Sunday, October 11, 2015

Di Atas Semua Kepayahan, Akan Terlahir Suatu Nikmat Abadi Di Penghujungnya


Sebenarnya terdapat kisah ketika aku hendak berhenti kerja di syarikat lama aku. Di mana Pengarah Eksekutif aku sedaya upaya ingin mengekalkan aku di dalam syarikat. Setelah aku bilang, lebih kurang 4 kali jugalah beliau memanggil aku supaya masuk ke biliknya untuk memujuk aku. Ketika bertemunya ini, beliau lebih banyak bercerita mengenai kesusahan hidup beliau yang dahulu bekerja sebagai kontraktor buat lebuhraya dan juga bekerja di pelantar minyak dalam industri minyak dan gas.

Terus-terang aku berasa seronok mendengar ceritanya. Aku dapat rasakan bahawa mungkin kepayahan hidup yang beliau tempuhi dahulu telah dapat memungkinkan beliau membuka sebuah firma konsultan sebagaimana hari ini. Pada dasarnya, cerita yang disampaikan kepada aku itu ibarat mahukan aku berfikir bahawa bekerja dengan syarikat kontraktor bukanlah tugas mudah dan tidak seindah yang aku bayangkan. Pada hemat beliau, aku pasti akan menarik balik keputusan aku untuk meletak jawatan sebagai jurutera mekanikal di firmanya. Sebaliknya, aku berasa lebih bersemangat kerana beliau berjaya pada hari ini kerana kesusahan pada masa lampau.

Jika beliau tidak mahu aku susah pada masa sekarang, nescaya aku akan berada di dalam zon selesa. Ah, mana mungkin aku berada di dalam zon selesa ketika ini sebagaimana pada hematnya. Banyak yang aku perlu buat dan hadapi sepanjang aku berada 4 tahun di firma tersebut. Semenjak pemergian Ketua Bahagian Mekanikal pada tahun lepas, aku jadi terkontang-kanting dan agak mendap kerana aku 'hilang kepala'. Tiada lagi tempat untuk aku buat rujukan dan bertanyakan soalan. Keadaan diburukkan lagi apabila bos-bos membuat keputusan untuk menghantar seorang senior Mekanikal ke tapak atau site. Alasan syarikat adalah untuk cut-cost. Ya, alasan yang seronok untuk didendangkan bagi menjimatkan perbelanjaan syarikat.

Lalu, tinggallah aku seorang terkontang-kanting menyudahkan kerja-kerja berkaitan mekanikal. Perginya ketua bahagian tidak berganti, di'buang' pula senior ke site. Adilkah ini untuk aku? Aku pernah bersuara kepada bos supaya mencarikan aku back-up untuk department Mekanikal disebabkan ketika itu sibuk dengan projek Mass Rapid Transit (MRT) di mana hampir saban hari pasti ada mesyuarat atau lawatan tapak. Pendek kata, aku hampir tidak boleh buat projek lain disebabkan client yang begitu mendesak walhal ketika itu aku handle hampir 13 projek seorang diri. Bos berjanji untuk mencarikan kemungkinan seorang budak fresh grad untuk membantuku tetapi setiap kali aku atau seorang lagi rakan staff aku daripada department Elektrikal bertanyakan tentang perlunya staff baru, alasan yang aku terima adalah...

"Susah sekarang nak cari budak baru. Banyak yang takde experience dan budak fresh grad pun takde apply. Company pun sekarang slow dalam dapat projek baru. Takkan tak boleh handle projek kot tanpa senior?", bos pandang aku. Aku senyum sahaja dan dia pun berlalu pergi.

Aku sudah dapat mengagak jawapan beliau. Sejak dari itu, aku bertekad untuk mencari syarikat lain untuk aku taburkan khidmat kerana tidak guna aku kekal ketika syarikat pun tidak mampu untuk bantu aku dan hargai kakitangannya. Hampir setiap hari aku balik lewat malam. Pukul 10 malam ke atas tu memang sudah jadi adat. Pernah sampai 6 pagi tu belum cerita lagi. Tidak ada hari yang aku betul-betul pulang tepat jam 5.30 petang. Siang mesyuarat sana sini. Malam pula barulah aku dapat buat kerja-kerja di ofis. Orang yang menyindir aku ketika aku hendak berhenti (rujuk posting lepas) hanya tahu pulang tepat pada masa. Masa itu, tiada siapa tahu (hanya kenalan rapat sahaja yang tahu) betapa sakitnya dan deritanya aku ibarat tiada kehidupan apabila pulang larut malam dan pada hujung minggu pula, boleh dikatakan samada Sabtu atau Ahad, aku pasti datang ke ofis kerana waktu bekerja 5 hari seminggu sudah tidak relevan bagi aku.

