Thursday, April 19, 2018

Tips PRU Untuk Noob

Untuk menjadi seorang pengundi yang power, tak susah pun. Kau ikuti langkah mudah ni dan bagitahu kawan-kawan kau yang masih lembam tu.
 
1. Lihat manifesto kesemua parti yang bertanding. Nilaikan satu-satu ikut akal yang tajam.

2. Cuba letakkan diri kau dalam kerangka yang lebih besar dari segi penerimaan manfaat oleh tawaran parti politik. Maksudnya, kau bukan saja perlu tengok calon kau saja, bahkan kau perlu tengok dasar parti yang diwakilinya. Kalau kau kata dia YB yang bagus sebab kau selalu jumpa kat pasar dan dia buat tournament futsal, itu tak cukup mok. Kau kena tengok apa dasar partinya dan kesan terhadap bilangan DUN bagi menentukan parti yang bakal mentadbir negeri kau. Kalau Parlimen, untuk negara kau lah.

3. Walaupun YB kawasan kau seorang yang best tapi dasar parti dia tak best dan takkan boleh jadi kerajaan, eloklah kau jangan memecahkan undi. Kau nak ke jadi macam kat Kota Damansara 2013 lalu?

4. Jangan terperangkap dengan dakyah dan sentimen perkauman dan agama dalam kempen PRU. Memang nampak ayat sedap nak perjuangkan Melayu dan Islam tapi kalau tangguh rang undang-undang pun tak syoklah kan? :)

5. Dapatkan pandangan analitikal dan intelektual dari cendekiawan dalam realiti mahupun maya. Ini kalau kau sekadar baca post Irmanyadi memang tak jadi apalah.

6. Makan nasik. Ini perkara penting sebelum kau pergi mengundi. 

Selamat mengundi!

Keliru Nak Undi Mana?

Jikalau anda buntu dalam pengundian di mana anda berbelah bahagi samada nak undi PAS ataupun PH, maka, bertenanglah. 

Lihat dahulu demografi penduduk dan pecahan komposisi kaum di kawasan atau negeri anda. 

Jika anda orang Kelantan, Terengganu atau Kedah, kemungkinan untuk anda mengundi PAS dan peluang untuk menang lebih tinggi. 

Manakala, jika anda berada di Selangor, Perak ataupun Johor, lebih baik mengundi PH.

Ini kerana PRU kali ini akan menjadi medan 3 penjuru. Jika ahli politik atau parti tidak mahu beralah, maka, kita hendaklah berfikir lebih bijak daripada ahli politik asalkan BN dapat ditumbangkan.

Demografi kawasan akan menjadi penentu kemenangan parti selain BN. Jangan kerana dimomokkan bahawa perlunya parti yang membawa nama Islam menang, kita pulak memberikan kemenangan kepada parti korup dan penuh rasuah. Tak ke bodoh namanya tu?

Contoh 3 penjuru yang merugikan rakyat PRU lepas adalah di DUN Kota Damansara.

#analisapolitik2

Thursday, March 22, 2018

Lelaki Kurang Sabar dan Sebuah Revolusi

Untuk membangkitkan revolusi bukan hanya dengan mempunyai hati yang dikatakan kudus mahupun suci. Sebaliknya, mestilah mempunyai rasa kurang sabar dan membentak dalam lingkungan yang terkawal dan masih mempunyai batas.

Bak kata pepatah Inggeris,

"Progress of civilization depends solely on the shoulders of the impatient men."

Boleh dilihat hari ini kita pasti berkata, 'eh tak apalah', 'yang kau busuk hati kenapa'. 'Eh, biarlah dia, kubur sendiri'. 'Cermin diri dahulu bro'. 'Suka negatif sangat, cubalah positif'. 'Bersyukurlah ada kerajaan macam ni'.

Cuba kita katakan sebegini apabila British datang menjajah kita? Andai Mat Kilau duduk diam di rumah tidak mencampuri urusan orang dan cukai British, andai Haji Abdul Rahman Limbong hanya duduk di rumah tidak melawan hak tanah bangsanya, andai Rentap hanya rilek-rilek menerima sahaja penindasan Brooke atau mungkin AWAS, API duduk sahaja di rumah sambil berfikiran positif sesuci nurani, apakah revolusi boleh tercetus?

