Alhamdulillah, baru-baru ni saya mendapat rezeki dan peluang berkunjung ke Singapura sekali lagi. Namun, kali ini, perjalanan saya terhad hanya ke Universal Studios Singapura (USS) sahaja. Jadi, tiket untuk masuk ke dalam tempat ni, anda paham-pahamlah ye dia punya mahal. Lagipun, saya berkunjung di atas tiket pakej rombongan bersama pakcik saudara. Mungkin, kalau ramai, harganya murah sedikit dan kunjungan bukan di masa peak hour.
Mercu tanda USS di hadapan pintu masuk
USS terletak di dalam rantau Pulau Sentosa. Dahulu, saya hanya mampu melihat USS ni dari luar je, dan sekarang berpeluang singgah dan masuk terus ke dalamnya. Di dalam USS ni, ada 7 kawasan taman tema utama iaitu Hollywood, Madagascar, Far Far Away, The Lost World, Ancient Egypt, Sci-Fi City dan New York. Kami bermula di Hollywood di mana kawasan ini ibarat kedai-kedai seperti dalam gambaran filem Hollywood baik daripada kawasan pejalan kakinya, rekaan bangunannya, hiasan jalanannya dan macam-macam lagilah. Jika masanya kena, anda akan dapat menikmati perarakan watak-watak filem Hollywood di sini. Time lalu area ni, takde pulak perarakan, cuma ada Frankenstein je.
Nampak macam Hollywood ka?
Seterusnya, checkpoint kedua ialah Madagascar. Di sini, ada tarikan 'Boat Ride' di mana kita naik bot sambil melayani keletah binatang-binatang Madagascar. Walaupun agak keanak-anakan tetapi still impressive. Bagi checkpoint ketiga yakni di Far Far Away, kita dihidangkan dengan sebuah persembahan visual 4D daripada filem Shrek. Ini juga satu persembahan yang hebat di mana kita boleh merasai semburan air ke muka apabila watak Donkey bersin dan juga merasai seperti kaki kita dinaiki labah-labah. Memang satu pengalaman yang amat menarik dan canggih.
Tarikan utama adalah sang Shrek
Sebelum sampai ke checkpoint keempat, kami sempat menikmati persembahan hebat yang diadaptasi daripada filem Waterworld. Ibarat sebuah teater bertemakan air, penonton juga sama-sama dapat merasakan percikan air dan paling menakutkan adalah apabila penonton juga akan disimbah dengan air oleh para pelakonnya. Walaupun cuma berdurasi lebih kurang 15 minit, saya merasakan persembahan hebat yang diiringi tembakan, letupan dan percikan air ni seperti sukar untuk diluputkan dari ingatan.
Pentas canggih yang dipenuhi dengan pyrotechnic
Bagi checkpoint di The Lost World, saya dan rombongan terpaksa memendekkan masa perjalanan dan skip ke checkpoint seterusnya. Walaupun cuma baru 4 tempat yang dikunjungi, ia sudah memakan masa hampir 4 jam. Jadi, untuk The Lost World punya tarikan, terpaksalah saya skip ke tahun mendatang. Manalah tahu, dapat pergi dengan bini pulak ke...Haha! Oh ya, di checkpoint kelima iaitu The Ancient Egypt juga terpaksa kami skip bagi merasai pengalaman yang seterusnya. Mungkin di lain kali.
Menaiki salah satu roller coaster yang cukup mengecutkan perut
Seterusnya, di Sci-Fi City, saya berpeluang menaiki antara roller coaster yang menakutkan bagi saya. Walaupun tak banyak roller coaster di Malaysia yang saya cuba, tapi di sini, roller coaster Battlestar Galactica adalah antara yang menarik. Walaupun naik cuma seminit, saya sentisa memikirkan bilalah agaknya roller coaster ni nak habis ketika di udara.
Kafe bagi robot?
Dan, saya pun sampai di checkpoint yang dinantikan sekian lama iaitu menaiki Transformers Ride. Walaupun pada mulanya, mereka memaklumkan ada beberapa kerosakan teknikal terjadi, namun tidak sampai setengah jam, kami dimaklumkan bahawa permainan tersebut selamat untuk dinaiki. Menarik mengenai permainan ini adalah penonton akan duduk di dalam sebuah kereta yang digerakkan di atas rel dan seterusnya disajikan dengan pengembaraan Transformers di layar 3D. Ia sangat menakutkan ditambah dengan kereta tersebut yang turut sama bergoyang mengikut perjalanan cerita. Bagi saya, inilah antara permainan yang wajib dicuba jika anda berkunjung ke USS.
Maskot Optimus Prime yang sedia bergambar dengan anda
Dan, di New York pula, saya sempat berkunjung ke Lights, Camera, Action! yang dikendalikan oleh Steven Spielberg (kononnya) dan menikmati kesan khas yang dijana di dalam filem-filem Universal. Ada satu ketika babak letupan, seorang kanak-kanak berusia lebih kurang 6 tahun menangis kerana terkejut. Jadi, hati-hatilah ketika membawa anak-anak kecil yang berusia 6 tahun dan ke atas kerana ia mampu membuat anda terkejut secara tiba-tiba.
Kotaraya New York?
Akhirnya, lengkaplah perjalanan saya dan rombongan di USS pada pukul kira-kira 6.30 petang. Masuk pukul 10 pagi dan keluar 6.30 petang, itupun ada beberapa taman yang kami skip kerana mengejar waktu walaupun ketika itu bukanlah waktu puncak. Jadi, nasihat saya bagi mereka yang ingin ke USS. Rancang sebaiknya jadual permainan yang ingin anda lawati dan cuba elakkan waktu cuti umum atau hari Jumaat. Hari Isnin yang saya pergi ni pun dah ramai orang apatah lagi jika waktu cuti.
Bagi bab makanan pula, hati-hati jika hendak membeli, pastikan yang halal dan dikendalikan Muslim. Saya cadangkan makan di restoran Arab di kawasan Ancient Egypt. Untuk kemudahan surau pula amat mendukacitakan kerana mereka hanya menyediakan sebuah surau yang teramat kecil dan cuma ada satu tempat wuduk. Saya bernasib baik kerana ketika selesai saja solat, berduyun orang datang ke surau tersebut sehingga terpaksa menanti lama di luar. Sekian, kembara saya kali ni dan saya berharap semoga dapat berkunjung lagi ke sini.
Notakaki - Dimaklumkan bahawa gambar-gambar adalah hakcipta terpelihara. Sebarang penculikan gambar haruslah dimaklumkan terlebih dahulu supaya tiada kes saman menyaman terjadi.