Ketika menyiapkan projek MRT (yang terlampau mendesak) inilah aku pernah menangis dan menjerit marah setiap kali terdapatnya isu-isu yang menyakitkan hati aku. Aku bekerja seorang diri menyiapkan rekabentuk Mekanikal. Kadang-kadang orang elektrikal pun meminta bantuan aku untuk melukis bagi mereka. Ada masa aku turutkan sahaja. Ada masa, aku menolak secara sinis. Aku seorang, manakala department elektrikal ada 3 orang. Mengapa aku yang seorang perlu buat lagi kerja department yang ada 3 orang di dalamnya? Terus-terang, aku memang tidak pandai menolak kerja pemberian orang. Samada aku seorang dungu tidak tahu membezakan mana satu skop kerja aku atau mereka yang kadang-kadang tidak pernah langsung memahami perasaan orang lain.



Aku putus asa ketika itu. Kehidupan tidak teratur sampai aku dituduh tidak ada life. Asyik fikir kerja dan macam-macam lagi tohmahan yang menambahkan kesedihan aku. Aku bertekad sekali lagi bahawa sebaik sahaja selesai projek MRT ini, aku akan 'terbang' ke tempat lain yang lebih baik. Aku akan habiskan apa yang aku mulakan dan bukan prinsip aku untuk meninggalkan sisa-sisa kerja kepada orang lain. Jadi, sebaik sahaja selesai menghantar lukisan tender ke bangunan MMC-Gamuda di Damansara Perdana, aku terus mencari rakan-rakan untuk bertanyakan kerja kosong. Alhamdulillah, aku dapat menghubungi semula bekas Ketua Bahagian Mekanikal yang berhenti itu dan dia telah menyarankan aku kepada bos di sebuah syarikat kontraktor di mana aku bekerja hari ini. 

Sebaik sahaja selesai projek MRT itu (selesai pada ketika itulah, aku dengar khabar bahawa terdapat perubahan rekabentuk lagi yang perlu diselesaikan oleh jurutera yang menggantikan aku kini), aku ditugaskan oleh bos-bos untuk ke Batu Kurau di Perak untuk satu kebarangkalian projek baru. Ketika aku ke sana (bersama bos-bos!), aku telah pun mendapat tawaran temuduga daripada syarikat kontraktor tersebut. Jadi, besar harapan aku bahawa orang baharulah nanti yang akan menguruskan hal berkaitan projek baru ini.

Setelah semua perkara ini, aku berfikir sejenak mengapa bos memanggil aku sampai 4 kali masuk ke biliknya demi untuk memujuk aku supaya stay. Dan juga, mengapa bos memilih aku di kalangan yang lain untuk mengikutnya sehingga ke Batu Kurau (dan juga, Pintu Geng di Kelantan) sedangkan ada beberapa skop kerja yang bukan di bawah skop mekanikal. Aku bukanlah mahu mendabik dada di sini atau cuba menunjukkan betapa bagusnya aku tetapi, dengan rasa rendah hati, jujur aku katakan bahawa aku bukanlah seorang yang terbaik di dalam syarikatnya. Ramai lagi yang lebih senior daripada aku yang pastinya lebih banyak ilmu dan pengalaman patut boleh dibawa bersama untuk ke mana-mana projek.

Aku dapat mengetahui daripada beberapa sumber bahawa ada 'sesuatu' yang dilihat di dalam diri aku daripada kaca mata bos yang aku sendiri tidak tahu dan bos sendiri tidak pernah zahirkan secara terus-terang tentang hasil kerja aku. Bos tidak suka bercerita tentang pekerjanya tetapi kebarangkalian pihak pentadbiran tahu mengenai perkara ini hasil mesyuarat bersama pihak lembaga pengarah. Jadi, selama ini mungkin bos tahu mengenai kerja aku tetapi aku masih tidak faham mengapa mereka sukar untuk memahami apa yang aku inginkan dalam syarikat.