Sebab itu, kita semakin hari semakin gagal. Kita terus gagal membangkitkan rasa penentangan terhadap penindasan yang sudah terlalu lama. Lantas, kita hanya tahu bertanya, mana penindasannya? Bukan tidak ada Melayu yang kaya-raya dan hidup senang bertanya soalan yang sama ketika era kolonial British. 

Mana jahatnya British? British buatkan jalan, British beri kita hidup dan berjalan secara bebas, British benarkan kita berniaga dan bermain, British benarkan kita bercucuk tanam dan membela lembu serta banyak lagi British benarkan. Ini soalan bangsa yang lemah ketika itu tatkala hidung telah dicucuk pun masih jalan berkepak bertanya, mana zalimnya British?

Lalu, generasi hari ini menumpahkan soalan sama. Mana jahatnya Barisan Nasional yang memberikan kita macam-macam?

Sebab itu, penentangan perlu digalas di bahu orang yang kurang sabar seperti pepatah di atas tadi. Kerana hanya orang yang bodoh dan buta mata hati akan hanya terus seronok dalam dunia yang mereka fantasikan sendiri sambil terus bertanya, 'mana jahatnya BN'?


Membeli Nasi Ayam Goreng Lewat Malam

Hari tu aku singgah satu kedai makan lewat malam. Kebetulan ada satu program TV bertajuk The Sherry Show. Biasalah, rumah aku tv pun takde.

Aku pun menonton sambil menunggu nasi goreng ayam disiapkan (apa punya cilaka dekat setengah jam buat nasi goreng ayam). Tonton punya tonton, aku pun terfikir. Kalau beginilah kualiti program tv tempatan, aku tak hairan akan terus wujud golongan yang self-centered, malas membaca dan yang guna otak kanan sahaja berkembang biak.

Rancangan sebegitu wujud sejak aku kecil (ketika itu, aku menonton tv rumah ibubapa) lagi. Dan sudah masuk 2018, rancangan yang memanggil artis lalu ajak bersembang, buat video parodi sikit-sikit, menari dengan iringan band dan temuramah topik ringan tiada hala tuju masih menjadi acuan penerbit rancangan tempatan. Aku macam, what? This is 2018 bro. Yet, we still have this s*it?

Dan bila nasi goreng ayam aku siap, lega akhirnya.

Pengikut Keliru

Aku ada terbaca satu hantaran (baca: posting) mengenai pengikut pemimpin. 

Pengikut pemimpin ni ada 2 perangai yang utama. Pertama, setia. Kedua, ampu. Ada pengikut yang tahu beza setia dengan ampu. Tetapi, ada juga pengikut yang terkeliru antara ampu dan setia. 

Yang setia, akan berpegang dengan prinsip kebenaran. Contoh simple aku bagi adalah Rais Yatim. Dia ni dulu pun menteri yang agak sombong dan poyo. Cuma kini, beliau antara paling kerap bersuara hal Jho Low. Tu aku bagi contohlah. 

Yang kaki ampu pula takkan tahan lama. Mana-mana pemimpin yang naik, beliau akan jadikan mereka bos dan kaki ampu ni pula akan menjadi ibarat anjing dicucuk hidung. Tak kisahlah benda tu salah atau benar dilakukan oleh pemimpin mereka, mereka akan keluarkan kenyataan yang hanya sedap didengari dan mahu didengari saja. Contoh sini adalah Salleh Keruak atau Rizal Mansor.

Mereka nilah antara kaki ampu yang membontoti apa saja arahan ketua gampang itu.

Taman Awam untuk Si Bangang

Kalau engkorang selalu ke taman awam sebelah petang, kau pasti akan dapat melihat kebanjiran manusia bersama keluarga yang mengakibatkan jalan jem dan taman sesak nak mampus.

Hakikatnya, pertumbuhan taman awam tidak berkadar selari dengan pertumbuhan taman perumahan. Engkau sendiri boleh tengok berapa banyak taman awam digadaikan untuk pembangunan projek perumahan atau perniagaan. Contoh baru adalah di Bandar Tun Razak, TTDI dan beberapa tempat lain yang kau sendiri akan tahu. 

