Tuesday, November 21, 2017

Tuhan TV Dalam 'Pop Culture'

Dunia adalah satu rahmat tanpa Astro. Sebab itu, orang genius tidak ada Astro di rumah.

Aku masuk satu homestay dan buka tv, kesemuanya rancangan yang entah apa-apa daripada Astro. 

Aku terfikir juga. Betapa ramai dari kita yang telah 'beriman' dengan Astro di mana jika pindah ke mana-mana mesti nak pasang Astro. Demi mendapatkan gambar rancangan tv yang jelas, mereka ini disaran pasang Astro. Seakan tiada pilihan lain. Mereka ini tanpa sedar telah bertuhankan Astro.

Astro dengan secara mudahnya telah menjentik emosi orang Malaysia dan Melayu khususnya walaupun dalam hujan tiada signal, main cerita sama berulang dan cekik darah supaya kekal melanggan Astro.

Apabila Astro bukak semua saluran sebab memang anugerah, maka, orang Melayu jugak yang seronok bukan kepalang sampai benda itu pun nak dihebah dalam group Whatsapp dan FB. Padahal, mereka inilah juga yang maki Astro masa tiada siaran atau waktu nak potong saluran, kena caj dengan Astro.

Sesungguhnya, jika dilihat di dalam media sosial, Dato Vida dan Dato Alif Syukri sering menjadi bahan jenaka orang kita tetapi tanpa sedar, rancangan mereka seperti AF, Gegar Vaganza, etc tetap juga menjadi tontonan golongan musibat ini. Inilah Melayu sembang belakang tapi tak sedar kepala tertunduk menyembah kapitalis. Lebih malang, mereka tidak mahu mengaku dan malu untuk mengatakan mereka bukannya menonton gelagat 2 orang itu tetapi sekadar menonton rancangan sahaja.

Astro membuat kekayaan dari kebodohan orang kita dan Melayu khususnya. Ada anak kecil, mereka tampilkan program Ceria I-Star. Ada anak atau pemuda acah alim nak popular, mereka ada Imam Muda. Ada pemuda pemudi nak popular menyanyi, mereka tampilkan rancangan Akademi Fantasia. Ada orang tua tak sedar diri, mereka tampilkan Kilauan Emas dan Gegar Vaganza. Ada orang Melayu nak kaya dengan menjadi bahan lawak, mereka ada Raja Lawak.

Kesimpulannya, Astro boleh 'membeli' orang Melayu yang kurang bijak dengan wujudnya program-program sasaran mereka. Mereka tahu, Melayu sikapnya marah sekejap sahaja. Jika rasa marah bila Astro caj denda ketika nak potong saluran, mudah saja. Mereka buka semua saluran secara percuma dan menambah promosi lain. 

Kita sebenarnya mempunyai pilihan. Pilihan untuk menamatkan Astro atau langsung tidak melanggan dari mula. Kerana apabila Astro, walau sudah banyak mana saluran mereka sekalipun, kita tetap juga menonton dua atau tiga saluran sahaja lebih-lebih lagi waktu malam dan hujung minggu. 

Itulah kita. Bertuhankan Astro. Hidup tanpa Astro itu sebenarnya lebih bahagia dan aman. Nak tengok bola? Langgan internet yang baik sahaja sudah cukup.


Sang Lembu Di Kedai Makan

Baru-baru ini tular satu post FB mengenai seorang lelaki membawa anaknya makan di sebuah kedai makan di mana terdapat pasangan sedondon yang salah seorangnya menghisap rokok tanpa menghiraukan anak kecil lelaki ini tadi.

Dapat menjengah ke ruangan komen di page Oh Bulan!, di mana lelaki ini telah dikecam dari perokok sampailah ke makcik-makcik dan gadis-gadis yang menegur bahasa yang agak biadap terhadap perokok dan pasangannya tersebut di dalam status tersebut.

Ya, lelaki itu salah kerana bahasa agak kasar tetapi kadangkala bahasa kasar itulah ucapan yang lebih sesuai untuk orang degil. Oh, tegur depan-depan juga telah menjadi satu standard di mana rakyat Malaysia yang berani adalah yang pergi menegur depan-depan sebelum mentularkan sesuatu. Bijaknya lelaki itu apabila ia tidak memasukkan muka pasangan terbabit supaya tidak masuk pula cerita buka aib.

Berbalik kepada isu tegur depan-depan tadi, adakah rakyat Malaysia sudah bersedia untuk melakukan perkara ini? Adakah mentaliti menegur secara 'gentleman' ini telah boleh diserap dalam budaya kita? Adakah kita semua sudah cukup berani untuk menegur berdepan-depan? 

Kita juga tidak begitu. Jika kita menegur depan-depan, kita tidak mungkin tahu perangai buruk perokok. Atau ia mungkin akan menafikan perkara pokok dalam isu ini iaitu..
hisap rokok adalah haram. 

Sedangkan arwah tuan guru Nik Aziz pun menggelar perokok adalah lembu, siapa kita untuk mengecam lelaki yang nyawa anaknya telah diperjudikan (walau mungkin akibat kebodohan diri sendiri)? 

Inilah perkara asas dalam isu ini. Tidak ada dakwa dakwi lagi.

Tuesday, November 07, 2017

Jenis Masyarakat Era Ini

Melihat senario masyarakat hari ini yang sudah semakin parah dalam menangani isu, maka, adalah perlu masyarakat kembali berfikir menggunakan kepala otak (bukan kepala bapak engkau) mereka.

1. Masyarakat yang belajar ilmu tanpa guru
Ini adalah satu kebahayaan sehingga dalam satu khutbah baru-baru ini disebutkan bahawa masyarakat yang tidak berguru dalam mempelajari kitab adalah lebih bahaya daripada Dajal. Mereka cenderung mentafsir ilmu sekerat-sekerat daripada beberapa sumber kecil dan kemudian menyebarkannya seolah-olah mereka sudah faham nas dan dalilnya. Lihat saja perangai mereka di alam maya apabila menggunakan kepandaian mereka yang sedikit itu sahaja lalu mereka pun akan menjatuhkan hukum.

2. Masyarakat yang terlampau defensif
Ini satu kecenderungan baharu hasil daripada poin nombor 1 tadi. Mereka defensif terhadap mereka sehingga menutup ruang keterbukaan sedangkan agama Islam adalah rahmat buat semua umat. Contoh isu, kedai dobi dan terbaharu, isu banjir yang membawa kepada bukan Islam berteduh di sebuah surau. Inilah hasilnya berguru tanpa 'guru'.

3. Masyarakat yang tidak fiqh awlawiyyat
Masyarakat ini gagal melihat keutamaan yang lebih besar dan mana yang kurang mudarat. Sindrom ini semakin lama semakin membesar kerana wujudnya orang yang kononnya berada di atas pagar memecah-belahkan masyarakat.

4. Masyarakat yang taksub dengan duniawi
Ini juga semakin merebak. Orang-orang kaya dan golongan artis seringkali menjadi pujaan masyarakat ini. Orang berilmu semakin dipandang sepi, orang yang berumpan populis ini juga yang didambakan masyarakat. Lihat saja apabila si kaya membuat kesalahan, akan muncul penyokong mereka yang akan 'mengajar' anda supaya tidak menjaga tepi kain orang, tidak berhasad dengki, tidak berhati hitam walhal cuma kebenaran sahaja ditegakkan. Lihat bagaimana Azizan Osman yang menggunakan ilmu palsu bagi mencipta kelompok penyokong yang bukan kecil anak. Lihat juga Dr Vida dan Dato Alif Syukri yang menggunakan kekayaan untuk mencipta penyokong yang setia di belakang mereka (secara membuta tuli). Pada akhirnya, masyarakat berilmu dan tokoh ilmuan tidak dipandang lagi. 

5. Masyarakat yang taksub dengan kekayaan
Mereka taksub dengan kekayaan sehingga mereka sanggup memijak orang lain. Ada aku terbaca di dalam satu posting mengenai hartanah yang menyatakan apalah salahnya memiliki lebih daripada 2 buah rumah jika mampu. Akhirnya, mereka yang tidak mampu atau membangkang mereka, dituduh tidak mahu berusaha lebih, banyak beralasan dan cemburu dengan orang lain. Masyarakat seperti inilah yang telah menyuburkan kapitalisme dalam diri mereka tanpa mereka tidak sedar. Poin mereka adalah menyalahkan orang lain walhal realitinya, memang mereka tidak mampu dan tindakan mengumpul rumah untuk dijadikan bisnes dan aset mereka samalah seperti sifat syaitan. Sifat materialistik dan keperluan untuk bersaing di dalam media sosial mengenai siapa paling banyak peralatan IKEA, siapa paling banyak mengembara ke luar negara, siapa paling banyak rumah, siapa paling bahagia kehidupan mereka, siapa paling banyak makan di restoran mewah telah mencambahkan lagi sifat ketaksuban mereka dalam mengejar wang ringgit dan ia mesti didapatkan dalam apa jua cara sekalipun. 

Sekian.

Menonton Korupsi Kelas Bawahan

Baru-baru ini aku singgah di RnR sebuah plaza tol lebuhraya antara bandar bagi menyempurnakan dua benda normal manusia. Sedang aku menunggu orang, aku pun duduk berehat di sebuah pangkin berdekatan tandas plaza tol berkenaan. 

Aku melemparkan pandangan ke arah 2 orang pekerja pembersihan yang sedang melakukan kerja-kerja menyapu. Pada mulanya, aku tidak menyangka apa-apa sehinggalah salah seorang pekerja yang aku fikir orang tempatan mengeluarkan telefon bimbitnya.

Pekerja tersebut mula mengambil gambar rakannya sedang menyapu. Yang lebih menghairankan, beliau menyuruh rakannya bergaya seakan menyapu sampah di mana rakannya itu berada dalam keadaan pegun bagi membolehkan gambar diambil. Beberapa sudut pandangan diambil sambil rakannya terus berada dalam keadaan pegun.

