Friday, December 31, 2010

Ups And Downs 2010: Part 1


Akhirnya tahun 2010 sudah hampir melabuhkan tirainya. Terlalu banyak yang aku lalui dan alami sepanjang tahun 2010 ni. Tidak keterlaluan dikatakan tahun inilah penuh dengan pelbagai peristiwa yang melanda aku. Terlalu banyak rencah yang berlaku di tahun 2010 berbanding tahun-tahun sebelumnya. Lagi beberapa hari akan menjelma pula tahun 2011 yang bermakna akan bertambahlah usia dan tumbesaran kita. Apakah amalan kita ikut sama bertambah? 

Tahun 2010 aku dimulai dengan latihan praktikal di sebuah kilang membuat acuan besi di Subang 2. Banyak pengalaman yang aku timba di sini sambil menyorot kehidupan-kehidupan warga-warga Bangladesh sebagai peneman. Di sini juga aku 'discover' beberapa benda yang baru bagi aku dan benda balik tabir dalam sekumpulan kawan-kawan. Ini aku simpan sendiri sajalah. Dengan bantuan elaun yang aku dapat masa praktikal ni juga aku berpeluang membeli sebuah set komputer baru. Banyak halangan yang aku tempuh untuk mendapatkan tempat buat praktikal, rezekiNya yang menentukan aku di tempat itu. Ini semua kerja Tuhan. Syukur. 

Dalam bulan Januari juga, sebaik aku menggunapakai komputer tersebut, aku ditakdirkan bertemu seseorang yang telah terpisah lama. Ok, yang ni pun aku simpan sendiri sajalah. Jadi, sementelahan aku berpraktikal yang sudah hampir sampai ke penghujung, aku dilanda musibah. Akibat dari pendedahan baldi berisi air, laman rumah yang kotor dan virus-virus sekeliling, aku ditimpa demam denggi. Lihat, dalam masa yang singkat, Allah mengurniakan kita rezeki dan dalam sekelip mata juga Dia boleh memberikan kesakitan. Itu terpulang bagaimana hambaNya bersyukur kepadaNya kerana kesakitan itu juga salah satu daripada nikmat yang diturunkan agar kita tidak leka dan lalai. Setelah berada selama 4 hari di PPUKM, alhamdulillah, aku kembali pulih dan boleh menyambung praktikal yang tinggal lagi seminggu. Layanan baik mereka di PPUKM tidak akan mampu aku lupakan. Oleh itu, hargailah kesihatan kerana itulah nikmat yang tidak terperi. 

Setamatnya aku berpraktikal, aku mempunyai cuti yang panjang untuk aku habiskan. Namun, aku tak mahu sia-siakan dengan kerja-kerja tak berfaedah seperti yang pernah aku buat pada sem-sem sebelum ni. Lantas, aku bertekad dalam diri untuk mencari kerja sekitar Shah Alam. Kerja kilang. Baru mekanikal sikit. Apa barang kerja McD dan KFC. Tak mekanikal langsung. Tanpa dipendekkan cerita, aku kerja di kilang air-cond terkemuka dalam negara. Kerja dalam 2 bulan lebih, gaji pun sedap jugakla walaupun kerja dia tobat ko taknak kerja lagi.

Setelah berkira-kira tanpa mengambil subjek kira-kira, aku pun berkira-kira mahu mengangkat sebiji motosikal untuk mempermudahkan urusan pembelajaran aku dan juga untuk aku bersiar-siar di petang nan indah. Bukan mudah untuk mengangkat sebiji motosikal apatah lagi beratnya lagi berat daripada berat badan aku, jadi, aku membelinya sajalah. Aku membelinya dengan harga yang cukup cantik daripada kawan serumah yang memang nak tolak motor dia tuh. Setelah beberapa kali kantoi dengan roadblock polis, aku pun memasang impian untuk mengambil lesen motor. Sampaikan nak pegi training motor pun kantoi dengan polis. Nasib baik status sebagai pelajar menyelamatkan aku. Oh ya, dan muka 'nerd' aku. 


Bersambung....(Panjang-panjang buat apa, bikin bosan je)

Wednesday, December 29, 2010

Tanah Tumpahnya Peluhku

Sape tak pegi stadium hari tu memang tak true...


 Bukit Jalil,here we come!!




 Indo territory



 Indo melintasi Harimau Malayas



 Kami serumpunan!




 Seat terbaek dekat dengan pitch tapi dah full house!



 Mas-mas dan bibik-bibik di seberang




 Garuda fans yang berani datang Bukit Jalil



 Seat sebenar. Agak jauh tapi still boleh nampak. Jadi le tu yob!



 Game start! Ultras tak henti-henti menyanyi!


 I love flare!


 There is another flare too!



 Oh, and there too!



 Malaysia start scoring!



 3-0. Enuff said



 Let's go home and sing out loud!!



 Thanks for this greatest moment Bukit Jalil!!



Sunday, December 26, 2010

Tanah Tumpahnya Darahku

Lupakan Rock The World. Lupakan awek Pavilion pilih KLCC dowh. Lupakan 'Saya Gay Saya Ok'(buat sementara). Ayuh kita berparade ke Bukit Jalil sambil membunyikan semboyan, memalu gendang dan menyanyi 'Tanah Tumpahnya Darahku'. Sama-sama menyokong pasukan nasional menentang musuh yang makin lama makin bising mulutnya memaki negara. 







Tuesday, December 14, 2010

Jalan Cerita Manusia

Ingin saja aku berputus asa atas tiap-tiap duka ini.

Ingin saja aku ulang kembali masa agar boleh diperbetul kegagalan.

Ingin saja aku teriakkan seribu kekecewaan di jiwa supaya lepas semuanya.

Ingin saja ku hembuskan api keresahan itu agar ia padam.


Tapi, aku tahu...

Aku tidak mampu.

Kerana aku manusia....



Manusia adalah pengisi jalan cerita kehidupan. Buruk, cantik atau indah bagaimana sekalipun jalan cerita itu, harus dilalui. Tidak lagi boleh berpatah balik. Terang atau gelap cahayanya harus diredahi.

Manusia.

Yang tinggal hanyalah jalan cerita di hadapan. Yang masih belum terisi. Yang masih belum dilengkapi. Untuk kau lalui wahai insan bergelar manusia. 