Dan akhirnya manusia ini akan memenuhi taman yang ada untuk meluangkan masa bersama keluarga sehingga habis sesak jalan dengan kenderaan.

Inilah akibat kita mempunyai pemerintah bodoh seperti Ku Nan dan BN secara amnya. Asal duit kapitalis masuk sikit ke poket mereka, mereka peduli apa sama rintihan kau.

Yang kau tahu, terima saja apa yang kerajaan buat sambil kaki berjalan ke taman yang tengah sesak dengan orang.

Friday, March 09, 2018

Kisah Wanita

Sempena Hari Wanita semalam, aku saja nak kongsi sedikit kisah tentang wanita.

Nak masuk 2 tahun kahwin ni, aku boleh perasan yang kaum wanita (of course yang aku kenal la) ni boleh jump into conclusion dengan pantas. 

Ada kejadian depan mata, dia akan terus sepantas kilat membuat kesimpulan. Jika dalam matematik, kita ada langkah-langkah penyelesaian pengiraan, depa tak. Depa terus ada jawapan yang berdasarkan sangkaan atau persepsi.

"Bang, water heater rosakkkk..."

Bila aku check, laaa..tempat pemanas dia kena tekan kuat sikit dari kebiasaan. Isteri ingat rosak bila tekan-tekan tak mahu panas.

"Bang, mesin basuh rosak! Baju ni basah tak berapa lembab pun.."

Adus, aku tadi taruh sabun banyak sikit. Jadi, mesin tak berapa nak spin la tu. Itu pasal jadi baju lebih lembab daripada biasa.

Sebagai lelaki, korang kena rilek dan bertenang dua kali ganda daripada isteri korang. Ini sekaligus dapat menenangkan isteri korang dan korang juga. Bagi lelaki, siasatan kepada punca permasalahan adalah perkara penting dan itulah perkara pertama yang terlintas dalam kepala kami. Manakala, perkataan 'rosak' ni pulak adalah perkataan terakhir atau jawapan terakhir yang pernah kami fikirkan. Kalau boleh, nak elak sebut perkataan 'rosak' ni sebab apa yang kita sebutkan biasanya doa kan?

Oleh itu, jangan lupa untuk bersikap rilek dan cool jika isteri korang kata ada benda rosak kat dalam rumah. Siasatlah sendiri kerna itulah tugas lelaki.

Selamat Hari Wanita kepada Puan Azleen!

Sunday, March 04, 2018

Ekonomi yang Tak Dirasakan Marhaen

Tak susah untuk membuat kesimpulan bahawa sememangnya ekonomi Malaysia sedang berkembang dan meningkat berdasarkan KDNK negara yang baru dikeluarkan.

Nota : Artikel ini sedikit panjang, maka, harap kau bertabahlah.

Tak dapat disangkal lagi bahawa cukai dipanggil GST memberikan kerajaan pendapatan lumayan dengan hasilnya dapat dikutip setiap hari dan setiap bulan. Tapi, apakah baik jika kerajaan mendapat kutipan lumayan walhal hakikatnya, rakyat masih menderita atau bak kata para ekonomi, rakyat tidak mendapat tempias perkembangan sihat ekonomi negara ini?

Rakyat mungkin mendapat manfaatnya jika tiada ketirisan dan hasil kroni yang disebarkan sesama sendiri. Malah, setiap pelaburan kerajaan melalui kutipan cukai pasti dapat memberikan manfaat kepada rakyat 100% dalam jangka masa pendek tanpa adanya agihan kekayaan kepada kroni celaka pentadbiran BN. 

Berbalik kepada persoalan asas, adakah rakyat dapat tempiasnya?