Setelah selesai satu kawasan, mereka beralih ke tempat berdekatan bahu jalan di mana terdapat sampah-sampah dan daun kering. Peliknya, kawasan yang mereka 'bergaya' mengambil gambar tadi masih tetap tidak bersih dan sampah masih terbiar seperti sebelum mereka datang. Apabila mereka beralih kawasan, aksi yang sama dipertontonkan kepada aku iaitu rakannya mengambil gambar dengan seorang rakan lagi bergaya seakan-akan sedang menyapu sampah.

Kemudian, mereka pun beredar ke sebuah bilik yang aku syak, bilik rehat pekerja pembersihan tersebut. Aku jadi hairan dan terkejut. Sampah masih ada dan terbiar tetapi mereka seakan-akan sudah siap bekerja. Bukan hendak memfitnah atau bersangka buruk, namun perkara seperti ini pasti menghairankan kita.

Nampaknya, moral segelintir masyarakat sudah terjejas dari seatas-atas pimpinan sehingga ke bawah-bawahnya. Dunia semakin tidak berpihak kepada orang berilmu dan berintegriti. Manakala, yang jahil pula berada di tempat yang tidak sepatutnya. Lebih malang, kelompok jahil ini mempunyai peminat dan penyokong mereka sendiri.

Ini era depresif....

Gerakan Kiri Melayu Yang Terpinggir

Ada beberapa orang telah menentang hujah mengenai sejarah ditulis oleh orang menang di sebuah page ini lama dahulu. Logik mereka adalah , tiada kepalsuan dalam sejarah kerana sejarah akan kekal fakta. Ini satu pencelaan terhadap fakta sebenar yang diketepikan dan satu penghinaan kepada orang yang 'kalah berjuang' dalam asakan kolonial dan imperialisme walhal mereka juga menjadi salah satu komponen penyumbang kepada gerakan anti penjajah.

Dalam perjuangan untuk mencapai kemerdekaan, gerakan nasionalisme Melayu terbahagi kepada aliran kiri dan aliran kanan. Aliran kiri dipelopori oleh Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang kemudian diteruskan oleh PKMM dan badan gabungannya Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan Barisan Tani Se-Tanah Air (BATAS). 

Aliran kanan pula dipelopori oleh persatuan Melayu negeri-negeri dan diteruskan oleh UMNO sehingga mereka beroleh kemerdekaan. Perjuangan nasionalisme kiri gagal mencapai matlamatnya walaupun mengeluarkan Perlembagaan Rakyat yang lebih bersifat inklusif sehingga mereka terkeluar dari arus perdana kerana tekanan penjajah dan hanya mendapat sokongan minoriti Melayu.

Namun, ada kelompok kecil aliran kiri ini telah memilih jalan lain bagi membebaskan negara dari cengkaman British dengan menyertai perjuangan bersenjata iaitu Parti Komunis Malaya (PKM) mulai 1948 setelah mendapati perjuangan secara damai tidak dapat diteruskan lagi. Perjuangan mereka ini hanya berakhir dengan termeterainya Perjanjian Damai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan Thailand pada 1989 di Hadyai.

Begitulah nasib aliran kiri apabila aliran kanan memilih pendekatan untuk berbaik dengan penjajah bagi mendapatkan kemerdekaan. Aliran kiri terpinggir dan dimomokkan sebagai kejam dan tidak berperikemanusiaan di dalam buku teks sejarah sekolah. Perjuangan sama cuma pendekatan berbeza. Ini fakta yang kita tidak boleh tipu kepada cucu cicit generasi masa hadapan kita.


 - Ekstrak di atas dipetik dari buku Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan oleh Mohamed Salleh Lamry (Prof Madya Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM).

Sumbangan Tanah Melayu Kepada England

Semenanjung Tanah Melayu memberikan sumbangan yang besar kepada British yang kehilangan banyak wang akibat perang pada tahun 1910 melalui eksport getah dan bijih timah. 

Pada awal kemerdekaan pula, getah asli dan bijih timah menyumbang 85 peratus pendapatan eksport kasar bagi Tanah Melayu. Di sebalik sumbangan besar Tanah Melayu kepada pendapatan dan pembangunan British pasca perang, perbelanjaan awam penjajah di Tanah Melayu sangatlah sedikit apabila kesemua hasil pendapatan ini dibawa ke England untuk manfaat golongan kapitalis atasan British, bukannya untuk peribumi Tanah Melayu.

- Dipetik dari buku Antara Dua Darjat (Dr Muhammed Abdul Khalid)

Wednesday, October 25, 2017

Empangan Ilmu Yang Dipecahkan

Semalam, aku tertonton satu rancangan di televisyen kerajaan mengenai pendapat panel yang terdiri dari pakar ekonomi, pakar pendidikan dan usahawan mengenai bajet. Perbincangan pada mulanya menarik tetapi dua ahli panel (Naib Canselor UPSI dan Presiden Gabungan Usahawan) mula melalut tentang sikap rakyat. Padahal, intipati perbincangan adalah mengenai ekonomi dan bajet. Pakar ekonomi, Dr Mohamad Khalid berada dalam perbincangan dan dalam konteks apabila berhujah sehingga keupayaan beliau mengingati statistik dan data-data dari analisis beliau pasti akan mengkagumkan kita. Mari kita simpulkan beberapa perkara mengenai pandangan golongan intelektual (kononnya) terhadap rakyat kelas bawahan.

1. Rakyat yang suka merungut dan meminta-minta ini tidak mahu mengubah sikap. Bak kata Naib Canselor UPSI, berilah gaji mereka tinggi mana sekalipun, tetapi jika mereka tidak mahu mengubah nasib dan mentaliti mereka, mereka tidak akan ke mana. 

Gaji tinggi bermasalah, gaji rendah pun bermasalah. Ini rumusan Naib Canselor tersebut. 

2. Ubah cara hidup. Ingatkan menteri saja yang suruh ubah cara hidup. Rupanya orang kaya, orang intelek (segelintir) dan orang acah-acah kaya pun suruh marhaen ubah cara hidup. 

3. Terima apa yang kerajaan buat secara positif. Lagi sekali, Naib Canselor UPSI mengatakan walau efektif mana sekalipun bajet dibuat, tidak akan berjaya jika rakyat tidak positif. Tidak ada mana-mana kerajaan di dalam dunia ini buat bajet yang 100% disukai rakyat. 

4. Generasi subsidi merosakkan aspirasi kerajaan. 

Inilah satu lagi mentaliti orang 'atas awan' yang suka menerima apa sahaja yang kerajaan laksanakan. Kegagalan menyelami perasaan dan kesusahan rakyat seringkali menjadikan mereka dibuai hakikat bahawa rakyat seringkali berfikir secara negatif. 

Jadi, kita sudah sedia maklum akan perkara yang sering dilaungkan orang kapitalis, orang kaya, orang yang positif (rakyat sahaja yang negatif) dan segala macam orang yang tidak faham konteks sebenar apa itu intipati atau garis panduan tepat dalam pembelaan kepada nasib rakyat. Dan akhirnya, rakyat akan disalahkan jika mereka gagal mendapatkan sesuatu. Pada akhirnya, ini menjadi ratib mereka kepada marhaen:

~ Kadar pengangguran naik - graduan memilih kerja, graduan tidak menguasai 'softskill, graduan tidak menguasai Bahasa Inggeris.
~ Kos sara hidup meningkat - rakyat suka merungut, pendatang asing pun ramai berkemampuan, pendatang asing pun boleh 'survive'.
~ Pendidikan tidak meliputi semua kelas masyarakat - pelajar malas, pelajar suka buang masa, pelajar suka komplen, pelajar taknak berusaha memasuki sekolah bagus.

Ini contoh cakap-cakap bangang yang bermain di bibir mereka. Mereka ini tidak sekalipun melihat kepada statistik dan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia. Mereka lebih kepada penilaian atau 'assumption' mereka sendiri dan menyalahkan sikap. 

Cendikiawan berusaha membina 'empangan ilmu' untuk dinikmati rakyat segenap masyarakat tetapi yang memecahkan empangan ini adalah golongan yang terlalu selesa dalam kehidupan mereka dan menyuruh rakyat mengambil timba sendiri untuk menadah air di sungai.

Boleh tonton video di link ini.

Monday, October 23, 2017

Pemain Muzium



Punyalah biadap dan kurang ajarnya Khairy Jamaluddin ni sampai panggil bekas pemain supaya berehat di muzium.

KJ ni dahlah mewakili Kementerian Belia dan Sukan. Ini secara tidak langsung mewakili pandangan KBS supaya pemain lama perlu berehat dan tidak perlu bersuara mengkritik apa yang tak betul. Jika benar, maka, KBS adalah salah satu kementerian tak guna yang tidak mahu langsung menghormati dan menjaga pemain lama. 

Apa salahnya meraikan kepelbagaian pendapat? Mengapa mahu terus mengatakan Jamal Nasir selaku bekas pertahanan skuad Olimpik Moscow 1980 ini berasa iri hati dan dengki dengan FAM? Pemain yang telah melayakkan skuad negara ke Olimpik Moscow 1980 ni nak dengki kepala bana apa dengan JDT atau FAM? Inilah tahap pemikiran KJ yang hanya tahu bercakap menggunakan kepala b***. 

Isunya mudah saja. Dan Robert Alberts juga pernah bersuara mengenai perkara ini. Kemudian, KJ memetik jika Sepanyol kalah, adakah Barcelona perlu disalahkan? Sah-sah KJ ni buta bolasepak.

England gagal teruk dalam beberapa kempen Piala Dunia dan kebanyakan pundit dan pengkritik menyalahkan FA di atas kegagalan mengawal liga daripada dibanjiri pemain import sekaligus menghancurkan masa depan pemain England. Namun, England bertuah kerana setiap akademi bolasepak di bawah naungan kelab mereka mempunyai perancangan dan latihan yang sempurna bagi memastikan mereka tidak ketandusan bakat baru. Cuma, apabila masuk bab Liga Perdana mereka, pemain-pemain ini akan hancur teruk.