Yang sudah biarlah berlalu. Perjalanan masih panjang. Ilmu masih terlalu luas ibarat lautan dalam untuk aku hadam. Aku harus congak nasib diri untuk masa depan pula. Aku hanya mampu berterima kasih pada bos yang mempercayai aku sepanjang aku bekerja di sana walaupun aku kadangkala berasa hampa dengan mereka yang tidak memahami staf mereka. Tetapi, jujurnya, aku tidak sekelumit pun menyimpan dendam pada syarikat dan bos-bos di situ sehinggakan aku pernah berasa terlalu sedih untuk meninggalkan syarikat yang menjadi tempat aku belajar dan mengaut pengalaman berharga sepanjang 4 tahun ini. Aku anggap bahawa aku hanya memberi sumbangan kecil sahaja pada syarikat jika hendak dibandingkan dengan mereka yang sudah bekerja puluhan tahun dengan syarikat tersebut. 

Kini, aku hanya memerhati dari kejauhan saja setelah jasad tiada lagi di sana. Namun, hati aku tetap tinggalkan di sana untuk 4 tahun memori dan kenangan yang indah. Walau kepahitan itu pasti ada, namun, yang manis itu terlebih dahulu dalam ingatan. Terima kasih bos dan staf semua!

Hadiah istimewa pen Parker berukir nama aku daripada kedua bos ketika hari meraikan pemergian aku.

Sunday, September 20, 2015

Politik 2015


Aku bukanlah suka menulis tentang politik tambah-tambah lagi di era Pak Najib ini tetapi aku perlu memberitahu kepada diri aku sendiri di masa hadapan tentang apa yang terjadi di era beliau di sini.

Seperti yang sedia maklum, kita tahu tentang betapa pemerintahan UMNO Barisan Nasional telah korup sejak sekian lama bermula dari tahun 1998 sehinggalah zaman sekarang. Cuma, melalui era Najib Razak yang telah memerintah sejak 2008 sehingga kini, ia semakin terang dan jelas bahawa pemerintahan parti yang kononnya dikatakan keramat untuk bangsa Melayu ini telah korup dan berbau begitu hanyir sekali. 



Tahun 2015 menyaksikan pelbagai keperitan yang terpaksa rata-rata rakyat kita alami dengan pengenalan cukai GST, peningkatan kos sara hidup saban tahun, kenaikan tambang pengangkutan awam, isu 1MDB, derma RM2.6 billion serta isu perkauman yang masih ingin terus didendangkan oleh parti keramat ini. Tambah menyedihkan apabila pakatan pembangkang juga berkubur dan berpecah dengan pergeseran besar antara parti PAS dan parti DAP serta kewujudan parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN). Orang kata ia akan memecahkan lagi undi Melayu tetapi bagi aku, jika ia bagus untuk menumbangkan BN dalam PRU akan datang, aku akan terus beri sokongan.

Berbalik kepada pengenalan GST tersebut, banyak syarikat telah mula gulung tikar antaranya kilang JVC yang ditutup, kilang Panasonic yang telah dikecilkan skopnya, kilang NAZA dan beberapa lagi. Cuma, ia tidak mendapat liputan bahawa kesan penutupan itu adalah daripada pengenalan cukai GST ini. Ketika aku servis kereta di KIA Jalan Chan Sow Lin beberapa minggu lepas juga, mereka sudah tidak menjual kereta di situ lagi bagi mengecilkan skop bisnes mereka dek tidak dapat menampung peningkatan kos pengeluaran. Jadi, di Jalan Chan Sow Lin itu, mereka hanya buat servis sahaja. Jadi, apa yang Pak Najib kata ekonomi Malaysia bagus?

Satu lagi adalah isu perkauman yang menebal dalam hati orang-orang UMNO. Lanjutan daripada Bersih 4.0 yang tujuannya hanya untuk meminta Najib berundur dan menjawab persoalan 1MDB, tiba-tiba pula muncul Himpunan Baju Merah atau Himpunan Melayu Bersatu yang dikatakan ingin memberi maklumbalas kepada kaum Cina (DAP) supaya tidak merendah-rendahkan bangsa Melayu. Yang peliknya, semasa himpunan tersebut, terdapa bunting atau banner yang menulis 'Kekalkan Najib', 'Hapuskan SJKC' dan lain-lain kata-kata yang tidak masuk akal. Bukan Malaysia diperintah oleh DAP pun selama ini sehingga menampakkan bahawa bangsa Melayu tergugat. Mengapa seakan-akan Melayu yang menjadi majoriti di negara ini berasa terancam dan tergugat?