Kita bagi contoh pertama dalam cukai GST. Bayangkan syarikat hendak melakukan claim kepada syarikat lain (atau subkontraktor hendak minta payment daripada main-con) perlu membayar GST? Jika claim ini ada setiap bulan, maka, 6% daripada jumlah claim tersebut akan adanya pembayaran kepada kerajaan melalui GST. Dan syarikat pula, hanya akan dapat pembayaran semula GST yang dibayar tadi dalam tempoh yang bukan sebulan dua sebaliknya dalam masa setahun. Bagaimana syarikat hendak survive jika claim yang diperolehi di'cukai'kan kepada kerajaan terlebih dahulu? Impaknya adalah kepada pekerja syarikat. Syarikat susah nak beri bonus, tiada kenaikan gaji, berlaku pembuangan pekerja dan macam-macam lagi untuk syarikat bertahan (sustain) dalam industri.

Inilah yang dimaksudkan impak perkembangan ekonomi yang tidak sampai kepada rakyat. Rakyat pun ambil jalan pintas dengan buat kerja lebih masa. Ambil partime buat Uber dan Grab. Jadi dropshipper. Buat insurans. Jual vape atau meniaga dekat Foodtruck. Dengan berlakunya 'survival way' daripada rakyat ini, sekali lagi kerajaan beroleh untung melalui kutipan cukai samada daripada perniagaan ataupun pendapatan. Maka, kau pun terhegehlah isi borang BE atau segala jenis borang untuk umumkan pendapatan melalui hasil separuh masa bagi mengelakkan kau dikejar LHDN.

Pokok pangkalnya, kerajaan beroleh untung 2 kali dalam hal ini (di mana aku tak kata kerajaan salah) dan rakyat tetap masih mendapat kualiti hidup yang makin teruk dek perlunya kerja lebih masa serta perlu juga membayar cukai kepada kerajaan. 

Dan, ahli ekonomi baru-baru ini mempertahankan pendapatan pasaraya yang semakin meningkat dari tahun ke tahun. Tak susah juga untuk kita terjemahkan perkara ini dalam kehidupan rakyat. Bila adanya pekerjaan part time (sebagai contoh, foodtruck), adalah supply dan demand. Peniaga akan perlu beli barang dan pelanggan yang sibuk dengan kerja tidak akan ada masa untuk masak sendiri, lalu memilih foodtruck (atau apa jenis makanan tepi jalan) untuk mengisi perut dengan kadar segera.

Hasilnya apa? Keluarga terabai, masalah sosial semakin teruk, kes jenayah menjadi-jadi akibat nak hidup, kes rasuah semakin bertambah akibat nak kaya cepat, sekolah dipenuhi pelajar yang kurang adab dan cikgu yang cepat baran dan lain-lainlah yang kau baca kat berita tu. Taraf hidup rakyat hanya akan tepu dan stagnant.

Jadi, aku simpulkan perkara ini dalam bentuk gambarajah di bawah untuk kau ingat sampai bila-bila. 

Ya, ekonomi berkembang. Kerana kerajaan kutip GST dengan pantas dan pekerja syarikat tetap 'sakit' akibat tekanan daripada majikan. 

Ya, ekonomi berkembang. Kerana wujudnya pekerjaan tambahan atau part time daripada rakyat yang ingin memperbaiki perbelanjaan keluarga lalu mereka membayar cukai kepada kerajaan.

Ya, ekonomi berkembang. Kerana wujudnya 'supply and demand' bagi perniagaan satu hala atau atas talian akibat kekangan masa daripada rakyat yang bekerja lebih masa. 

Ya, ekonomi berkembang. Kerana kita semua bayar semakin banyak cukai tetapi kualiti hidup tetap sama malah lebih banyak gejala sosial berlaku sebab bapak kau bayar Grab sampai pukul 12 malam, mana ada masa nak ajar kau Matematik.

Sekian, nota ekonomi saya.


Kecelaruan Agama Ciptaan Melayu

Ada sebab mengapa kita disuruh zuhud dan tidak berlebihan dalam setiap perkara. Ia boleh mendatangkan fitnah kepada agama itu sendiri. 

Agama yang suci boleh dirosakkan dengan perilaku penganutnya. Buktinya? Lihat beberapa rakan IG beliau (you-know-who) atau peminat beliau barangkali bahawa beliau adalah simbol wanita Melayu Islam moden dan ke hadapan. 

Bukankah ini fitnah terhadap agama?