Jadi, kepada Khairy Jamaluddin, bercakaplah menggunakan akal dan jangan menggunakan kepala b*** apabila berkata. Jagalah bekas pemain yang telah banyak menyumbang pada negara. Mereka tu kebanyakan dah pangkat Datuk, kau ada ke?

Sumber berita : https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2017/10/339887/bekas-pemain-patut-berehat-di-muzium-khairy

Thursday, October 19, 2017

Tombiruo : Sindiran Kepada Konsesi Balak

Aku tidak pernah membaca novel Ramlee Awang Murshid tersebut, maka, ini adalah ulasan berdasarkan filem tersebut semata tanpa mengambilkira adaptasi tersebut. Permulaan 20 minit Tombiruo sangat menarik dan menepati standard sebuah filem antarabangsa. Dari kisah pengenalan Tombiruo sehinggalah adegan kejar-mengejar antara Tombiruo dan geng penyangak balak.

Kemudian, selepas itu, kita akan dipertontonkan dengan plot yang banyak tanda tanya dan filem yang bergerak laju tanpa sempat kita memproses apa konflik yang berlaku di dalam syarikat Anak Bumi tersebut. Seakan ada 'plot hole' tetapi kita perlu lebih kepada membuat tekaan apakah konflik yang berlaku antara mereka di dalam syarikat konsesi balak tersebut.

Tombiruo sewajarnya terus menjadi makhluk yang misteri dan kebal. Tetapi, setelah beberapa minit filem, kita boleh lihat bahawa keupayaan Tombiruo lebih kurang sama dengan manusia biasa terutama bab larian dan berlawan tangan kosong. Ini kerana pada permulaan cerita, visual yang kita lihat ketika Tombiruo mengelak peluru membuatkan kita menyangka bahawa Tombiruo mempunyai kuasa yang luar biasa namun, sebaliknya berlaku.

Pengembangan watak juga tidak berjalan dengan sempurna. Tetapi, kita akan faham bahawa filem ini seperti dikatakan kebanyakan orang adalah 'plot-driven'. Maka, semuanya harus pantas disajikan dalam durasi 2 jam itu. Cuma, jika penerbit dapat menambah beberapa babak 'self-moment' Tombiruo ketika kehilangan ayah angkatnya dan ketika Tombiruo mahu memulakan misi membalas dendamnya, aku yakin penonton akan lebih dekat dengan watak Tombiruo itu sendiri. Mungkin kita akan turut sama merasa kesedihan dan merasai api kemarahan Tombiruo setelah kehilangan ayah dan tempat tinggalnya diganggu manusia tamak.

Satu lagi plot yang mungkin mampu memberikan impak ialah perlunya diwujudkan lebih babak penentangan penduduk terhadap syarikat konsesi balak yang meratah hasil hutan Keningau yang indah dan masih terpelihara supaya penonton terkesan dengan kejahatan puak pembalak sekaligus boleh menguatkan lagi motif Tombiruo 'membunuh' mereka. Bagaimanapun, ini adaptasi novel dan aku faham. Cuma, pasti lebih seronok jika Tombiruo dapat dijadikan medium sindiran kepada pengusaha balak yang sesuka hati merampas tanah adat dan hasil bumi demi keuntungan mereka seperti yang berlaku di Sarawak, Kelantan dan Pahang.

Terdapat pengulangan visual dari aspek sinematografi apabila Gunung Kinabalu sentiasa dijadikan latar setiap kali berlaku pertukaran babak. Namun, gerak kerja kamera boleh dibanggakan dengan pergerakan 'single person operator' ketika berlawan kuncu-kuncu jahat adalah sesuatu yang baru dan segar bagi industri perfileman negara. Lain-lain semuanya ok dan naskhah ini masih sebuah filem yang baik dan menyeronokkan.

Rating : 7.5/10



Tuesday, October 17, 2017

Jatuh Bangun Negara Ini

Sudah menjadi tabiat manusia untuk membanding beza. Dan untuk menetapkan kayu ukur sesuatu kekuatan ketumbukan itu, tentulah dari segi berapa berjayanya mereka mengumpul ahli untuk turun menyertai perhimpunan.

UMNO bangga dengan Perhimpunan Agung walau rata-ratanya dikerah dan dijanji wang ringgit. PAS bangga dengan Himpunan Fastaqim mereka yang kebanyakannya hadir tanpa taburan wang ringgit atas nilai kesetiaan pada parti. Dan Pakatan mungkin berbangga atas bantuan NGO dalam mengembleng tenaga membuat demo Bersih dan yang terbaru Himpunan Kleptokrasi.

Terus-terang dan tanpa berselindung, Himpunan Kleptokrasi lepas mungkin boleh dikatakan gagal. Banyak faktor penyumbang antaranya yang utama adalah hebahan yang secukupnya tidak dilakukan. Rata-rata orang tidak tahu ada himpunan ini jika mereka tidak mempunyai akaun media sosial. Berbanding himpunan sebelum ini yang mempunyai banyak masa untuk mengumpul orang dan hebahan mulut ke mulut dilakukan. Berbanding demo Bersih yang diberikan masa secukupnya dengan hebahan hebat dilakukan.

Dari sudut lain, pakatan pembangkang itu sendiri yang kini terlalu banyak masalah membelenggu akibat terlalu banyak pecahan parti di dalamnya. Ditambah isu-isu lain yang menyebabkan serangan media BN dan blok ketiga (you-know-who) ke atas PH gagal ditangkis. Selain itu, boleh dikatakan faktor Mahathir juga menyebabkan orang masih tunggu dan lihat.

Namun, kita yang genius ini tidak perlu memikirkan ini semua. Sebaliknya, kita masih tetapkan fokus untuk menumbangkan BN. Maka, mereka bertanya,

"Pembangkang belum perintah pun dah banyak tak betul, macamana?"

Habis, yang tengah perintah pun sekarang dah macam 'haram', kau nak biar je?

Kesimpulan mudah, kertas undi sahaja bakal menjadi penentu kepada kekuatan pemerintah dan pembangkang. Wujudnya blok ketiga juga bakal memecah undi pembangkang. Lantas, hanya yang genius sahaja mampu berfikir satu ribu ke hadapan untuk menentukan jatuh bangunnya negara ini.

Pengorbanan Lapar

Dalam perjalanan pulang hendak mengambil isteri di tempat kerja, aku sempat singgah di satu stesen minyak yang di dalamnya terdapat Rotiboy. Tahu isteri suka dengan roti Milkboy, aku pun beli dua.

Aku pun makan dulu bahagian aku disebabkan perut yang sudah kelaparan ditambah pula dengan cuaca yang agak dingin disebabkan hujan baru berhenti.

Aduh, sedap pula roti Milkboy ni. Dengan rasa susu dicampur dengan mentega, memang membuatkan aku khayal dan asyik dalam kesedapan menikmati roti di kala senja begini. Aku habiskan satu roti aku dan aku memandang pada roti satu lagi yang telah aku khaskan untuk isteriku.

Aku memandang dengan penuh kelaparan. Ermmmm....

**

"Eh, ada plastik Rotiboy ni. Dah habis ke bang?"

"Eh, ada eh?" (adus, lupa pulak nak sorok plastik Rotiboy ni tadi)

"Hmmm...beli Rotiboy, makan sorang...", isteri mencebik bibir. Dan cebikan akan terus sampai ke waktu makan malam.

Kesimpulannya, jika beli makanan, jangan lupa cepat-cepat sorok bekas plastiknya agar tak dapat dikesan isteri (kahkahkah).

Atau, belilah lebih kalau dah tahu lapar.

Friday, October 13, 2017

Presiden 'Part Time'

"Ku hanyalah kekasih separuh masa,
Separuh lagi cinta untuk dia,
Janganlah kau meminta lebih daripada itu.."

Ini bait lirik lagu dari The Lima bertajuk Separuh Masa yang membuatkan aku teringat akan kenyataan Presiden.

Lanjutan daripada kekalahan Malaysia kepada Hong Kong tempohari, ada beberapa perkara yang mampu menerbitkan kehairanan kepada kita iaitu seperti berikut:

1. Presiden FAM berbicara mengatakan kerja di FAM adalah part time dan yang mutlak, kerjanya adalah di Johor. Ini adalah pengulangan dari satu sesi temuramah di Larkin yang lepas. Hairannya apabila kita sudah beria bertanding dan agak janggal apabila kita melaungkan bahawa hakikatnya jawatan Presiden adalah separuh masa. Kenyataan ini lebih kepada 'self escapism'. 

2. Pemain import mahu ditambah kepada 5 kuota bagi memeriahkan lagi liga disaat Vingada mengeluh tentang ketumpulan barisan penyerang tempatan dalam aksi antarabangsa. Ini bukankah satu kehairanan?

3. Presiden mahu lebih interaksi dan penglibatan dalam pengurusan skuad kebangsaan. Sebelum ini, Presiden sudah membuat pemilihan jurulatih, pengurus dan ahli lembaga dalam FAM dan semua ini juga adalah bersifat interaksi dalam pengurusan. Cuma, apabila ada lafaz bahawa mahu terlibat sehingga ke tahap dalam menentukan pemain, ini bukankah satu kehairanan? Bahkan membunuh terus fungsi jurulatih dan barisan 'scout'?

4. "Pasukan negara anda semua. Not my negara. I'm from Johor".

Ini satu lagi kenyataan bersifat 'escapism' terhadap permasalahan yang terjadi. Walau ia diungkap dalam bentuk sinikal atau sindiran sekalipun, ia tetap menghadirkan persepsi bahawa beliau sedang berlepas diri dan tidak profesional.

Nasihat mudah adalah jangan hirau kepada kritikan yang tidak membina. Malah, jangan respon terhadap mereka yang tidak sukakan prinsip anda. Ambil teguran yang bagus sahaja dan terus melangkah. Apabila kritikan dibalas dengan cara tidak profesional, maka, haruslah si mangsa atau pemangsa menerima apa pengkritik buat dan kata walau sakit hati sekalipun.

