Sunday, March 04, 2018

Memilih Tahi

Ada orang bertanya di FB, jika kita dihidangkan dengan 2 pinggan tahi, mana kita akan pilih? 

Aku jawab. 

Pilih yang kurang tahi atau yang tahi yang lebih sedap daripada tahi yang lagi satu.

Masakan mungkin kau akan pilih tidak makan langsung kedua-dua tahi kerana pada akhirnya salah satu tahi akan menghantui hidup kau juga. Tahi akan dipalit ke muka kau. Kau hidup bergelumang dengan tahi yang teruk itu untuk lima tahun lagi. 

Sebab itu kita kena jadi bijak. Pilih tahi yang kurang mudarat.

We Are All Undi Rosak

Baru-baru dan sekarang ini semakin giat kempen Undi Rosak dijalankan. 

Apapun cara, kesemua perkara mengundi ini adalah hak untuk setiap rakyat di bawah negara demokrasi. Dan, cara yang baik untuk bertoleransi adalah dengan meraikan pendapat. 

Boleh dilihat gerakan dan kempen undi rosak ini dijalankan oleh kebanyakan pihak atas pagar dan page atas pagar (seperti pernah aku tulis sebelum ini) dan juga pihak yang kecewa dengan pembangkang. Kerana orang BN tidak akan melakukan undi rosak bersama-sama mereka.

Perlu diketahui bahawa penentangan terhadap UMNO bukan baharu. Bukan semasa era Mahathir. Bahkan sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka. Bagaimana UMNO yang berkawan baik dengan British mula menolah perjuangan kiri seperti AWAS, API dan lain-lain.

Jadi, apabila muncul pihak-pihak yang mengaku kononnya mereka inilah yang menggerakkan kerja-kerja membantu pembangkang semasa PRU lepas, mereka perlu bertanya kembali apa asas perjuangan mereka?

Adakah sekadar menolak Mahathir pada era Reformasi 1998? Atau menolak sistem yang dibangunkan UMNO?

Jika ditanya pandangan aku (atau blog ini), kita menolak secara total sistem yang lahir daripada UMNO. Mahathir lahir daripada UMNO. Oleh itu, kita menolak UMNO dan bukannya Mahathir seorang. Dapat difahami bahawa trend penyokong pembangkang kini adalah menolak Mahathir (di dalam masa yang sama membenci BN).

Ya, Anwar juga lahir daripada sistem UMNO dan kebanyakan pemimpin pembangkang juga daripada situ. Tapi perlu difaham bahawa mereka ini bangun untuk menentang sistem korupsi dalam UMNO. Ya, tolak tepi Mahathir.

Jangan kerana wujudnya undi rosak ini, maka, Selangor akan kehilangan kuasa kepada BN atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mahathir hanyalah satu entiti tahi di dalam satu gabungan yang belum terbukti tahap korupsinya jika dibandingkan dengan satu gabungan yang sudah memerintah terlalu lama sehingga sistem busuk mereka telah bernanah dari segenap kampung hingga ke peringkat kolar putih.

PPR dan Miskinnya Akhlak

Membaca kes mengenai kerusi yang dibuang dari tingkat 21 sebuah PPR sehingga mengakibatkan seorang nyawa melayang amat menyedihkan hingga ke sanubari.

Apa yang kita boleh harapkan dengan sebuah kejiranan di kawasan kos rendah? 

Aku sendiri tinggal di kawasan perumahan kos rendah. Walau bukan semua bersikap teruk namun, rata-ratanya mempunyai sifat dan mentaliti yang tidak mementingkan kebersihan dan keberadaan. Boleh lihat siang dan malam, sampah dibuang dari tingkap sahaja sehingga mengenai kereta orang. Kawasan lobi dan laluan penuh dengan sampah dan berair. Hal lif tak perlu cakaplah. Ada sahaja contengan dan kesan vandalisma. Bergaduh sesama ahli keluarga tak kira siang dan malam sehingga satu tingkat boleh dengar.

