

Sesampainya di Kuala Perlis, kami terpaksa menunggu lebih kurang 45 minit untuk menaiki feri ke Langkawi. Keadaan di jeti tersebut memang agak sesak kerana sebahagian kawasan di situ ditutup kerana pembinaan dijalankan. Dipendekkan cerita, kami sampai di jeti Kuah, Langkawi setelah sejam lebih menaiki feri. Keadaan di dalam feri bukan main sejuk lagi kerana aku berada betul-betul di hadapan air-cond.


Kuat sungguh bau diesel feri ni


Di Kuah, kami menaiki bas untuk ke Hotel Lanai di Pantai Tengah. Lebih kurang 20 minit perjalanan dari jeti tersebut, kami pun tiba di resort tiga bintang itu. Sesampai di resort itu, memang terasa penat sekali kerana melalui perjalanan melebihi 12 jam sebelumnya. Namun, sebelum badan menghempas katil, kami menikmati dulu makan tengahari yang disediakan pihak hotel khas buat rombongan kami.

Seterusnya, apalagi, aktiviti bersantai di dalam biliklah. Kerana kepenatan aku hampir-hampir saja terlepas sukaneka pada pukul 4.30 petang di pantai. Aku rasa sudah lama aku tidak bersukaneka dan ini satu pengalaman yang amat menarik ditambah pula dapat bersukaneka bersama bos-bos dan staf lain. Selesai sukaneka, aku mengambil masa untuk menikmati pemandangan matahari terbenam di Pantai Tengah ni. 


 Pemandangan dari Pantai Tengah. Macam Ombak Rindu pulak


Sebelah malamnya pula, kami mengadakan 'annual dinner' dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan. Malam itu memang tidur dengan nyenyak kerana kepenatan sehari suntuk. Dan esok aku akan memulakan pengembaraan yang lebih menarik.

Pagi Ahad dimulakan dengan lawatan ke kedai menjual dan membuat gamat yang dikenali dengan nama Saujana Enterprise. Apa yang menariknya, sebelum kami membeli gamat di situ, kami akan diberi penerangan terlebih dahulu dari tuan penjual (aku lupa nama dia). Borong sakan jugak aku di sini kerana ada orang pesan dari Kuala Lumpur. Kemudian, perjalanan ke kedai batik dari Jawa menjadi persinggahan kedua. Banyak betul kain batik makcik-makcik ni borong!


 Kedai gamat yang popular di Langkawi


Seterusnya, kami ke Kota Mahsuri bagi melihat makam Mahsuri dan tempat peninggalan beliau. Aku suka ke tempat sebegini kerana ia menjadi satu bentuk panduan bagaimana corak kehidupan orang dahulu yang memberi kesan ke atas pulau ini. Dikatakan Langkawi maju hari ini kerana sumpah 7 keturunan Mahsuri telah tamat pun ada benarnya walaupun agak tak logik. Terpulang untuk kita percaya atau tidak kerana jika tidak ada bukti purba, mana mungkin cerita begini akan keluar.


 Kota Mahsuri penuh lagenda


Kilim Geoforest Park menjadi destinasi kami seterusnya. Bagi aku, tempat inilah paling menarik sepanjang berada di Langkawi ni. Kami bermula dengan menaiki bot ke gua kelawar. Ini kali pertama aku merasai pengalaman memasuki gua yang penuh dengan kelawar. Di sini, kami tidak boleh bising kerana ia akan menganggu habitat mereka. Kawasan ini dipenuhi dengan hutan paya bakau dan terdapat spesis ketam unik di sini di mana ia mempunyai satu sepit. 


 Jeti Kilim Geoforest Park


 Hutan paya bakau



Perjalanan diteruskan ke kawasan yang menjadi tumpuan helang makan. Masyaallah, banyak sungguh helang berterbangan di kawasan ini mencari makan di dalam air. Walaupun enjin bot berbunyi kuat, namun helang-helang ini langsung tidak mempedulikan kehadiran kami dan buat macam biasa saja. Bagi mengisi perut yang lapar setelah melihat helang mengisi perut, kami ke Restoran Hole In The Wall yang berdekatan di situ. Menariknya, restoran ini terapung di atas air dan semua makanan disediakan segar. Persekitaran yang diapit oleh bukit-bukit berbatu di sekelilingnya menambahkan suasana alam malar hijau. 