Sekian.

Tuesday, October 03, 2017

Kita Tak Boleh Tengok F1 Lagi

Najib dalam Buletin Utama yang sudah pasti aku sendiri tidak tonton menyatakan perlumbaan F1 tidak lagi dianjurkan oleh Malaysia kerana faktor ekonomi.

Sedangkan binatang pun faham apabila sebelum ini Najib beria-ia menyatakan ekonomi Malaysia bertumbuh secara baik. Tetapi, apabila masuk bab penganjuran F1, kita dikatakan rugi pula.
Begitulah nasib rakyat Malaysia. Setiap hari ditipu. Setiap hari merelakan diri ditipu. Dan masih lagi yang menyukai BN.

Jika diimbas, kita boleh melihat beberapa permasalahan dalam urustadbir beberapa agensi berkaitan kerajaan mengalami kegagalan. Sebut saja, MAS yang perlu di'bail-out', Proton yang dibantu tetapi tidak dapat menjana keuntungan baik, Plus yang kerajaan beli dan tempoh konsesi dipanjangkan atas alasan rugi, Monsoon Cup yang gagal di Terengganu, Formula One yang dicanang menjana pendapatan negara tetapi sebaliknya, Intrakota yang kerajaan beli dan tukar kepada Rapid kerana rugi, LRT yang kerajaan beli kerana syarikat tidak dapat menjana keuntungan, Felda yang sana-sini penuh skandal dan bermacam lagi yang kita boleh nampak.

Tetapi kita, apa kisah? Ini kan semua salah DAP!!

Dobi Taliban

Sewaktu pertama kali isu dobi untuk pelanggan Muslim disiarkan di timeline berita Facebook, aku baca sepintas lalu (surface) sahaja dan kemudian meneruskan skrol pembacaan kepada berita yang lain pula. 

Isu ini adalah isu mudah dan senang. Bukanlah isu panjang dan tiada guna untuk diperdebatkan. Namun, ianya sudah menjadi semakin berlarutan dan panjang ditambah pula ada komentar daripada institusi monarki menambahkan lagi kecelaruan yang ada di benak orang kebanyakan.
Kenapa isu ini mudah dan senang?

Yang pertama, kita lihat dari perspektif tuan punya kedai. Tuan punya kedai meletakkan papan tanda bahawa kedainya mencuci untuk pelanggan Islam sahaja. Normal dan terpakai pada mana-mana keadaan bahawa tuan punya berhak menentukan siapa yang boleh menjadi pelanggannya. Sama seperti kita membuat rumah sewa atau homestay. Tuan tanah berhak menentukan pelanggan samada dari bukan Muslim ataupun Muslim. Itu sahaja. Kita hormat prinsip tuan punya kedai dan kita cari sahaja kedai lain jika tidak bersetuju. Tidak perlu diperbesarkan menjadi barah seperti hari ini. 

Isu lain adalah sangkaan atau ghuluw. Para ulama melalui tafsir hadis sendiri sudah menyatakan secara jelas bahawa perkara seperti ghuluw atau sangkaan ini tidak boleh dijadikan hujah atau asas penolakan/penerimaan sesuatu perkara. Perkara yang kita tidak pernah nampak dan rasai bukan satu hujah yang kuat untuk menolak perkara pokok. Contohnya, tayar kereta kita setiap hari akan melalui bermacam jenis permukaan jalan yang jika ada sangkaan, mungkin ada tahi najis atau kencing babi. Dan kita pula boleh sahaja pegang tayar untuk periksa bunga atau anginnya tanpa berasa ragu bahawa wujud kemungkinan yang berasaskan sangkaan itu tadi. Maka, kita arif perkara ini dan kita pun tidaklah pula menyertu tayar kita setiap kali habis menggunakan kenderaan itu. Kes sama terpakai untuk hal dobi mendobi ini tadi. Jika kita hanya berasaskan sangkaan semata, maka, apa hujah kita untuk menolak orang lain daripada menggunakan perkhidmatan yang disediakan? Sedangkan kita tidak pernah nampak dan dengar sendiri. 

Bahkan, jika sekadar berasaskan sangkaan, kita pula mendatangkan fitnah pada agama Islam sehingga terbit bait-bait ucapan yang menyelar keindahan agama Islam. 

"Islam jumudlah. Islam tidak adillah. Islam sempitlah."

Ini semua perkataan yang boleh dijadikan modal kaum bukan Islam untuk menolak agama ini sekaligus mendatangkan fitnah pada agama walhal Islam tidak begitu. 

Jadi, jika kemudaratannya lebih besar pada agama, jalan yang terbaik adalah mengikut garis panduan yang telah Quran dan sunnah gariskan. Itu jalan terbaik untuk mengelak sengketa antara kaum dan agama. 

"Macamana pulak Cina yang pergi minta jawatan kosong untuk Chinese only tu?"

Ini satu lagi hujah kaum dungu. Itu isu lain dan ini isu lain. Stick pada satu topik dan isu kerana membawa masuk isu lain dalam isu asal adalah satu teknik 'diversion' yang digunakan mereka yang ketandusan hujah. Kalau semua isu hendak dikaitkan, maka, sampai kiamat pun kita tidak akan habis berpotpet potpet dan sembang. Fokuskan pada isu asal lebih baik. Yang nak bawak masuk isu lain berkenaan pekerjaan tu kenapa? Sampai bila nak habis? Kau baru lahir ke?

Akhir kata, aku teringat pada pakcik aku yang berjiran dengan bukan Muslim kiri dan kanan. Cita-citanya adalah membawa masuk Islam kepada mereka yakni menarik mereka perlahan-lahan kepada Islam dan keindahannya. Bagaimana untuk menunjukkan keindahan Islam kepada jiran-jirannya itu?
Melalui penerapan jati diri Islam dalam diri sendiri terlebih dahulu. Berakhlak baik, berkata yang baik dan sebagainya untuk menonjolkan keindahan agama Islam itu sendiri.

Dan, alhamdulillah, seorang jirannya sudah memeluk Islam. Fokus kepada yang sebelah pula kini. Sebab itu, selagi umat manusia yang beriman berjalan di atas muka bumi ini, selagi itulah dakwah yang dibawa Muhammad SAW tidak akan terhenti walau baginda sudah wafat ribuan tahun lalu.

Sekian.

Monday, September 25, 2017

Aku dan Hijrah

Orang kata hijrah adalah satu pengorbanan. Harus aku simpulkan tepat bahawa sememangnya hijrah memerlukan pengorbanan dan menuntut kesabaran. 

Jika sebelum ini aku agak selesa berada di rumah sendiri yang cukup dengan segala kemudahan asas seperti Astro untuk menonton bolasepak Inggeris, Unifi berkelajuan tinggi, mesin basuh, microwave, mesin Coway hatta parkir kereta yang memudahkan, tidak perlu bayar rumah sewa, maka apabila berlakunya hijrah, kesemua nikmat itu tarik balik. 

Idea penghijrahan ini datangnya dari aku dan isteri aku yang tentunya kami berdua sudah tidak dapat bersabar lagi dengan keadaan jalanraya yang dipenuhi umat manusia keluar pagi pulang malam. Begitu banyak masa terbazir di jalanraya semata hanya menempuhi perjalanan dari Cheras ke Batu Caves yang sekitar 30km sahaja. Perjalanan 30km ini mampu menjadi sejam pada sebelah pagi dan boleh mencapai hampir 2 jam jika sebelah petang membawak ke malam.

Lalu, kata sepakat dicapai. Maka, jika penghijrahan mampu mengembalikan 'masa' yang kami buangkan di jalanraya, eloklah sekiranya masa yang ada itu dapat digunakan untuk memasak, mengemas dan paling penting merehatkan diri. 

Seawal 3 bulan pertama ini memang 'sakit'. Aku struggle. Aku terpaksa berasimilasi dengan keadaan dan persekitaran baharu. Dan tinggalkan segala kemudahan yang telah 'setia' denganku bertahun-tahun. Begitu juga dengan orang tuaku. Perasaan sedih tidak dapat digambarkan apabila ada keadaan di mana aku terpaksa melewatkan bayaran hutang kereta selama 1 bulan hanya kerana untuk membolehkan aku membeli makanan untuk kami berdua. Kadangkala, terpaksa berhutang dengan kawan-kawan hanya untuk membayar duit rumah sewa. Dan, raya yang lepas pun, aku dan isteri tiada langsung baju baharu untuk dipakai. Cukuplah pakai baju nikah kami tahun lepas yang masih elok untuk bergambar pagi raya. 

Keadaan persekitaran juga amat mencabar. Memilih untuk meninggalkan keadaan yang selesa di rumah teres dan menduduki sebuah kejiranan rumah pangsa kos rendah sungguh mendetikkan hatiku. Saban hari aku disajikan 'perang' suami isteri di depan rumah sehingga memaksa pihak polis datang membawa M-16, tangisan kanak-kanak yang seolah-olah didera, gejala sosial dengan budak sekolah rendah merokok selamba di lobi lif, kawasan buang sampah yang tidak terurus dan macam-macam lagi yang kau orang boleh fikirkan di sebuah kejiranan berkos rendah (barangkali). 

Lalu, ibrah apa yang dapat aku pelajari dari sini? 

Ya, sudah tiba aku menerima penghijrahan itu sememangnya menuntut sebuah pengorbanan yang bukan kecil anak. Ada masa kita akan menangis dan ada masa kita masih lagi mampu untuk ketawa kecil. Tidak selamanya aku boleh berada di tempat selesa dan cukup makan pakai segala-galanya. Aku perlu keluar untuk merasai sendiri bagaimana rasanya menunggu di hadapan bank semata untuk menanti 'wang' yang dipinjam dari rakan bagi membolehkan kami membeli barang dapur. Aku perlu keluar dari zon selesa supaya tak selamanya aku merasa 'ketidakcukupan'. Aku perlu mengajar diri pula untuk berkata 'cukuplah'. Dan berkenaan hutang, jika ada jalan lain, elakkanlah diri dari melakukan hutang melainkan keadaan amat terdesak. 