Bukan kita membuat persepsi liar terhadap perumahan kos rendah tetapi banyak kes sebegini dapat kita lihat di mana perkara kebersihan bukan menjadi asas utama mereka. Mereka sendiri agaknya selesa berada di kawasan kotor sehingga anak-anak mereka sendiri pun bermain di padang yang penuh sampah.

Mengapa jadi begini? Ia boleh dikaitkan dengan pemikiran atau mentaliti kelas ketiga. Mentaliti 'tak apa' dan 'tidak peduli' inilah yang memacu masyarakat sebegini untuk bersikap semberono dan sambil lewa sehingga mengabaikan norma-norma terpuji dalam kelas masyarakat. Mereka tidak lagi peduli tentang kata-kata orang. Mereka hanya tahu fikir bagaimana untuk 'survive' hari esok dan mendapatkan wang esok hari. Barangkali itulah yang berlegar di dalam ruang fikiran mereka.

Lantas, pemikiran mereka mencorakkan akhlak mereka terhadap sekeliling. Sayanglah jika akhlak mereka ini memberikan kesan kepada orang sekeliling yang lebih baik sampai ada nyawa tergadai.

Kesimpulannya, jika kita miskin, tidak perlu sampai miskin jiwa dan miskin akhlak.

Yang tak mampu tapi nak langgan Astro jugak tu kenapa?

Cikgu Sekolah

Post ni sepatutnya backdated pada awal tahun. Tapi aku baru sempat paste kat sini.

Saban tahun tiap kali musim persekolahan bermula, akan bermulalah satu kempen cikgu cantik, menarik dan berpakaian menarik yang ditularkan di laman Facebook atau whatsapp. Sehingga muncul komen, "rasa macam nak sekolah semula!", "macam ni, bukan budak je nak sekolah, bapak budak pun nak sekolah juga". Sambil tu, gambar-gambar cikgu muda itu ditularkan bersama.

Aku hairan kenapa benda bodoh sebegini pun mengundang penularan dan menjadi ruang perbincangan penting sehingga aku berasa apakah golongan lelaki sebegini tiada kehidupankah sehingga perkara ini pun boleh menjadi satu isu 'serius' dan usikan nakal mereka?

Kehidupan mereka nyata tidak bahagia dan mereka kurang kasih sayang. Bak kata budak-budak poyo, mereka ini jakun dan mudah terhibur.

Tidak ada apa pun yang menarik bersembang perkara fantasi yang membawa kepada perkara tak berfaedah. Dan jika ada rakan kau bersembang dan tularkan benda bodoh sebegini, jauhkanlah diri kau daripada mereka kerana itu sudah cukup membuktikan akal mereka setaraf telur burung unta.

Bani Subsidi

Jika disebut bani subsidi, maka, golongan Melayu di kampunglah yang boleh dikatakan bani subsidi.

Selama ini, jika aku di kampung, aku dengar pelbagai cerita dan merasai sendiri betapa kuatnya pengaruh UMNO BN di kampung-kampung dan pedalaman. 

Antara bentuk subsidi yang mereka dapat secara berterusan dan berkala ialah penerimaan beras dan barangan dapur, lawatan percuma ke mana-mana tempat anjuran UMNO yang melibatkan pemimpin turun padang (kadangkala sampai ke KL), kain pelekat 1Malaysia, ketua kampung dapat mengerjakan umrah secara percuma, dapat jalan yang sentiasa diturap dan macam-macam. Paling utama, asalkan BN jaga bekalan air mereka, elektrik mereka dan jalan kampung mereka, mereka tidak kisah untuk beri undi kepada BN.

Inilah kekuatan UMNO di kampung-kampung. Mereka menyumbang secara berterusan di kampung sehingga adakalanya siapa yang lebih kuat pengaruh dan kronismenya, maka, dialah akan mendapat pelbagai bantuan termasuk menerima tanah.

