Thursday, October 19, 2017

Tombiruo : Sindiran Kepada Konsesi Balak

Aku tidak pernah membaca novel Ramlee Awang Murshid tersebut, maka, ini adalah ulasan berdasarkan filem tersebut semata tanpa mengambilkira adaptasi tersebut. Permulaan 20 minit Tombiruo sangat menarik dan menepati standard sebuah filem antarabangsa. Dari kisah pengenalan Tombiruo sehinggalah adegan kejar-mengejar antara Tombiruo dan geng penyangak balak.

Kemudian, selepas itu, kita akan dipertontonkan dengan plot yang banyak tanda tanya dan filem yang bergerak laju tanpa sempat kita memproses apa konflik yang berlaku di dalam syarikat Anak Bumi tersebut. Seakan ada 'plot hole' tetapi kita perlu lebih kepada membuat tekaan apakah konflik yang berlaku antara mereka di dalam syarikat konsesi balak tersebut.

Tombiruo sewajarnya terus menjadi makhluk yang misteri dan kebal. Tetapi, setelah beberapa minit filem, kita boleh lihat bahawa keupayaan Tombiruo lebih kurang sama dengan manusia biasa terutama bab larian dan berlawan tangan kosong. Ini kerana pada permulaan cerita, visual yang kita lihat ketika Tombiruo mengelak peluru membuatkan kita menyangka bahawa Tombiruo mempunyai kuasa yang luar biasa namun, sebaliknya berlaku.

Pengembangan watak juga tidak berjalan dengan sempurna. Tetapi, kita akan faham bahawa filem ini seperti dikatakan kebanyakan orang adalah 'plot-driven'. Maka, semuanya harus pantas disajikan dalam durasi 2 jam itu. Cuma, jika penerbit dapat menambah beberapa babak 'self-moment' Tombiruo ketika kehilangan ayah angkatnya dan ketika Tombiruo mahu memulakan misi membalas dendamnya, aku yakin penonton akan lebih dekat dengan watak Tombiruo itu sendiri. Mungkin kita akan turut sama merasa kesedihan dan merasai api kemarahan Tombiruo setelah kehilangan ayah dan tempat tinggalnya diganggu manusia tamak.

Satu lagi plot yang mungkin mampu memberikan impak ialah perlunya diwujudkan lebih babak penentangan penduduk terhadap syarikat konsesi balak yang meratah hasil hutan Keningau yang indah dan masih terpelihara supaya penonton terkesan dengan kejahatan puak pembalak sekaligus boleh menguatkan lagi motif Tombiruo 'membunuh' mereka. Bagaimanapun, ini adaptasi novel dan aku faham. Cuma, pasti lebih seronok jika Tombiruo dapat dijadikan medium sindiran kepada pengusaha balak yang sesuka hati merampas tanah adat dan hasil bumi demi keuntungan mereka seperti yang berlaku di Sarawak, Kelantan dan Pahang.

Terdapat pengulangan visual dari aspek sinematografi apabila Gunung Kinabalu sentiasa dijadikan latar setiap kali berlaku pertukaran babak. Namun, gerak kerja kamera boleh dibanggakan dengan pergerakan 'single person operator' ketika berlawan kuncu-kuncu jahat adalah sesuatu yang baru dan segar bagi industri perfileman negara. Lain-lain semuanya ok dan naskhah ini masih sebuah filem yang baik dan menyeronokkan.

Rating : 7.5/10



No comments:

 
Google Analytics Alternative