Dan aku bersyukur aku masih diuji dengan dugaan dan ujian yang masih mampu ditanggung. Sedangkan ramai lagi manusia di luar sana yang menanggung ujian yang lebih dahsyat dan berat dari apa yang pernah aku fikirkan. Bukanlah niatku untuk membuka kisah keaiban dan meraih simpati kalian, bahkan tujuanku cuma satu. Hanya untuk aku jadikan pelajaran dan pengajaran buat diri yang masih lagi belajar bertatih mengenal erti hidup. 

Sememangnya, hijrah itu mampu menerbitkan rasa syukur dan menyatakan perlunya manusia 'pulang' semula kepada Tuhan pentadbir alam.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1439M.


Papan LED Yang Menerbit Kehairanan

Dahulu, penaung JDT ada menulis bahawa beliau memberikan hadiah kepada pasukan JDT dengan memberikan ucapan tahniah di papan LED ketika perlawanan EPL. 

Dan sekarang muncul pula ayat tidak keluar sesen duit pun untuk ucapan tersebut atas kapasiti hubungan kukuh dengan rakan beliau di sana. 

Jadi, logikkah jika kita didasari hubungan kukuh dengan rakan, lantas rakan kita memberitahu bahawa dia hendak mengucapkan tahniah pada kita, lalu, kita pun berkata kita menghadiahkan ucapan tahniah di pentas EPL kepada semua?

Sekadar hairan...

Pelaburan di AS oleh KWSP

Apabila Najib membuat keputusan untuk melabur di Amerika, maka, kita harus tanyakan persoalan mengenai kenyataan 'mengukuhkan ekonomi AS' kerana ia seperti nampak berat sebelah atau 'one-sided benefit'. Seolah-olah Malaysia ini negara kaya yang mampu membantu AS keluar dari kemelut ekonomi mereka sendiri. Tak perlu dibahaskan. Ternyata kenyataan itu memakan diri dan silap. 

Bercakap mengenai pelaburan, tidak ada salahnya KWSP melabur di mana-mana negara yang mereka suka (stigma tidak boleh melabur guna wang KWSP kerana wang KWSP adalah milik rakyat ini perlu diperbetulkan semula) kerana sebelum ini KWSP juga pernah melabur di Battersea Power London. Yang ketika itu, ramai pelabur asing melihat tindakan melabur di UK ketika itu tidak membawa apa-apa pulangan dan berisiko. 

Apabila China datang melabur untuk projek ECRL, maka, China mencanangkan kepada rakyatnya yang mereka telah melabur di Malaysia walaupun syarikat itu berdepan dengan tindakan bankrap. Yang kasihannya, Malaysia juga perlu membayar faedah kepada bank China dalam tempoh 20 tahun. Lalu, apabila kita melabur berbilion di AS, apakah rakyat AS sedar bahawa hutang negara pun defisit berbilion ringgit, masih mahu melabur lagi. Ini satu tindakan berani. Dah nama pun pelaburan, tentu ianya mempunyai risiko yang tersendiri. Najib sendiri pun tidak mengumumkan secara terperinci apakah bentuk pelaburan yang akan dilakukan di sana dan apakah kesan dan faedah yang akan rakyat nikmati hasil daripada pelaburan ini. Ah, kisah apa, KWSP pun bawah Kementerian Kewangan, jadi, hak Menteri Kewanganlah duit kau tu. Kahkah.

Rumusannya ada dua. Kenyataan untuk 'mengukuhkan ekonomi AS' itu sangatlah kelakar. Dan bodoh.

Pelaburan yang tidak diperincikan dan nikmat pelaburan yang tidak dibentangkan.

Jadi, janganlah bising 'kenapa nak guna duit KWSP?'. Ini hujah yang tidak 'valid'.

Sekian.

Saturday, September 02, 2017

Bangsa Termulia Di Dunia


Maka porak perandalah kaum Melayu apabila satu kumpulan Rohingya berdemontrasi menekan kerajaan Myanmar supaya memberhentikan genosid yang berlaku di wilayah Rakhine. 

"Rohingya pengotor!"

"Rohingya pencuri dan biadap!"

"Hantar Rohingya pulang"

"Kau pergi jelah ke Pasar Borong Selayang tu, tengok macamana Rohingya ni"

Jerit bani Melayu di media sosial. Sampai menyarankan mereka yang pro-Rohingya mengambil mereka sebagai keluarga angkat. Deme ni entah kenal ke tidak beza antara puak Rohingya dengan Arakan.

Tapi apa agaknya yang merasuk mereka ini sampai mereka melupakan terus kekejaman yang melanda wilayah mereka akibat tindakan tidak berperikemanusiaan junta Myanmar?

Demonstrasi yang terjadi lalu hanya untuk menekan kerajaan Myanmar. Pergi mampuslah sama jalan jem, buat kacau dan segala cerita pedofilia kau pasal puak Rohingya tu. Apa ke bodoh demonstrasi dibuat supaya jalan tak jem?

Kesimpulannya, iman bani Melayu berpaksikan kepada kebersihan (entah diorang ni semua bersih ke tidak, sampah pun selamba baling keluar ikut tingkap kereta, bersih kepala tahi apa?), jangan buat kacau tempat orang, tak sedar dek untung dan macam-macam lagilah agar menunjukkan bani Melayu adalah satu-satunya bangsa maksum dan mulia di mata Tuhan. 

"Pergi mampus kau Rohingya dengan kisah 'penyembelihan' kau tu. Bani Melayu beriman dengan perkara lain!"


Friday, September 01, 2017

Pengembangan Ekonomi


Tahukah anda, negara maju hanya memerlukan pekerjanya bekerja dari 5 hingga 8 jam sahaja sehari. Selebihnya, perlu dimanfaatkan bersama keluarga.

Najib acapkali berkata ekonomi semakin berkembang sejak tahun kebelakangan ini. Ya, ini memang benar dibuktikan melalui beberapa laporan ekonomi di segenap maya. Namun, faktor penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi ini boleh disimpulkan melalui sikap rakyat iaitu melakukan 2 pekerjaan dalam satu masa. 

Ini sekaligus menyahut saranan menteri yang menggalakkan 2 pekerjaan atau kerja lebih masa bagi meningkatkan pendapatan. Boleh dilihat bahawa terdapat peningkatan ketara dalam industri makanan, industri perkhidmatan dan jualbeli secara online. 

Industri makanan sebagai contoh terdapat penumbuhan ibarat cendawan bagi instrumen seperti 'food truck', gerai kaki lima dan pelbagai lagi instrumen makanan segera yang lain. 

Manakala, bagi industri perkhidmatan pula memperlihatkan percambahan khidmat e-hailing atau Uber/Grab. Ibarat iklan Uber, sebelah siang bekerja membawa barang dan malam bekerja membawa orang.

Lain-lain industri sebagai contoh antaranya adalah kedai dobi. Terdapat peningkatan pembukaan kedai berkonsepkan layan diri sebegini di segenap ceruk kawasan sekaligus boleh 'membunuh' perkhidmatan dobi berkonsepkan manual atau kaunter.

Dan, pastinya industri perniagaan secara 'online'lah yang meningkat mendadak kerana ia mudah, kurang membebankan dan banyak permintaan. 

Namun, apakah di sebalik semua peningkatan ini digemari rakyat atau kerajaan. Kerajaan pasti menggemarinya jika ia boleh memberi kutipan cukai lebih baik kepada mereka. Manakala, rakyat akan terbeban untuk jangka panjang kerana:

1. Kurangnya masa berkualiti bersama keluarga.
2. Terdedah dengan masalah sosial (rujuk masalah buli dan jenayah yang dilapor setiap hari kini).
3. Peningkatan masalah sosial di sekolah akibat ibubapa sibuk bekerja.
4. Penurunan kadar produktiviti bagi pekerjaan sepenuh masa di pejabat.
5. Penurunan kadar pekerja mahir dan profesional kerana kebanyakan sudah beralih bidang perniagaan.
6. Peningkatan golongan dungu yang tidak mahu menambahkan ilmu (baca: penyokong umno).

Kesimpulannya, jika kayu ukur kita adalah negara maju, maka, rakyat tidak akan buat 2 kerja pada satu masa di mana peruntukan masa untuk kerja hanyalah 5 hingga 8 jam sahaja sehari dan selebihnya perlu diluangkan untuk keluarga. Pilihlah mana kau nak.


Sunday, August 06, 2017

Stigma 1998 Dari Si Dungu

Maka berbondonglah page-page FB seperti Tentera Troll Kebangsaan Malaysia dan Jkkk Fan Club memainkan semula video reformasi tahun 1998. 

Satu hakikat yang mereka tidak faham dan gagal faham adalah konsep perjuangan dalam politik itu sendiri. Rakyat yang faham pada reformasi 1998 lepas tidak berjuang hanya kerana sosok bernama Anwar Ibrahim. Tetapi, rakyat berjuang kerana menentang ketidakadilan, kezaliman dan korupsi dalam kerajaan ketika itu. Bukan kerana taksub pada pemimpin. Anwar Ibrahim hanyalah perantara dan asbab kepada kebangkitan perjuangan rakyat era itu. Sama seperti era sekarang, rakyat yang bijak bukan mengikut perjuangan politik individu tertentu sebaliknya rakyat mengikut perjuangan menentang kegagalan sistem dan salahguna kuasa.

Maka, jika mereka memperjuangkan nasib Anwar ketika itu, merekalah insan yang kecewa ketika ini apabila mendapat tahu berita Mahathir menyertai pembangkang. 