Sebab itu, orang kampung tidak kisah mengundi UMNO walau kau hidang mereka cerita korupsi tentang 1MDB dan Felda sekalipun. Yang penting, dapur mereka berasap dan perut mereka terisi.

Pada akhirnya, perlu muncul satu generasi baharu di kalangan anak muda di kampung-kampung untuk memberi satu wadah baharu kepada segenap lapisan masyarakat supaya berhenti menyokong UMNO.

Jangan Ambil Padang Kami Dalam Hakikat Sebenar

Aku pernah beberapa kali bermain di padang bola Jalan Jujur, Bandar Tun Razak ni. Dan setelah sekian lama, penduduk asal menentang pembangunan kondominium di atas padang awam ini, akhirnya, syarikat kapitalis berjaya menyahkan satu aktiviti dalam kehidupan remaja dan belia di sini.

Ku Nan kata ada ganti satu padang DBKL berdekatan Permaisuri. Tapi siapa nak pergi main sana. Perlu permit kebenaran. Perlu ikut masa ditetapkan. Siapa yang suka ikut ketetapan masa bermain mereka? Kenapa mereka tidak boleh diberi kebebasan untuk bermain ikut masa yang mereka suka?

Padang yang disediakan DBKL akhirnya tak berguna pun. Mungkin salah satu tindakan protes agaknya. Dan, yang menang tentulah syarikat kapitalis yang menindas orang awam. Bangunkan kondo. Jual mahal-mahal. 

Akhirnya, tak mampu dibeli orang dan gejala kerosakan akhlak bertambah akibat tiada lagi tempat anak muda mengeluarkan peluh untuk bermain. 




Semua Boleh Bikin Jadi!

Isu Forex ni dulu kalau kau ingat, BN mati-matian kata ini adalah fitnah pembangkang pada zaman tu.

Sekarang, Mahathir dah keluar UMNO, semua benda akan dibuka kembali sampai RCI ditubuhkan.
Agaknya, kalau Najib keluar UMNO nanti, RCI 1MDB ditubuhkan kot?

Tapi, bagi kami, lantaklah nak siasat Mahathir pun. Itu juga yang diperjuangkan pembangkang dahulu. Kalau terbukti salah, ia tak akan mendatangkan kudis pun pada PH. PH berdiri bukan kerana Mahathir. Mahathir bukannya mengasaskan gabungan PH pun. Jadi, tak perlu risau. 

Bahkan, kami lebih suka jika Mahathir didakwa kerana itu akan membuktikan bahawa sesiapa yang berkuasa di dalam BN walau era mana sekalipun, akan mempunyai kuasa politik, pengaruh (sampai kabinet menteri pun boleh tertipu dengan Perdana Menteri Mahathir masa tu, datut??). Itulah yang memberi nafas BN iaitu korupsi, salahguna kuasa dan ketirisan. Biar mereka sendiri membogelkan diri mereka sendiri. 

Kita hanya perlu rilek dan mengundi sahaja hapuskan UMNO. Terhapusnya UMNO, maka, terhapuslah kerosakan yang lebih besar. 

Dan bak kata pepatah pemuda Umno kampung aku, "semua kita boleh bikin jadi!"

Sang Diktator


Kekayaan anak beranak Dr Mahathir diputarkan kembali. Kebarangkalian kes ini dinaikkan kerana PPBM memohon derma untuk menghadapi PRU. 

Taknak ulas bab mohon derma tapi bila sebut kekayaan anak-beranak Mahathir ni kita harus tanya semasa zaman bila ia dilakukan dan bagaimana ia dilakukan. Begitu jelas dan terang apabila berada dalam sesebuah parti (yang sudah lama memerintah), kita akan mudah mendapat pelbagai keistimewaan termasuklah kekayaan dalam sekelip mata

Bagaimana mungkin kekayaan ini hadir jika tidak kerana adanya jawatan di dalam kerajaan yang berkait dengan seseorang yang sangat berkuasa disebarkan kepada anak-beranak? 