Suka aku simpulkan bahawa himpunan itu lebih kepada himpunan UMNO atau himpunan menjaga 'bontot' UMNO. Menggunakan alasan atas nama bangsa adalah tindakan yang tidak bermaruah langsung, malah makcik dan pakcik di kampung dan Felda juga dikatakan telah tertipu dengan penganjur yang katanya mahu menyambut Hari Malaysia di KL. Tambah parah, gelandangan yang terdiri daripada pelbagai bangsa juga turut sama 'dikerah' ke himpunan tersebut dengan dijanjikan makanan dan t-shirt. Nak kata apa lagi? Benda bukti dan video telah bersepah di internet. 



Yang memilukan aku adalah pengguna FB di beberapa laman page (pro-BN) memuji himpunan tersebut dan mencerca kaum Cina sebagai pendatang, makan babi dan sebagainya yang kelakar. Agaknya selama ini Perdana Menteri kita terdiri daripada seorang berbangsa Cinakah? Jika aku mahu kaitkan dengan sejarah silam, pastinya akan terpacul bagaimana orang Cina boleh hidup aman damai bahkan boleh mendapat tanah besar di gunung di Pahang. Itu bawah pemerintahan siapa? Dapat sekali lagi aku simpulkan bahawa mereka yang datang dan menyokong himpunan tersebut adalah terdiri daripada Melayu yang tidak cerdik, dijajah minda oleh UMNO, terpedaya dengan propaganda anti-DAP, tidak dapat membezakan kebenaran dan kebatilan. 



Akhir sekali, aku juga menerima komen daripada FB bila aku tanyakan Melayu korup seperti Pak Najib tu macamana pula? Pengguna FB berkenaan berkata,

"Itu dosa dia antara Tuhan. Biarlah Tuhan menilainya. Kita ni orang Melayu kenalah jaga bangsa kita dari dipijak Cina..."

Sungguh tenat Melayu UMNO...

Thursday, September 17, 2015

Sajak Sang Ultra

Tahukah anda, melayu cendikiawan dan agamawan melayu handal tidak seorang pun menyatakan sokongan terbuka terhadap Himpunan Bersatu Melayu. Cerdik pandai daripada IPTA (yang bukan pro-aspirasi) tidak ada satu pun memuji himpunan tersebut. Vlogger terkemuka Mat Luthfi bahkan menolak perkauman dalam video terbaru.

Tidak ada satu Melayu yang bijak menyokong dan memuji Himpunan kelmarin. Kerana apa? Kerana apa hah? Kerana yang datang himpunan hanyalah samseng Melayu taik kucing, mat-mat rempit yang sudah tidak ada harapan, para penagih dadah, pelanggan kelab malam, kaki disko, kaki pecah rumah, kaki mengular masa pejabat, kaki takut bini, kaki melawan ulama dan islam, kaki ponteng Subuh berjemaah, kaki tolak hudud dan pelbagai lagi. 

Aku, Melayu Ultra, tidak akan menyalahkan bangsa lain atas kegagalan otak dan perbuatan pemimpin Melayuku sendiri. Yang menjual tanah kepada bangsa lain, yang menolak projek kepada bangsa lain, yang pijak kepala Melayu sendiri untuk usap bontot bangsa lain, yang gadai lot orang kampung untuk buka pusat beli-belah dan kondominium mahal kepada bangsa lain, yang tutup rezeki Melayu untuk beri tip pada bangsa lain. 

Zaman untuk perkauman sudah boleh kau buangkan jauh sebelum merdeka. Ini bukan masa untuk kau merengek-rengek merintih nasib ditindas bangsa lain atas kegagalan dan kecelakaan pemimpin Melayu kamu sendiri.

Melayu Ultra sepertiku sendiri akan memijak kembali kepala pemimpin Melayu celaka tersebut.