Dan jika ada kisah dendam peribadi Anwar kepada Mahathir, itu bukanlah menjadi tanggungjawab dan hak kita untuk ambil kisah (jika masih ada perseteruan antara keduanya). Yang penting bagi rakyat adalah terus berjuang untuk era kini. 

Jika ada korupsi lalu, maka, apa yang kita boleh buat? Mungkin kita masih boleh memberi tekanan kepada penguasa sekarang untuk membicarakan si pesalah masa lampau supaya dihukum. Cuma, masa kini (baca: era Najib), kita juga dibebani masalah korupsi dan kleptokrasi daripada sistem UMNO. Maka, perjuangan untuk era kini masih perlu terus berjalan dan adalah satu bonus jika dapat kedua-duanya.

Kesimpulannya, page-page dungu seperti ini bukanlah cerdik dalam membuka minda masyarakat sebaliknya, mereka akan terus meletakkan 'penutup mata' buat pengikut mereka yang dungu supaya page-page ini boleh terus menari memperbodohkan pengikut sambil mendabik dada bahawa mereka tidak menjilat politikus.

Penyakit Tanpa Ilmu Orang Kaya

Salah satu faktor yang mampu memacu seseorang dalam menghadapi kehidupan tanpa membuatkan orang berasa janggal dengan tingkah laku anda adalah dengan mempunyai ilmu. 

Bercakap tentang perlunya mempunyai ilmu adalah perlu dilihat dari segi konteks cara dapatan ia. Ilmu memang mudah diperoleh tetapi harus dilihat sumber pemerolehannya yakni lebih baik datangnya daripada universiti atau kolej tak kiralah peringkat apa sekalipun. 

Kita boleh kata bahawa orang yang mempunyai SPM juga boleh berjaya. Tetapi, kita perlu melihat bagaimana ia berasimilasi dengan masyarakat sekeliling.

Maka, biarlah aku berterus terang. Kita tahu bahawa Dato Alif Syukri atau Dato Vida (sekadar menyebut beberapa nama) menceburkan diri dalam perniagaan semasa zaman sekolah di mana peringkat terakhir pembelajaran mereka adalah SPM. Dan ada yang kata, Dato Vida ada doktor falsafah yang mana ia belum dibuktikan lagi. Ya, mereka berjaya tetapi adakah mereka berjaya berasimilasi dengan masyarakat? Ya, mereka memang pandai bergaul dan boleh menjalankan perniagaan tetapi mengapa mereka sering membuat kelakuan pelik, jelik dan janggal di mata masyarakat? 

Inilah pentingnya ilmu yang kau dapat di kolej atau universiti. Ia bukan sekadar mengajar kau apa yang kau perlu tahu untuk belajar. Bahkan, ia mengajar kau cara berinteraksi dengan berkesan, "adapt" dengan orang sekeliling, membuka minda dalam banyak perkara dan lebih penting, menjadikan kau profesional. 

Bukan tidak ada orang berkelulusan SPM yang mempunyai tingkahlaku elok dan normal tetapi ia sangat jarang dan jika ada, tidak menonjol. 

Perlu difaham bahawa posting ini bukan mengecam mereka yang hanya mempunyai SPM, sebaliknya hanya satu proses penceritaan tentang perlu dan pentingnya ilmu selepas zaman SPM kau. Kerana ilmu selepas SPM atau setelah kau memulakan kerja akan menjadi bermakna sebaik kau menyedari hakikat bahawa pentingnya segala proses pembelajaran yang kau perolehi dahulu. 

Nota pesanan - Tidak salah jika jutawan-jutawan populis ini mengambil sedikit masa dan peluang untuk menyambung pelajaran di peringkat universiti/kolej walau sudah mendapatkan segala kemewahan yang diidamkan kini. Kesimpulannya, ilmu adalah harta paling bernilai.

Manusia Keparat Zaman Moden

Sejak kebelakangan ni, rajin betul page FB macam Sultan Melaka dan Abdul Rani Kulup Fans - Official naikkan isu pasal Sajat. Kadang-kadang gambar tak senonoh pun diorang ni post walaupun caption kononnya kecam Sajat itula, inila. Dulu bukan main hamun lagi bila ada beberapa ahli pembangkang sokong LGBT. Orang sama mengecam isu LGBT ni, kadang-kadang boleh komen acah-acah kelakar dan kononnya lawak pada posting mengenai Sajat. Jadi, kita boleh kategorikan mereka ni tak serius mengenai LGBT (when it comes something funny to them) dan mereka boleh jadikan modal troll. 

Sama juga isu ancaman rogol pada Siti Kasim. Isu ancaman rogol bukanlah perkara yang boleh dibuat main. Malangnya, ada pula komen mahupun status,

"Ada ke orang berselera nak rogol kau?"

Ini komen seksis dan menghina. Walau buruk mana rupa dan akhlak Siti Kasim tu, bukanlah perlu kau mengeluarkan kenyataan yang memandang rendah kaum wanita sebegitu. Bahkan ini adalah isu ancaman rogol. 

Tak mustahil nenek kau apabila dirogol nanti, barulah kau terfikir semula kata-kata yang kau keluarkan sebelum tu. Sesiapa pun boleh menjadi mangsa kes ni dalam apa jua keadaan tanpa mengira umur. Dan lebih penting, bila kau menghina Siti Kasim sebegitu rupa, apa kau ingat dia lebih respek dan insaf ke dengan kecaman kau tu? Kedua-dua page yang aku sebut atas tu banyak follower, jadi pengaruh mereka ke atas sosial media memang kuat. Apa sahaja yang page-page ni boleh jadikan modal troll tanpa ambil kira sensitiviti nasional, maka, akan meliuk-lentoklah pengikut-pengikut mereka mengikut rentak tukang post. Bodoh macam tong sampah. Mereka memilih dalam mempamerkan intuisi mereka terhadap sesuatu isu mengikut selera mereka.

Jangan kau kata aku sokong Sajat dan Siti Kasim pulak. Benda ni bukan perlu kau duduk side belah mana-mana pun. Cuma kau perlu lebih rasional dan hidup berfalsafah sikit dalam pegangan kau.

Chester

Pemergian Chester akibat depresi adalah tragik dan menyedihkan. Sebab itulah, hal depresi ini kita tidak boleh pandang sebelah mata dan tutup telinga. Bila kita butakan hati dan minda dalam melihat keupayaan depresi ini dalam memusnahkan hidup (baca:bunuh diri), kita sesungguhnya adalah manusia dungu dan sombong. 

Sebab itu, bila ada kes bunuh diri akibat tekanan kos sara hidup di jambatan Pulau Pinang dahulu, kita tidak boleh pandang sebelah mata. Dan aku fight benda ni kerana kesannya buruk dan bahaya. Tak mustahil akan ada lagi. Tetapi, kau penganut Umno/BN boleh pula berseronok mengecam mangsa kerana membunuh diri dan tidak hormat langsung perasaan keluarga mangsa. 

Bab Chester kau rasional dan menaip RIP, tetapi bab lelaki di dalam negara bunuh diri kerana kos sara hidup tinggi, kau hina. 

Kau memilih ke dalam berfalsafah?

Mengubah Sentimen Melalui MRT

Maka, membentak-bentaklah masyarakat purba daripada UMNO atau 'atas pagar' kononnya menghentam idea-idea mereka (PH) yang mahu :

1. Membuat MRT lebih murah daripada MRT Najib
2. Menawarkan idea pendidikan percuma

Aku sebut dua sahaja kerana dua ini yang dihentam di media sosial sekarang ini dengan alasan :

1. Kos pintu gerbang di Selangor mencapai sehingga RM10 juta
2. Ubahsuai masjid RM70 juta di Selangor

Jadi, mereka menganggap PH atau PR tak mampu untuk melaksanakan poin 1 dan 2 di atas sekali itu.

Sifirnya mudah sahaja. Mereka (baca: penganut UMNO) ini tahukah kos sebenar pintu gerbang dan ubahsuai masjid tersebut? Mereka pun tidak tahu apa yang dilaksanakan di dalam kontrak projek tersebut sehingga mencapai angka yang dinyatakan tetapi membuat kesimpulan bukan-bukan.

Kesimpulannya, buat MRT tetapi dalam masa sama, 'rompak' lagi duit rakyat, kutip lagi cukai sana-sini dengan buat pintu gerbang dikatakan mahal tu tetapi pulang kembali 'benefit' kepada rakyat mana lagi baik?

Inilah orang yang bising apabila minyak naik, barang naik tetapi dalam masa yang sama, tak percaya dan takut dengan perubahan.

Titi PM

Jika dilihat ruangan komen PM di status berkaitan MRT, maka, kita akan melihat beberapa mangki atau penganut Umno/BN memuji Datuk Seri Piem.

Ini adalah satu benda baik dan menyenangkan rakyat. Namun, hakikat sebenar kita tidak boleh lupakan bahawa kita berterima kasih kepada perompak.

Satu hari, perompak masuk ke rumah kita dan mengambil pelbagai barangan berharga dalam rumah kita. Kita tak dapat berbuat apa-apa dan kes pun tak selesai. Ribuan ringgit lesap begitu sahaja tanpa ada follow-up.

Dan pada satu hari yang lain pula, kita ternampak perompak yang kita kenal itu sedang membina titi kecil untuk kita gunakan menyeberang sungai. Kita sudah ada jalan lain untuk ke seberang tapi nampaknya titi kecil itu lebih murah dan menjimatkan masa untuk ke seberang. Maka, kita pun berterima kasih kepada perompak tadi sambil memeluknya dengan erat.

Telanjangnya Korupsi

 11 JULAI 2017

Ironinya segala kejahatan Mahathir pada zaman pemerintahannya semua didedah dan diulangsiar. Ini memberikan kita satu dimensi baharu bahawa:

1. Kita yang dari dahulu menentang Mahathir ketika mana penganut Umno yang lain memujanya satu ketika membuktikan bahawa kita adalah genius. Dan masih genius.