Dunia tidak memerlukan lebih ramai orang kaya dan berjaya. Apa yang dunia perlukan adalah orang yang bijak, pemberi dan pencinta.

Apa gunanya orang berjaya kepada masyarakat? Mereka ini hanya berminat mengumpul follower di media sosial dan menayangkan kisah hidup mereka agar peminat dapat berfantasi bersama-samanya. Realiti itu tidak. Realiti itu pahit. Jauhilah orang berjaya (terutama yang bodoh) kerana ia tak memberi manfaat langsung kepada kau.

Apa Azizan Osman bagi kat kau?

Ceritera Quinoa Najib

Quinoa (keen-wah) adalah bijian yang berasal daripada Amerika Selatan dengan Bolivia sebagai pembekal utama diikuti Peru dan Ecuador. Tanaman ni boleh dikategorikan sebagai tanaman purba oleh masyarakat sana kerana sudah hampir 4,000 tahun ia mula ditanam.

Quinoa ni bukan apa, dia mempunyai nilai nutrisi yang tinggi. Tinggi kandungan serat dan vitamin serta bebas gluten secara semulajadi. Disebabkan PBB pun ada mempromosi makanan quinoa sebagai salah satu makanan sihat, harganya mencanak naik berkali ganda. 

Yang merana adalah rakyat negara pembekal sendiri iaitu di Bolivia di mana hanya 10 peratus sahaja tanaman itu dijual di pasaran domestik. Manakala selebihnya adalah dieksport kerana harganya yang memberi pulangan tinggi.

Benda ni samalah macam petroleum kita. Produk berkualiti dan mempunyai nilai jualan yang tinggi akan dieksport keluar dan kita hanya menerima petrol berkualiti rendah. Sama juga macam kes jual air ke Singapura barangkali.

Produk quinoa ni mahal. Harga dia dengan sepaket beras (10kg) adalah dekat RM591++.

Kenapa banding dengan beras?

Sebab pemimpin kau menggantikan beras dengan quinoa. Benda macam ni tak payah bagitau orang pun ok je.

Kesan GST

Bagaimana GST mampu membankrapkan sesebuah syarikat?

Merujuk kepada tulisan Dato Ir Abdul Hak selaku pengerusi Malaysia Ship Owners' Association, syarikat dalam Malaysia perlu membayar GST setiap kali membuat pesanan peralatan. Ini dipanggil 'upfront payment' setiap kali berlaku transaksi.

Barang masih belum boleh dijual atau dijanakan keuntungan daripadanya tetapi GST perlu dibayar setiap kali pesanan dibuat. Dan kutipan semula GST adalah satu proses yang panjang dan mengambil masa. Lainlah jika ianya 'back to back'.

Maka, wujud satu kesulitan dalam sesebuah syarikat untuk survive apabila mereka perlu mengeluarkan satu belanja untuk cukai yang entah bila akan dapat semula sementara barang pula masih belum terjual. Lama kelamaan, syarikat tidak akan bertahan kerana sejumlah wang yang besar telah dikeluarkan semata-mata untuk membayar GST.

Jangan hairan jika ada banyak syarikat telah gulung tikar akibat penangan GST.

Sekian.

Penindasan Melalui OPR

Ramai yang masih kurang sedar tentang kenaikan OPR sebanyak 25 mata oleh Bank Negara baru-baru ini. Maklumlah, Lim Sian See ataupun Eric See-To - BNSC yang cegampang tu bukan nak tulis pasal ni pun dalam FB dorang. 

Kenaikan ni banyak beri kesan kepada pinjaman perumahan dan pelaburan ASB sebenarnya. Misal kata, sebelum ini bank menetapkan kadar bulanan (BR) sebanyak 4.18%, maka dengan kenaikan OPR, ia menjadi 5.05% (secara kasarnya) disebabkan bank memindahkan kadar kenaikan ini kepada pengguna. 

Ada juga keadaan di mana bank masih menetapkan kadar sama setiap bulan tetapi mereka mengurangkan bayaran prinsipal. Contohnya, setahun labur dalam ASB, kau boleh dapat RM1,900 tetapi dengan penetapan baru ni, kau hanya dapat RM1,400 sahaja.