Di hadapan menanti dengan penuh pengharapan. Agar kita manusia jadikan teladan cerita semalam. Agar kita perbaiki untuk hari mendatang.


Jalan itu penuh berliku

Monday, December 06, 2010

Ou Operator, The Line Is Dead


Sudah hampir seminggu aku bekerja sebagai operator pengeluaran di kilang Panasonic. Kini, kerja aku tetap di bahagian pembungkusan aircond grille assembly line. Pekerjaannya bungkus cover plastik aircond tu dan masukkan dalam kotak yang disediakan. Dengar macam mudah tapi realitinya ia memerlukan kepantasan membungkus barang-barang tersebut dan dalam masa yang sama perlu menyusun kotak-kotak tersebut untuk dihantar ke bahagian lain menggunakan troli. Kerja menolak troli ni dilakukan oleh sorang budak dari Sabah.

Bercerita mengenai suasana kerja pula, memang setiap hari pulang kerja baju pasti akan dibasahi peluh. Masakan tidak, kalau bekerja dalam kadar kepantasan sebegitu ditambah dengan suhu yang agak panas. Kipas ada tapi di tempat kerja aku, angin kipasnya tak sampai. Jadi, mahu tak mahu, aku terima je. Tak boleh nak buat apa. Masa break sajalah masa untuk aku menyejukkan badan.


Aircond Grille - Fresh from the oven!



Perihal kawan-kawan pulak. 3 orang dah tarik diri, tinggal sorang je member yang survive. Yang bertiga tu memang tak mampu nak menahan bebanan kerja disebabkan mereka berada di line yang pekerjaannya mungkin berat barangkali. Apa boleh buat. Kerja aku pun boleh menyebabkan mental jadi gila kalau kerja lama-lama. Tapi, terpaksalah aku tahan sampai hujung bulan ni demi sesuap nasi. Kehkehkeh....


Kotak untuk membungkus barang


Menjadi operator tidaklah sesusah mana. Juga taklah sesenang mana. Bergantung pada nasib. Kalau dapat kerja senang, kira beruntunglah. Kalau dapat kerja maha berat, dah boleh cabut dah. Ada yang mampu bertahan bertahun lamanya menjadi operator. Dengan bekerja 12 jam sehari, cuma tinggal 12 jam saja lagi untuk merehatkan badan yang biasanya akan dihabiskan dengan tidur. Dengan waktu kerja 7 hari seminggu, apa agaknya yang boleh kita manfaatkan dalam kehidupan? Apa yang dikejar? Apa yang diisi? Tidaklah salah menjadi operator. Cuma ia tidak sesuai untuk pekerjaan jangka panjang kerana kehidupan perlu juga diisi dengan perkara lain selain daripada kerja. Atau lebih tepat, kehidupan yang dianugerahkan ini perlu dinikmati sebaiknya sebab semuanya akan binasa juga.


Semua itu terpulang. Bagi aku, aku bersyukur diberi peluang bagaimana rasanya menjadi pekerja bawahan demi secebis pengalaman hari kemudian. Jika tiada operator, maka production tak akan berjalan walau ada sebanyak mana pun orang yang seronok bekerja di dalam ofis berpendingin hawa. Itulah rantaian kehidupan. Itu memerlukan ini untuk meneruskan kesinambungan. Ini juga memerlukan itu untuk terus berjalan. Kehidupan adalah perlu saling melengkapi.

Friday, November 26, 2010

Jumaat Yang Keliru

Jumaat

Hari ni gua pun sampai di kilang Panasonic Compressor (apsal guna gua plak ni?). Aku sampai situ dengan hajat untuk menyambung kembali tugas asal di kilang tersebut. Belum sempat aku matikan enjin, datang supervisor India aku menyuruh pergi ke kilang air-cond macam semalam. Pulak dah. Katanya kerja kat kilang compressor tu dah penuh. Aku macam nak kena transfer ke sana je. Selepas bincang-bincang sket, kami pun gerak ke kilang semalam. Aku rasa ada baiknya aku transfer terus ke sana memandangkan kami dibayar gaji hari. Kalau di kilang compressor, gaji bulanan. 


Sampai kilang lama, macam biasa, call supervisor in-charge kami dan lepas tu tunggu di opis. Best jugak sebab masuk keje pukul 9 lebih. Orang lain punyalah masuk pukul 7.45. Sembang-sembang pung pang pung pang, kami pun ditugaskan macam semalam. Aku pun buat benda macam semalam. Apa yang aku buat? Ah, buat ape nak tau? Ha? Nak tau jugak? Baiklah. Begini:

1. Aku menunggu di sebelah brader potong body part air-cond.
2. Mesin injection molding mula menurunkan sampel. Brader sebelah sambut. Bukan sambut ape pun. Kutip atas meja kerja je.
3. Brader tadi kasi buang gerigi-gerigi halus kat bahagian sudut guna pisau.
4. Dah siap keje dia, dia pass kat aku.
5. Aku buang sisa-sisa plastik dia potong tadi. Sambil tu check ada defect ke tidak. Ada tompok ke tidak.
6. Dah siap, letak atas troli sampai 12 biji semuanya baru tolak ke line yang guna dakwat buat tulisan atas air-cond tuh.
7. Agak-agak kalau brader tadi nak buang air ke, aku ganti dia. Itu jela.

Tu serba sedikit kerja aku. Boleh kata, tak berat sangat kerja dia, cuma nak kena tahan berdiri 12 jam je. Balik rumah memang sakit-sakit la kaki. Nak buat lagu mana no.. Apa yang buat aku keliru ni adalah, supervisor kami di kilang air-cond ni macam memujuk kami bekerja bawah dia. Macam nak tarik kitorang walaupun satu kompeni kontrak. Yang best, tawaran gaji hari dia tuh. Jadi, dia suruh datang situ je terus. Tak payah datang kilang compressor tu dah. Ni yang aku pening ni. Apa plak nanti kata supervisor aku kat sana tuh. 

Lantak pi dialah. Aku kerja berdasarkan tawaran yang baik dan corak kerja yang senang. So, aku rasa akan stay di kilang air-cond ni sampai habis. Jadi, adakah Dr. Rozmey sudah mencapai RM40 juta??

Khamis Mendapat Gaji

Khamis

Aku sampai kilang pukul 7.40 pagi. Masuk kerja 7.45. Itupun supervisor bangsa India aku komplen lambat. Bagi makan kasut saiz 7 taula. Setelah tu, kitorang telah direncanakan untuk dihantar ke kilang Panasonic Air-Cond yakni kilang lama tempat aku keje dulu. Aduh, biar benar. Aku segan nak jumpa orang-orang lama kat situ. 