2. Itu membuktikan Umno adalah korup sejak dahulu. Tidak ada ahli yang berani menegur Mahathir ketika dia masih PM. Semua korupsi disapu bawah karpet dan sekarang tibalah giliran mereka si tukang sapu yang dahulu itu mengangkat kembali karpet mereka sambil mereka dalam keadaan bertelanjang.
Kita masih genius!

Cereka Khayalan Swarovski

Baru-baru ni aku ada tertonton satu video dari satu jenama tudung yang menggunakan Swarovski sebagai bahan dalam penjualan tudungnya. Video tudung ni adalah temuramah dengan Prof Muhaya. 

Dalam video ni, Prof Muhaya berkata, seronok pakai tudung bertatahkan Swarovski yang engkau orang boleh kira sendiri berapa harga di pasaran kerana selesa dan tahan lama (tetapi mengaku beli setiap tahun). Lalu, aku pun teringat satu pesanan lama daripada beliau yang membuatkan beliau dihentam. 

"Bersyukur dengan kenaikan harga barang"
"Positifkan diri dan jangan asyik merungut"
"Kerja kuat dan usaha lebih"

Itu antara bait kata dia ni. Keseluruhannya, pesanan tu bagus. Tapi disebabkan dia mampu dan tergolong dalam kelompok golongan ada-ada sehingga mampu membeli tudung Swarovski setiap tahun, maka, eloklah kita bakulsampahkan sahaja pesanan beliau.

Saman DOJ

Maka, bertempiklah penganut UMNO BN bahawa saman DOJ bukanlah saman jenayah, ia adalah saman sivil. DOJ tidak menyatakan siapa MO1 kerana tidak berani menamakan mana-mana pegawai atasan negara juga menjadi hujah mereka.

Persoalan pokok masih gagal diselesaikan. SPRM tidak mahu siasat dan terpulang kepada polis. Maka, kenyataan bahawa sebelum ini, pihak SPRM akan mencari Jho Low dan menyiasat beliau sudah selesaikah belum? Ini persoalan asas sahaja. Kenapa susah sangat nak panggil budak gemuk tu yang terbukti memang terlibat dalam urusan 1MDB. 

Adakah kita hanya mampu bernyanyi?

Jho Low happy,
Memang pilihan hati,
Biar ku bisa bebas,
Terbang ke sana sini.

Sunday, June 04, 2017

Ijtihad

Kadang-kadang orang tersalah faham dengan pendirian seseorang. Contohnya mengenai ideologi politik. Kita herdik PAS bukan kerana kita membenci ulama atau pembawaan dasar parti itu. Kita kritik PAS adalah kerana kita berbeza ideologi. Kita bukan membenci PAS. Kita benci ideologi yang semua sedia maklum tidak berapa jelas.

"Apa yang tak jelas? Dah termaktub dalam dasar parti!", bentak mereka.

Mereka ini tidak faham konsep. Dasar parti memang tidak akan berubah tetapi ideologi dan falsafah adakalanya berubah tertakluk kepada keadaan dan masa ketika itu. Contoh mudah adalah idea penyertaan PAS ke dalam Barisan Alternatif oleh Almarhum Ustaz Fadzil Noor dan seterusnya Pakatan Rakyat.

Dasar parti tetap terpelihara. Hanya ideologi sahaja ditambahbaik. Kalau bukan ditambahbaik, masakan PAS berjaya memenangi hati pengundi ketika era 1998, 2008 dan 2013. Jika penyertaan ke dalam BA dan PR ini tidak mendatangkan manfaat kepada PAS, maka, apakah mungkin gelombang sambutan hangat yang mereka terima dalam 2 PRU lepas hanya sekadar delusinasi?

Kesimpulannya, walau berbeza ideologi, kita tidak pernah menghina ulama. Lainlah, jika itu UMNO. Itu harus dihapuskan dari kepala hingga ke dasar.

Sunday, May 14, 2017

Oh Pak Ayub!

Ini cerita lama yang aku ingat nak simpan aje tapi aku rasa ada perlunya aku rekodkan di sini supaya satu hari nanti, aku tersenyum bila dapat baca balik.

Lebih kurang awal tahun lepas, aku dapat jemputan akikah dari seorang pengasas Dewan Seri Kasih. Cerita pasal dewan dia ni, boleh baca daripada link ni http://warkahkembara.blogspot.my/2016/11/kisah-di-sebalik-dewan-seri-kasih.html.

Dipendekkan cerita, aku bersyukur mendapat jemputan dan dalam masa yang sama, merasa hairan jugak kerana aku dipilih di kala budak-budak ex-ofis aku yang sama-sama buat design dewan ni tak dapat jemputan dia. Oh ya, namanya Pak Ayub.

Aku datang dengan isteri agak awal. Lepas aje Isyak, terus bergerak ke dewan ni yang letaknya dalam beberapa kilometer je dari rumah aku. Sampainya di dewan tu, Pak Ayub ni dah ada untuk siap-siap sambut orang. Aku rasa cuak jugak sebab aku berhenti ofis lama ketika dewan ni tengah dalam pembinaan. Manalah tahu, sepanjang pembinaan tu ada masalah, mahu ditamparnya muka aku sebab aku yang buat rekabentuk mekanikalnya.

Aku dalam cuak-cuak tu, terus melontarkan suara yang agak nyaring,

"Assalamualaikum Pak Ayub! Apa khabar!!", aku nak bersalam dan cium tangan dia. Pak Ayub ni terus tarik tangan dia dan....

Dia peluk aku terus!

"Lihatlah hasil kerja awak ni. Saya sangat seronok!", sambil Pak Ayub mendepakan tangannya dan menunjuk ke arah dalam dewannya. Aku yang rasa terkejut hanya mampu tersenyum sambil lidah kelu berkata-kata. Dalam hati aku, "aku bukan buat apa pun, cuma buat mekanikalnya sahaja."

"Alhamdulillah Pak Ayub. Tahniah di atas kelahiran cucu!",

Tu je mampu aku ucap sambil berjalan masuk ke dalam dewannya yang memang sangat indah tu. Aku sebenarnya terkejut sebab dia tarik tangan aku dan peluk aku ibarat aku ni cucu dia. Kadang rasa nak nangis sebab sampai tahap macam tu sekali orang hargai kita. Moga aku dapat terus menyumbang ke dalam bidang yang aku gemari ini selagi hayat dikandung badan.

Ibarat kata orang putih, "When one man compliments another man's work, that's mean you have established a class."

Orang putih mana yang tulis ni aku pun tak tahu la.

Gambar ni kau jangan curi pulak. Nanti tular satu Malaya melihat kehenseman Pak Ayub.

Wednesday, May 03, 2017

Orang Miskin Akan Mampus

Sebenarnya orang kaya bukannya kisah pun pasal orang miskin. Tak semua tapi kebanyakan. Tengok sahaja projek perumahan. Kesemuanya rembat tanah orang miskin dan taman awam untuk dijadikan projek komersil yang lebih menguntungkan.

Sebagai contoh, ada satu taman untuk flat berdekatan IKEA Cheras yang dah kena beli dengan pemaju kapitalis. Dia beli tanah dekat kawasan miskin dan buat IKEA sampai aku terlihat budak-budak sekitar umur 7 hingga 10 tahun bermain bola di kawasan parkir sahaja. Gila sedih.

Contoh lain, kat Bandar Tun Razak. Padang bola dah nak kena ambil buat kondominium. Boleh baca link http://www.bharian.com.my/node/137561

Punyalah lama padang ni dah ada dan aku sendiri pernah main bola di padang ni dulu. Dan sekarang, orang di kawasan sekitarnya bakal takde tempat untuk main bola lagi dah sebab kalau bantahan penduduk kawasan sekitar (yang rata-ratanya golongan kelas bawahan) gagal, maka, pemaju akan bina kondominium mewah. Satu lagi padang dah kena telan buat kondo juga di Bandar Tun Razak dekat dengan Pusat Belia.

Itulah yang aku beritahu. Kapitalis akan singkirkan orang miskin hingga kau rasa hidup tak lagi seronok. Kesan ketara adalah masalah sosial akan meningkat apabila anak muda tiada lagi saluran untuk beriadah. Kerana yang akan menang di dunia ini hanyalah kapitalis dan golongan feudalisme. Mereka akan beli kondominium mewah di situ sambil kau mendongak ke atas melihat ketinggian bangunan di situ.

Mereka juga dapat tawaran daripada pemaju kononnya 'residen di dalam taman' di mana bangunan residen akan dilengkapi pokok-pokok menghijau dan taman yang merimbun. Ini semua hasil 'merampas' tanah orang miskin. 

Orang kaya akan dapat menikmati kesemuanya. Orang miskin hidup tersepit dan mampus dihimpit gejala sosial.

Bangsat...

Friday, April 28, 2017

Kesedihan Pendita Za'aba Jika Beliau Masih Hidup

Aku cukup sedih apabila Bahasa Melayu terpaksa berhadapan dengan pengiklan yang tidak peka. Majlis atau PBT yang melulus tidak sensitif. 

Akhirnya, bahasa itu akan mati perlahan-lahan...


Thursday, April 27, 2017

Drama 'Breakfast'

Pagi macam biasa, isteri aku menyediakan Shaklee. Cuma pagi ni dia campur dengan kurma. Buah kurma dicarik-carik menjadi ketulan halus dan dimasukkan ke dalam minuman Shaklee tadi.

"Mehla, saya kunyah-kunyahkan kurma tu dan masukkan dalam Shaklee awak", aku memberitahu.

"Euw, taknaklah nanti kena air liur", guraunya.

"Laa, habis tu nanti kalau saya tahnikkan budak nanti, awak nak cakap, 'euw, jangan tahnik dia, ada air liur!!' 

Isteri pun ketawa besar. Padan muka. Kihkihkih...

Cerita Si Albino Tentang GST

 Tahukah anda, ada seorang kawan aku memberitahu,

"GST dah 2 tahun laksana. Tapi takde pun aku dengar orang mati sebab GST. Hidup je semua.."

