Thursday, March 22, 2018

Lelaki Kurang Sabar dan Sebuah Revolusi

Untuk membangkitkan revolusi bukan hanya dengan mempunyai hati yang dikatakan kudus mahupun suci. Sebaliknya, mestilah mempunyai rasa kurang sabar dan membentak dalam lingkungan yang terkawal dan masih mempunyai batas.

Bak kata pepatah Inggeris,

"Progress of civilization depends solely on the shoulders of the impatient men."

Boleh dilihat hari ini kita pasti berkata, 'eh tak apalah', 'yang kau busuk hati kenapa'. 'Eh, biarlah dia, kubur sendiri'. 'Cermin diri dahulu bro'. 'Suka negatif sangat, cubalah positif'. 'Bersyukurlah ada kerajaan macam ni'.

Cuba kita katakan sebegini apabila British datang menjajah kita? Andai Mat Kilau duduk diam di rumah tidak mencampuri urusan orang dan cukai British, andai Haji Abdul Rahman Limbong hanya duduk di rumah tidak melawan hak tanah bangsanya, andai Rentap hanya rilek-rilek menerima sahaja penindasan Brooke atau mungkin AWAS, API duduk sahaja di rumah sambil berfikiran positif sesuci nurani, apakah revolusi boleh tercetus?

Sebab itu, kita semakin hari semakin gagal. Kita terus gagal membangkitkan rasa penentangan terhadap penindasan yang sudah terlalu lama. Lantas, kita hanya tahu bertanya, mana penindasannya? Bukan tidak ada Melayu yang kaya-raya dan hidup senang bertanya soalan yang sama ketika era kolonial British. 

Mana jahatnya British? British buatkan jalan, British beri kita hidup dan berjalan secara bebas, British benarkan kita berniaga dan bermain, British benarkan kita bercucuk tanam dan membela lembu serta banyak lagi British benarkan. Ini soalan bangsa yang lemah ketika itu tatkala hidung telah dicucuk pun masih jalan berkepak bertanya, mana zalimnya British?

Lalu, generasi hari ini menumpahkan soalan sama. Mana jahatnya Barisan Nasional yang memberikan kita macam-macam?

Sebab itu, penentangan perlu digalas di bahu orang yang kurang sabar seperti pepatah di atas tadi. Kerana hanya orang yang bodoh dan buta mata hati akan hanya terus seronok dalam dunia yang mereka fantasikan sendiri sambil terus bertanya, 'mana jahatnya BN'?


No comments:

 
Google Analytics Alternative