Sebab itu, kita tolak rejim dan sistem yang digunapakai sampai saat ini. Pergi mampuslah sama Mahathir dan sistem yang ada sekarang ni. 

Kesimpulan mudah, tolak sistem, akan selamatlah Malaysia ini. Tolak Mahathir, akan muncul Mahathir lain.

Tuesday, November 21, 2017

Tuhan TV Dalam 'Pop Culture'

Dunia adalah satu rahmat tanpa Astro. Sebab itu, orang genius tidak ada Astro di rumah.

Aku masuk satu homestay dan buka tv, kesemuanya rancangan yang entah apa-apa daripada Astro. 

Aku terfikir juga. Betapa ramai dari kita yang telah 'beriman' dengan Astro di mana jika pindah ke mana-mana mesti nak pasang Astro. Demi mendapatkan gambar rancangan tv yang jelas, mereka ini disaran pasang Astro. Seakan tiada pilihan lain. Mereka ini tanpa sedar telah bertuhankan Astro.

Astro dengan secara mudahnya telah menjentik emosi orang Malaysia dan Melayu khususnya walaupun dalam hujan tiada signal, main cerita sama berulang dan cekik darah supaya kekal melanggan Astro.

Apabila Astro bukak semua saluran sebab memang anugerah, maka, orang Melayu jugak yang seronok bukan kepalang sampai benda itu pun nak dihebah dalam group Whatsapp dan FB. Padahal, mereka inilah juga yang maki Astro masa tiada siaran atau waktu nak potong saluran, kena caj dengan Astro.

Sesungguhnya, jika dilihat di dalam media sosial, Dato Vida dan Dato Alif Syukri sering menjadi bahan jenaka orang kita tetapi tanpa sedar, rancangan mereka seperti AF, Gegar Vaganza, etc tetap juga menjadi tontonan golongan musibat ini. Inilah Melayu sembang belakang tapi tak sedar kepala tertunduk menyembah kapitalis. Lebih malang, mereka tidak mahu mengaku dan malu untuk mengatakan mereka bukannya menonton gelagat 2 orang itu tetapi sekadar menonton rancangan sahaja.

Astro membuat kekayaan dari kebodohan orang kita dan Melayu khususnya. Ada anak kecil, mereka tampilkan program Ceria I-Star. Ada anak atau pemuda acah alim nak popular, mereka ada Imam Muda. Ada pemuda pemudi nak popular menyanyi, mereka tampilkan rancangan Akademi Fantasia. Ada orang tua tak sedar diri, mereka tampilkan Kilauan Emas dan Gegar Vaganza. Ada orang Melayu nak kaya dengan menjadi bahan lawak, mereka ada Raja Lawak.

Kesimpulannya, Astro boleh 'membeli' orang Melayu yang kurang bijak dengan wujudnya program-program sasaran mereka. Mereka tahu, Melayu sikapnya marah sekejap sahaja. Jika rasa marah bila Astro caj denda ketika nak potong saluran, mudah saja. Mereka buka semua saluran secara percuma dan menambah promosi lain. 

Kita sebenarnya mempunyai pilihan. Pilihan untuk menamatkan Astro atau langsung tidak melanggan dari mula. Kerana apabila Astro, walau sudah banyak mana saluran mereka sekalipun, kita tetap juga menonton dua atau tiga saluran sahaja lebih-lebih lagi waktu malam dan hujung minggu. 

Itulah kita. Bertuhankan Astro. Hidup tanpa Astro itu sebenarnya lebih bahagia dan aman. Nak tengok bola? Langgan internet yang baik sahaja sudah cukup.


Sang Lembu Di Kedai Makan

Baru-baru ini tular satu post FB mengenai seorang lelaki membawa anaknya makan di sebuah kedai makan di mana terdapat pasangan sedondon yang salah seorangnya menghisap rokok tanpa menghiraukan anak kecil lelaki ini tadi.