Disebabkan di kilang compressor ni, kuota pekerja dah penuh, kami tetap perlu ke kilang air-cond tu. Di bawah sub-kontrak, memang macam nilah gayanya. Dicampak ke mana-mana bahagian yang memerlukan pekerja dan ada kekosongan. Sampai di kilang lama aku, aku ternampak kakak yang ambil aku bekerja dulu. Aku sembunyi-sembunyi. Bukan apa, aku taknak nanti dia tanya, kenapa tak kerja bawah dia. Tergagap nanti aku nak jawab. Dalam lebih kurang 10 minit, kami disambut supervisor in-charge kilang air-cond ni. Kami dibawa ke bilik office yang berpendingin hawa. Agak lama di situ untuk menyelesaikan urusan-urusan pendaftaran. Kami dimaklumkan akan mendapat gaji kami pada hari itu disebabkan kami berbeza kilang walaupun di bawah kontrak yang sama. Aku senyum nipis. 


Jadi, kami pun bermula pada pukul 9.30 pagi. Dengan adanya penerangan ringkas dari leader di situ mengenai operasi kerja dan peraturan-peraturan kilang, barulah aku rasa dihargai. Sebelum ni, main campak je kat department tanpa ada briefing. Tugas aku pada hari itu adalah membantu abang yang jaga machine buat body air-cond. Mesin ni nama injection moulding. Dalam satu minit, dia boleh buat lebih kurang 3 body part air-cond. Jadi, akulah yang membantu dia menghantar body-part yang dia buat finishing ke bahagian lain. Nampak mudah. Tapi dia punya lenguh berdiri..fuhh. Kalau nak compare dengan semalam, aku lagi rela lenguh berdiri dari sakit pinggang macam semalam. 

Beberapa jam sebelum nak habis kerja, leader berbangsa Melayu aku yang bagi briefing mula-mula tadi datang. Dia datang bagi duit gaji pada hari tersebut. Ini Melayu baru betul punya. Takdak tipu-tipu macam sebelum ni aku kena. So, aku berpuas hati pada hari ni, selain environment yang supportive, aku juga sempat jumpa kawan-kawan lama di kilang tersebut untuk bertanya khabar. 

Yang penting, dapat gaji hari ni.

Rabu Hari Sakit Pinggang

Rabu


Aku masih bersemangat untuk meneruskan kerja pada hari kedua ini walaupun kecewa di hari pertama. Entah kenapa. Aku macam berharap dapat ditugaskan ke bahagian lain. 

Telahan aku memang benar. Aku kembali bekerja di mecha assembly seperti semalam. Sama seperti semalam, kerja aku memasang skru sambil yang mengetatkan skru adalah seorang budak muda dari Sabah. Sepanjang hari aku bekerja di situ. Tugas memasang skru memerlukan aku berdiri dengan menunduk sedikit untuk meletakkan skru di lubang bearing. Hasilnya, jika dilakukan selama lebih kurang 12 jam memang menyakitkan. Malam tu, habis pinggang aku sakit. Nasib baik ada sebiji Panadol Extend tinggal. Kurang sikit rasa.


Semalam , kerjanya tak banyak. Hari ni kerja non-stop.

Thursday, November 25, 2010

Selasa Mendapat Kerja Baru

Selasa

Pukul 7 pagi kami sampai di tempat kerja baru. Suasana baru. Persekitaran baru. Nama masih sama. Panasonic. Aku rasa tak sedap hati. Entah kenapa. Sampai je, terus call brader Melayu semalam. Tunggu punya tunggu depan gate pakgad, dia pun call. Dia suruh kami call supervisor dia berbangsa India. Lepas call, kami diminta tunggu. Tunggu punya tunggu, dia sampai. Nampak muda supervisor India ni. Lepas register kami, brader Melayu yang kasi kerja tu sampai. Lepas tu sembang-sembang ngan dia, dia cakap kami dibayar bulan. Hampeh, bikin panas je mamat ni. Sebelum ni janji gaji hari. Hari ni, kena tipu plak ngan bangsa sendiri. Takpe..takpe. Aku sabar je.

Dengan niat merealisasikan Wawasan 2020 di bawah fasal 19 daripada 20 fasal, iaitu membina masyarakat yang berdaya saing dan progresif, kami tetap sedia bekerja. Kalau ikut hati, memang nak balik je dengar dapat gaji bulanan ni. Dah setel urusan uniform apa semua, kami dibawa ke tempat kerja. Di bawah department mecha assembly, aku dan sorang member ditugaskan di situ. Tanpa penerangan apa semua, aku terus diminta berada di assembly line. Kerja aku memasang skru. Bukan mengetatkan skru di line, tapi aku meletakkan skru di bearing yang tersedia. So, itulah kerja aku. Yang mengetatkan skru menggunakan pemutar dari gas angin adalah sorang kakak berbangsa India. Jadi, aku supplykan benda kerja kat dia sambil dia sibuk di line itu mengetatkan skru. Paham ye adik-adik?

Dalam lebih kurang 2-3 jam di situ, sorang kapten panggil aku suruh kerja tingkat bawah. Mana pulak dia nak campak aku nih. Jadi, di tingkat bawah aku ditugaskan memasukkan plug minyak dan blade ke dalam shaft untuk air-cond. Kilang aku ni buat compressor untuk air-cond. Kilang aku dulu pasang air-cond dan buat body dia. Maka, itulah tugasan aku sepanjang hari sampailah habis kerja pukul 8.20 malam sambil ditemani Uncle Rajan. Apa yang menyedihkan, aku terpaksa solat di ruang power supply yang sempit tu. Muat-muat satu sejadah je. Ditambah row depan jadi satu baris, maka 2 sejadah saja boleh muat untuk ruang sempit tu. Sedih betul. Bukan takde surau besar, tapi agak jauh dari deparment ni. Nak taknak terpaksalah solat juga di situ. 

Aku rasa macam nak balik kilang lama. Malas pulak nak datang besok.