Aku rasa nak penampar je muka mangkuk albino ni. Tapi aku tahankan jua..

"Yang mati kat jambatan Penang dulu tu apa cerita kau tau? Tu semua sebab tak tahan dengan kos sara hidup la labi-labi!", aku tengking dia.

"Ah tu ke? Tu bunuh diri. Siapa suruh bunuh diri? Kehendak dia..."

"Memang kehendak dia. Tapi sebab apa jadi macam tu? Bukankah itu semua berkadar relatif dengan kehidupan berGST ini?"

" Aduh, takde siapa suruh bunuh diri la sebab GST!!"

"Memang takkan ada orang mati sendiri sebab GST. Kita tak sampai tahap Afrika yang merangkak cari makanan. Kita tak sampai tahap Syria yang cari serbuk roti di celah-celah batu. Kita paling kurang pun akan mintak kawan, sedara dan jiran untuk pinjam duit buat beli makanan. Sudahnya kita hidup berhutang menimbun. Lebih teruk, berlakulah kes mencuri sebab nak beli makanan. Bukan itu tanda kematian?"

"Mati apa?"

"Mati hati la celaka...."

Atas Pagar Yang Dungu

Kadang aku tidak faham fungsi mereka atau page yang mengaku anti politikus (sebagai contoh Tentera Troll Kebangsaan Malaysia) yang membahan atau menghentam kedua-dua belah bahagian politik. 

Mereka ni berpengaruh dan berupaya menanamkan doktrin membenci kedua belah barisan kepada pengikut mereka lantas, mampu mengumpul pengikut yang kononnya berpegang kepada falsafah anti politikus mereka. 

Dalam keadaan sekarang ni, adalah lebih baik mereka ini mendidik pengikut mereka supaya memilih parti yang less damage. Orang putih kata (Zakir Naik pun ada kata tau!), 

"If you have to face two enemies, pick one side which give you less damage."

Kerana apa aku berkata begini? Kerana mereka inilah yang akan memecah-belah dan bakal merosakkan undi. 

Kesudahannya, BN akan kekal memerintah selepas menang PRU dan rakyat terus disengsarakan dengan pelbagai kos dan cukai. Mereka? Mereka buat apa?

Mereka hanya tahu terus membahan kedua-dua politikus dengan kartun dan video mereka dan benda ini berulang sahaja sampailah abang Jamil mampos.

Takdir...takdir.

Konsistensi Hilang

Landskap politik benar-benar dah berubah sejak kematian dan pemergian tokoh besar pembangkang.

Kali ini, pembangkang berdepan tugas sukar tak seperti PRU13 lepas yang mana mereka mampu beri saingan sengit kepada BN. Perpecahan dalam pembangkang memberi kelebihan besar kepada BN.

Hari ini, jika kita tegur Umno, kita akan dicop keldai Mahathir atau Bersatu.

Jika kita tegur PAS, kita akan dicop khadam PAN atau DAP.

Dan begitulah sebaliknya.

Masing-masing tidak boleh menegur kerana nanti akan dilabel. Landskap kali ni memang berubah secara total. Tugasan menolak BN ke dalam lubang kubur kali ini lebih kepada misi mustahil kerana ego masing-masing sampaikan ada rakan berkata, kalau macam ni, lebih baik tak payah mengundi.

Jangan macam itu. Kita perlu konsisten menolak BN. Cuma, jika ada 3 penjuru, aku pun tak tahu nak kata apa.

Hantu 1MDB

Adakah engkau sedar bahawa ada misteri 1MDB yang tak terungkai?

1. Jho Low masih tidak ditangkap dan didakwa.
2. Laporan akhir 1MDB diletak di bawah Akta Rahsia Rasmi. Transparency apa jadah?
3. Lembaga pengarah 1MDB ditukar. Tak bermasalah tapi tukar?
4. 1MDB tidak dibenar dibahas di Parlimen. Lagi sekali, transparency apa jadah?


Sebagaimana Najib sering melaungkan orang lain suka membuat fitnah kepada kerajaan tetapi hal pokok mengenai 1MDB pun masih gagal dijelaskan kepada rakyat seterusnya mencipta persepsi yang takkan berhenti.

Thursday, March 02, 2017

Bapaku Pulang Dari Kota

Tadi aku nampak seorang bapa menyuruh anak dia baca doa makan sebelum anak dia makan. Tapi bapak tu pakai seluar pendek. 

Ini aku rasa janggal sedikit. Bukankah kepimpinan dan contoh itu terlahir dari tauladan?

Kalau diri sendiri tidak memberi contoh baik, maka, apa yang ada dalam fikiran si anak itu kelak?

Banyak juga aku lihat ibubapa sekarang hantar anak ke tahfiz, hantar mengaji sekolah pondok dan ada yang sampai ke Mesir. Tapi bapak? Masih hisap rokok, berseluar singkat dan bermacam lagi yang tak selari dengan falsafah mereka dalam pembesaran anak-anak. 

Sedarlah, jika kau sendiri tidak menunjukkan contoh perubahan sambil berharap anak kau itu yang berubah menjadi baik, kau takkan ke mana....

Politik Minggu Ini

Proton dan Nazri

Aku ini walaupun geram juga dengan kualiti kereta Proton yang tak setanding harganya tapi jauh di sudut hati, aku masih memandang tinggi Proton kerana mereka punyai R&D sendiri, rekabentuk sendiri dan 'manpower' yang cukup hebat dan terlatih.

Untuk memanggil Proton sebagai gajah putih, amatlah tidak adil dan kejam. Ia lebih kepada dendam politik.

Kau memang celaka Nazri...


Kalah

Kita boleh lihat betapa banyak pendedahan korupsi yang terjadi akhir-akhir ini.

Kita yang miskin akan berasa marah dalam seminggu dua. Selepas reda sekejap, akan terselit berita bahawa, "pengarah dibebaskan kerana tiada bukti kukuh pendakwaan" yang mungkin ramai tidak perasan. Bijak permainan media.

Bawalah berita penangkapan banyak mana pun, satu pun tidak akan didakwa.

Berita penangkapan tentang kesalahan rasuah cuma akan membawa dua benda positif negatif kepada imej kerajaan.

1. Positif - Kerajaan akan dilihat sebagai berintegriti dan tidak melindungi salahlaku.
2. Negatif - Rakyat yang bijak akan tahu menilai bahawa memang korupsi itu ada dalam kerajaan Umno dan akan bertambah buruk dengan satu persatu pendedahan SPRM. 

Kesimpulannya, rakyat akan tetap kalah............


Arab Saudi

Najib berkata GST akan dilaksana di Arab Saudi. 

Tindakan Najib berkata sedemikian bagi mengesahkan bahawa pelaksanaan GST adalah baik untuk negara.

Tetapi, ketara kebodohan Najib amatlah jelas. GST bukan baik untuk rakyat, ia baik untuk kerajaan. Yang sakit membayar GST adalah rakyat, bukan kerajaan. Bila kerajaan dah kutip berbilion hasil GST, maka, kerajaan dapat membayar hutang-hutang dan menambah perbelanjaan si Badak Sumbu.

Kesian, malanglah rakyat Arab Saudi kerana punyai rakan sejawat pimpinan dari Malaysia yang bodoh.


PAS

Bagi seorang realistik dan genius macam aku ni, aku masih percaya dan yakin pada parti PAS walaupun mereka kini dilambung badai (jangan nak nafikan perkara ni).

PAS era pasca arwah Tuan Guru Nik Aziz mula berpecah dan berpuak. Jangan cuba untuk menafikan bahawa PAS masih teguh dan stabil kiranya ada separuh atau satu per tiga daripada ahli mereka menubuhkan parti baharu, Amanah.

PAS era Abdul Hadi Awang agak keras dan orang biasa macam aku ni panggil degil dan ego. Mereka melayan UMNO (walaupun Tuan Ibrahim Tuan Man konsisten mengkritik isu-isu nasional, salute kepada beliau) dengan cara baik dan berhemah tetapi tidak dengan DAP dan Amanah. Seakan ada dendam lama yang berputik kembali. 

Jadi, sebagai orang biasa yang kerjanya memaki UMNO saban hari, pastinya aku menginginkan satu blok pembangkang yang kuat untuk menghadapi BN celaka pada PRU akan datang. Cuma, kini nampak orang PAS sudah tidak mahu DAP, orang Amanah dan DAP sudah mencerca PAS, maka, apa mungkin kita dapat melihat satu bentuk kejatuhan BN pada PRU akan datang.

Secara jujurnya, ia tidak akan berlaku jika tiada satu susuk figura yang kuat serta mampu menyatukan blok pembangkang untuk menukar kerajaan pusat pada pilihanraya akan datang.

Marilah terus membayar GST untuk tahun mendatang!!!

Sunday, February 12, 2017

Korup! Korup! Korup! Cerita Kita Yang Korup!

Bagaimana pemimpin korup melahirkan masyarakat korup?

Apabila undang-undang tidak kebal, syariah Islam tidak dilaksana dengan baik, maka, wujudlah pemimpin bodoh dan korup yang mencorakkan masyarakat. Rasuah berleluasa daripada si kecil anak hinggalah kepada jerung atasan yang celaka.

Masyarakat korup bila terlalu lena melayan cerita fantasi daripada vlogger kaya yang buat video merapu dan macam haram jadah, terlalu asyik menonton drama fantasi bak kayangan yang menonjolkan orang kaya dan kehidupan mewah melampau-lampau di luar kebiasaan, terlalu dibuai rasa hormat kepada orang kaya dan jutawan sehingga berasa taksub dan fanatik kepada sang kapitalis keparat itu. 

Akhirnya, masyarakat terdesak mahukan kekayaan dengan cara segera kerana undang-undang bukan kebal mana pun. Ustaz pula sibuk berpolitik menjilat punggung pemerintah tanpa mahu membetulkan norma masyarakat.

Sebab itu BN terus kekal.Kita. Kita sendiri yang membiarkan....
 
Google Analytics Alternative