Untuk membangkitkan revolusi bukan hanya dengan mempunyai hati yang
dikatakan kudus mahupun suci. Sebaliknya, mestilah mempunyai rasa kurang
sabar dan membentak dalam lingkungan yang terkawal dan masih mempunyai
batas.
Bak kata pepatah Inggeris,
"Progress of civilization depends solely on the shoulders of the impatient men."
Boleh dilihat hari ini kita pasti berkata, 'eh tak apalah', 'yang kau
busuk hati kenapa'. 'Eh, biarlah dia, kubur sendiri'. 'Cermin diri
dahulu bro'. 'Suka negatif sangat, cubalah positif'. 'Bersyukurlah ada
kerajaan macam ni'.
Cuba kita katakan sebegini apabila British
datang menjajah kita? Andai Mat Kilau duduk diam di rumah tidak
mencampuri urusan orang dan cukai British, andai Haji Abdul Rahman
Limbong hanya duduk di rumah tidak melawan hak tanah bangsanya, andai
Rentap hanya rilek-rilek menerima sahaja penindasan Brooke atau mungkin
AWAS, API duduk sahaja di rumah sambil berfikiran positif sesuci nurani,
apakah revolusi boleh tercetus?
Sebab itu, kita semakin hari
semakin gagal. Kita terus gagal membangkitkan rasa penentangan terhadap
penindasan yang sudah terlalu lama. Lantas, kita hanya tahu bertanya,
mana penindasannya? Bukan tidak ada Melayu yang kaya-raya dan hidup
senang bertanya soalan yang sama ketika era kolonial British.
Mana jahatnya British? British buatkan jalan, British beri kita hidup
dan berjalan secara bebas, British benarkan kita berniaga dan bermain,
British benarkan kita bercucuk tanam dan membela lembu serta banyak lagi
British benarkan. Ini soalan bangsa yang lemah ketika itu tatkala
hidung telah dicucuk pun masih jalan berkepak bertanya, mana zalimnya
British?
Lalu, generasi hari ini menumpahkan soalan sama. Mana jahatnya Barisan Nasional yang memberikan kita macam-macam?
Sebab itu, penentangan perlu digalas di bahu orang yang kurang sabar
seperti pepatah di atas tadi. Kerana hanya orang yang bodoh dan buta
mata hati akan hanya terus seronok dalam dunia yang mereka fantasikan
sendiri sambil terus bertanya, 'mana jahatnya BN'?