Hari Isnin Mencari Kerja

Isnin

Aku start cari keje dengan beberapa kawan aku. Member aku bagi nombor telefon kilang lama Panasonic dia. Ah, akibat bosan asyik keje dengan Panasonic je, aku mengignorekan suggestion dia. Apa barang asyik Panasonic je. Lalu, aku pun meronda dengan member-member aku yang lain. Target pertama pergi kilang-kilang area seksyen 16. Member suggest situ. Round-round lebih kurang 20-30 minit tengok semua kilang kecik-kecik aje. Bukan nak memilih tapi kami singgah 2 jenis kilang di situ style yang kena operate machine. Lebih kurang zaman aku praktikal je kena main-main besi nih. Mana tahan. Gaji ciput. Round lagi jumpa satu kilang. Bangga gak ada satu kilang nama Azman Hamzah Plastik celah-celah kawasan industri situ. Besar pun boleh tahan gak. Try tanya pakgad situ, suruh bawak resume dan sijil-sijil. Alamak, kitorang jenis main terjah je. Mana nak bawak sijil-sijil ni semua. Setakat operator nak pakai sijil ape barang.

Seksyen 16 failed. Pergi Seksyen 23. Banyak kilang situ. Antaranya Gardenia, Nitto Denko, Panasonic, Maple Tree, Jotun dan sebagainya. Tapi dalam banyak nama aku sebut ni, satu je yang kitorang singgah tanya. Iaitu Nitto Denko, kilang elektronik. Dia punya besar pun ada style. Mengikut pemahaman aku, kilang besar, gaji pun besar. Nak mengulor pun senang. Malangnya, seperti sebelum ni, ada sesi interview yang perlu dilalui. Siap kene dressing dan bawak resume dan sijil-sijilan. Nak mintak operator pun nak pakai jadah ni semua? Ape barang Nitto Denko woi!

Seksyen 23 failed. Pergi Seksyen 21. Nampak kilang lama aku Panasonic Air-Cond. Teringat member-member lama kat situ. Kami meneruskan perjalanan ke Panasonic Compressor. Saje usha-usha. Ni la kilang yang kawan aku suggestkan nombor telefon dia. Besar boleh tahan tapi ape barang asyik keje ngan Panasonic. Nampak ada kilang Silver Bird yang bikin roti High 5 tu. Tapi sebab takde kepakaran menebar roti, kami batalkan niat mintak keje situ. Kami try tanya DHL Express. Tapi India jaga situ cakap takde nak pakai orang. Nak pakai orang baru diorang bentang banner. Kedekut betul DHL nih. Kami ke JVC Manufacturing. Aku pegi tanya sorang mak gad di kaunter guard. Dia cakap operator diorang amek perempuan je. Mak ai. Ape barang amek operator laki kan. Hampa dan kecewa, kawan aku beli air sarsi  50 sen dalam mesin minuman. Cukuplah kongsi 4 orang dengan cawan kecik tu buat melepas dahaga di terik matahari tengahari. Kami ke kilang sebelah JVC. Tasco namanya yakni kilang penyimpanan barang aku rasa. Pakgad bangla suruh isi borang. Mintak kami keje permanent 6 bulan. Alahai, kami nak keje sebulan je isi masa terluang. 

Tiba-tiba, sorang brader client dorang perli, "Keje jela dik, kalau tak best berhenti. Time skang susah nak cari keje". Terdiam kami lalu tersengih sendirian. Kami ambil borang dengan niat taknak isi. Saje taknak kecikkan hati bangla tadi. Kilang terakhir untuk hari tersebut adalah Panasonic LCD TV. Brader jaga kaunter pun suruh datang interview dan bawak sijil serta gambar berukuran pasport. Adoyai, ini kerja operator saja maa. Tapi tangga gaji dia memang masyuk. Masyuk kalau compare kilang-kilang lainlah. Kerja kosong pun banyak dia cakap. Jadi, dia suruh kami datang petang bawak semua yang diminta. Kami bersetuju lalu pergi balik rumah. 


Sampai rumah dah mencekik apa semua, memanglah sedap nak tido. Tapi tiba-tiba aku rasa terdetik nak call nombor telepon yang kawan aku suggestkan tuh. Ala, yang Panasonic Compressor tuh. Call je, ada satu brader Melayu angkat. Pung pang pung pang ape semua, kitorang tertarik dengan tawaran dibayar gaji hari. Maknanya, setiap hari dapat gaji ikut masa kerja. Memang sedap. Agak-agak tak best, blah je kan. Last-last, kami semua keje kat Panasonic yang aku bencikan dari awal tadi. Adui..balik-balik kilang nama Panasonic kan? Penat-penat 1 hari ke sana, ke sini, dengan hanya 1 panggilan je dah dapat keje. Buang karan je.

Sunday, November 21, 2010

Man In Anger

ARSENAL 3 SPURS 2





Not enough picture? This video tells you.



Such a classic moment for the future.

Friday, November 12, 2010

Bagaimana Rasanya Membeli Sayur Jam 3 Pagi?


Pernah tengok Mak Limah Janda bimbit beg isi sayur jam 3 pagi? Atau Pak Tam beli bawang besar dengan halia pukul 4 pagi?  Kalau kome kata pernah, memang teman ni lampi betul la. Tapi, serius ini perkara pelik.


 Pak Aji, mintak letak gambo kedai kat sini ye...


24 JAMM!!!!

Ya, kedai sayur dibuka 24 jam! Suatu penemuan baru di sebuah tempat di Cheras. 

Sekian, saya melaporkan.

Wednesday, November 10, 2010

Komputer



 Aku masih ingat lagi sekitar tahun 1998 apabila ayah mula membeli komputer baru ketika menetap di Cheras. Ketika itu, hati gembira bukan kepalang apabila diimbas semula memori itu kerana itulah komputer pertama yang dibeli keluargaku. Aku kurang ingat berapa harganya ketika itu tapi yang pastinya ia mencecah ribuan ringgit.

Komputer di zaman itu bukanlah seperti sekarang yang boleh dibeli bercerai-berai. Maksudnya, kita boleh memilih spesifikasi yang kita mahukanlah. Tahun 98 tu, komputer didatangkan dengan satu set jenama. Dan jenama yang dibeli ayahku adalah Acer. Ketika itu, Acer adalah nama besar dalam industri perkomputeran. Susah untuk diingati jenama lain yang ada ketika itu. Set Acer didatangkan semua sekali dalam bentuk CPU, monitor, keyboard, mouse dan speaker. 