Dalam Setandan Melayu, Pasti Ada Yang Rosak


1. Jamal Yunus kata pernah apply permit di Jalan Petaling 10 tahun lepas, namun tidak sekalipun beliau dalam tempoh 10 tahun ini mengajak orang Melayu berdemo di DBKL selaku pengeluar permit perniagaan. Ini himpunan untuk Melayu ke atau himpunan untuk agenda peribadi Jamal?
2. Rahman Dahlan dalam twitter berkata, kos sampah bagi himpunan ini adalah RM38k iaitu lebih rendah daripada Bersih 4 yang berjumlah RM65k. Diharap Rahman dungu tidak tersalah hantar bil lagi.
3. Rata-rata Melayu di himpunan itu berkata, himpunan ini adalah untuk mengajar Cina dan membalas balik perbuatan biadap mereka ketika Bersih 4 memijak gambar pemimpin Melayu. Yang kena pijak pun dah maafkan si pemijak, yang lain pulak macam beruk kena belacan kenapa?
4. Himpunan itu bukanlah untuk Najib tetapi untuk membela Melayu. Melayu diancam rupanya tetapi hairan sungguh kerana pemimpin Melayu, Raja Melayu, menteri banyak Melayu, askar Melayu, masih lagi Melayu salahkan Cina DAP kerana kebodohan pemimpin Melayu? Dan banner Kekalkan Najib juga dilihat di sana.
5. "Pendatang tetap pendatang, Babi is Babi" adalah laungan keramat makcik Shikin yang kemudiannya bertakbir. Berapa banyak agaknya makcik Shikin ni dah kena tipu dengan Cina sepanjang hidup dia sampai marah betul macam tu?
6. Kelihatan Badut Negara iaitu Ahmad Maslan jendul berada di himpunan tersebut. Apa badut ini mahu lagi sedangkan beliau sendiri penindas Melayu?
7. Makcik dan pakcik di kampung serta Felda telah ditipu kononnya dibawa ke Kuala Lumpur untuk sambutan Hari Malaysia. Apalagi makcik, pakcik, saman je kerajaan dan Felda kerana menipu. Jangan takut. Gelandangan daripada pelbagai kaum juga dikatakan telah menerima beberapa t-shirt dan makanan sebagai upah kehadiran ke himpunan tersebut.
8. Najib arah siasat kes rempuhan peserta dengan FRU. Tak payahlah, kes sendiri tak setel. Nak saman WSJ pun dah berapa Selasa dah.
9. Ekonomi negara dipegang Cina. Jika dihalau Cina, pada siapa pemimpin Melayu nak dapat projek dan rasuah? Fikirkan semula peserta himpunan Merah ya.

Tuesday, September 01, 2015

Terima Kasih Allah yang Mengurniakan Akal Fikiran Pada Manusia


29 Ogos (Sabtu) - Running daripada KL ke Parit, singgah di pekan Sungai Petani dan seterusnya ke Gurun daripada pukul 9.30 pagi hingga menjelang 7 malam. Terima kasih Allah.

30 Ogos (Ahad) - Running daripada Gurun ke Hospital Ipoh (lawat makcik di ICU), masuk ke Parit dan seterusnya ke KL bermula jam 4 petang dan sampai pada pukul 2 pagi. Terima kasih sekali lagi ya Allah kerana mengurniakan manusia akal fikiran untuk mencipta kenderaan. Terima kasih juga ya Allah kerana memberikan aku nikmat sebuah kenderaan yang mampu membawa kami semua ke merata tempat. 


Friday, August 14, 2015

Bukan Kisah Derma RM2.6 Billion


Sekitar selepas raya hari tu, aku dan mak aku pergi ke area Bangi untuk makan malam. Tengah-tengah makan, kami didatangi seorang budak mintak derma sambil pegang botol pil kapsul berumur dalam lebih kurang 10 tahun. Katanya belajar pondok kat Kedah dan asal daripada Perak. Puas jugalah kami interview dia sebab nak tahu juga siapa yang hantar dia untuk kutip derma. Katanya ada seorang ustaz hantar ke area situ untuk kutip derma bagi sekolah pondoknya. 

Esoknya Isnin. Jadi, kami pun tanyalah esok tak ke sekolah ke? Dia jawab tidak sebab masa tak sama dengan sekolah biasa. Setelah selesai sesi soaljawab, aku pun hulur RM5 untuk duit dia pergi makan. Mak aku pula hulur lagi RM5 untuk derma sekolah pondoknya. 