Kesian kan? Belum masuk bab pinjaman perumahan tu. Tapi kau apa kesah. Yang kau kesahkan bila Mahathir bakal jadi PM semula, negara akan hancur.

Memilih Tahi

Ada orang bertanya di FB, jika kita dihidangkan dengan 2 pinggan tahi, mana kita akan pilih? 

Aku jawab. 

Pilih yang kurang tahi atau yang tahi yang lebih sedap daripada tahi yang lagi satu.

Masakan mungkin kau akan pilih tidak makan langsung kedua-dua tahi kerana pada akhirnya salah satu tahi akan menghantui hidup kau juga. Tahi akan dipalit ke muka kau. Kau hidup bergelumang dengan tahi yang teruk itu untuk lima tahun lagi. 

Sebab itu kita kena jadi bijak. Pilih tahi yang kurang mudarat.

We Are All Undi Rosak

Baru-baru dan sekarang ini semakin giat kempen Undi Rosak dijalankan. 

Apapun cara, kesemua perkara mengundi ini adalah hak untuk setiap rakyat di bawah negara demokrasi. Dan, cara yang baik untuk bertoleransi adalah dengan meraikan pendapat. 

Boleh dilihat gerakan dan kempen undi rosak ini dijalankan oleh kebanyakan pihak atas pagar dan page atas pagar (seperti pernah aku tulis sebelum ini) dan juga pihak yang kecewa dengan pembangkang. Kerana orang BN tidak akan melakukan undi rosak bersama-sama mereka.

Perlu diketahui bahawa penentangan terhadap UMNO bukan baharu. Bukan semasa era Mahathir. Bahkan sudah bermula sejak zaman sebelum merdeka. Bagaimana UMNO yang berkawan baik dengan British mula menolah perjuangan kiri seperti AWAS, API dan lain-lain.

Jadi, apabila muncul pihak-pihak yang mengaku kononnya mereka inilah yang menggerakkan kerja-kerja membantu pembangkang semasa PRU lepas, mereka perlu bertanya kembali apa asas perjuangan mereka?

Adakah sekadar menolak Mahathir pada era Reformasi 1998? Atau menolak sistem yang dibangunkan UMNO?

Jika ditanya pandangan aku (atau blog ini), kita menolak secara total sistem yang lahir daripada UMNO. Mahathir lahir daripada UMNO. Oleh itu, kita menolak UMNO dan bukannya Mahathir seorang. Dapat difahami bahawa trend penyokong pembangkang kini adalah menolak Mahathir (di dalam masa yang sama membenci BN).

Ya, Anwar juga lahir daripada sistem UMNO dan kebanyakan pemimpin pembangkang juga daripada situ. Tapi perlu difaham bahawa mereka ini bangun untuk menentang sistem korupsi dalam UMNO. Ya, tolak tepi Mahathir.

Jangan kerana wujudnya undi rosak ini, maka, Selangor akan kehilangan kuasa kepada BN atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Mahathir hanyalah satu entiti tahi di dalam satu gabungan yang belum terbukti tahap korupsinya jika dibandingkan dengan satu gabungan yang sudah memerintah terlalu lama sehingga sistem busuk mereka telah bernanah dari segenap kampung hingga ke peringkat kolar putih.

PPR dan Miskinnya Akhlak

Membaca kes mengenai kerusi yang dibuang dari tingkat 21 sebuah PPR sehingga mengakibatkan seorang nyawa melayang amat menyedihkan hingga ke sanubari.

Apa yang kita boleh harapkan dengan sebuah kejiranan di kawasan kos rendah? 

Aku sendiri tinggal di kawasan perumahan kos rendah. Walau bukan semua bersikap teruk namun, rata-ratanya mempunyai sifat dan mentaliti yang tidak mementingkan kebersihan dan keberadaan. Boleh lihat siang dan malam, sampah dibuang dari tingkap sahaja sehingga mengenai kereta orang. Kawasan lobi dan laluan penuh dengan sampah dan berair. Hal lif tak perlu cakaplah. Ada sahaja contengan dan kesan vandalisma. Bergaduh sesama ahli keluarga tak kira siang dan malam sehingga satu tingkat boleh dengar.