Maka, kami adik beradik bukan main seronok dengan teknologi baru ini kerana ketika itu bukan mudah untuk membeli komputer. Keluargaku melalui pelbagai pinjaman demi untuk mendapatkan 1 set komputer. Banyak prosedur dan karenah birokrasi yang ditempuhi sepanjang proses mendapatkan pinjaman tersebut. Akhirnya, umiku yang bergelar guru berjaya juga mendapatkan pinjaman melalui koperasi guru. Maka, pinjaman ini akan dibayar balik dengan cara pemotongan gaji. Hanya untuk memiliki sebuah komputer, pengorbanan ini dilakukan.

Ketika itu, dapat mengetik mouse dan menaip di papan keyboard adalah suatu saat yang paling indah bagi budak bersekolah rendah seperti aku. Aku menggunakan Word, bermain game atau apa saja eksperimentasi yang boleh dilakukan, aku lakukan pada teknologi ciptaan manusia berilhamkan daripadaNya. Walau asalnya, komputer tersebut dibeli untuk kegunaan umi ku membuat kerja berkaitan sekolahnya tapi kami adik-beradik pula yang berlebih-lebih.


Beginilah lebih kurang rupa Acer (Kredit to odyshape)


Maka, masuk era millenium menandakan permulaan satu lagi teknologi baru yang menerjah Malaysia. Ketika itu, kerajaan giat menjalankan kempen IT iaitu internet. Akulah orang yang bertanggungjawab mendesak dan memujuk ayah supaya memasang internet di rumah. "Dengan internet, kita boleh cari apa saja maklumat yah..". Ayat ini saja yang aku ulang-ulang setiap kali baik di dalam rumah, kereta dan di mana saja. Bertitik tolak dari itu, komputer aku dipasangkan internet sekitar tahun 2002-2003. Aku lupa tahun yang sebenarnya. 

Jadi, dengan penambahan internet melengkapkan lagi fungsi sebuah komputer. Jika sebelum ini, komputer asyik dibantai game bola SEGA dan Fifa, jadi, kali ni internet menjadi medium baru buat aku. Apa yang hebat tentang internet ketika itu? Facebook takde. Twitter lagilah. Blog pun mana wujud lagi. YM pun tak wujud lagi atau terma yang bertepatan adalah kurang popular ketika itu. Daya penarik pada internet ketika itu adalah chatting. Aku mula layan main chatting di laman sesawang Cikgu.net. Aku tak tahu ada lagi ke tak entah laman web ni. Masa tu, umi akulah yang rajin membuka portal tersebut dek kerana profesionnya sebagai guru. Aku masa tu sekadar cuba-cuba berjinak untuk bersembang melalui laman chatnya dengan orang lain yang ramai di kalangannya adalah guru. Dari situ, aku belajar bagaimana berkomunikasi melalui alam maya dan mewujudkan satu pengalaman baru bersembang dengan orang yang lebih tua dari aku.


As time goes by, aku bersahabat dengan orang-orang yang lebih tua ni dan wujud satu ikatan erat. Yahoo Messenger pula menjadi pelantar baru untuk berchatting kerana kepelbagaian dan kemudahan yang lebih baik untuk berchatting berbanding di Cikgu.net. Selain itu, wujud MIRC yang mana lebih mendapat sambutan meluas kerana terdapat pelbagai 'room' di dalamnya untuk dipilih. Aku kurang berminat untuk berchatting di sana kerana ia kurang mesra pengguna kerana banyak 'kod-kod' yang perlu ditulis untuk memasukinya. Cuma aku menjadikannya untuk mencari dan mendownload lagu kerana di sinilah lagu-lagu Melayu mudah didapati. 

Masa terus berlalu, aku terus menjadikan chatting sebagai hobi di waktu lapang sehingga kadang-kadang masa belajar terabai. Masa makan terlepas. Aku jadi 'kelawar' dengan berjaga malam semata-mata untuk berchatting. Kegiatan ini aku teruskan sehinggalah aku tamat tingkatan 5. Selepas habis PKN, aku menjadi lebih gila berchatting kerana selama 2 bulan menunggu masa result untuk keluar, aku habiskan bersembang di alam maya. Di pelantar YM, bermacam-macam orang telah aku jumpa(ehem-ehem) dan bermacam-macam perangai aku temui. At the end, setiap orang yang aku kenali dan bersahabat di YM, tidak pernah aku jumpa. Aku sekadar berseronok untuk bersembang. Sepanjang tempoh itu, banyak pengalaman-pengalaman manusia yang aku dengar dan yang mana aku boleh bantu, aku berikan nasihat. Dengan cara ini, secara tak langsung telah membina satu kemahiran dalam diri aku yang aku tak boleh nak huraikan di sini.

Setelah memasuki universiti, aku telah hilang minat untuk berchatting lagi. Aku hanya mahu fokus pada pelajaran. Hanya sesekali saja, aku meluangkan masa di YM yang pernah menjadi tempat aku 'tidur',makan dan minum sambil berchatting. Manakala, ada rakan-rakan aku yang baru-baru ini mula nak berjinak dengan YM sambil melahirkan rasa bangga dapat mengurat si gadis di alam maya. Aku hanya mampu senyum kerana mereka baru saja merasai nikmat tersebut jika nak dibandingkan dengan aku. Kahkahkah...Statement berbaur riak bakal mengundang kehancuran. Haha. 

Kini, komputer set Acer tu sudah tiada lagi di rumah setelah ditolak kepada orang berminat. Kenangan aku bersama komputer itu juga pergi sekali. Yang tinggal hanya beberapa keping gambar saja ketika aku mula-mula menggunakan komputer itu. Itupun perlu discan dahulu untuk dimuat naik ke dalam blog ni. Ada masa akan aku siarkan. Adakah di YM aku kan bertemu jodoh?Jeng..jeng..jeng..

Tuesday, November 09, 2010

Teh O





Teh yang aku bancuh dalam jag besar tu aku letakkan di meja depan. Agak manis rasanya kerana si Jamil (bukan nama sebenar) rakanku yang menyuruh menambah gula. Apa nak kena kencing manis ke dia ni? Maka, satu persatu rakanku meminum air teh itu walaupun rasanya agak manis. "Sedap ke air teh aku ni?', kata aku di dalam hati. 