Komuniti helang sibuk mencari makan tanpa mempedulikan kami


 Muka Red Indian di batuan bukit


Kami menamatkan kunjungan di Kilim Geoforest Park ini dengan melihat batuan yang telah hidup beribu tahun di sini dan ada sesetengahnya menyerupai muka 'red indian'. Indahnya ciptaan Allah. Selesai sudah kembara melihat alam ciptaanNya, kami terus ke pekan Baron. Tidak lengkap rasanya jika kunjungan ke Langkawi tidak diselitkan dengan membeli coklat dan pinggan mangkuk. Banyak betul aku borong coklat-coklat di sini, maklumlah semuanya murah-murah belaka. Ah, ini semua nafsu!


 Syurga coklat!


Lagi satu, kedai yang terkenal di sini adalah Haji Ismail Group yang cawangannya terletak merata-rata. Semuanya bebas cukai dan tak mustahillah kita akan rambang mata melihat set pinggan mangkuk dan coklat-coklat di sini. Nasihat aku, sediakanlah duit yang banyak sikit sebab bukan senang nak beli barang murah kat sini kalau jarang datang. 


 Empayar Haji Ismail Group bersepah di Langkawi


Kunjungan kami ditamatkan dengan melawati Langkawi Underwater World. Sepatutnya kami menaiki kereta kabel tetapi ia ditutup pulak. Apapun, di sini pun tidak kurang menarik juga cuma kami tidak dapat lama di sini atas faktor masa. Semuanya dipadatkan untuk satu hari ini dan kami harus menggunakan masa sebaik-baiknya. Jadi, aktiviti malam?


 Penguin comel di Underwater World



Underwater view


Kami ke Pantai Chenang kerana ia sama seperti pekan uptown di ibukota. Walaubagaimanapun, tidak banyak pilihan di sini kerana setiap barang cenderahati lebih kurang sama je di setiap kedai. Dalam tidak banyak pilihan itu pun, sempat juga aku sambar beberapa helai t-shirt bagi dijadikan hadiah untuk orang di rumah. Malam itu, sekali lagi tidur dengan nyenyak kerana kepenatan. Walaupun penat tapi memang seronok gila. 

Suasana 'uptown' di pantai Chenang


Keesokannya, kami bertolak pulang ke jeti Kuala Perlis. Dan sebelum pulang, kami singgah ke Padang Besar buat menikmati hiburan terakhir dan mengosongkan lagi dompet. Di sini, aku tidak berpeluang untuk membeli belah lama kerana keadaannya yang agak panas. Ia sekaligus mematikan selera aku. Apapun, aku sempat untuk menyambar sebuah beg kamera. Kami bertolak dari Padang Besar pada kira-kira pukul 5 petang. Sampai di KL pula lebih kurang 5 pagi Hari Pekerja. Lambat tu bukan apa. Ia disebabkan sebuah bas terbalik dan melintang di tengah lebuhraya. Sungguh sadis aku melihat keadaan mangsa-mangsa bas terbabit kerana ketika kami sampai, ia baru terjadi dan kebanyakkan mangsa sedang diselamatkan oleh orang sekeliling. Alhamdulillah kami semua selamat.


Pemandangan indah sawah padi Perlis


Banyak lagi tempat yang tak sempat diteroka lagi di Pulau Langkawi ni sebenarnya. Contohnya, Pulau Dayang Bunting, Gunung Mat Chincang dan banyak lagi. Kalau 3 hari pun belum tentu dapat rasa semua. Tapi, aku sangat menyarankan kepada korang kalau nak ke Langkawi, pastikan ke Kilim Geoforest Park yang sungguh indah. Insyaallah, jika ada peluang, akan aku kembali lagi di sini untuk menikmati keindahan alam yang diciptakanNya untuk kita teroka dan berfikir. Sekian untuk kali ini.


P/S - All pictures are copyright reserved. Any use without permission will consider as copyright infringement. Thank you.

Tuesday, May 08, 2012

Proton dan Kelangsungannya




 
Mungkin jika anda perasan dalam entri-entri aku sebelum ni kebanyakannya akan mengkritik kereta nasional kebanggaan negara, Proton. Kritikan itu bukan bermaksud aku membenci Proton dan suku-sakatnya tetapi lebih kepada mahu melihat Proton lebih serius menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan. 