Lebih kurang semalam (13 Ogos), aku yang berada di area Wangsa Maju malam tersebut, terserempak dengan budak yang sama! Tetapi, dengan 2 orang lagi kawannya dengan memegang ubat pil kapsul. Dengan cara yang lebih kurang macam di Bangi tempohari, mereka bertiga pun berjalan di sekitar restoran berdekatan dengan kawasan Petronas tepi MRR2 tu. Aku perhati je dari dalam kereta. Dari satu ke satu restoran dia singgah minta derma. Last sekali, dia ke Petronas tu dan bersalam dengan pekerja Petronas warganegara Bangladesh (rasanya) sambil tersenyum-senyum dan menghenjut-henjut salaman tangan. Aku kira, budak ni macam dah kenal lama dengan mamat Bangla ni. 

Mungkin benar budak ni minta derma, mungkin juga memang sekolah pondoknya di Kedah hantar dia ke KL untuk minta derma. Kita kena sangka baik. Moga-moga amal menjadi ikhlas. Cuma, aku sedikit kasihan dengan masa depan budak-budak sebegini. Apakah ilmu mampu memerdekakan mereka atau kita hanya mampu melihat mereka terus-terusan sebegitu?


Nota - Moga aku ketemu lagi adik ini untuk bertanya lebih lanjut.

Thursday, July 23, 2015

Pasca Low Yat : Sudah Terhantuk Baru Terngadah


Aku membaca suratkhabar hari ini yang memetik bahawa Pemuda Umno menggesa diwujudkan hub ICT untuk Bumiputera (ekoran peristiwa Low Yat).

Apakah mereka ini baru terjaga dari lena yang panjang atau apakah mereka lupa bahawa kuasa yang mereka ada hanyalah sebagai boneka selama ini? 

Selama ini kita ada MARA, UDA, Dewan Perniagaan Melayu dan lain-lain, lalu harus kita tanyakan apakah agaknya tujuan dan fungsi organisasi ini ditubuhkan kalau bukan untuk memperkasakan agenda ekonomi Melayu? Dan, setelah terjadi peristiwa Low Yat tempohari, hari ni baru kau nak bersembang pasal ekonomi Melayu? 

Maka, benarlah bahawa kata pepatah, jika mahu melihat ekonomi Melayu yang kuat, berkunjunglah ke Kelantan.

Agama Dilucukan


Desa Temu Jodoh adalah satu nama tempat di Johor. Malangnya, untuk popular dan menjadi bahan kelakar bagi kawan-kawan dan rakyat Malaysia, mereka sanggup mempermain-mainkan agama yakni melucukan perbuatan berdoa itu sendiri.

Ini nampak remeh tetapi ia memalukan dan melukakan hati mereka yang patuh kepada ajaran Islam. Ia mengguris hati mereka yang menjadikan pegangan bahawa berdoa itu ada adabnya dan perbuatan sebegini tidak sepatutnya dijadikan sasaran membuat kelucuan. Sekaligus memberi gambaran bahawa anak muda kini masih haus dan jauh dalam pencarian ilmu Islam.


Tinggalkan Kebangsaan Kau Tu


Kalau dilihat daripada komen-komen Facebook sejak peristiwa Plaza Low Yat hari tu, ia sedkit sebanyak telah menonjolkan siapa diri kau sebenar dalam pandangan kau terhadap perkauman dalam negara ni. Tak dinafikan masih banyak yang menebal dengan sifat Melayu tu. Kehebatan zaman 13 Mei tentera selendang merah menjadi irama dan dendangan orang Melayu zaman kini yang entah deme ni wujud lagi ke tidak zaman tu.

Sukalah kiranya aku memetik kata-kata hikmat ulama Arwah Tuan Guru Nik Aziz; Tinggal kebangsaan, ambil Islam. Itu yang utama. Ada ulama yang sokong perbuatan kau di Low Yat tempohari? Ada ke takde hah?

Viral dan Riak : Adakah Makanan Kita?