 Lalu si Jamil dengan tanpa rasa malu meminta aku membuat satu jag lagi air teh. Disuruhnya aku guna saja uncang teh tersebut. Cuma tambah air panas dan gula saja. Aku pun bangun menyediakan lagi satu jag air teh. Kalau tak laku macam ni, jangan haraplah aku nak buat. Aha.

Setelah siap air teh tersebut, aku letakkannya di atas meja ala Jepun di ruang tamu. Memang kalau guna uncang teh yang sama, kaler air teh akan turun sikit tapi rasanya tetap sama macam guna uncang baru. Melihat kaler dia lain sikit, si Razak (bukan nama sebenar) menegur aku. 

" Kenapa kaler die lain?"

" Aku guna uncang tadi. Tu yang lain tu", jawab aku tenang.

"Ala, ko ni kedekutlah. Gunalah uncang baru. Kedekut sangat!", si Razak merungut.

" Rasa dia sama je. Tak percaya, rasalah...", aku bidas balik.


Malam sebelum tu...

" Eh Razak, nape ko tak makan hotdog yang ko goreng ni kat depan?" tanya si Jamil. 

Aku yang ada di dapur di situ ketika itu terdengar perbualan Razak dan Jamil. Ketika itu, ruang tamu memang penuh dengan budak-budak melepak tengok tv. Kalau ade sesape open makanan, confirm kena serbu.

" Alah, malaslah. Nanti budak-budak depan tu nak pau aku.", jawab Razak selamba.


Aku senyum je...

Sunday, November 07, 2010

State Space

Sudah lama aku tidak menulis di sini kerana sibuk dengan peperiksaan akhir dan menyiapkan projek tahun akhir. Minggu depan pula ada pembentangan di depan 3 panel penilai untuk projek itu. 

Ketika aku membukak blog aku ni, aku lihat lagi 2 posting(tak termasuk yang ini) saja untuk menyamai jumlah posting tahun lepas. Tahun ni mungkin aku banyak berposting kerana salah satu faktornya aku sudah mempunyai komputer sendiri. Cuma kadangkala terbantut untuk berposting lebih dek memikirkan assignment-assignment yang berlambak. Pointnya di sini adalah, ada improvement jumlah posting aku kali ni berbanding tahun-tahun sudah. 

Jika imbas kembali sewaktu aku mula berblog, tidak ramai lagi yang menggunakan teknologi ini. Semuanya lebih gemar berMyspace dan berFriendster. Aku pula waktu itu sekadar menjadikan blog aku sebagai diari harian untuk melepaskan tekanan dan melontar pandangan. Juga kadang-kadang sebagai medium pemberontakan. Hari ini, banyak blog baru yang tumbuh bak cendawan, maka ini adalah satu persaingan sihat. Haha. Landskap internet sudah banyak berubah hari ini. Diharapkan kesemua anugerah teknologi ini menjadi suatu manfaat kepada umat manusia dan bukannya dijadikan senjata untuk menjatuhkan. 

Entah apa aku merepek kali ni aku pun taktahu. Di bawah, aku sertakan satu klip video yang agak kreatif pembikinannya. 

Monday, October 25, 2010

Meeting

Berapa hari sudah, teman tengok satu meeting kat tv kecik rumah teman tuh. Tiap-tiap tahun diorang ni rajin bermeeting. Tak miss punya. Tiap-tiap tahun jugaklah meeting 'deme' (bak kata orang peghok) tu kluar tv. Tiap-tiap tahun jugaklah ade kolum khas dalam paper cerita pasal meeting deme. Tiap-tiap pun deme nyanyi lagu deme tu sampai teman dah naik hafal liriknya.

Tapi,

Tiap-tiap tahun mesti deme cerita pasal bangsa Melayu. Teman pun pikior....

Ape deme ni tak penat ke bercerita benda sama? Teman yang mendengor dan melihat ni pun naik bosan...

Thursday, October 21, 2010

Dedicated

Saya mendedikasikan anugerah ini kepada insan-insan yang banyak memberi dorongan dan galakan untuk berjaya especially pada kedua parents saya. Many thanks!







Wednesday, October 20, 2010

Loserpool?

Ahad lalu, Liverpool tewas kepada jiran setempat, Everton. Sekarang ni, Liverpool berada di tangga ke 19 yakni dua dari bawah. Aku rasa, musim ni adalah antara permulaan buruk buat mereka sejak Premier League diperkenalkan. Dan, jika mereka terus kalah dan kalah, tidak mustahil mereka akan tersingkir ke Liga Coca-Cola musim depan.

Loser?


Apa agaknya rasa menjadi penyokong Liverpool sekarang? Menghuni tangga kedua dari bawah liga dan hanya bermain di Europa League. Mari kita selami.

1. Kurang nafsu menonton perlawanan bolasepak. Tidak kira Liverpool ataupun Piala Malaysia.

2. Melarikan diri apabila rakan-rakan bersembang pasal Liga Perdana Inggeris.
3. Cuba menjarakkan diri dengan keputusan perlawanan Liverpool apabila rakan membuka portal result EPL.(Takut dibahan jika kalah)

4. Tidak berminat membeli jersi Liverpool walaupun mendapat penaja baru yang tiada unsur arak.

Statistik jualan jersi ini di uptown jatuh menjunam meskipun bebas unsur-unsur arak

5. Tidak lagi berminat berkunjung ke kedai mamak waktu hujung minggu di mana waktu perlawanan EPL ditayangkan.
 Kedai mamak lengang meskipun ada perlawanan membabitkan Liverpool
6. Main game bola pun taknak.
PES 2012 tanpa Liverpool?
7. Emosi sentiasa dan mudah naik angin.

8. Tidak berjaga malam Rabu atau Khamis untuk menonton Champions League. Jika anda lihat peminat bola tidur pada malam-malam tersebut, maka mereka adalah penyokong Liverpool!


Don't hate me. I'm just the manager. Hate the Yanks!



 Kampung mari anyone?



All pictures are copyright reserved

Wednesday, October 13, 2010

Ibarat Serie A

Walaupun aku ni berdarah Perak, namun atas rasa kecintaan kepada kehangatan saingan bolasepak Piala Malaysia, aku pergi menonton Selangor lawan Kelantan malam tadi. Dengan membawa seorang penyokong Selangor atas motor, aku betul-betul dahagakan kemeriahan menonton perlawanan bolasepak di stadium seperti mana aku rasai sewaktu menonton pasukan Perak beraksi sekian lama dahulu. Itu antara sebab aku datang. Tambahan pula, perlawanan Selangor dan Kelantan sering menjanjikan aksi sengit dan babak panas di atas padang dan juga di luar padang.