Kali ni aku tertarik untuk mengulas satu video yang memaparkan satu bentuk penerangan 'kenapa kereta kita mahal?'. Pastinya video ni adalah salah satu usaha untuk memaklumkan orang ramai mengenai Pelan Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan kerajaan. Di atas sikap neutral dan saksama, marilah kita sama-sama melihat apakah benar kereta kita mahal?

Ya, jawapannya memang kereta kita mahal jika nak dibandingkan dengan negara Eropah dan negara luar. Contohnya, kereta Toyota Camry di negara luar boleh dibeli dalam harga sekitar RM50k, manakala di Malaysia, harganya hampir sekali ganda daripada harga tersebut. Dalam hal ini, memang cukai yang dikenakan serta permit import AP daripada kerajaan tinggi. 

Adakah kita sedar bahawa harga yang jauh melambung ini ditambah pula kita disabitkan dengan pembayaran cukai tahunan yang tinggi dikenakan pemerintah ini bersebab? Mungkin ramai yang tahu bahawa ini adalah untuk melindungi Proton supaya Proton dapat terus menjual kereta dengan harga murah. Di sebalik harga kenderaan yang tinggi itu, rakyat diberi kemudahan subsidi bagi petrol (yang kononnya murah), insurans kenderaan dan cukai jalan yang rendah. 

Aku tidak nafikan bahawa di dalam kes ini, kita sebenarnya mahu melindungi Proton selaku teras industri automotif negara. Tanyalah kebanyakan jurutera Proton dan Perodua, yang mana mempunyai kelebihan dalam research & development. Ternyata jawapannya adalah Proton kerana Perodua sehingga hari ini masih belum mempunyai keutuhan di dalam segmen penyelidikan dan pembangunan rekabentuk. 

Jadi, persoalan paling besar di sini adalah apa akan jadi jika kereta Proton tidak berjaya dijual? Mampukah kita melihat satu kilang nasional yang melahirkan dan menjadi tapak buat jurutera-jurutera tempatan ini tutup? Atau ada di kalangan kita yang bersorak riang melihat kejatuhan Proton?

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Aku bukanlah mahu memperjuangkan nasib Proton di sini kerana tanggungjawab itu sebenarnya adalah di bahu mereka sendiri dan juga kerajaan. Di sebalik caci maki yang kita lemparkan kepada Proton sebenarnya adalah umpama satu tusukan kepada mereka yang terlibat di dalam penghasilan kereta nasional ini. Jika suatu hari nanti Proton ditutup, tidak mustahil industri automotif negara akan menuju zaman gelap kerana 'tapak' atau 'tiang' itu sudah runtuh. 

Proton pula perlu menyalahkan diri sendiri di atas kegagalan menghasilkan kereta yang berkualiti untuk rakyat tempatan. Siapa kata mereka tidak mampu? Mereka mampu menjual kereta dengan kuantiti yang banyak di negara luar. Tetapi 'anak di rumah'? Dibiarkan mati kelaparan hanya kerana mahu mengurangkan kos.

Sebagai penutup pidato aku malam ini, kita perlu memberi peluang kepada Proton. Jika tidak mahu beli sekalipun, janganlah kita memburuk-burukkannya kerana aku tidak mahu melihat rakan-rakan jurutera aku di sana menjadi penganggur. Dan aku harap Proton perlu membuat perubahan besar. Kurangkan lagi harga selagi boleh di samping terus menjaga kualiti setanding kereta luar.

Sunday, May 06, 2012

Kelebihan Konsultan


Antara kelebihan menjadi konsultan dalam sesebuah projek di mana tak ramai orang tahu adalah sentiasa murah rezeki. Masakan tidak, kerana apabila setiap kali berkunjung ke gerai makan bersama kontraktor, para kontraktorlah yang akan mengeluarkan duit belanja makan. Nak order mahal sekalipun takde hal.

Selain itu, konsultan tidak perlu bersusah payah membawa kenderaan sendiri ke tapak projek (site) kerana para kontraktor yang kebanyakkannya memiliki kereta pacuan 4 roda akan mempelawa konsultan bersama mereka. Ini satu kelebihan sebenarnya di mana konsultan tidak perlu membazirkan minyak mereka di samping dapat menjaga kereta mereka dari dilumuri kekotoran tanah.

Nampak, hebat bukan menjadi konsultan? Banyak lagi kelebihan lain sebenarnya tapi apakata aku kasi korang semua pikir sendiri, ok?
 
Google Analytics Alternative