Kadangkala saya merasa kasihan dengan rata-rata orang Malaysia. Bukanlah saya mahu menafikan bahawa brader bawak motor itu tidak layak diberi pengiktirafan bahkan saya salute atas kegigihan brader ni membesarkan anak-anak mereka dengan kudrat dan kemudahan yang ada (inilah nasib apabila dapat pemimpin korup).

Cuma, saya tertarik dengan kisah yang dikirimkan oleh seorang likers kepada tuan page yang ditulis di dalam gambar itu. Apa yang engko rasa bila baca? Semata-mata mahu memberikan sedekah, sanggup likers tu follow dan ceritakan semua dalam FB. Andai katalah yang brader bawak motor ni tak viral dalam FB, adakah likers ni akan tolong dan ceritakan di FB? 

Sesungguhnya, saya berasa sedih dengan sikap rakyat Malaysia (tidak semua), yang memilih-milih dalam menviralkan cerita-cerita kemiskinan atau cerita meminta empati untuk dijadikan penambah like dalam FB. Dan, penontonnya pula akan berlumba-lumba menjaja cerita bantuan mereka kepada yang diviralkan itu. Bukankah itu ujub dan riak namanya?

Kesimpulannya, begitu mudah orang akan viralkan kisah kesedihan kau jika cerita engkau tu berbeza atau lain daripada yang lain. Dan seterusnya, akan ramailah manusia di FB akan tumpang bersimpati dan menjadikan kisah kau sebagai cereka ujub mereka kemudiannya nanti. Bantulah seikhlas hati dan jika boleh, biarlah tiada siapa pun tahu. Tak perlu nak bercerita di FB pun, Allah tahu.

Tuesday, July 21, 2015

Hala Tuju


Antara isu mutakhir ini yang amat membimbangkan adalah bagaimana PM masa kini iaitu Datuk Seri Najib Razak terpalit dengan pelbagai isu 1MDB sehinggakan dikatakan menghilangkan RM42 billion wang negara ke dalam akaun peribadi. Sehingga kini, peguam Najib yang sudah menghantar surat meminta syarikat penerbitan Wall Street Journal (WSJ) mengesahkan cerita tersebut belum menerima reaksi balas.

Dan macam biasa, apabila ia tidak mendapat jawapan balas, mereka beranggapan PM Najib sudah menang peringkat pertama. Kemudian, muncul pula penuduhan daripada Sarawak Report (SR) berkaitan skandal 1MDB juga (maafkan aku jika aku tersilap mengatakan cerita RM42 billion itu samada daripada WSJ atau SR). Dan, macam biasa juga, muncul satu video daripada individu yang dikatakan mempunyai bukti bahawa pembangkang terlibat dalam menjatuhkan kerajaan Malaysia dengan siri serangan terhadap Najib.

Bagi aku dari kaca mata seorang rakyat biasa, tak perlu ada penglibatan pembangkang atau wujud konspirasi mana-mana pihak pun kerana Tun Dr. M sendiri mengaku bahawa beliau mahukan Najib turun sebagai PM dan tidak ada konspirasi tertutup pun kerana satu dunia sudah tahu perkara berkenaan. Jadi, untuk ulasan panjang, aku memerlukan masa yang lebih supaya satu pemerhatian mendalam diperlukan serta aku mahu melihat dahulu kesudahan video (dikatakan daripada Ester Melanyi tersebut) untuk mempertahankan Najib.

Isu Gerakan Harapan Baru juga aku memerlukan masa untuk ulas. Cumanya, sebagai seorang rakyat marhaen, pastinya kita berasa kecewa di atas perpecahan golongan di dalam PAS ini yakni golongan kalah pemilihan dan golongan pro-ulama. Namun, aku percaya, ini suatu rahmat baharu kerana mungkin ini adalah pembersihan kumpulan mana-mana pro di dalam PAS itu sendiri, siapa tahu, wallahualam.

Sekian, berita malam ini.

Setakat ini USD1 bersamaan dengan RM4.

Sunday, July 05, 2015

All The Best

19 Jun 2015

Setelah hampir empat tahun aku menimba ilmu di syarikat aku sekarang, aku akhirnya telah mengemukakan surat perletakan jawatan kepada HR di pejabat aku petang itu. Beliau terus terduduk dan seterusnya bertanyakan apa masalah aku. Aku macam biasa jawab, 'tiada masalah, saya cuma mahu mencari pengalaman dan ilmu.'