 Kaitan Red Giant dan Red Devil

Tanpa berceloteh panjang, aksi panas betul-betul berlaku dengan dua layangan kad merah dikenakan masing-masing ke atas pasukan Selangor dan Kelantan. Sebaik saja layangan 2 kad tersebut, keadaan menjadi kecoh di seberang sana stadium dengan 'gap' antara kedua penyokong mula nampak longgar. Yang aku perasan, penyokong Selangor mula-mula menerjah ke dalam ruang pemisah itu. Tapi aku juga perasan yang penyokong Kelantan banyak melontar botol-botol minuman ke arah penyokong Selangor.Juga kelihatan kerusi-kerusi stadium berterbangan. Aku hanya mampu tersengih saja. Kerana apa aku tersengih? Kerana semua ni dapat aku saksikan depan mata sendiri. Tidak perlu bersusah payah ke Liga Seria A di Itali sana untuk melihat pergaduhan dan cetusan bunga api warna-warni. Sudah sedia ada di sini semuanya. Siap mercun meletup dekat pasukan perubatan lagi. Sayangnya, perlawanan berakhir dengan keputusan 0-0. Aku memang sakit hati kalau lawan result 0-0 nih.

Pagi ni bukak paper online, tengok ada seorang penyokong Red Warriors meninggal sebab sesak nafas. Aku percaya kalau langkah lebih ketat dapat diambil FAM, pastinya tak berlaku insiden-insiden seperti di Seria A semalam. Takizah kepada arwah.

Saturday, October 09, 2010

Mahasiswa Mapan Mengembeleng Negara


 Bukan universiti dia


Usai melalui kawasan perusahaan tadi, aku memarkir motosikal di kawasan letak motosikal fakulti. Setelah siap-siap kunci helmet, aku melangkah padat ke kelas sambil tangan kanan menggenggam tali beg galas dan tangan kiri pula menggenggam sebuah buku teks bertajuk 'Mechanics of Material' atau dalam bahasa ibunda, Mekanik Bahan. Sesampai di lif A( ada lif A, B, C dan D di situ), panel LED menunjukkan tingkat 10 iaitu tingkat di mana kelas aku berada. *Mungkin sistem lif di sini berbeza dengan lif tempat lain kerana kita perlu menaip tingkat yang diingini di panel dinding yang tertera nombor ibarat telefon bimbit susunannya. Selepas itu, skrin akan tertulis lif mana yang perlu dimasuki. Senang caranya tapi konsepnya agak menyusahkan. 

Sampai di kelas, aku melangkah masuk dengan tenang. Jam menunjukkan 8.20 pagi. Masih ada 10 minit sebelum kelas bermula. Untuk menjadi mahasiswa cemerlang, salah satu caranya adalah dengan sampai awal ke kelas. Bukan setelah pensyarah sudah mula, baru terhegeh-hegeh nak masuk dan mengganggu syarahan. Jadi, aku menyediakan alatulis dan meletakkannya di atas meja. Aku tekan-tekan meja. Meja tak stabil. Bermakna, ada salah satu kakinya 'cacat' atau terbantut sebab getah bawah hilang. Jadi, dalam keadaan meja yang tak stabil, memang tak sedap nak menulis. Apatah lagi kalau tengah memadam. Memang meja berbunyi sambil meja berlanggar-langgar dengan meja kawan sebelah. Memang tensi.

Solusinya, aku tarik sehelai kertas dari notepad beli kat Mydin semalam, aku lipat kecik-kecik dan lapik kat kaki meja yang 'cacat' tu. Tadaa..Meja jadi stabil dan hati jadi senang. Sementara menunggu pensyarah masuk, aku periksa kondisi alat-alat tulis. Dari pemadam bawak ke pen. Dari blenko bawak ke pensil mekanikal. Oh, aku picit-picit pensil mekanikal tu tak keluar batang grafitnya. Jadi, aku masukkan dakwat ke dalamnya melalui mulutnya. Bukan di bahagian kepala. Kebanyakan pelajar amat malas untuk membuka tudung kepala pensil mekanikal untuk memasukkan dakwat grafit. Solusi mudah ialah melalui muncungnya sahaja sambil tangan perlu menekan pemicit di kepalanya supaya dakwat grafit dapat dimasukkan. Mengikut pemerhatian, masih ada lagi mereka yang sanggup membuka tudung kepala pensil untuk memasukkan dakwat. Teknik ini pun aku belajar dari kawan sewaktu di darjah 3.

Setelah selesai sudah persiapan aku untuk memulakan pembelajaran, aku duduk dengan tenang. Sudah 8.35 pagi. Hamid, seorang wakil kelas untuk subjek Mekanik Bahan ini datang tercungap-cungap. Setelah mengambil nafas kira-kira 30 saat, Hamid memulakan bicara,

"Hari ni kelas cancel. Professor kena pegi Penang, ada conference!"

Suara Hamid perlahan tapi setiap isi kelas dapat mendengar butir-butirnya dengan jelas. Sudah kedengaran pelajar lain menjerit " Yesss!!". Ada yang senyap dan ada yang bersuara dalam hati. Macamlah aku dengar pulak kan. Dan aku?

Aku tidak tahu mahu gembira atau kecewa. Aku blur. Aku bukan saja sudah menyiapkan diri untuk menghadapi syarahan 2 jam hari ini, malah aku sudah pam tayar motor sebelum ke kelas tadi. Hari ini ada satu kelas saja yakni kelas yang baru Hamid kata dibatalkan tadi. 
 

 Aku berjalan longlai ke motor.. Segalanya perlahan. Aku terasa mahu pergi ke I-City malam ni....

Thursday, September 30, 2010

Perusahaan

Aku hirup udara pagi ini dalam-dalam. Cuaca hari ini sangat baik. Tanpa mempedulikan pemanasan global yang kian berlaku, aku hidupkan enjin motor dan memulakan perjalanan. Jiwa hari ini rasa bersemangat untuk ke kelas. Entah kenapa. Mungkin malam tadi mimpi yang indah-indah barangkali. Barangkalilah.