Bukan kita membuat persepsi liar terhadap perumahan kos rendah tetapi banyak kes sebegini dapat kita lihat di mana perkara kebersihan bukan menjadi asas utama mereka. Mereka sendiri agaknya selesa berada di kawasan kotor sehingga anak-anak mereka sendiri pun bermain di padang yang penuh sampah.

Mengapa jadi begini? Ia boleh dikaitkan dengan pemikiran atau mentaliti kelas ketiga. Mentaliti 'tak apa' dan 'tidak peduli' inilah yang memacu masyarakat sebegini untuk bersikap semberono dan sambil lewa sehingga mengabaikan norma-norma terpuji dalam kelas masyarakat. Mereka tidak lagi peduli tentang kata-kata orang. Mereka hanya tahu fikir bagaimana untuk 'survive' hari esok dan mendapatkan wang esok hari. Barangkali itulah yang berlegar di dalam ruang fikiran mereka.

Lantas, pemikiran mereka mencorakkan akhlak mereka terhadap sekeliling. Sayanglah jika akhlak mereka ini memberikan kesan kepada orang sekeliling yang lebih baik sampai ada nyawa tergadai.

Kesimpulannya, jika kita miskin, tidak perlu sampai miskin jiwa dan miskin akhlak.

Yang tak mampu tapi nak langgan Astro jugak tu kenapa?

Cikgu Sekolah

Post ni sepatutnya backdated pada awal tahun. Tapi aku baru sempat paste kat sini.

Saban tahun tiap kali musim persekolahan bermula, akan bermulalah satu kempen cikgu cantik, menarik dan berpakaian menarik yang ditularkan di laman Facebook atau whatsapp. Sehingga muncul komen, "rasa macam nak sekolah semula!", "macam ni, bukan budak je nak sekolah, bapak budak pun nak sekolah juga". Sambil tu, gambar-gambar cikgu muda itu ditularkan bersama.

Aku hairan kenapa benda bodoh sebegini pun mengundang penularan dan menjadi ruang perbincangan penting sehingga aku berasa apakah golongan lelaki sebegini tiada kehidupankah sehingga perkara ini pun boleh menjadi satu isu 'serius' dan usikan nakal mereka?

Kehidupan mereka nyata tidak bahagia dan mereka kurang kasih sayang. Bak kata budak-budak poyo, mereka ini jakun dan mudah terhibur.

Tidak ada apa pun yang menarik bersembang perkara fantasi yang membawa kepada perkara tak berfaedah. Dan jika ada rakan kau bersembang dan tularkan benda bodoh sebegini, jauhkanlah diri kau daripada mereka kerana itu sudah cukup membuktikan akal mereka setaraf telur burung unta.

Bani Subsidi

Jika disebut bani subsidi, maka, golongan Melayu di kampunglah yang boleh dikatakan bani subsidi.

Selama ini, jika aku di kampung, aku dengar pelbagai cerita dan merasai sendiri betapa kuatnya pengaruh UMNO BN di kampung-kampung dan pedalaman. 

Antara bentuk subsidi yang mereka dapat secara berterusan dan berkala ialah penerimaan beras dan barangan dapur, lawatan percuma ke mana-mana tempat anjuran UMNO yang melibatkan pemimpin turun padang (kadangkala sampai ke KL), kain pelekat 1Malaysia, ketua kampung dapat mengerjakan umrah secara percuma, dapat jalan yang sentiasa diturap dan macam-macam. Paling utama, asalkan BN jaga bekalan air mereka, elektrik mereka dan jalan kampung mereka, mereka tidak kisah untuk beri undi kepada BN.

Inilah kekuatan UMNO di kampung-kampung. Mereka menyumbang secara berterusan di kampung sehingga adakalanya siapa yang lebih kuat pengaruh dan kronismenya, maka, dialah akan mendapat pelbagai bantuan termasuk menerima tanah.

Sebab itu, orang kampung tidak kisah mengundi UMNO walau kau hidang mereka cerita korupsi tentang 1MDB dan Felda sekalipun. Yang penting, dapur mereka berasap dan perut mereka terisi.