Macam cliche juga jawapan itu.

Beberapa hari berikutnya, aku dipanggil oleh Pengarah Eksekutif dan apabila beliau tahu bahawa aku akan join syarikat cina, terus beliau bercerita pengalamannya bekerja dengan syarikat kontraktor cina dan tekanan yang dihadapinya itu. Aku rasa ceritanya menarik dan aku dapat rasakan ia satu cabaran buat aku untuk bekerja di dalam suasana yang lain walaupun bangsa lain menjadi bos aku. Itu satu cabaran dan kalau aku tak mahu ambil cabaran dan takut berdepannya, aku akan terus berada di zon selesa dan tidak akan dapat belajar. Itu yang aku tersedar apabila mendengar cerita beliau. Aku tambah bersemangat. Namun, di akhir perbualan, aku mengatakan bahawa aku ingin solat istikharah dahulu. Nampak seperti memberi harapan kepadanya walhal aku ingin bertemu sendiri dengan Pengarah Urusan aku pula.

3 Julai 2015

Pengarah Urusan aku pulang dari mengerjakan umrah dan akhirnya masuk ke pejabat. Sebelum aku bertemu dengannya, aku sempat ditanyakan sekali lagi oleh admin HR aku. Antara kata-kata yang masih aku ingat adalah seperti :

1. Awak tahu tak yang awak akan bekerja dengan cina? Awak tahu tak berkat ke pendapatan awak? Mereka tak bayar zakat tau. Awak sanggup?

2. Awak kata kalau awak bayar zakat pendapatan dapat menyucikan harta, habis macamana pula kalau awak bekerja di syarikat Carlsberg? Awak rasa pendapatan awak berkat ke?

3. Saya pernah bekerja dengan syarikat di mana ada staffnya yang tidak solat. Dari situ saya dapat merasakan tiada keberkatan lagi saya bekerja di syarikat lama saya tu.

Aku diam. Kadang-kadang aku balas juga tapi nampaknya semakin tajam dan pedih point-point yang beliau keluarkan termasuklah suatu perbandingan yang tidak logik dan relevan. Aku faham beliau berniat baik mahukan aku supaya terus tinggal di syarikat aku sekarang tetapi point-point yang dikemukakan telah terkeluar dan lari daripada tajuk. Sedikit sebanyak, aku menjadi sedih kerana seakan-akan aku akan bekerja di syarikat di mana pendapatan aku menjadi tidak berkat. Aku rasa sebenarnya banyak lagi cara lain untuk buatkan orang itu stay dengan syarikat lama tetapi ia agak keterlaluan sehingga memainkan sentimen agama. Aku boleh sahaja mematahkan hujah itu namun aku rasa ia tidak perlu kerana ia pasti menimbulkan suasana tidak sihat di kemudian hari. Aku akhiri perbualan itu dengan sedikit humor agar dapat aku 'lari' daripada point-point tajam beliau.

"Besar nanti pahala saya kalau dapat bawak bakal bos saya tu masuk Islam tau..."

Aku gelak dan beliau juga tergelak. Aku segera berlalu pergi.

Dalam pukul 6 petang, aku berjumpa dengan bos Pengarah Urusan aku dan beliau sememangnya bersikap profesional sepanjang perbualan setengah jam itu. Beliau menggalakkan stafnya untuk mengembangkan karier dan mencari pengalaman apatah lagi dengan usia yang muda ini, masih banyak yang perlu dipelajari. Bukan bermakna dia melepaskan aku, dia tidak sayangkan staffnya, cuma ia tidak mahu menyekat karier orang lain. Beliau juga menggalakkan aku untuk take-over bakal syarikat itu atau buka syarikat sendiri kerana jika kita hidup sekadar bekerja untuk makan gaji, ia tidak membawa ke mana. Maksudnya, impian aku harus besar apabila ingin berhijrah. Beliau akhirnya mengucapkan 'All the best' buat aku.

Malam itu aku menangis sedih kerana terpaksa meninggalkan mentor yang aku kagum tersebut. Aku berharap beliau beroleh kesihatan yang baik dan aku akan sedaya upaya membantunya apabila tiba masa aku berbuat demikian untuk membalas jasanya suatu hari nanti. Insyaallah.
 
Google Analytics Alternative