Perjalanan ke kampus mengambil masa lebih kurang 10 minit jika laju. Dan menjadi lebih 15 minit jika perlahan. Laju mana, perlahan mana ikut sukahati korang punya skala lah. Sampai di satu area ni, hidung terbau coklat. Bukan ada coklat mencurah-curah di ladang gandum, sebaliknya aku sedang melalui satu kawasan perusahaan membuat coklat yang dipanggil kilang Cadbury. Jadi, setiap kali aku pergi dan balik dari  kelas, hidung aku 'kenyang'  dengan bau-bauan dari kawasan ini. Sesudah disajikan dengan bauan coklat, hidung aku disajikan pula dengan bau-bauan yang digemari perokok yakni tembakau. Di sebelah kiri jalan terdapat perusahaan membuat rokok tembakau manakala di sebelah kanan perusahaan memasang kereta Toyota. Jadi, setiap hari aku akan melalui kawasan-kawasan perusahaan ini. Dan setiap kali itu jugalah bermacam-macam bau yang akan hinggap di hidung aku saban hari.


Bersambung....

Monday, September 27, 2010

Budu Basi

 


Eh, dekat komputer aku ni ada dekat 200GB movie-movie aku download tapi satu haram pun aku tak tengok lagi. Pergh, apa la nak jadi. Masa...masa...tak pernahnya cukup....

Thursday, September 09, 2010

Raya

Dalam beberapa jam lagi, aku akan berangkat ke kampung halaman tercinta-tempat-jatuh-lagi-dikenang-inikan-pula-tempat-bermain di Parit, Perak. Kampung ini banyak mencatat jutaan memori bagi aku dan di sinilah aku merasakan kehidupan yang betul-betul satu 'kehidupan'. Ah, tak banyak masa yang tinggal dah. Lain kali saja aku ceritakan.

Apapun, kali ni raya mungkin tak semeriah sebelum ini kerana atuk dan opah telah berangkat menunaikan umrah Ahad lepas dan semestinya akang menyambut Aidilfitri di sana. Takkan ada kedengaran suara opah memekik meminta santan untuk menyiapkan lemang atau suara atuk mengarah menambah api untuk membakar lemang. Takkan ada tahun ni semua itu. 

Aku dapat rasakan kebosanan raya kali ni.......


Selamat Hari Raya Aidilfitri. Gunakan Syawal ini sebaiknya dan jangan asyik mengadap tv je. Lainlah aku, takde benda nak buat. Kehkehkeh....


Thursday, September 02, 2010

Lagenda 17


Masa tu hujan rintik-rintik. Aku dan rakan lain terpaksa berteduh lama di Tesco. Ah, Tesco lagi. Entri sebelum ni pun Tesco jugak. Freemason betul blog nih. Takpelah, aku tumpang teduh kejap sambil-sambil shopping mata kat Tesco ni. Tunggu punya tunggu, jam dah nak pukul 6 petang. Dah beli barang ape semua, kitorang tak tahu nak decide buka puasa kat mana. Nak buka puasa kat rumah dah biasa. Jadi, hari itu nak melanggar kebiasaan sikit.

Sahabat aku yang merupakan seorang penyokong kuat pasukan Selangor mencadangkan satu tempat yang aku rasa tak familiar dan belum pernah aku pergi. Tempat baru katanya. Ya, aku tahu tu tempat baru sebab aku pernah baca di suratkhabar mengenai restoran yang baru dibuka kat area Shah Alam ni. Tanpa berfikir panjang, kitorang pun menyetat motor dan bergerak terus ke destinasi memandangkan jam pun dah nak pukul 6.30 petang. Kalau pegi bazar kat area stadium tu, konfem dapat bau je. Nak-nak hari Ahad macam ni. 


Kitorang pun sampai.....

Dan....


Audi depan kedai tu sape punya kalau tak brader ni



Nasi ayam Hainan yang sedap



Inilah tempatnya. Restoran Lagenda 17 milik lagenda Selangor dan Pahang Zainal Abidin Hassan. Daripada pencen tak tentu hala, lebih baik buat bisnes. Pada mulanya, aku agak tempat ni macam eksklusif dan harga macam boleh tahan mahal. Tapi lepas usha-usha sikit, set berbuka puasa dia baru RM10 je. Dalam set tu, ada nasi ayam Hainan, air sirap limau, bubur dan secedok aiskrim. Huii..Boleh tahan jugakla...Ingatkan tak cukup tapi lepas suapan terakhir aiskrim vanilla dia, alhamdulillah la. 


Header menu pun memang terma-terma dalam bola



Menu aku takde dalam ni



 Belakang menu siap ada sekilas pandang. Mana nak dapat restoran camni



 Dinding belah dalam ada keratan-keratan lagenda



 Jersi pun ada. Berpeluh lagi kot


Masa kitorang datang tu, Zainal pun ada jugak. Beliau siap salam lagi ngan kami ni. Dan tambah best, dia sendiri melayan pelanggan-pelanggan yang datang dengan mengangkat hidang dan sempat tanya, " Cukup tak kuih ni?" kat kitorang. Macam ni la buat aku respek. Walaupun aku takdela minat sangat dengan Zainal ni masa dia main kat Selangor dulu, tapi aku terharu dengan keramahan dia. Tak mustahil aku boleh datang lagi. 



Jersi-jersi lain




Kat atas dinding pun ade padang



Menu sebelum berbuka. Eh, ada ke menu sebelum berbuka?



 Mural gambar-gambar kenangan Zainal sewaktu zaman gemilang diabadikan di dinding restoran


No. 17 banyak signifikannya dengan beliau. Dia masa main kelab mana entah, Selangor sambar dia masa umur 17 tahun. Jersi yang dia dapat first masa main untuk Malaysia jugak adalah nombor 17. Masa Pahang lawan Singapura final Piala Malaysia dulu pun, Fandi Ahmad jersi bernombor 17 jugak. Dan macam-macam lagilah yang berkait dengan nombor 17 ni. Mana aku dapat info ni? Tak mainla gugel-gugel. Aku baca kat belakang menu dia. Hehe.


Mintak otograf bang. Ala, tak dengar pulak


Korang jangan lupa datang restoran dia ni kalau duduk area Shah Alam. Layanan best, harga boleh tahan, suasana bersih dan lebih penting kalau minat lagenda bernombor 17 ni, memang patut datang.


Nota bawah bawah - Agak-agak aku boleh claim tak kat abang Zainal bila buat promosi macam ni?
 
Google Analytics Alternative