Pada akhirnya, perlu muncul satu generasi baharu di kalangan anak muda di kampung-kampung untuk memberi satu wadah baharu kepada segenap lapisan masyarakat supaya berhenti menyokong UMNO.

Jangan Ambil Padang Kami Dalam Hakikat Sebenar

Aku pernah beberapa kali bermain di padang bola Jalan Jujur, Bandar Tun Razak ni. Dan setelah sekian lama, penduduk asal menentang pembangunan kondominium di atas padang awam ini, akhirnya, syarikat kapitalis berjaya menyahkan satu aktiviti dalam kehidupan remaja dan belia di sini.

Ku Nan kata ada ganti satu padang DBKL berdekatan Permaisuri. Tapi siapa nak pergi main sana. Perlu permit kebenaran. Perlu ikut masa ditetapkan. Siapa yang suka ikut ketetapan masa bermain mereka? Kenapa mereka tidak boleh diberi kebebasan untuk bermain ikut masa yang mereka suka?

Padang yang disediakan DBKL akhirnya tak berguna pun. Mungkin salah satu tindakan protes agaknya. Dan, yang menang tentulah syarikat kapitalis yang menindas orang awam. Bangunkan kondo. Jual mahal-mahal. 

Akhirnya, tak mampu dibeli orang dan gejala kerosakan akhlak bertambah akibat tiada lagi tempat anak muda mengeluarkan peluh untuk bermain. 




Semua Boleh Bikin Jadi!

Isu Forex ni dulu kalau kau ingat, BN mati-matian kata ini adalah fitnah pembangkang pada zaman tu.

Sekarang, Mahathir dah keluar UMNO, semua benda akan dibuka kembali sampai RCI ditubuhkan.
Agaknya, kalau Najib keluar UMNO nanti, RCI 1MDB ditubuhkan kot?

Tapi, bagi kami, lantaklah nak siasat Mahathir pun. Itu juga yang diperjuangkan pembangkang dahulu. Kalau terbukti salah, ia tak akan mendatangkan kudis pun pada PH. PH berdiri bukan kerana Mahathir. Mahathir bukannya mengasaskan gabungan PH pun. Jadi, tak perlu risau. 

Bahkan, kami lebih suka jika Mahathir didakwa kerana itu akan membuktikan bahawa sesiapa yang berkuasa di dalam BN walau era mana sekalipun, akan mempunyai kuasa politik, pengaruh (sampai kabinet menteri pun boleh tertipu dengan Perdana Menteri Mahathir masa tu, datut??). Itulah yang memberi nafas BN iaitu korupsi, salahguna kuasa dan ketirisan. Biar mereka sendiri membogelkan diri mereka sendiri. 

Kita hanya perlu rilek dan mengundi sahaja hapuskan UMNO. Terhapusnya UMNO, maka, terhapuslah kerosakan yang lebih besar. 

Dan bak kata pepatah pemuda Umno kampung aku, "semua kita boleh bikin jadi!"

Sang Diktator


Kekayaan anak beranak Dr Mahathir diputarkan kembali. Kebarangkalian kes ini dinaikkan kerana PPBM memohon derma untuk menghadapi PRU. 

Taknak ulas bab mohon derma tapi bila sebut kekayaan anak-beranak Mahathir ni kita harus tanya semasa zaman bila ia dilakukan dan bagaimana ia dilakukan. Begitu jelas dan terang apabila berada dalam sesebuah parti (yang sudah lama memerintah), kita akan mudah mendapat pelbagai keistimewaan termasuklah kekayaan dalam sekelip mata

Bagaimana mungkin kekayaan ini hadir jika tidak kerana adanya jawatan di dalam kerajaan yang berkait dengan seseorang yang sangat berkuasa disebarkan kepada anak-beranak? 

Sebab itu, kita tolak rejim dan sistem yang digunapakai sampai saat ini. Pergi mampuslah sama Mahathir dan sistem yang ada sekarang ni. 

Kesimpulan mudah, tolak sistem, akan selamatlah Malaysia ini. Tolak Mahathir, akan muncul Mahathir lain.
 
Google Analytics Alternative