Dapat menjengah ke ruangan komen di page Oh Bulan!, di mana lelaki ini telah dikecam dari perokok sampailah ke makcik-makcik dan gadis-gadis yang menegur bahasa yang agak biadap terhadap perokok dan pasangannya tersebut di dalam status tersebut.

Ya, lelaki itu salah kerana bahasa agak kasar tetapi kadangkala bahasa kasar itulah ucapan yang lebih sesuai untuk orang degil. Oh, tegur depan-depan juga telah menjadi satu standard di mana rakyat Malaysia yang berani adalah yang pergi menegur depan-depan sebelum mentularkan sesuatu. Bijaknya lelaki itu apabila ia tidak memasukkan muka pasangan terbabit supaya tidak masuk pula cerita buka aib.

Berbalik kepada isu tegur depan-depan tadi, adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melakukan perkara ini? Adakah mentaliti menegur secara 'gentleman' ini telah boleh diserap dalam budaya kita? Adakah kita semua sudah cukup berani untuk menegur berdepan-depan? 

Kita juga tidak begitu. Jika kita menegur depan-depan, kita tidak mungkin tahu perangai buruk perokok. Atau ia mungkin akan menafikan perkara pokok dalam isu ini iaitu..
hisap rokok adalah haram. 

Sedangkan arwah tuan guru Nik Aziz pun menggelar perokok adalah lembu, siapa kita untuk mengecam lelaki yang nyawa anaknya telah diperjudikan (walau mungkin akibat kebodohan diri sendiri)? 

Inilah perkara asas dalam isu ini. Tidak ada dakwa dakwi lagi.

Tuesday, November 07, 2017

Jenis Masyarakat Era Ini

Melihat senario masyarakat hari ini yang sudah semakin parah dalam menangani isu, maka, adalah perlu masyarakat kembali berfikir menggunakan kepala otak (bukan kepala bapak engkau) mereka.

1. Masyarakat yang belajar ilmu tanpa guru
Ini adalah satu kebahayaan sehingga dalam satu khutbah baru-baru ini disebutkan bahawa masyarakat yang tidak berguru dalam mempelajari kitab adalah lebih bahaya daripada Dajal. Mereka cenderung mentafsir ilmu sekerat-sekerat daripada beberapa sumber kecil dan kemudian menyebarkannya seolah-olah mereka sudah faham nas dan dalilnya. Lihat saja perangai mereka di alam maya apabila menggunakan kepandaian mereka yang sedikit itu sahaja lalu mereka pun akan menjatuhkan hukum.

2. Masyarakat yang terlampau defensif
Ini satu kecenderungan baharu hasil daripada poin nombor 1 tadi. Mereka defensif terhadap mereka sehingga menutup ruang keterbukaan sedangkan agama Islam adalah rahmat buat semua umat. Contoh isu, kedai dobi dan terbaharu, isu banjir yang membawa kepada bukan Islam berteduh di sebuah surau. Inilah hasilnya berguru tanpa 'guru'.

3. Masyarakat yang tidak fiqh awlawiyyat
Masyarakat ini gagal melihat keutamaan yang lebih besar dan mana yang kurang mudarat. Sindrom ini semakin lama semakin membesar kerana wujudnya orang yang kononnya berada di atas pagar memecah-belahkan masyarakat.

4. Masyarakat yang taksub dengan duniawi
Ini juga semakin merebak. Orang-orang kaya dan golongan artis seringkali menjadi pujaan masyarakat ini. Orang berilmu semakin dipandang sepi, orang yang berumpan populis ini juga yang didambakan masyarakat. Lihat saja apabila si kaya membuat kesalahan, akan muncul penyokong mereka yang akan 'mengajar' anda supaya tidak menjaga tepi kain orang, tidak berhasad dengki, tidak berhati hitam walhal cuma kebenaran sahaja ditegakkan. Lihat bagaimana Azizan Osman yang menggunakan ilmu palsu bagi mencipta kelompok penyokong yang bukan kecil anak. Lihat juga Dr Vida dan Dato Alif Syukri yang menggunakan kekayaan untuk mencipta penyokong yang setia di belakang mereka (secara membuta tuli). Pada akhirnya, masyarakat berilmu dan tokoh ilmuan tidak dipandang lagi. 

5. Masyarakat yang taksub dengan kekayaan
Mereka taksub dengan kekayaan sehingga mereka sanggup memijak orang lain. Ada aku terbaca di dalam satu posting mengenai hartanah yang menyatakan apalah salahnya memiliki lebih daripada 2 buah rumah jika mampu. Akhirnya, mereka yang tidak mampu atau membangkang mereka, dituduh tidak mahu berusaha lebih, banyak beralasan dan cemburu dengan orang lain. Masyarakat seperti inilah yang telah menyuburkan kapitalisme dalam diri mereka tanpa mereka tidak sedar. Poin mereka adalah menyalahkan orang lain walhal realitinya, memang mereka tidak mampu dan tindakan mengumpul rumah untuk dijadikan bisnes dan aset mereka samalah seperti sifat syaitan. Sifat materialistik dan keperluan untuk bersaing di dalam media sosial mengenai siapa paling banyak peralatan IKEA, siapa paling banyak mengembara ke luar negara, siapa paling banyak rumah, siapa paling bahagia kehidupan mereka, siapa paling banyak makan di restoran mewah telah mencambahkan lagi sifat ketaksuban mereka dalam mengejar wang ringgit dan ia mesti didapatkan dalam apa jua cara sekalipun. 

Sekian.

Menonton Korupsi Kelas Bawahan

Baru-baru ini aku singgah di RnR sebuah plaza tol lebuhraya antara bandar bagi menyempurnakan dua benda normal manusia. Sedang aku menunggu orang, aku pun duduk berehat di sebuah pangkin berdekatan tandas plaza tol berkenaan. 

Aku melemparkan pandangan ke arah 2 orang pekerja pembersihan yang sedang melakukan kerja-kerja menyapu. Pada mulanya, aku tidak menyangka apa-apa sehinggalah salah seorang pekerja yang aku fikir orang tempatan mengeluarkan telefon bimbitnya.

Pekerja tersebut mula mengambil gambar rakannya sedang menyapu. Yang lebih menghairankan, beliau menyuruh rakannya bergaya seakan menyapu sampah di mana rakannya itu berada dalam keadaan pegun bagi membolehkan gambar diambil. Beberapa sudut pandangan diambil sambil rakannya terus berada dalam keadaan pegun.

Setelah selesai satu kawasan, mereka beralih ke tempat berdekatan bahu jalan di mana terdapat sampah-sampah dan daun kering. Peliknya, kawasan yang mereka 'bergaya' mengambil gambar tadi masih tetap tidak bersih dan sampah masih terbiar seperti sebelum mereka datang. Apabila mereka beralih kawasan, aksi yang sama dipertontonkan kepada aku iaitu rakannya mengambil gambar dengan seorang rakan lagi bergaya seakan-akan sedang menyapu sampah.

Kemudian, mereka pun beredar ke sebuah bilik yang aku syak, bilik rehat pekerja pembersihan tersebut. Aku jadi hairan dan terkejut. Sampah masih ada dan terbiar tetapi mereka seakan-akan sudah siap bekerja. Bukan hendak memfitnah atau bersangka buruk, namun perkara seperti ini pasti menghairankan kita.

Nampaknya, moral segelintir masyarakat sudah terjejas dari seatas-atas pimpinan sehingga ke bawah-bawahnya. Dunia semakin tidak berpihak kepada orang berilmu dan berintegriti. Manakala, yang jahil pula berada di tempat yang tidak sepatutnya. Lebih malang, kelompok jahil ini mempunyai peminat dan penyokong mereka sendiri.

Ini era depresif....
 
Google Analytics Alternative